By Hafizah Iszahanid
BAGI wanita yang sihat, setiap bulan ketika berlakunya kitaran menstruasi, telur dikeluarkan dari satu ovari untuk proses yang dinamakan ovulasi (ovulation). Telur ini melalui tiub fallopian ke rahim.
Secara terperinci, ovari adalah sumber utama hormon estrogen dan progesterone wanita. Hormon ini mempengaruhi proses pertumbuhan payu dara, bentuk badan dan rambut. Ia juga mengawal kitaran menstruasi dan kehamilan.
Tetapi jika anda mula berhadapan dengan haid yang tidak teratur, tertunda atau sakit ketika datang haid atau tanda-tanda seperti bengkak dalam abdomen, berat badan bertambah, kesakitan ketika bersama suami, tumbuhnya banyak bulu roma pada wajah, berjaga-jaga akan kemungkinan anda berhadapan dengan sista ovari.
Sista atau ketumbuhan ovari merupakan kantung cecair dalam ovari. Ia bagaimanapun boleh berada di mana-mana saja dalam tubuh seseorang. Jika ia berada dalam ovari, sista yang terbentuk biasanya bersifat ‘functional cyst’ .
Biasanya sista ovari itu bersifat benigna yang tidak akan berubah menjadi barah. Tetapi sebahagian daripada sista benigna ini memerlukan rawatan jika ia tidak hilang seperti kebiasaannya.
Jenis sista ovari
1. Functional Cysts – ‘sista fungsi’ sangat lazim berlaku. Dikaitkan dengan kelainan dari fungsi ovari yang normal, apabila telur cuba dikeluarkan seperti dalam proses ovulasi. Ia akan menghilang dalam tempoh sebulan hingga empat bulan.
2. Endometriomas – terbentuk pada wanita yang berhadapan dengan endometriosis, apabila tisu dari lapisan uterus membesar di luar uterus. Tisu ini mungkin terkena ovari dan mula membesar. Sista jenis ini mungkin akan mendatangkan kesakitan ketika hubungan kelamin dan ketika haid.
3. Sista folikel & korpus luteum – terbentuk apabila folikel yang menghasilkan telur dalam ovari membesar dan dipenuhi cecair. Korpus luteum pula jisim tisu berwarna kuning yang terhasil daripada folikel selepas ovulasi.
4. Sista neoplasma – dermoid, mengandungi pelbagai tisu seperti gigi, rambut, serpihan tulang – ovari polisistik, disebabkan timbunan sista-sista kecil yang berganda dan berlakunya ketidakseimbangan hormon.
Simpton sista ovari selalunya sukar dikesan sebagai simpton oleh sesetengah orang. Biasanya ia ditemui secara tidak sengaja ketika pemeriksaan pelvis. Apabila sista dikesan, imbasan perlu dilakukan untuk mendapatkan imej lebih jelas berserta ukuran, lokasi dan sama ada ia bersifat ‘solid’, dipenuhi cecair atau bercampur.
Untuk mengetahui jika sista ini mungkin barah, doktor biasanya akan membuat ujian darah untuk mengukur kehadiran bahan dalam darah yang dikenali sebagai CA-125.
Tetapi ujian CA-125 ini biasanya untuk wanita berusia 35 tahun ke atas yang lebih terdedah kepada penyakit ini.
Rawatan sista ovari bergantung kepada beberapa perkara, antaranya saiz dan jenis sista, usia (sama ada dalam tahun-tahun yang subur atau sudah putus haid), keinginan mendapatkan anak, tahap kesihatan secara total dan tahap serius gejala yang dialami.
Tetapi kaedah rawatan sista ovari ini biasanya menerusi pembedahan (itu pun jika ia tidak menghilang selepas beberapa kitaran haid dan bertambah besar, mendatangkan kesakitan dan anda sudah diambang pra menopaus) doktor akan membuangnya menerusi prosedur laparoscopy atau laparotomy.
Jika tidak, pesakit akan diberikan perhatian dan diminta kerap membuat pemeriksaan dalam tempoh sebulan ke tiga bulan untuk melihat perkembangan pertumbuhan sista ini. Ini biasanya rawatan pilihan untuk wanita muda yang masih inginkan zuriat dan tidak memerlukan pembedahan sebagai jalan terakhir.
No comments:
Post a Comment