Search This Blog

Thursday, 24 June 2010

More Kuliyyah....

Dear friends and readers,

More articles and discussions to share with you by Ustaz Zaharuddin... mari kita renung-renungkan dan selamat beramal.


Bahagiakan Dirimu
Oleh
Ustazah Noraslina Jusin ( Isteri UZAR)
www.ummuhusna99blogspot.co
m
atau lawati FB isteri UZAR di http://en-gb.facebook.com/people/Noraslina-Jusin/1695795105


Saya mengenali seorang wanita yang kerap menjalin hubungan istimewa bersama lelaki. Sebaik hubungan sedia ada menemui titik buntu, dia pasti mencari cinta yang baru. Hidup bersendirian bukanlah pilihan kerana baginya kesunyian bermakna tiada kebahagiaan. Dia sentiasa ingin menyintai dan dicintai, menyayangi dan disayangi.

Suatu ketika, dia bersama seorang lelaki yang dilihat sangat sesuai untuk dirinya. Cuma sayangnya, lelaki itu tidak memberikan sepenuh cinta yang didambakannya. Namun dia membiarkan sahaja perkara itu terjadi tanpa mahu memutuskan ikatan yang terjalin.

Apabila ditanya, mengapa? Jawapannya, dia tidak punya pilihan lain, kerana padanya bersendirian bukanlah sesuatu yang diinginkan. Bersendirian bagai suatu penanggungan yang amat memeritkan berbanding kurangnya kasih dari kekasih. Walau itu tidak sebagaimana yang diimpikan.

Sampai saatnya, hubungan itu menjadi bertambah buruk. Perpisahan terjadi jua. Di ketika itu, dia bersedia menghadapi kemungkinan yang berlaku dan terpaksa juga hidup tanpa teman. Sungguhpun dia amat benci hidup sendiri, namun akhirnya dia kelihatan boleh menjalani saat-saat getir itu tanpa kekecewaan yang memusnahkan. Dia bagaikan baru sedar bahawa sebenarnya dia mampu hidup sendirian.

Sembilan bulan berlalu, sehinggalah dia menemui seorang jejaka yang amat baik budi. Kali ini, lelaki tersebut mahu menjalin ikatan lebih serius dan tinggal bersamanya, dan itulah yang sering diharapkan dari semua kekasihnya sebelum ini. Akan tetapi, entah mengapa, kali ini dia menolak. Dia menyedari, terlalu banyak keseronokan dapat dinikmati walau hanya hidup bersendiri.

THE RULES OF LOVE
Kisah di atas adalah cerita benar yang diberitahu oleh seorang wanita kepada Richard Templar, penulis buku The rules of love. Buku ini, buat kesekian kalinya merupakan hadiah dari suami yang saya kasihi.

Saya tertarik dengan kesimpulan Templar pada akhir pengkisahan wanita berkenaan. Menurut Templar, sungguhpun pada awalnya wanita itu bagaikan tenggelam dalam hubungan yang tidak kesampaian, namun dia hanya membiarkan dirinya lemas lantaran takut hidup bersendirian.

Akan tetapi, saat menyedari bahawa dia mampu hidup lebih gembira dan bahagia walau tanpa seseorang di sisi, dia mula meletakkan standard yang jauh lebih tinggi.

Andai nantinya, dia hidup berpasangan, kehidupan itu harus lebih membahagia dan menyeronokkan berbanding ketika dia bersendirian. Jika hidup berdua lebih menjamin itu, barulah dia sanggup menggadaikan kehidupan bersendiriannya.

Seterusnya, Templar merumuskan, untuk beroleh bahagia seseorang itu perlu belajar untuk merasa bahagia dan gembira dengan dirinya sendiri, tanpa campur tangan pihak lain. Dengan itu, barulah seseorang itu dapat mengatasi dan menghadapi rasa takut apabila tiba saatnya dia ditinggalkan berseorangan.

SITUASI BERBEZA
Kisah dan rumusan dari Templar itu amat menguja dan membantu. Saya sebenarnya pernah menerima satu emel dari seorang wanita yang menghadapi situasi berbeza dari kisah wanita di atas. Saya petik sebahagian isi emel dengan sedikit pengubahsuaian ayat tanpa mengubah maksud asal pengirimnya. Beliau menulis :

Dan ketika ini saya baru membaca artikel kakak bertajuk SELAMA HAYAT INI. Saya masih tidak faham kenapa seseorang perlu berkahwin.

Jujurnya, dari umur 13 tahun, saya telah membuat keputusan untuk tidak /mahu berkhwin. Tahun ini saya sudah berusia 25 tahun, dan orang yangg paling tidak senang duduk ialah ibu saya.

Saya masih tidak percaya dengan sebuah ‘perhubungan’( relationship ).

Saya ada bertanya kawan-kawan, kenapa mereka ingin sangat berkahwin? Kebanyakan jawapan yang saya dapat, kerana mahukan anak. Dan saya bagai tak percaya, apa? Sekadar itu? Kemudian, setelah itu, apa pula ?

Berpandukan ayat-ayat yang kakak nyatakan pada artikel tersebut, saya masih juga tidak mengerti,

WHY we need to get marry?

Dua kisah berbeza dari dua wanita muda. Yang pertama tidak boleh hidup sendiri dan sentiasa cuba untuk memiliki seseorang bagi mencurahkan kasih mesra, manakala yang kedua pula merasa cukup dengan bersendiri, tidak memerlukan seseorang untuk didampingi.

Seorang percaya bahawa bahagia hanya apabila ada seseorang untuk berkongsi suka duka, manakala seorang lagi tidak percaya bahagia hanya bila ada perhubungan dan cinta.

Saya cuba memahami erti bahagia dari perspektif kedua-duanya, dan di sinilah saya menemukan dua titik penting yang dapat saya ketengahkan dari kisah wanita di atas dan rumusan yang dibuat oleh penulis untuk membantu menjawab persoalan dari emel yang saya terima.

APAKAH ITU BAHAGIA?
Berapa ramai manusia hari ini yang kelihatan bahagia, namun realitinya mereka masih mencari-cari kebahagiaan yang hakiki.

Mereka mengandaikan kebahagiaan boleh diperolehi dengan menikahi wanita kerana parasnya yang cantik rupawan atau jejaka dek wajah yang tampan, atau kerana harta yang melimpah ruah, keturunan yang baik-baik, yang punya pendidikan tinggi, bekerjaya cemerlang dan seumpamanya, namun setelah bergelar suami isteri, terasa masih ada kekurangan.

Berapa ramai pula yang mengandaikan kebahagiaan akan terbit dari kehadiran anak yang ramai. Anak-anak yang sewaktu kecilnya, mulus, comel, bijak dan menghiburkan. Akan tetapi, setelah dewasa, dengan pelbagai masalah yang melanda, rasa bahagia semakin hilang dan sirna.

Ketika itu, mereka bagaikan tersedar, kecantikan dan ketampanan pasangan bukan lagi kebahagiaan. Harta yang melimpah bagaikan tiada gunanya, keturunan yang baik, pangkat dan kerjaya, pun tidak menjamin rasa gembira. Dan ketika itu juga, mereka bagaikan tersedar, anak-anak yang ramai tidak semestinya boleh menjadi punca tenang dan damai.

Semua itu tidak mencerminkan kebahagiaan !

Jiwa mulai runsing, resah dan gelisah. Duduk tak senang, berdiri tak tenang, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Pendek kata serba serbi rasa tak kena.

ERTI BAHAGIA
Justeru itu, saya agak bersetuju dengan rumusan dari Templar tentang bahagia. Penilaiannya itu walau tidak sepenuhnya bertepatan dengan nilai agama, namun ia boleh diubahsuai bagi memenuhi kehendak dan ‘ruh’ dari didikan Islam, bahawa untuk mencapai kebahagiaan di dalam hidup, seseorang itu perlu terlebih dahulu bahagia dengan dirinya.

Namun, perlu diingat, bahagia dengan diri bukan bermakna keseronokan dan kegembiraan dikelilingi perkara-perkara berbentuk material dan kebendaan, akan tetapi bahagia dengan diri ialah tenang dan bahagia yang lahir dari rasa ‘bertuhan’.

Inilah peraturan cinta Islami.

Bahagia atas setiap perintah Allah. Gembira dengan menjauhi semua larangan-Nya. Baik susah atau senang, tawa atau tangis hiba, ketenangan dan kebahagiaan itu sentiasa mengiringi kerana keyakinan dan kefahamannya bahawa dirinya ‘ada’ DIA Yang Maha Mengasihi, Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha segala-galanya untuk dia mengadu untung nasib diri.

Firman Allah SWT :

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya : “(Iaitu ) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenang.” ( Surah Ar Ra’du ayat 28 )

Inilah manfaat yang paling agung. Mentaati Allah SWT dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan. Mengenali Pencipta yang setiap perbuatan-Nya amat berbeza dari makhluk yang ada. Memahami setiap kebaikan dan keburukan yang diberi-Nya adalah ujian keimanan. Menginsafi betapa hikmah yang tersurat dan tersirat dari segala yang berlaku dalam hidupnya adalah di dalam pengetahuan dan kehendak Tuhan. Semua ini menjadi pendorong dan motivasi untuk dia tampil tenang. Inilah ‘rasa’ kebahagiaan yang berkekalan.

Ringkasnya, ketenangan dan kebahagiaan yang diperolehi adalah hasil dari ingatan yang berterusan kepada Allah ar Rahman.

BERKAHWIN UNTUK BERKONGSI
Jika dari kisah wanita pertama, setelah menemui rasa bahagia dengan bersendirian, dia menolak hidup berpasangan, maka di dalam Islam, perkara sebaliknya pula yang dianjurkan.

Berkahwinlah untuk berkongsi kebahagiaan.

Tujuan dari perkahwinan di dalam Islam, bukan semata-mata untuk menghalalkan kasih cinta si Uda dan Dara, atau untuk beroleh cahaya mata dan zuriat penyambung warisan keluarga. Tetapi lebih dari itu ia adalah manifestasi kesyukuran yang terbit dari kebahagiaan dan ketenangan diri untuk sama-sama dinikmati oleh orang lain sebagai menyahut seruan Allah dan Rasul yang dicintai.

Berkahwin demi mengambil manfaat dari janji Allah SWT bahawa sakinah, mawaddah dan rahmah, semua itu tersedia di dalam sebuah ikatan yang sah.

Firman-Nya :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.” ( Surah ar Rum ayat 21 )

Berkahwin juga sebagai mengikut satu jalan ( sunnah ) dari jalan-jalan yang dianjurkan oleh Rasul-Nya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud :

“Daripada Anas r.a, katanya telah bersabda nabi S.A.W bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.”

Bila peraturan ini difahami sebaiknya, maka seorang wanita yang bahagia akan menjadi isteri yang membahagiakan suami dan anak-anaknya. Begitu juga, seorang lelaki yang bahagia, akan melebarkan kebahagiaan itu kepada isteri dan cahaya hatinya.

Keluarga yang bahagia melahirkan masyarakat yang bahagia. Masyarakat yang bahagia mewujudkan sebuah negara yang bahagia. Bahagia bernaungkan rahmat dan berkat dari Tuhan Yang Maha Esa.

Alangkah besar kesan yang lahir dari individu yang bahagia dengan dirinya! Maha Suci-Mu, Ya Allah !

BAHAGIAKAN DIRIMU…
Akhirnya, insafilah, bahawa insan yang disayangi, baik pasangan ( suami atau isteri ), anak-anak, saudara mara dan sahabat handai, bukanlah punca dan sumber bahagia. Mereka hanya lah satu juzuk dari kebahagiaan di dunia.

Being alone is great, but being with them is even better!

Begitu juga harta, pangkat dan kesenangan yang ada. Ambillah manfaat yang tersedia darinya tanpa melupakan akhirat yang lebih kekal di sana, sebagaimana Allah SWT berfirman :

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya : “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.” ( Surah Al-Qashas ayat 77 )

Ingatlah dua perkara ini : 1) Bahagiakan dirimu dan 2) Berkongsilah rasa bahagia itu.

InsyaAllah, kebahagiaan dan ketenangan akan sentiasa memayungi, kerana bahagia sebenar adalah dari ‘jiwa kehambaan’ yang sejati.

Hidup bahagia bersama-Nya, walau tanpa atau bersama mereka yang tercinta.



Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Noraslina Jusin
Satu berita yang menganggu pemikiran. Jika wanita tersebut belum bersuami, agaknya apakah menjadi punca dan sebab yang membawa kepada kematiannya? dan Jika dia telah bersuami, bagaimanakah pula?, dan bagaimana keadaan masyarakat hari ini. Sekadar mengajak kita berfikir.

Apa sekalipun telahan dan andaian, apakah punca boleh muncul dan lahir pelaku jenayah sekejam itu?


Mayat wanita hamil reput ditemui
17/04/2010 5:34pm

KUALA LUMPUR 17 April - Mayat wanita hamil yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan reput dan berulat di kawasan rekreasi Taman Tasik Perdana di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata mayat itu dijumpai orang awam yang kebetulan melalui kawasan terbabit kira-kira pukul 6.30 petang.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh enam hari akibat dijerut di leher dengan menggunakan sapu tangan, katanya ketika ditemui pada kempen derma darah peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Berjaya Times Square hari ini.

"Selain terdapat kesan mangsa dipijak di bahagian perut, pemeriksaan ke atas mayat itu juga turut menemui mayat janin berusia kira-kira 12 minggu yang dilihat keadaannya hampir terkeluar dari kemaluan mangsa,” katanya.

Muhammad Sabtu berkata, keadaan mayat yang reput turut menyukarkan polis untuk mengenal pasti bangsa dan identiti suspek.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu. Namun kita menemui seutas jam tangan berjenama Omega yang dipakai mangsa dan sebuah topi keledar di tempat kejadian,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan anggota keluarga supaya tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_37.htm
Ada yang tertanya-tanya samada Islam menentang kekayaan dan perolehan harta. Ada pula yang memainkan perkataan ‘zuhud' bagi menyokong kempen dan kefahaman mereka.

Benar, zuhud adalah satu sifat yang amat baik dan terpuji di dalam Islam, bagaimanapun saya mendapati terdapat salah faham masyarakat Islam dalam memahami ertinya, sehingga ia ditakrifkan sebagai menjauhkan diri dari dunia dan membiarkan diri miskin. Ada juga yang mengganggap zuhud sebagai tidak menggunakan harta yang diperolehi untuk diri, dan keluarga.

Selain itu, ia juga dikatakan zuhud jika berumah, berpakaian dan berkereta usang walaupun mempunyai harta. Membiarkan umat Islam tidak membina sebarang kilang, bangunan dan bisnes kerana ia dikira sebagai zuhud iaitu lari dari dunia sejauh-jauhnya. Dengan demikian dunia akan datang kepada kita. Adakah ini benar-benar yang diarahkan oleh Islam ?.

Tidak kurang juga yang membawakan dalil-dalil yang hebat seperti sabda Nabi SAW :-

كُنْ في الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أو عَابِرُ سَبِيلٍ

Ertinya : Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seperti orang yang melintas ( Riwayat Al-Bukhari, no 6053, 5/2358 )

Diberi pula lagi dengan satu hadis Nabi SAW :

والله ما الدنيا فى الآخرة إلا مثل ما يجعل أحدكم اصبعه هذه وأشار يحيى بالسبابة فلينظر بم ترجع

Ertinya : Demi Allah, tiadalah kehidupan di dunia kecuali seperti seseorang yang mencelupkan jarinya ini ( di dalam lautan sambil perawi menunjukkan jari telunjuknya) dan lihatlah apa yang mengikut (jari tadi dari air) " ( Muslim, no 858, 17/192 )

Demikian juga firman Allah SWT :-

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Ertinya : Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal ) a'la : 16 & 17 )

APAKAH ZUHUD ?

Sebenarnya zuhud bukanlah :-

*
1) Menjauhkan diri dari dunia
*
2) Berpakaian lusuh
*
3) Berkereta dan berumah buruk dalam keadaan mampu
*
4) Membiarkan diri miskin

Membiarkan diri miskin adalah zuhud??Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam surah ‘ala ayat 16 dan 17 tadi, yang mana Allah SWT menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

Apabila Allah SWT menggunakan perkata "lebih baik" ini bermakna kehidupan dunia adalah "baik" , Cuma akhirat ‘lebih baik' dan ‘lebih kekal'. Justeru Islam tidak sesekali melarang umatnya mencari yang baik. Nabi juga pernah menyebut bahawa Allah itu maha baik dan suka yang baik-baik. Cuma yang salah dalam hal harta ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam ayat berikut :-

كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَتَذَرُونَ الْآخِرَةَ

Ertinya : Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia, dan meninggalkan (kehidupan) akhirat ( Al-Qiyamah : 20 & 21 )

Iaitu, mencari dunia sehingga melupakan akhirat.

"apakah maksud melupakan akhirat" ?? Tanya seorang peserta kursus kewangan kepada saya.

"iaitulah mengenepikan, tidak endah serta malas mencari ilmu tentang halal haram dalam perolehan dan perbelanjaan hartanya. Orang sebegini tidak endah samada ia riba, rasuah, pecah amanah, curi dan lain-lain, yang penting baginya adalah poket semakin penuh"

"termasuklah juga, mengabaikan kewajiban Islam kerana terlalu mabuk dalam mencari harta, seperti tidak solat, tidak berzakat, abaikan tanggungjawab kepada rumahtangga dan lain-lain" terang saya.

Tiba-tiba seorang rakannya pula bersuara : "Jadi apa kaitannya dengan zuhud ustaz?"

Ini bermakna zuhud itu adalah mencari dan membelanjakan harta tanpa melupakan hukum dan keredhaan Allah SWT. Pandangan Allah akan sentiasa menjadi ‘priority' dalam pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedeqah dikeluarkan. Itulah zuhud namanya dan bukannya menjadikan diri miskin dan menjauhi dunia.



"walaupun keretanya besar, rumahnya indah, jamnya berjemana" tambah saya lagi.

"Boleh ke ustaz gunakan benda-benda begitu ustaz" Tanya pemuda pertama tadi lagi.

Sudah tentu boleh,iaitu jika sudah ditunaikan seluruh kewajiban dalam perolehan harta itu dan hatinya sentiasa dijaga agar tidak bangga dan sombong dengan kejayaannya. Buktinya adalah dari sabda Nabi SAW :-

قال أَتَيْتُ النبي في ثَوْبٍ دُونٍ فقال أَلَكَ مَالٌ قال نعم قال من أَيِّ الْمَالِ قال قد آتَانِي الله من الْإِبِلِ وَالْغَنَمِ وَالْخَيْلِ وَالرَّقِيقِ قال فإذا أتاك الله مَالًا فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللَّهِ عَلَيْكَ وَكَرَامَتِهِ

Ertinya : "Aku datang bertemu Nabi SAW dengan berbaju yang kurang elok lalu

Nabi SAW bertanya :

"Adakah engkau mempunyai harta ?"

Aku menjawab : " Ya"

Baginda bertanya lagi : "Dari mana dan apa jenis hartamu itu?"

Aku menjawab : "Allah telah memberiku harta dari ternakan unta, kambing dan kuda"

Nabi terus membalas dengan katanya :

"Jika seseorang kamu telah diberikan harta (yang halal) maka hendaklah atau haruslah ditunjukkan kesan-kesan nikmat dan kemuliaan Allah (yang diberikan) kepadanya" ( Riwayat Abu daud, no 4063, 4/51, tirimidzi, no 2006, 4/364 ; Tirmidizi & Albani : hasan sohih

Imam Ibn Hajar berkata maksud hadis ini menyebut hendaklah seseorang itu memakai pakaian bersih yang layak dengan kedudukannya agar jika terdapat orang yang ingin meminta bantuan, maka boleh dikenali siapa yang boleh memberikannya. Pada masa yang sama mestilah ia menjaga niatnya dan menjauhi pembaziran. Demikian juga yang disebutkan di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi (Rujuk Fath Al-Bari, 10/260 ; Tuhfatul Ahwazi, 6/122)

Tafsiran zuhud yang saya berikan adalah bersandarkan firman Allah yang tidak menegah kita menjadi kaya dan berharta, tetapi yang dikehendaki adalah sentiasa peka dan berjaga dengan tipu daya harta agar tidak lalai dari halal haram dan keredhaaan Allah.

Firman Allah :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi. ( Al-Munafiqun : 9 )

Islam tidak melarang sama sekali kita untuk menjadi kaya dan menggunakan peralatan, kemudahan dan pakaian yang layak dengan pendapatan kita. Malah ia amat digalakkan untuk menjadi kaya dengan cara yang halal, kerana dengan itu zakat dapat dikeluarkan bagi membantu umat Islam yang tidak berkemampuan.

Harta hanya akan menjadi tercela bila ia membawa kepada kelalaian dan pengabaian yang wajib di sisi Allah : Inilah yang disebutkan oleh salah seorang ulama tabien yang terhebat iaitu Said Ibn Jubair iaitu :-

متاع الغرور ما يلهيك عن طلب الآخرة , وما لم يلهك فليس بمتاع الغرور ولكنه متاع بلاغ إلى ما هو خير منه

Ertinya : Harta yang menipu adalah apa-apa yang melalaikanmu dari mencari akhirat, dan apa sahaja yang tidak melalaikanmu dari akhirat bukanlah dari jenis harta atau kerja yang melalaikan tetapi ia dianggap harta yang boleh menyampaikan kamu kepada apa yang lebih baik (akhirat)" ( Jami' al-Ulum wal Hikam, hlm 360)

TAKRIF ZUHUD

Para ulama silam juga pernah membetulkan salah faham tentang pengertian zuhud ini. Lihatlah pengertian zuhud yang disebut oleh mereka :-

Imam Ibn Juzai berkata :-

ليس الزهذ بترك الحلال , ولا إضاعة المال فقد يكون الغني زاهدا , إذا كان قلبه مفرغاً عن الدنيا , وقد يكون الفقير دنيويا إذا اشتدّ حرصه , وكان معمور القلب بالدنيا

Ertinya : Bukanlah zuhud itu dengan meninggalkan ( pendapatan dan harta) yang halal, bukan juga membuang harta, kemungkinan seorang yang kaya itu bersifat zuhud apabila hatinya kosong dari dunia (tidak mengharapkan sesuatu dari dunia dan kekayaannya untuk dunia), dan berkemungkinan orang faqir itu adalah orang yang bersifat duniawi apabila hatinya amat berkehendakan dunia, tatkala itu hatinya segar dengan ikatan kepada dunia ( Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 471 )

Imam Sufyan bin ‘Uyainah ditanya berkenaan zuhud lalu beliau menjawabnya :-

إن نقصت لم يغنم وإن زادت لم يفرح ولا يكره الموت لفراقها

Ertinya : Sekiranya sesuatu harta itu hilang atau kurang sesorang itu tidak terlalu bersedih dan tatkala ia bertambah ia tidak pula gembira, dan ia tidaklah merasa bencikan mati kerana tidak mahu berpisah dengan hartanya " ( Jami' Al-ulum wal Hikam, hlm 256 )

Imam Al-Qarafi pula berkata :-

ليس الزهد عدم ذات اليد , بل عدم احتفال القلب بالدنيا , وإن كانت في ملكه

Ertinya : Bukanlah zuhud itu tidak mempunyai sesuatu di dalam tangan, tetapi ia adalah tidak bergembiranya hati dengan dunia ( perolehan dunia) walaupun ia jatuh ke dalam miliknya" ( Az-Zakhirah, Al-Qarafi )

Kesimpulannya

Diharuskan mencari harta sebanyak-banyaknya dengan syarat ia tidak melalaikan dari akhirat. Melalaikan akhirat adalah dengan tidak mengendahkan hukum Islam dan mengambil ringan tentangnya. Fokus utama mereka hanyalah memperolehi keuntungan dan menebalkan poket sahaja. Halal haram diletakkan sebagai hal kedua. Justeru, fahamilah konsep sebenar dalam pencarian harta, fahamilah pandangan Islam dalam semua instrumen mendapatkan harta, tidak dinafikan terlalu banyak cara dan instrumen baru serta canggih diperkenalkan tapi awas, tidak semuanya membawa kebahagiaan di akhirat kelak.

Bersifat zuhud bukanlah bermaksud membiarkan diri miskin, tidak berusaha, berpakaian dan berkenderaan lusuh dalam keadaan berharta dan mampu. Justeru, amat diharapkan umat Islam tidak menjadikan zuhud sebagai alasan ketidakmajuan mereka dan tidak pula tersilap memahami konsep harta dalam Islam hanya kerana tidak faham erti sebenar zuhud.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/576/93/
Saya bersetuju 100% dengan pendapat Uzar berkenaan isu wanita bekerja ini. Dan saya juga merupakan seorang wanita bekerjaya dan memiliki akademik yang membanggakan. Namun apa yang membimbangkan saya adalah keadaan yang memaksa wanita zaman sekarang untuk sama-sama 'turun padang' mencari rezeki demi keteguhan ekonomi keluarga.

Tambahan pula, saya (belum berkahwin) adalah daripada 6 org adik beradik yang kesemuanya adalah perempuan. Tanggungjawab untuk membantu ibu bapa yang sudah tua juga salah satu faktor yang 'memaksa' kami adik beradik untuk bekerja selain membalas jasa kedua orang tua kami.

Namun demikian, saya tidak nafikan saya ingin benar 'kembali kepada fitrah' ajaran islam yang suci yang mana menggalakkan wanita untuk duduk dirumah menguruskan perihal keluarga dan anak-anak bila tiba masanya kelak (berkahwin).

Hakikatnya, calon-calon suami zaman sekarang juga mengenakan syarat untuk mendapat calon-calon
isteri yang bekerja bagi membantu mereka meningkatkan ekonomi keluarga dan ada juga yang beralasan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung keluarga pada zaman ini (walaupun ada yang berpendapatan >RM3000). Saya kesal sekali dengan keadaan ini dengan tiada sokongan dan peluang untuk saya 'kembali kepada fitrah' ajaran Allah.

Bagaimana pula pandangan UZAR dan rakan-rakan group?

JAWAPAN RINGKAS SAYA

salam,

Jika isteri bekerja dengan tujuan membantu ekonomi keluarga dan pada masa yang sama, suami juga bekerja, sudah tentu ia adalah harus selagi menjaga tatasusila Islam semasa di tempat kerja dan juga mampu melaksanakan kewajibannya sebagai ibu dan isteri.

Jika terdapat mana-mana bakal suami membuat syarat demikian, bagi saya ia masih boleh diterima jika :-

a) kedua-dua mereka mempunyai 'planning' sebaiknya maksud saya ia adalah bagi tempoh beberapa tahun awal selepas kahwin disebabkan kos hidup yang tinggi bagi pasangan berkahwin, dan pasangan masih muda.

b) bertujuan membantu suami atau keluarga di kampung yang benar-benar terdesak.

c) berbentuk 'temporary' sementara tiada anak sebagai persiapan ekonomi untuk beranak pinak dalam keadaan yang lebih selesa.

d) memberikan isteri pengalaman kerja di peringkat awal agar jika sesuatu berlaku kepada suami, isteri sudah berpengalaman, boleh dan mampu berdikari dengan lebih berkesan.

e) menamatkan perjanjian kerja dengan majikan atau kerajaan akibat perjanjian biasiswa dahulu.

Adapun, menjadikannya syarat seperti 'syarat yang paling utama' serta mengharapkan isteri untuk terus membantu selama-lamanya, bagi saya secara peribadi ia sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan sang suami. Saya yakin mesti ramai suami dan sebahagian isteri yang tidak berpuas hati dengan kenyataan seperti ini, terpulang.

Cuma fikir semula sebelum bantah secara total. Bagi saya apapun hakikat dan realiti di hadapan anda, menyuruh atau mengharap isteri bekerja dan pada masa yang sama mengharap isteri :
• 01) didik anak dengan hebat dan berkesan
• 02) layan suami dengan baik,
• 03) senyum melebar setiap kali bertemu suami yang 'penat' bila balik,
• 04) tempat suami mengadu masalah dan dapatkan sokongan,
• 05) memberikan buah fikiran yang baik kepada suami yang buntu di tempat kerja
• 06) untuk in-charge untuk menjaga berak kencing anak,
• 07) basuh baju,
• 08) gosok baju,
• 09) sidai dan angkat baju,
• 10) urut badan suami,
• 11) masak sedap,
• 12) basuh pinggan,
• 13) sapu dan buang sampah,
• 14) kemas rumah,
• 15) cuci tandas,
• 16) tangani karenah anak dengan baik
• 17) ajar anak ngaji
• 18) tak membebel,
• 19) tak mahu dengar anak menangis dan harap isteri berperanan,
• 20) tak muncung dan lain-lain

Menuntut perkara di atas dan pada masa yang sama menyuruh isteri kerja adalah bertentangan dengan fitrah yang ditentukan oleh Allah kepada wanita. Adalah tidak adil sama sekali bagi seorang suami 'demand' hal sedemikian untuk disempurnakan oleh isteri dalam masa yang sama diharapkan income isteri untuk pembiayaan rumah dan kereta dan barang dapur.

Jika suami ingin isteri membantu ekonomi (yang sepatutnya tanggungjawab utama sang suami), maka sebahagian senarai kerja di atas patut di ambil alih oleh suami sebagai timbal balik kepada jasa isteri itu. Jika tidak mahu, mereka perlu mengambil pembantu rumah yang boleh diharap 'cover' sebahagian kerja-kerja teknikal tadi.

Kesimpulannya, suami yang bekerja perlu berilmu cara mengawal rumah tangga dan anak-anak akibat isteri bekerja. Sebarang kekurangan dalam rumah tangga akibat kedua-duanya bekerja adalah di bawah tanggungjawab suami. Jangan salahkan isteri yang bekerja sebagai gagal melaksanakan tangunggjawab di rumah, kerana suami yang 'beri' dan 'minta' isterinya bekerja from the very begining atas sebab-sebab yang disebutkan di atas.

Justeru, bagi saya suami kena kontrol jenis kerja isteri, tempoh masa, suasana sekeliling isteri, jika kecemasan bagaimana, keletihan isteri yang bekerja ini setakat mana, apakah perkara yang terpaksa dikorbankan disebabkan kerja isteri dan lain-lain.

Tatkala itu, suami perlu cari apakah jalan penyelesaiannya terbaik. Panjang ceritanya ini, ringkasannya, suami must be a good planner, manager and he is just like a CEO. Jangan dengan naïf, beralasan dengan pelbagai alasan. Beralasan itulah kunci awal kegagalan suami.

Akhirnya ; saudari menyebut , isteri terpaksa 'turun padang' demi keteguhan ekonomi rumah tangga.

Soalan yang amat perlu difikirkan secara telus adalah, manakah yang lebih penting "keteguhan ekonomi" atau "keteguhan hubungan rumahtangga" ?

Ada orang, rumah dah ada cuma kecil sedikit..cuma ingin di tambah 'teguh'kan dengan membeli yang lebih besar, kerana itu perlukan isteri bekerja??? kereta sudah mampu membeli VIVA, cuma untuk 'keteguhan ekonomi' iaitu membeli Camry, lalu isteri perlu bekerja?.

Semua perlu jelas dan ikhlas, apakah tanda aras keteguhan ekonomi?. Sampai bila mampu tercapai? akhirnya kebahagian rumahtangga tergadai dan bercerai kerana asyik beralasan mencari 'keteguhan ekonomi'. Wallahu'alam.


zaharuddin abd rahman
www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/581/96/
Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya.

Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.

Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.


MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM

Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam?

Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam. Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.

Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian' dan ‘sumbangan' yang juga tidak terhad kepada wang dan harta. Ia sangat nyata sebagaimana yang pernah saya tuliskan petikan hadis Nabi Muhammad dalam artikel saya sebelum ini . Bahawa mengajak orang kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga, membantu mereka yang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah pemberian amat bermakna.

Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian' dan ‘sumbangan' itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :-



1) Ikhlas kerana Allah


2) Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.


Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat' di dalam kehidupan dan harta.


Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di dunia"?.

Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat.

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla.

Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi.



WHAT YOU GET BACK?

Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?'

Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :-

a. Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga

· Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak.

· Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat.



b. Kesihatan

· Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.

Nabi bersabda :



صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات

Ertinya : Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan. (At-Tabrani, Al-Haitahami : sanadnya Hasan)

· Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu diingat, ADA JUGA TERDAPAT HARTA YANG BERKAT TETAPI DITIMPA MUSIBAH DAN BENCANA, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu membawanya lebih hampir kepada Allah dan bukan semakin jauh. Itulah fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab untuk kebaikan tuan miliknya.JUSTERU, bukan tugas kita untuk menuduh harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah kerana kita TIDAK TAHU HAKIKAT SEBENARNYA.

· Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.



c. Harta

· Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya.

· Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.

· Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama tasauf sebagai Qana'ah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ada, tetapi tidak henti untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.

· Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah untuk berada di persekitaran yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah.

· Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka. Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah yang disebut di dalam durah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai ayat seribu dinar :



وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Ertinya : Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ( At-Talaq : 2-3)

Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA' sebagai jalan dibuka jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya.

Ibn Abbas menegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian, dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi)



d. Sekeliling yang baik

· Dipermudah oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.

· Kewujudannya menjadi pelopor kepada kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah sabdaan Nabi:

إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح الشر على يديه

Ertinya : Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Riwayat Ibn Majah : Sohih )



KESIMPULAN

MashaAllah, terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau akhirat.

Lalu apa yang menjadi penghalang kini hanyalah ‘hati' masing-masing.

Jika hati itu masih belum mampu menyakini maha Pemurahnya Allah ta'ala.

Masih belum boleh menyakini Allah akan membalasnya.

Masih belum yakin wujudnya Allah dan ganjaran kebaikan-Nya.

Selagi itu, seseorang itu akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut dan malas ketika ingin memberi.

Jalan awal penyakit tersebut adalah ‘malas' dan dikuti berterusan melakukan dosa dan berasa jalan ‘dosa' itu adalah cara pendapatan yang terbaik baginya.

Saya teringat, tatkala saya mengingatkan orang ramai perihal pelaburan haram, skim haram, skim cepat kaya, money game, skim piramid wang, MLM yang haram dan sebagainya, lalu berteriaklah beberapa orang yang tidak berpuas hati seraya berkata :

"Kami orang susah, ustaz bolehlah kata itu dan ini...cuba ustaz duduk di tempat kami selaku individu yang kurang berpendidikan, kerja berat tapi gaji sedikit. Itulah sahaja cara yang mudah untuk kami menambah pendapatan"

Individu seperti ini tidak sama sekali sedar, keterlibatannya dalam perkara haram HANYA AKAN LEBIH MENAMBAH JAUHNYA DIA DARI SEBARANG REZEKI HARTA DAN KETENANGAN. Nabi pernah bersabda :

لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها

Ertinya : Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan[1], dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya" ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)

Justeru, jangan jadikan posisi kesukaran diri di waktu ini sebagai excuse untuk melibatkan diri dalam perkara yang haram, kerana ia sama sekali bukan jalan keluar tetapi ia jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri dan keluarga.

Imam Ibn Kathir pernah mengulas bahawa apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka maka

وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Ertinya : Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan (Al-A'raf : 96 )

PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ‘EXCUSE'

Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan duit simpanannya untuk mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim-skim haram itu. Dan kemudian mengemukan alas an serta excuses yang pelbagai. Lihat ulama tabi'en berkata :

من طلب العلم تكفل الله برزقه

Ertinya : Barangsiapa yang menuntut ilmu Allah seolah telah menjamin rezekinya ( Kanzul Ummal, 10/139)

Ilmu itulah yang akan menerangkan kita jalan untuk bekerja dengan sebaik mungkin, dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Nabi mengingatkan :-

لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً

Ertinya : Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.

Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah.

Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah, Allah akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.

Akhir sekali, Nabi menasihatkan seorang sahabat yang agak kerap memohon bantuan harta dari Nabi s.a.w:-

يا حكيم إنّ هذا المال خضرة حلوة فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، كالذي يأكل ولا يشبع

Ertinya : Wahai Hakim, sesungguhnya harta merupakan seperti buahan yang subur, manis lagi disukai, barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu, barangsiapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya, sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



Sekian,



Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/922/72/
Semasa saya sedang memberikan kuliah pertama dalam kelas Fiqh Muamalat bagi pelajar tahun 3 di European Institute of Human Science. (http://www.eihs.org.uk/staff/ ) - iaitu pada tahun 2008 yang lalu.

Tiba-tiba seorang pelajar dari Russia mengangkat tangan lalu bercakap dalam bahasa arab yang masih boleh saya fahami walaupun agak sedikit kelam kabut.

Ia satu perkembangan memberangsangkan, kerana sebahagian pelajar ini dahulunya tidak mengenali huruf 'Arab, namun hari ini dalam tempoh 4 tahun, mereka sudah boleh bercakap ‘Arab dengan gaya bahasa pasar, walaupun ada kesalahan namun ia tertutup dengan gayanya yang penuh yakin.

Itulah salah satu kunci untuk berjaya dalam pertuturan bahasa, keyakinan terlebih dahulu dan diikuti pembetulan sedikit demi sedikit.

"ustaz, kami sebenarnya suka kuliah ini tetapi kami harap ustaz tidak mengambil hak kami, biasanya pensyarah memberikan kami 10 minit rehat dan tamat 10 minit lebih awal"

Panas juga saya mendengarnya, namun disebabkan ini kelas pertama dan saya juga tidak maklum kebiasaan pengajaran di sini, saya hentikan kelas untuk 10 minit sebagaimana diminta dan menyambung kembali sejurus selepas itu.

Mengajar Fiqh Muamalat menjadikan saya begitu khusyuk sehingga tidak sedar waktu yang berlalu, keghairahan saya memberikan penerangan ditambah dengan pelbagai isu semasa yang sedang cuba difahamkan kepada pelajar. Majoriti pelajar bertubi-tubi mengajukan persoalan dengan penuh minat kerap menjadikan saya semakin tidak melihat jam.

Kelas ini dijadualkan pada hari Isnin bermula jam 11 pagi sehingga jam 1 petang. 2 jam kelas sememangnya berat kecuali bagi mereka yang benar-benar ghairah dengan ilmu.

Saya teringat kelas Sarjana (MA) Fiqh ketika di Jordan yang berlangsung 3 jam tanpa henti. Namun demikian, inilah suasana kelas yang amat saya rindui sekarang, malah amat luar biasa apabila saya tidak dijengah perasaan mengantuk sama sekali walau 3 jam, berbeza sekali dengan kelas-kelas di ketika saya di peringkat Sarjana Muda (BA), mengantuk kerap menjengah.

Memang banyak alasan mempertahankan mengantuk itu, namun ia bukanlah sesuatu yang baik di hadapan guru.

Sebelum kelas kedua bermula, saya meninjau dokumen-dokumen yang disediakan untuk pensyarah oleh pihak pentadbir institut, tiada sama sekali peruntukan 10 minit rehat, semuanya diberikan atas budi bicara pensyarah.

"Tidak mengapalah, saya boleh berikan InshaAllah" demikian niat saya dengan harapan waktu rehat tersebut dapat memberikan kelegaan minda dan tenaga para pelajar.

Setakat ini tiada yang tertidur di dalam kelas saya, itu satu yang baik malah cemerlang. Namun walau tidak tidur, tidak dinafikan ada yang matanya celik tetapi mindanya tidur.

Bagi mengelak paksaan demikian, saya berfikir mungkin memberikan mereka rehat itu boleh diterima.

Kelas kedua bermula.

Sebelum ia bermula, pihak pentadbir institut memaklumkan kepada para pensyarah agar memperlahankan sedikit penerangan kerana tahap kecekapan bahasa arab pelajar adalah berbeza-beza di antara satu dengan yang lain. Kami juga diberitahu agar jangan tergesa-gesa kerana mengejar silibus tetapi boleh berhenti di mana sahaja asalkan pelajar dapat faham.

Ada bagusnya juga, fikir saya

Teringat saya di UIAM yang agak terkejar-kejar untuk menamatkan silibus yang disediakan. Topik-topik pula kebanyakannya bukan ringan untuk pelajar.

HAK ANDA ATAU SAYA ?

Sedang khusyuk saya menjawab soalan pelajar dan menerangkan perihal pecahan aqad di dalam Fiqh Muamalat, tiba-tiba .

"Ustaz, maaf , hak kami adalah untuk berehat 10 minit" tegas pelajar yang sama dahulu.

Kali ini saya cukup terasa.

Saya merasakan biadapnya pelajar ini.

"Anda salah" kata saya

"Tiada hak anda untuk berehat 10 minit, jangan sesekali mendakwa ia HAK anda. Ia adalah hak saya sama ada untuk berikannya atau tidak"

"Malah ingin saya ingatkan, anda semua dengan adab menuntut ilmu, jika anda berfikir kelas ini adalah sebagai satu perniagaan, anda pelanggan kerana membayar yuran dan saya tukang jual, anda tersilap, mungkin anda boleh berfikiran sedemikian jika ini bukan pengajian Islam, namun dalam pengajian Islam unsur barakah sewaktu pengajian amat penting"

"Anda semua ini, merupakan bakal-bakal imam, qadhi dan mufti di negara anda, tiba-tiba sibuk dengan 10 minit rehat, mengabaikan adab majlis ilmu, adakah anda rasa anda boleh berjaya dengan sikap begini" Celoteh saya dengan separuh marah.


Saya marah dengan sikap bakal-bakal pendakwah ini, datang ke Institut untuk mempelajari ilmu Islam, namun dibawa sikap dan adab tidak Islam. Tidak hormati guru dan majlis ilmu.

Seorang pensyarah dan pakar hadis di Universiti Al-Yarmouk dahulu sangat sensitif dengan adab dalam majlis ilmu, sehingga jika terdapat pelajar yang menyilangkan kaki sewaktu duduk (di dalam kelas) akan dimarahinya, paling tidak akan disindirnya secara tajam.

Ada pula guru yang membalingkan pen kepada pelajar yang tidur dan macam-macam lagi.

Malangnya, guru yang ingin mendidik ini berhadapan dengan karenah pelajar yang kurang adab.

Terhakis sungguh adab menuntut ilmu, tiada lagi penghormatan kepada guru, saya sering teringat bagaimana para pensyarah Islam di pelbagai institusi pengajian dicemuh dan dikutuk oleh pelajarnya tanpa sebab yang haq.

Cara berinteraksi dengan guru juga semakin jauh dari adab murid dan penuntut ilmu.

Sebaliknya pensyarah yang memberikan soalan bocor, bermudah-mudah, selalu memberi waktu rehat, mungkin dianggap hero dan favourite. Tidak ketinggalan sebahagian rakan-rakan sepengajian saya ketika di Jordan yang suka mengutuk pensyarah di luar kelas. Malah ada yang dituduhnya sebagai zalim hanya kerana tidak memberikan soalan-soalan jangkaan.

Padahal yang memberikan soalan bocor itulah yang zalim dan mengkhianati amanah.

Allah swt pernah menggambarkan bagaimana adab penuntut ilmu di hadapan gurunya :-

قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِى فَلاَ تَسْأَلْنى عَن شَىءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْراً

Ertinya : Berkata Khidr (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu " ( Al-Kahfi, 70)

Imam az-Zamakhshari berkata :

وهذا من آداب المتعلم مع العالم والمتبوع مع التابع

Ertinya : Inilah sebahagian dari adab penuntut ilmu bersama gurunya, pengikut dengan yang diikutinya" ( Al-Kasyyaf, 2/686)

Namun ini tidaklah bermakna, anda tidak boleh bertanya apa jua semasa guru mengajar, apa yang perlu adalah ‘minta izin' dan menunggu guru menamatkan percakapannya.

Adab-adab penuntut ini sangat ditekankan oleh ulama silam sehingga Imam Al-Ghazzali menyebut :-

ومهما أشار عليه المعلم بطريق في التعلم فليقلده وليدع رأيه فإن خطأ مرشده أنفع له من صوابه في نفسه

Ertinya : Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan sang guru lebih bermanfaat dari apa yang mungkin benarnya apa yang datang dari dirinya (penuntut)" ( Ihya 'Ulumiddin, 1/50)

Tidak dinafikan kita boleh berhujjah, berdiskusi dan mengkritik pendapat Imam Al-Ghazzali di atas, namun sefaham saya ia dibuat dalam konteks penekanan keperluan menghormati guru, meyakini ilmunya dan adab-adab penuntut ilmu di hadapan guru.

Sebagai murid atau penuntut, jika anda tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat guru, anda boleh berbincang dengan guru secara tertutup, mengemukakan hujjah anda dalam bentuk yang beradab dan tenang serta menjaga air muka serta menghormati tarjihan sang guru.

Ramai saya temui, penuntut yang menampilkan hujah seolah-olah si guru tersebut tidak tahu. Ramai penuntut yang baru khatam dua tiga buah kitab, merasakan diri lebih bijak dari gurunya.

Jika ada yang mengatakan, murid tidak yakin guru itu lebih tahu dari dirinya, nescaya murid itulah yang salah dan memang tidak berilmu. Kerana anda perlu memilih guru, lalu kenapakah memilih guru yang tidak berilmu?.

Imam Malik Bin Anas dan Muhammad Ibn Sirin berkata :-

العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم

Ertinya : Ilmu itu agama, maka telitilah dari siapa kamu ambil ilmu agamamu" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)

Lihatlah contoh anak murid Imam Syafie Rabi yang berkata :-

وقال الربيع صاحب الشافعي رحمهما الله ما اجترأت أن أشرب الماء والشافعي ينظر إلي هيبة له

Ertinya : Berkata Rabi', murid dan rakan SYafie, aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Syafie sedang memandang ke arahku, merasakan kehebatannya" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)

Malah penuntut ilmu Islam di zaman silam amat menghargai gurunya sehingga mereka sering berdoa :-

اللهم استر عيب معلمي عني ولا تذهب بركة علمه مني

Ertinya : "Ya Allah, tutuplah aib guruku dari penglihatanku dan janganlah hilangkan berkat ilmunya dariku"

WEB INI JUGA MEYAKSIKAN

Inilah juga sikap sebahagian pengunjung web ini dan lain-lain web agama apabila bertanya soalan dan membidas hujjah. Terdapat yang tiada adab langsung, dalam masa yang sama mengharap jawapan saya dan rakan-rakan ustaz.

Saya cuba membayangkan web ini sebagai satu medan dakwah dan kuliah ilmu yang diberkati, Namun ia kerap dicemari oleh individu kurang adab. Bila dimarah, disindir kononnya kita tidak sabar dan tidak berhikmah.

Sebaiknya, jika tidak mempercayai saya dan apa yang saya sampaikan, jauhkan sahaja diri dari web dan tulisan saya. Abaikan saya, semudah itu.

Di benaknya, berhikmah itu agaknya boleh dipijak-pijak tanpa melawan. Sedang baginda Nabi s.a.w dan para sahabat sendiri pun pernah bertegas dan keras dalam pendekatan. Kebanyakkannya bergantung kepada latar belakang penanya dan pelaku kesilapan.

Perlu saya tegaskan, para ustaz termasuk saya adalah manusia biasa, tidak maksum dan jika ada yang biadap, tidak ramai ustaz yang masih ingin melayani soalan dan hujahnya.

Terdapat juga yang amat cetek ilmunya, tetapi bila membantah seolah terlalu bijak, sedangkan dari soalan yang diutarakan, kita sudah boleh menjangka sejauh mana ilmunya, kerana soalan itu sebahagian dari ilmu.

AMRU KHALID DAN GURUNYA



Gambar : Sebelah kiri saya guru dan supervisor kami, Prof. Dr Mawil Izzi dein, UZAR, Syeikh 'Amru Khalid, Ust Abd Halim naam (rakan phd), dan Fauzi ( rakan Phd dari LIbya)

Semalam, saya berpeluang bertemu dengan Syeikh 'Amru Khalid, seorang tokoh Muslim yang amat popular di dunia Islam terutamanya di dunia Arab. Beliau tersenarai salah seorang dari seratus orang tokoh paling berpengaruh di dunia. Baca berita berkenaan pencapaian top 100 ini.

Beliau juga sedang menyiapkan PhD nya di Universiti of Wales, Lampeter. Supervisor beliau juga adalah sama dengan saya iaitu Prof. Dr Mawil Izzi Dein. Semasa bertemu dengannya saya cuba mengajaknya untuk memberikan sedikit kuliah pendek kepada warga Malaysia di sini. Namun dengan penuh hormat beliau menolak sambil merujuk kepada Dr Mawil.

Bayangkan, tokoh sebesarnya masih hormat dan mengambil kira pendapat gurunya. Hormatnya kepada Dr Mawil kelihatan cukup jelas.

KESIMPULAN

Berusahalah mencari guru yang dipercayai, doakan agar tidak terlihat aibnya, dan jangan mencari kelemahannya, ambil kebaikannya, diskusi dengannya dengan adab dan masuki majlisnya dengan hormat agar berkat ilmu mampu sampai dan memberikan manfaat di dunia dan akhirat.

Ingatlah, berkat itu amat perlu dalam pengajian ilmu Islam, dengan wujud keberkatan, kefahaman mudah diperoleh, ingatan lambat luput, amalan menjadi mudah, hati menjadi tenang.

Tanpa adab, berkat hilang dan susut, kefahaman tidak menjelang tiba, lupa adalah sindrom biasa dan fikrian sentiasa merasa serabut, hati gersang dan kering.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/766/89/
"Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja. Adil ke begitu ustaz?" Tanya seorang wanita yang bertitle PhD dalam bidang ekonomi kepada saya.

"Dr tahu tak berapa jarak matahari ke bumi? " Tanya saya membalas.

"Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi" Pakar ekonomi ini cuba mengingatkan saya.

"Cuba Dr bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi rapat, apa agaknya akan jadi kat kita?" Soal saya mengajaknya berfikir.

"Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz" katanya.

"Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam seluruh urusannya, jika tidak..sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga, siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya" Jelas saya sedikit panjang.





"Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa" katanya sambil mengangguk.



"Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu?" Saya cuba membawa semula kepada topik awalnya.



"Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahah azim " sambil menggeleng kepalanya perlahan.





Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas saya tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain.



Jawapan lazim yang kerap digunakan oleh rakan-rakan saya apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya ‘favorite'nya pula, menyebut "adil tak meletakkan kupiah di atas kepala lutut?."



Benar dan saya bersetuju itulah takrif adil tersebut, iaitu "meletakkan seseuatu pada tempatnya", lalu tak semua benda patut kita letakkan pada tahap yang sama, seperti kita mengharapkan anak kita berumur 14 bulan untuk mengerti bahayanya memakan semua benda kecil yang dijumpainya di atas lantai.



"EEee, budak ni tak reti ke benda-benda ni kotor? " tempik seorang ibu kepada anaknya kerana memasukkan dalam mulutnya kotoran di lantai dapur rumahnya.



Saya yakin, kita semua faham bahawa tidak adil untuk kita memarahinya kerana ia baru berusia 14 bulan. Berbeza jika ia berusia 14 tahun dan cergas aqalnya tetapi masih memungut dan makan semua yang dijumpainya di atas lantai. Itu sememangnya patut dikesali.



Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.



Firman Allah SWT :



يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Ertinya : "Mereka menanyakan kepadamu: ""Apakah yang dihalalkan bagi mereka?"" Katakanlah: ""Dihalalkan bagimu yang baik-baik" ( Al-Maidah : 4)



Justeru, apa yang ‘neutral' atau ‘harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari sabda Nabi SAW :



إن الله فرض فرائض فلا تضيعوها وحدّ حدوداً فلا تعتدوها وحرّم أشياء فلا تنتهكوها وسكت عن أشياء رحمة بكم غير نسيان فلا تسألوا عنها

Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkaar wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya" ( Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan )




PEREMPUAN LEBIH SUKAR?



Pernah sekali di Brunei, selepas tamat kursus yang saya kendalikan, datang seorang peserta wanita lalu berkata :



"Tapi ustaz, orang lelaki mudah le dapat tutup aurat dengan sempurna, sebab depa senang, sikir benor auratnya". Tegasnya.



"Jika puan rasa susah, tapi buat juga kerana Allah, lagi banyak pahala puan dapat, untung orang perempuan, tutup je aurat terus dapat pahala setiap saat, berganda dari pahala orang lelaki kerana mereka tidak berapa sukar" jawap saya menarik minatnya.



"eh, betul ke ni ustaz" sambil tersenyum luas.



Berminat betul nampaknya dia kali ini sehingga nampak jelas raut wajahnya ingin penjelasan lanjut.



"Benar, InshaAllah.." Kata saya.



Kata saya ini berdasarkan satu hadith yang menyebut



إن لك من الأجر على قدر نصبك ونفقتك



Ertinya : "Sesungguhnya bagi kamu ganjaran pahala berdasarkan kepada kadar keletihan dan belanja ikhlas kamu" (Riwayat Ad-Dar Qutni dan Al-Hakim)



Menurut Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-bari menjelaskan bahawa hadith ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW kepada Aisyah r.a berkenaan umrah yang dilakukan oleh Aisyah. Dimana Nabi SAW diriwayatkan menyebut :



إنما أجرك في عمرتك على قدر نفقتك

Ertinya : "Sesungguhnya ganjaran pahalamu (wahai Aisyah) ketika umrahmu ini adalah berdasarkan kadar kesukaran dan wang yang dibelanjakan"



Imam An-Nawawi pula berkata :-

الحديث أن الثواب والفضل في العبادة يكثر بكثرة النصب والنفقة

Ertinya : "Zahir hadith ini menunjukkan ganjaran dan pahala dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya keletihan dan belanja yang dikeluarkan"



Bagaimanapun ulama sepakat menyatakan bahawa konsep pahala lebih besar apabila amalan lebih sukar dan letih" ini, tidaklah terpakai di dalam semua keadaan, kerana terdapat beberapa jenis ibadat yang ringan tetapi mempunyai pahala yang amat besar, seperti ucapan zikir tertentu yang disebut oleh Nabi SAW, demikian juga berbezanya solat tahajjud di bulan biasa dan di bulan Ramadhan. Kelebihan solat sunat Witr atas solat sunat tasbih yang jauh lebih sukar dan lain-lain. Demikian juga yan ditegaskan oleh Imam Izzudin Abd Salam ( Qawaid al-Ahkam fi Masalihil Anam)



LELAKI DUDUK RUMAH, WANITA KERJA



Yakinilah bahawa Allah SWT maha adil dalam menentukan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita. Sememangnya Allah SWT memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dengan begitu luas; ia bersesuaian dengan hukum Islam yang asal iaitu kerja mencari nafqah buat keluarga adalah merupakan tanggungjawab asas kaum lelaki yang disebut oleh Allah sebagai salah satu faktor "qiwamah"nya. Malah terdapat pandangan yang menyatakan lelaki yang gagal menyempurnakan tanggungjawab ini bukan kerana uzur adalah suami yang NUSYUZ.

Ini bermakna jika menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang sudah berumah tangga (tanpa sebab yang diktiraf Islam) tidak bekerja mencari nafqah, wanita tidak pula diharamkan untuk bekejra jika menjaga hukum yang ditentukan Islam. Jika wanita bekerja, pendapatan itu adalah milik mereka dan tiada sebarang tanggung jawab untuk memberi makan kepada suami kecuali atas dasar ihsan sahaja.

Adakah lelaki yang sudi memakan belas ihsan isteri? sedangkan lelaki dipenuhi dengan ego yang cukup tinggi secara puratanya. Saya sebut ihsan kerana ia BUKAN TANGGUNGJAWAB ISTERI untuk memberikan suaminya yang sihat tubuh badan untuk makan dan pakaian.!

Lelaki secara umumnya berbanding wanita, diberikan oleh Allah SWT lebih kemampuan fizikal, mental dan kemudahan dalam menutup aurat agar mudah ia ke hulu dan ke hilir mencari nafqah buat keluarganya. (Fatawa Az-Zarqa, hlm 290, cet Dar Al-Qalam)



"Habis ustaz nak orang perempuan duk rumah je la ni?" desak seorang wanita, sambil menjeling saya dengan jelingan kurang puas hati.



"jawapannya bukan semudah itu" jawab saya.

"Begini, saya kata ikut hukum asal yang Allah letak memang begitu, cuba bayangkan betapa sukarnya wanita bekerja hari ini untuk melaksanakan tugasnya dalam keadaan ‘senggugut', sakit perut, mengandung dan bersalin. Sekiranya ia telah menopos pula, sukarnya tiba-tiba perlu ke sana sini seorang diri, bermesyuarat bersama lelaki berdua-duaan dan sebagainya"

"Mereka sepatutnya lebih dimuliakan dengan diberi kerehatan cukup di rumah sambil membina pimpinan dan generasi soleh masa depan, iaitu anaknya dan keluarganya" Ulas saya, walaupun saya tahu, isu ini amat panjang untuk dibincang serta amat sukar untuk memuaskan hati kaum wanita moden zaman ini.

Nabi SAW bersabda :

لأن تصلى المرأة في بيتها خير من أن يصلى في حجرتها , ولأن تصلى في حجرتها , خير من أن تصلى في الدار , ولأن تصلى في الدار خير من أن تصلى في المسجد

Ertinya : "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )

Hadith di atas jelas membuktikan betapa tempat yang sebaiknya bagi wanita untuk mendapatkan pahala terbesar adalah di rumahnya. Manakala, bidang institusi keluarga, pendidikan anak dan menjaga keamanan rumah tangga WAJIB TIDAK DIPANDANG REMEH, malah ia sebenarnya amat sukar, malah ia menyamai kepimpinan sebuah negara.

Pandangan remeh terhadapnya adalah kesilapan utama wanita moden zaman kini hingga terlalu berhasrat menjaga syarikat dan berbakti kepada negara sedangkan ; mendidik anak-anak dengan cemerlang adalah sumbangan terhebat kaum wanita buat Negara yang tidak mampu disaingi sama sekali oleh kaum lelaki.

Wanita dikira silap apabila meletakkan 'standard' dan 'silibus' kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai 'standard' kejayaannya juga. Sedangkan, 'silibus' dan 'standard' kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal, saya tidak nafikan ada yang sama tetapi bukan dalam hal kerjaya.

Akibatnya berbondong wanita bekerja kerana menggangapnya sebagai satu KEJAYAAN dan kemuliaan baginya. Apabila kaum wanita hari ini didedahkan dengan pelbagai hadith Nabi berkenaan adab Islam yang perlu dituruti olehnya. Ramai yang merasakan ia seolah-olah mustahil dan tidak ‘up to date' sehinggakan dirasakan Nabi SAW tidak tepat dalam kata-katanya. Lebih buruk, adalah dituduhnya Nabi SAW bersikap ‘bias' atau berat kepada kaum lelaki, kerana baginda sendiri adalah lelaki. Lebih serius dari itu, yang menuduh Islam sudah ‘out dated'. La hawala wal quwwata Illa Billah.

KEPERLUAN WANITA BEKERJA & ANAK LELAKI

Siti Khadijah juga adalah peniaga yang berjaya, tapi adakah sudah ditinjau kaedah beliau berjaya? Adakah beliau masih aktif berniaga selepas Nabi dilantik menjadi Rasul? Adakah disedari tatkala itu Islam belum disempurnakan kerana wahyu masih turun sedikit demi sedikit. Adakah Aisyah dan isteri Nabi yang lain berniaga? Adakah sahabat wanita berniaga dan meninggalkan suaminya di rumah?

"ala ustaz, suasana kan dah berubah" Kata wanita tentunya.

"baiklah, tapi ada beberapa displin hukum bagi wanita diluar rumah, tanggung jawab asas terhadap suami yang tidak berubah sehingga kiamat, sudah dijaga?" Tanya saya

Saya tidak menafikan keperluan wanita untuk bekerja hari ini, ia adalah satu fenomena yang sudah terlewat dan hampir tidak boleh untuk dielakkan. Namun, pandangan peribadi saya menyatakan, keperluan wanita untuk bekerja timbul hari ini adalah apabila timbul masalah kekurangan kaum lelaki yang berkemampuan untuk menjalankan semua tugasan yang sepatutnya dijalankan oleh mereka di luar rumah.



Walaubagaimanapun, adakah kita sedar antara punca kelemahan anak-anak lelaki dalam hal ini antaranya berpunca dari rumahnya ?.

"habis anak perempuan kenapa boleh berjaya pulak, sedangkan dari rumah yang sama?" mungkin itu yang akan dibalas oleh wanita kepada saya.



Pernahkah anda mempunyai anak lelaki ? Bagi yang pernah, saya kira perbezaan dalam menumpukan perhatian dan penjagaan anak lelaki sejak kecil adalah ketara berbanding kanak-kanak wanita.



Hasilnya, keagresifan anak-anak lelaki memerlukan lebih didikan dan tumpuan, tanpa tumpuan sebaiknya, anak lelaki berpeluang untuk menjadi kaki buli di sekolah, malas belajar, bermain lebih dari belajar, perosak anak wanita orang lain dan akhirnya mendapat ijazah rempitan di atas jalan raya dan dadah di pusat serenti. Nauzubillah.

Ia berbeza dengan anak wanita yang secara umumnya lebih mudah dibentuk ketika kecil.



Kerana itu, rumah atau pendidik di rumah yang terbaik adalah seorang IBU. Pendidikan di rumah teramat penting bagi mencorakkan sikap dan sifat anak-anak di hari kemudian, terutamanya kemampuan anak lelaki. Jangan harapkan lelaki untuk bijak mendidik anak mereka di rumah, secara UMUMnya, serba serbi dan sifat naluri lelaki memang kurang mampu menjadi pendidik anak di rumah dengan berkesan. Saya sebut secara umum tanpa menafikan ada yang berjaya juga.

KELEMBUTAN DAN KASIH YANG LUNTUR

Apabila wanita yang mempunyai ciri hebat tadi menggunakan tenaga fitrahnya untuk mentadbir syarikat dan luar rumah, maka sudah pasti jarang yang mampu memberikan perhatian cukup kepada anak di rumah.

Suami tidak banyak boleh diharapkan dalam hal ini kerana sifat semulajadi mereka. Saya bukan ingin sentiasa memberi alasan, "sifat semulajadi" dan "fitrah"; tidak dinafikan ia boleh diubah dan dilatih, tetapi ia bakal gagal berfungsi sebagaimana yang dikehendaki walau sehebat manapun 'adjustment' dan 'latihan' yang cuba dilakukan. Malah ia mungkin boleh lebih memburukkan keadaan, seumpama memaksa kaum lelaki menjadi 'ballet dancer', dia mungkin berjaya dengan dedikasi latihan, tapi akhirnya ia menjadi 'lelaki lembut' yang bertentangan dengan kehendak Islam.

Anak lelaki tidak mendapat perhatian, kasih dan tumpuan secukupnya sejak kecil. Ia akan mengakibatkan berterusannya kekurangan tenaga lelaki yang mahir dan rajin di dalam industri pekerjaan, dalam masa yang sama pula peranan wanita yang lebih mudah dibentuk sejak kecil dan rajin, pasti terkehadapan. Lalu berbondong-bondonglah kaum wanita di tawar bekerja.



Di ketika itulah timbulnya isu, sukarnya wanita untuk menjaga auratnya semasa ia bekerja, ke sana ke sini, bermesyuarat di sana sini. Walhal, Allah SWT sememangnya tidak memperuntukannya untuk kaum wanita terlalu sibuk dan terbuka sedemikian. Malah juga tidak begitu tepat menurut fizikal dan mentalnya.

Kemantapan mental, ketabahan sabarnya, kelembutannya pada hakikatnya adalah khas untuk anak-anaknya demi melahirkan keluarga, masyarakat dan Negara yang dipimpin oleh individu yang cukup kasih saying ibunya. Malangnya, sifat lembut, taat, sabar dan kehebatan 'pshcology' itu telah dihabiskan dan digunakan kepada kerjaya, ‘boss' dan kakitangan yang lain. Tinggallah yang 'hampas' dan sisa buat anak-anaknya dan suaminya mungkin.



Kaum lelaki secara purata sememangnya agak kurang mampu untuk bersabar dengan tangisan anak dan karenah mereka. Lalu TERPAKSALAH dihantar anak-anak ini ke pusat penjagaan kanak-kanak. Kesan jangka panjangnya, akan lahir anak-anak lelaki yang tidak ‘menjadi' akibat dididik oleh individu yang tidak professional lagi melepas batuk di tangga. Iaitu di kebanyakan TASKA yang menghimpunkan berpuluh kanak-kanak sekaligus dengan 3-4 orang wanita muda bujang sebagai pendidiknya. Mampukah anak-anak dididik dengan berkesan dalam suasana begini.?



WANITA DAN WANGIAN DI TEMPAT KERJA



Antara kesilapan kerap yang dilakukan oleh kaum wanita apabila sudah keluar bekerja hari ini adalah berwangian dengan pelbagai jenis ‘perfume' sewaktu keluar dari rumahnya.



" Ala ustaz, takkan ustaz nak kami busuk ustaz" Tanya seorang wanita kepada saya.



Busuk atau tidak itu adalah bergantung kepada sikap kebersihan seseorang. Diharuskan wanita memakai sabun ketika mandi, dan bauannya yang seidkit juga harus. Bagaimanapun, yang menjadi masalah kini adalah yang bergelumang dengan wangian, sehinggakan beberapa meter jarak darinya pun sudah dapat dihidu baunya.



Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :



أيما امرأة استعطرت , فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهي زانية , وكل عين رأت زانية

Ertinya : "Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)

Tahukah kaum wanita bahawa lelaki normal mudah terangsang dan naik syahwatnya apabila menghidu bauan wangi si wanita?



"Tapi memang itu tujuan sebahagian mereka pakai wangian" Kata seorang wanita.



Jika itulah tujuannya, ia harus berdepan dengan seghala masalah dan bahaya dari kaum lelaki yang buas, ketika itu...janganlah ia marahkan lelaki tersebut.



Apabila sudah bekerja juga, banyak aurat yang terbuka di sana sini dengan hujjah ‘panas', sukar nak jaga, sukar nak bergerak, permintaan boss dan syarikat, ‘untuk nampak elegan' , supaya tak nampak macam mayat berjalan dan lain-lain lagi. Akhirnya dikorbankan hukum dan akhiratnya UNTUK DUNIANYA. Amat simpati saya terhadap kaum hawa sebegini. Allahul Musta'an.





Nabi SAW pernah bersabda :



ما من امرأة تضع ثيابها في غير بيت زوجها إلا هتكت الستر بينها وبين ربها



Ertinya : Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya dan tuhannya" (Riwayat Ahmad, 6/301 ; Albani : Sohih)



KKOMEN PEDAS

Mungkin ada wanita yang akan berkata :

"Apa le ustaz ni, orang sedang cerita benda besar iaitu bab sumbangan wanita, tiba-tiba dia sibuk ulas benda-benda kecil tentang aurat pula, tak berkembang pemikiran langsung"

Saya kira, kata-kata begini perkara biasa bagi orang yang telah tersemat dunia dalam hatinya, sama macam orang yang sudah berjaya di dunia perniagaan, tiba-tiba dikingatkan tentang halal haram. Pastinya melenting dan memarahi orang yang mengingat sambil dicop 'ketinggalan' zaman, otak kuno dan lain-lain.

Pandangan rendah kerap diletakkan kepada isu-isu keagamaan, ia juga dipandang sebagai isu remeh temeh menurut akal manusia yang rosak. Aqal akan mengikut jalan yang betul bila bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Pernah disebut sikap merendah sebarang perbincangan isu agama bagi mereka yang di kemuncak kejayaan dunia sebagai berikut : -

أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ , إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: ""(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )

NASIHAT PENGHUJUNG

Fikirlah tentang kehidupan menurut cara, priority dan kaedah yang ditunjukkan Allah dan RasulNya.

Akhir kata ; Saya tidak sesekali anti-wanita bekerja, sekadar memberikan beberapa sudut pandang agar sama-sama kita berfikir sahaja. Saya juga sama sekali tidak meletakkan kesalahan kepada wanita, mereka perlu terus rajin dan maju dalam pendidikan mereka dan keperluan kerjaya semasa kelihatan menuntut tenaga mereka.

Cuma harapan saya mereka jangan lupa 'silibus' kejayaan mereka berbeza dengan lelaki dalam beberapa hal. Pelajarilah..

Wanita yang terbaik adalah Maryam, Fatimah dan Khadijah...pelajarilah tentang mereka bagaimana untuk mendapatkan hidup indah di akhirat yang kekal buat selamanya. Ameen..



Sekian



Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/296/99/
Mohon penjelasan hukum penggunaan minyak wangi beralkohol dalam solat. Adakah ia najis dan bolehkah jika kita memakai minyak wangi sebegini di luar solat?.







JAWAPAN

Harus dan sah solat, walaupun menggunakan minyak wangi beralkohol. Ini kerana bukan semua alkohol adalah najis. Para Ulama menyebut alkohol najis berdasarkan hadith nabi yang memberi isyarat bahawa arak itu najis. Ia diambil dari ayat al-Quran yang menyebut :

"Arak, tenung dan tilik nasib, lemparan kayu nasib adalah kekotoran ('rijs') dari hasil kerja Syaitan " (Al-Maidah; 90).

Dan dari hadith oleh Abu Tha`laba al-Khushani di dalam sohih al-Bukhari dan Muslim:

"Wahai Nabi Allah, kami tinggal di tanah Ahli Kitab, bolehkah kami makan & minum di dalam bekas mereka?" Nabi membalas : "Sekiranya kamu mendapati bekas selain bekasan mereka, maka jangan menggunakannya, sekiranya kamu gagal mendapatkan selainnya, maka hendaklah kamu basuh bekas itu dahulu dan kemudian makanlah menggunakannya "

Imam An-Nawawi (Syarah Sohih Muslim 13/14:86) dan Imam As-Shawkani ( Naylul Awtar, 1/71) menyebut "Maksud larangan makan menggunakan bekas-bekas mereka menunjukkan apa yang mereka masak dan minum menggunakan arak adalah kernana ia dihukum sebagai najis"

Hasilnya kesemua ulama empat mazhab sebelum itu pun telah menyebut bahawa arak adalah Najis. Pun begitu tidak dinafikan terdapat khilaf dalam menanggapi kenajisan arak dan juga alkohol. Namun bagi tidak mengelirukan orang awam dengan perbahasan ilmiah, saya kira cukup untuk kita berpegang dengan ijtihad majoriti ulama.

1) Mazhab Hanafi, menurut kitab al-Fiqh al-Islami wa adillatuh (6/158) menyebut bahawa jika terdapat setitik arak sebesar syiling di baju seseorang, maka solatnya menjadi batal.

2) Mazhab Maliki, disebut oleh Ibn Rushd dalam Bidayat al-mujtahid (2/125); "Tiada satu jenis pun dari alkohol, bangkai dan najis boleh digunakan kecuali untuk tujuan perubatan"

3) Mazhab Shafi`i, arak disebut najis sebagaimana disebut oleh Imam An-nawawi di dalam al-Majmu` 2/569-570 (dipetik dari Imam al-Ghazali);

4) Demikian juga menurut mazhab Hanbali ( Ibn Quddama, al-Mughni, 9/152).

Benar 70 % atau lebih dalam arak adalah alkohol, tetapi ia jenis "Denatured alcohol" yang telah diproses untuk tujuan memberikan kemabukkan. Sila rujuk Denatured Alcohol . Adapun, alkohol yang ada di dalam minyak wangi adalah bukan jenis ethanol yang sama dengan apa yang ada di dalam arak, ia menggunakan ‘Absolute ethanol' iaitu satu jenis alkohol dengan hanya sedikit air dan campuran lain (maka kesannya juga berbeza dari kesan arak, malah ia tidak lagi digelar arak, barangsiapa yang meminumnya pula, ia mungkin boleh membawa seseorang itu ke ALAM BARZAKH dengan segera ! dan bukannya mabuk.

KESIMPULAN

Menggunakan minyak wangi beralkohol adalah dikira suci dan tidak menjejaskan solat seseorang. Itulah pendapat saya berdasarkan hujjah di atas dan demikian juga pandangan yang diberi oleh guru-guru saya seperti Prof. Dr Abd Fatah Idris melalui kitabnya dan Syeikh Prof Dr Fadhal Hassan Abbas melalui kuliahnya.

BAGAIMANAPUN, AKHIR-AKHIR INI SAYA MENDAPAT INFOMASI TIDAK RASMI BAHAWA TERDAPAT PERFUME DARI BARAT YANG JUGA MEMPUNYAI ELEMEN 'LARD' ATAU BABI DI DALAMNYA. JIKA BENAR, MAKA ia adalah diharamkan dan tidak sah di bawa di dalam solat.

Cuma sumber yang menyatakannya adalah masih tidak kukuh dan saya tidak menumpukan kajian terhadap hal babi dalam minyak wangi. jawapan saya hanya menumpukan isu hukum alkohol.

Tetapi WAJIB DIINGAT, WANITA DIHARAMKAN untuk memakai wangian ketika berada di khalayak lelaki yang bukan mahramnya, sama ada ada alkohol atau tidak ada, sama ada di ketika berada di tempat kerja atau lainnya. Pengharaman ini telah disebutkan dengan jelas oleh nabi s.a.w.

Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :


أيما امرأة استعطرت , فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهي زانية , وكل عين رأت زانية

Ertinya : "Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)

Jika ada wanita yang bertanya "adakah Islam suruh wanita-wanitanya busuk di luar rumah?", sila baca jawapan dan ulasan saya di artikel lain di sini. http://www.zaharuddin.net/content/view/296/99/



Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/279/95/
Apakah pandangan ust tentang merokok dan hukumnya menurut pandangan Islam, saya ada mendengar ada ust-ust yang mengatakan terdapatnya ulama silam yang hanya menghukumnya sebagai makruh dan tidak haram, adakah ia benar?- Klang-

Jawapan :

Sebelum saya memasuki jawapan, suka saya mengingatkan bahawa pemerintah kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat kuat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara.

Adapun dari sudut hukumnya ; sebagai asasnya, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukumannya berdasarkan berbezanya tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil dari rokok. Hakikatnya, dalam hal ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada "ahl az-zikr" dalam halnya, "ahli az-zikr" dalam hal rokok adalah doktor perubatan (selain ulama) yang mampu mengenalpasti impak buruk dari rokok kepada tubuh dan kehidupan. Maka sebarang fatwa ulama yang tidak dibuat berlandaskan maklumat lengkap dari para doctor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.

Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada 2 kumpulan dalam hukum rokok. Ia seperti berikut :-

1) HARAM :

Ia adalah ijtihad oleh majoriti ulama kontemporari termasuk Dar Al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, seluruh ahli persidangan Mencegah rokok ( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979 ; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah)

Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh muhd alauddin haskafi al-hanafi, syeikh sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar'ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, hlm 25-26)

Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun ( seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain ) yang terkandung di dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35 )

Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh " ( Rujuk Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346 )

Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT

" Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman" ( Al-Furqaan : 59 ) ;

Oleh kerana itu, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.

Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya

" Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat" ( Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di atas syarat Muslim kata az-zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)

Hadith lain pula menyebut :

" Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia" ( Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no 876 )

2) HARUS MENGIKUT KEADAAN


Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan ), Syeikh Hasan Makmun.

Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandangan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan mengganggu, ketika itu, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan.

Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah Haram merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh sendiri, orang lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam menyebut :

"Ad-Darar Yudfa' Bi Qadaril Imkan" ;

Ertinya : "Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan" (Al-Madkhal Al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)

Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata ( dengan sedikit ubahsuai olahan ) :-

a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.

b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil.

Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi MEREKA yang belum merokok, dan makruh(dibenci Allah) bagi seisapa yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya dan masih berusaha. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera. Wallahu a'lam.

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/259/95/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...