Search This Blog

Saturday, 24 September 2011

Budaya Kebangsaan dan Permasalahan Budaya


source: 





Alam Melayu merupakan pusat peradaban awal di rantau ini, dapat dikesan sejak sebelum penduduk di alam Melayu ini bertembung dengan peradaban asing, seperti peradaban India dan China. Bukti-bukti yang dikemukakan oleh ahli-ahli arkeologi, menyatakan penduduk asal rantau ini telah membina struktur budaya tersendiri. Dalam membina struktur peradaban Melayu zaman pra-sejarah itu bukanlah suatu yang dapat dilakukan dengan hanya berasaskan kepada artifak-artifak yang ditemui di beberapa kawasan di alam Melayu ini. Pencapaian peradaban itu juga boleh dikesan daripada pencapaian pusat-pusat peradaban di tempat lain berasaskan penemuan arkeologi itu.
Berasaskan kepada penyelidikan ahli-ahli arkeologi tentang kehidupan manusia pada zaman pra sejarah itu belum dapat dianggap sebagai mencapai suatu kedudukan peringkat awal dalam konteks peradaban itu. Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa pembinaan budaya bagi penduduk awal di rantau ini boleh dianggap sebagai pembinaan asas yang kukuh dalam pembinaan peradaban Melayu.
Penduduk asal di rantau ini pada zaman pra-sejarah itu telah membuktikan kemampuan mereka membina penempatan dalam kehidupan tani dan mampu menggunakan peralatan sederhana bagi mereka untuk menyesuaikan dengan alam sekitar. Selain itu, mereka juga sudah pasti membina kehidupan perkampungan, terutama dalam hubungan kekeluargaan dan sosial.
Proses evolusi budaya itu, dalam jangka masa yang lama, mereka pasti mampu menyusun dan menguruskan kehidupan kekeluargaan dan sosial. Walau bagaimanapun, dalam usaha mereka untuk keselamatan hidup, mereka berusaha memahami alam sekitar dan melakukan mengikut kemampuan bagi menjamin keselamatan.
Dalam kehidupan penduduk peringkat awal itu mereka saling bekerjasama dan memerlukan satu sama lain bagi menjaga kepentingan dan keselamatan bersama. Dalam pembinaan hubungan kekeluargaan besar, mereka mempunyai pemimpin yang dapat memberikan perlindungan kepada anggota-anggota kelompok. Proses evolusi itu juga telah membina hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial yang dapat memberikan mereka keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian hidup sebagai anggota-anggota kelompok.
Proses evolusi budaya itu juga berlaku dalam peningkatan penggunaan teknologi. Walaupun paras penggunaan teknologi itu di peringkat sederhana, tetapi peranan bijak pandai tempatan menyesuaikan dengan pengalaman, dapat mereka perbaiki dari satu tahap kepada satu tahap yang lain. Dalam penguasaan teknologi itu, mereka bukan sahaja berusaha menggunakan kemudahan yang didapati dalam persekitaran hidup mereka, malahan mereka juga berusaha mengawalnya dengan penggunaan teknologi yang tidak rasional apabila mereka tidak dapat menerangkan tentang sebab dan musababnya dengan jelas. Mereka menyatakan secara rasional dalam konteks pemikiran mereka pada waktu itu. Walau bagaimanapun proses penyesuaian dan perubahan itu berlaku, terutamanya berasaskan kepada pengalaman mereka apabila berhadapan dengan krisis alam sekitar.
Alam Melayu dari segi geografinya terdiri daripada banyak pulau, telah memberikan banyak pengalaman penduduknya dalam ilmu pelayaran. Orang Melayu sangat berpengalaman dalam pembinaan perahu dan pertukangan yang lain. Mereka berkemampuan dalam meningkatkan alam bina dalam berbagai lapangan. Bahan-bahan yang terdapat dalam alam sekitar memberikan mereka peluang untuk mempergunakannya.
Berasaskan kesan-kesan yang ditinggalkan penduduk rantau ini sebelum bertembung dengan peradaban asing, telah membuktikan bahawa mereka telah membina asas peradaban yang kukuh. Proses evolusi yang dilalui orang Melayu itu dalam jangka masa yang lama, telah dapat memperkukuhkan kedudukan budaya, dalam berbagai aspek kehidupan, meliputi kegiatan cari makan, kegiatan dan hubungan sosial, kepimpinan, teknologi, alam bina, hubungan kekeluargaan dan kesenian serta unsur-unsur mainan.
Kekuatan asas peradaban Melayu didapati jelas, apabila berlaku pertembungan dengan peradaban asing, budaya Melayu itu tetap dipertahankan. Mereka menerima unsur-unsur budaya asing itu hanya sebagai mengisi keperluan dan seterusnya meningkatkan peradaban Melayu itu. Peradaban Melayu itu mempunyai jati dirinya tersendiri yang berbeza daripada peradaban asing yang datang itu. Walaupun gelombang-gelombang pengaruh budaya asing itu sangat kuat, tetapi orang Melayu mampu mempertahankan jati dirinya. Mereka telah membina asas yang demikian kukuh dalam jangka masa yang lama. Oleh itu, tradisi budaya Melayu dapat terus dipertahankan di samping menerima dan menyesuaikan unsur-unsur budaya asing bagi mengisi kepentingan tempatan. Bijak pandai tempatan memainkan peranan penting dalam menyesuaikan unsur-unsur budaya asing bagi kepentingan tempatan.
Proses Evolusi
Penduduk asal rantau ini dapat dikesan, berasaskan peninggalan artifak sejak zaman pra-sejarah lagi. Kawasan alam Melayu yang alam sekitarnya subur amat bersesuaian dengan penempatan manusia di peringkat awal. Manusia peringkat awal itu telah membina cara hidup mereka tersendiri dalam kelompok-kelompok kecil sejak ribuan tahun yang lalu. Cara hidup yang sederhana itu turut mengalami perubahan dalam proses evolusi budayanya itu. Proses evolusi budaya itu mengambil masa yang lama. Bijak pandai tempatan memainkan peranan penting membawa perubahan dalam proses evolusi itu.
Apabila orang Melayu sudah tinggal menetap, tahu bercucuk tanam dan menternak haiwan, maka peringkat itu menyatakan pencapaian peradaban yang tinggi. Tradisi budaya mereka telah mantap dan kukuh. Anggota-anggota masyarakat mempunyai peluang untuk memperbaiki dan menyesuaikan kehidupan mereka dengan alam keliling. Di samping mereka memperhalusi penyusunan sosial, mereka juga telah dapat meningkatkan pencapaian teknologi.
Masyarakat Melayu telah membina asas yang kukuh dalam tradisi budaya sebelum mereka bertembung dengan peradaban asing. Tradisi budaya mereka telah mantap dan mempunyai kekuatan sendiri apabila mereka berhadapan dengan peradaban asing kemudian. Peringkat awal itu merupakan masyarakat sederhana, tetapi boleh dianggap peradaban Melayu itu telah terbina. Mereka sudah mempunyai sistem sosial dan kepimpinan yang sederhana serta mewarisi teknologi sederhana bagi membolehkan mereka menyesuaikan hidup dengan persekitaran.
Proses Difusi Budaya
Alam Melayu yang mempunyai kedudukan yang strategik dalam hubungan perdagangan antara peradaban India dan China, turut mengalami perubahan yang pesat. Pusat-pusat pelabuhan yang dibina di rantau ini menjadi pusat persinggahan pedagang-pedagang dari timur dan barat.
Perkembangan pengaruh Hindu-Buddha ke alam Melayu dan kemudian munculnya kerajaan Melayu Hindu-Buddha telah berlaku proses difusi budaya. Proses difusi budaya ini mempercepatkan berlaku perubahan dan pembangunan budaya Melayu. Namun kekuatan asas budaya Melayu yang telah terbina sekian lama tidak membawa perubahan kepada struktur tradisi budaya. Perubahan yang berlaku itu merupakan penerimaan dan penyesuaian unsur-unsur budaya yang dibawa dari peradaban asing itu.
Penerimaan pengaruh peradaban asing itu berpusat di istana golongan memerintah. Golongan memerintah menerima perubahan itu bagi menyesuaikan dengan pernyataan peradaban yang lebih tinggi itu selalu dianggap berkedudukan tinggi, dan seterusnya meletakkan golongan memerintah itu mewarisi kedudukan sosial yang tinggi bersesuaian dengan kedudukan mereka. Walau bagaimanapun, proses difusi budaya itu melalui atau mengalami proses pemilihan dan penyesuaian. Hanya unsur-unsur budaya yang dianggap berkedudukan tinggi dan sesuai dapat diterima dengan baik. Di samping itu berlaku proses menyesuaikan dengan kehendak-kehendak tempatan.
Proses difusi budaya itu turut mempengaruhi golongan rakyat jelata, tetapi pengaruh itu tidak berlaku secara meluas. Peranan bijak pandai tempatan sangat penting dalam menentukan proses penyesuaian unsur-unsur budaya yang dibawa dari peradaban asing itu.
Penerimaan agama Hindu-Buddha di kalangan golongan memerintah mempengaruhi pesatnya berlaku proses difusi budaya itu. Tetapi agama itu tidak tersebar secara meluas di kalangan rakyat jelata. Keadaan ini menyebabkan pengaruh Hindu-Buddha itu tidak memainkan peranan penting dalam pembinaan budaya Melayu. Orang Melayu berusaha mempertahankan jati diri, yang menyatakan warisan dan keturunan. Alam sekitar tempatan turut memainkan peranan dalam mempertahankan jati diri Melayu itu. Keadaan dan suasana tempatan itu dapat dianggap memainkan peranan dalam pembinaan sub budaya Melayu, iaitu kepelbagaian tradisi budaya yang menyatakan ciri-ciri kedaerahan. Nilai-nilai kedaerahan itu turut dipertahankan sebagai usaha penyatuan tradisi budaya itu.
Pengaruh dan Penyebaran Islam
Kekuatan Islam itu sendiri dengan mudah dapat menarik perhatian dan minat orang ramai. Islam tersebar dengan pesat di alam Melayu dan ini membuktikan pengaruh agama Hindu-Buddha yang telah sekian lama muncul di alam Melayu tidak begitu kuat. Di samping itu kerajaan-kerajaan Hindu Buddha di alam Melayu semakin lemah dan merosak.
Peranan golongan memerintah dalam menyebarkan Islam itu tidak dapat dinafikan. Tetapi Islam itu sebagai agama universal dapat difahami dengan baik dan itulah juga mendorongkan pesatnya penyebarannya di alam Melayu. Apabila orang Melayu menerima Islam, maka mereka berusaha menyesuaikan kehidupan mereka dengan kehendak-kehendak Islam. Islam juga memberikan kekuatan kepada diri umatnya, iaitu kedudukan manusia itu di sisi Allah adalah sama, tetapi yang membezakan kedudukan itu ialah dari segi amal ibadat kepada Allah.
Kerajaan-kerajaan Melayu Islam, seperti Pasai, Melaka, Acheh, Patani dan lain-lain turut memainkan peranan penting dalam pembinaan kekuatan Islam itu. Dengan itu juga dapat meningkatkan peradaban Melayu. Kerajaan Melayu yang berpusat di istana, menggalakkan perkembangan Islam dalam usaha meneguhkan kedudukan kerajaan. Istana merupakan pusat yang mendorongkan perkembangan ilmu, dan dengan itu juga menggalakkan lahirnya tokoh-tokoh yang terkenal dalam bidang ilmu keagamaan. Perkembangan dakwah islamiah itu dapat ditingkatkan dengan dorongan dan sumbangan yang diberikan oleh golongan memerintah.
Apabila tulisan jawi diperkenalkan dan digunakan dalam usaha melakukan catatan mengenai berbagai perkara, maka dengan itu mempertingkatkan lagi peradaban Melayu. Ilmu keagamaan itu dapat berkembang dengan pesatnya. Berikutan dengan itu, Islam telah membawa perubahan besar kepada nilai-nilai sosial dan pemikiran orang Melayu. Amalan yang bercanggah dengan Islam, yang dapat dianggap tidak rasional telah ditinggalkan atau disesuaikan dengan nilai-nilai Islam.
Islam telah membawa perubahan penting, terutama dari segi jiwa dan pemikiran orang Melayu. Segala perlakuan hidup disesuaikan dan dirujuk kepada nilai-nilai Islam, iaitu mengenepikan dan menyesuaikan segala yang tidak bersesuaian dengan kehendak-kehendak Islam. Islam telah memberikan kekuatan sebagai asas dalam segala tindakan anggota-anggota masyarakat. Dengan itu mereka mempunyai matlamat dan kepentingan hidup yang jelas. Nilai-nilai sosial dan world-view orang Melayu berteraskan kepada Islam. Dengan itu juga boleh dikatakan budaya Melayu atau peradaban Melayu itu adalah berteraskan Islam.
Majoriti orang Melayu di alam Melayu ini beragama Islam. Kehidupan mereka adalah berteraskan kepada Islam. Oleh itu kekuatan peradaban Melayu itu tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Islam yang memberikan kekuatan kepada masyarakat dan budaya Melayu.
Politik dan Budaya Kolonial
Kedatangan dan campur tangan kolonial dalam urusan politik kerajaan Melayu mempunyai kepentingan utamanya untuk mencari kekayaan di negara ini. Kekuasaan politik di negeri-negeri Melayu memberikan kemudahan mereka merancang pembangunan yang bersesuaian dengan kepentingan ekonomi itu. Usaha kolonial mempengaruhi raja-raja dan bangsawan Melayu memberikan mereka kuasa dalam menentukan kaedah atau cara terbaik untuk mengeksploit kekayaan negara. Raja-raja Melayu mempunyai kuasa yang terbatas, iaitu tentang agama dan adat istiadat Melayu sahaja. Mereka berpuas hati dengan elaun yang diberikan oleh pemerintah kolonial.
Pemerintah kolonial melaksanakan pembangunan bersesuaian dengan kepentingan ekonomi mereka. Pelabur-pelabur barat yang datang ke negara ini diberikan segala kemudahan. Di samping itu kolonial juga membangunkan bandar-bandar moden yang merupakan pusat perkembangan ekonomi moden.
Bagi kemudahan pengurusan pentadbiran, dan keselamatan politik bagi menjamin kelancaran kegiatan ekonomi, pemerintah kolonial berusaha mengekalkan kumpulan-kumpulan ethnik di negara ini dalam bidang/ kedudukan masing-masing. Orang Melayu yang majoritinya tinggal di kampung-kampung tinggal terbiar dan tidak terlibat dalam perancangan pembangunan pemerintah kolonial. Orang Melayu dalam sektor tani itu tidak banyak mengalami perubahan. Pemerintah kolonial mahukan kaum tani itu kekal dalam sektor itu dan menawarkan bahan-bahan makanan kepada penduduk bandar.
Orang Melayu juga tidak banyak terlibat dengan pembangunan bandar-bandar moden. Orang bukan Melayu mempunyai peluang yang lebih baik dalam rancangan pembangunan kerajaan kolonial itu. Mereka sejak awal lagi mengambil bahagian dalam rancangan pembangunan kolonial, iaitu dalam pembangunan bandar-bandar moden.
Pembangunan bandar-bandar moden itu turut melibatkan pembangunan budaya kolonial. Barat yang dipandang tinggi dan dihormati kerana kemajuan teknologi dan pendidikan, turut mempengaruhi budayanya. Penduduk tempatan memandang tinggi budaya barat atau budaya kolonial itu. Golongan elit tempatan merupakan golongan yang mudah terpengaruh dengan budaya barat itu. Keadaan ini berkaitan dengan nilai-nilai sosial yang dipupuk oleh kerajaan kolonial. Dengan itu mempengaruhi pemikiran golongan elit itu.
Gaya hidup golongan elit atau golongan atas tempatan yang mudah dipengaruhi budaya barat adalah menjadi impian di kalangan orang ramai. Barat telah berjaya membawa perubahan kepada pemikiran dan world-view yang meletakkan barat itu maju dan moden.
Pemerintah kolonial berjaya memperkukuhkan kedudukannya di negara ini dengan berbagai cara. Selain berjaya mendapatkan kuasa politik daripada raja-raja Melayu, pemerintah kolonial juga telah berjaya membawa perubahan nilai dan sikap penduduk tempatan tentang konsep moden dan maju itu berasaskan barat.
Pendidikan dan Teknologi
Pemerintah kolonial menggalakkan pegawai-pegawai British untuk melakukan penyelidikan dan penulisan tentang orang Melayu. Ini bertujuan untuk mereka lebih memahami tentang orang Melayu, baik gaya hidup mereka mahupun tentang nilai-nilai sosial dan pemikiran. Dengan itu memberikan kemampuan untuk membolehkan mereka menguasai dan mengawal orang Melayu.
Kebanyakan tulisan orang-orang barat tentang orang Melayu selalunya meletakkan orang Melayu dalam segala kelemahan dan kekurangan. Orang Melayu dianggap tidak mempunyai sejarah peradabannya sendiri, melainkan bergantung kepada peradaban asing, iaitu dari India dan China. Begitu juga tentang kerajaan Melayu, yang dianggap zalim, tidak mempunyai kekuatan dalam sistem pemerintahannya. Negara ini menjadi maju dan moden hanya apabila kedatangan barat. Orang Melayu itu selalu dianggap malas, lemah dan kurang kecerdasannya yang menyebabkan mereka lemah dan ketinggalan berbanding dengan kumpulan-kumpulan ethnik lain. Nilai dan sikap orang Melayu itu mempengaruhi kegiatan ekonomi mereka. Tulisan dan pandangan orang-orang barat itu dapat diterima dengan baik oleh golongan elit Melayu.
Dalam perkembangan pendidikan pula, kolonial menjadikan sekolah Inggeris sebagai pendidikan utama yang mempunyai kedudukan sosio-ekonomi yang tinggi. Sekolah Melayu dan sekolah-sekolah venekular yang lain hanya bertujuan untuk memberikan pendidikan asas, bagi membolehkan mereka menulis, membaca dan mengira. Orang Melayu tidak mempunyai peluang untuk mengikuti sekolah-sekolah Inggeris, memandangkan sekolah-sekolah itu hanya tertumpu di bandar-bandar. Ini memberikan peluang yang lebih baik kepada orang bukan Melayu. Walau bagaimanapun orang Melayu mempertahankan tentang pentingnya pendidikan asas agama dan membaca al-Quran.
Melalui sekolah Inggeris juga, pemerintah kolonial dapat melahirkan golongan elit Melayu, yang dipupuk dengan nilai-nilai dan world-view serta pemikiran kolonial. Misalnya Sekolah MCKK memainkan peranan penting dalam melahirkan golongan elit Melayu yang berusaha mempertahankan kedudukan pemerintah kolonial. Golongan elit itu bukan sahaja pemikiran mereka dipupuk oleh pemerintah kolonial, malahan gaya hidup mereka juga dipengaruhi budaya kolonial. Mereka itu pula dipandang tinggi dan dihormati rakyat jelata.
Pemerintah kolonial juga membawa teknologi moden ke negara ini. Kemajuan teknologi barat itu dengan mudah dapat mempengaruhi pemikiran orang Melayu, iaitu teknologi itu dianggap moden dan maju. Dengan itu juga memperkukuhkan pandangan bahawa barat itu moden dan maju.
Pembangunan Kolonial dan Kesannya Kepada Orang Melayu
Perancangan pembangunan pemerintahan kolonial British yang tidak mengambil kira kedudukan orang Melayu telah membawa kesan-kesan ekonomi, sosial dan budaya.
Majoriti orang Melayu menumpukan kepada kegiatan ekonomi tani secara kecil-kecilan. Perlibtan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi maritim sebagaimana kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu dahulu boleh dikatakan lenyap. Pemerintah kolonial tidak menggalakkan perlibatan orang Melayu dalam kegiatan itu lagi. Pemerintah kolonial tidak mempunyai perancangan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi Melayu. Malahan mereka mahu kekalkan orang Melayu dalam kedudukan mereka itu agar dapat menjamin kesetabilan politik kolonial. Walaupun orang Melayu turut mengalami perubahan berikutan dengan pembangunan dan perubahan yang dibawa oleh pemerintah kolonial itu, tetapi orang Melayu masih kuat terikat kepada amalan tradisi. Perubahan yang dilalui itu sangat perlahan.
Orang bukan Melayu yang terlibat dalam pembangunan ekonomi kolonial, terutama ekonomi komersial didapati jauh lebih berjaya berbanding dengan orang Melayu. Berikutan dengan ini maka jurang kedudukan ekonomi bandar dan ekonomi tani semakin melebar. Dan ini bermakna orang Melayu semakin jauh ketinggalan ekonomi mereka berbanding dengan orang bukan Melayu.
Pemerintah kolonial memperolehi kuasa politik daripada raja-raja Melayu membolehkannya menguasai segala urusan pentadbiran. Raja-raja Melayu hanya mempunyai kuasa dalam bidang agama Islam dan adat istiadat Melayu. Namun bidang kuasa itu pula terbatas.
Pembangunan bandar-bandar moden yang dilakukan oleh pemerintah kolonial menggalakkan perkembangan budaya kolonial. Majoriti penduduk bandar yang terdiri daripada orang bukan Melayu dengan mudah dapat menerima perkembangan budaya kolonial itu. Budaya kolonial itu mempunyai kedudukan sosial dan ekonomi yang tinggi. Majoriti orang Melayu yang tinggal di kampung masih kuat mempertahankan tradisi, sedangkan di bandar-bandar moden itu merupakan pusat penyebaran budaya kolonial yang dikatakan moden dan maju itu.
Perkembangan budaya kolonial itu juga membawa kesan kepada kedudukan Islam dan bahasa Melayu. Bandar tidak lagi menjadi pusat perkembangan Islam. Malahan di bandar itu pula pesat berkembang kegiatan-kegiatan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Pemerintah kolonial tidak memberikan perhatian kepada kepentingan Islam. Atas kepentingan ekonomi, pembangunan bandar mengutamakan kepentingan yang berkaitan dengan ekonomi.
Kedudukan bahasa Melayu juga semakin dipinggirkan. Bahasa Melayu yang pernah menjadi linguafranca di alam Melayu tidak lagi mendapat tempat sewajarnya. Bahasa Inggeris diberikan nilai-nilai sosial dan ekonomi yang tinggi. Tetapi pendidikan Inggeris itu tertumpu di bandar-bandar sahaja. Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa pasar dan berkedudukan rendah.
Pembangunan yang dilakukan oleh pemerintah kolonial mengutamakan kepentingan ekonominya. Bagi menjamin kelancaran kegiatan ekonomi kolonial itu, pegawai-pegawai Inggeris berusaha memperkukuhkan kedudukan ideologi politiknya. Mereka telah berjaya membina ideologi konsep kemodenan dan kemajuan itu berasaskan kepad barat – dalam bidang budaya dan bahasa. Segala yang dibawa dari barat itu dianggap moden dan maju, dan ideologi ini sangat berkesan dalam mempengaruhi pemikiran golongan elit tempatan, yang seterusnya dapat mempengaruhi orang ramai. Pemerintah kolonial tidak mempunyai rancangan pembangunan terhadap orang Melayu. Malahan kedudukan orang Melayu itu dianggap seperti juga kumpulan-kumpulan ethnik lain yang berusaha mempertahankan kedudukan sendiri berasaskan tradisi.
Kesedaran Kebangsaan
Konsep kebangsaan yang dimaksudkan di sini agak longgar, iaitu merujuk perasaan jati diri kepada kelompok kumpulan ethnik yang berteraskan kepada negara. Kesedaran jati diri Melayu itu sebelum pemerintahan kolonial tidak begitu ketara kerana tidak ada cabaran/halangan daripada kumpulan lain. Orang Melayu dapat mempertahankan jati diri apabila mereka bertembung dengan peradaban asing. Unsur-unsur peradaban asing yang dianggap sesuai dengan keperluan tempatan diterima dan diubahsuai dalam memperlihatkan jati diri tempatan. Peranan bijak pandai tempatan sangat penting dalam mengekalkan jati diri – asas budaya yang telah kukuh dibina itu merupakan kekuatan yang mempertahankannya.
Kesan daripada pemerintahan kolonial telah menimbulkan kegelisahan dan kesedaran kebangsaan di kalangan orang Melayu. Pemerintah kolonial menguasai politik negeri-negeri Melayu dan seterusnya mengeksploit kekayaan negara ini telah mendapat perhatian bijak pandai tempatan yang seterusnya menimbulkan kesedaran untuk mengembalikan politik negeri-negeri Melayu kepada orang Melayu. Selain itu, pemerintah kolonial telah membawa masuk orang-orang bukan Melayu dan mereka itu kemudian terlibat dengan pembangunan ekonomi kolonial. Mereka itu didapati lebih berjaya daripada orang-orang Melayu.
Pemerintah kolonial bukan sahaja menguasai politik negara ini, malahan rancangan pembangunan dan kemodenan mereka itu tidak melibatkan orang Melayu. Tumpuan utama pemerintahan kolonial ialah untuk kepentingan ekonominya dan pembangunan bandar-bandar moden. Berikutan dengan pemerintah kolonial juga meletakkan bahasa Inggeris dan budaya kolonial di tempat yang tinggi, orang Melayu menyedari bahawa mereka tidak diberikan perhatian oleh pemerintah kolonial. Pemerintah kolonial mengenepikan bahasa dan budaya Melayu dan Islam.
Berbagai perkara yang menyentuh kehidupan orang Melayu telah menimbulkan kesedaran semangat kebangsaan. Orang Melayu mahu hak dan kepentingan mereka itu dipertahankan. Walaupun perjuangan orang Melayu tidak dapat dinyatakan secara terangan, tetapi semangat itu kian semarak, terutama apabila perjuangan menuntut kemerdekaan daripada kolonial di tempat-tempat lain semakin meningkat.
Semangat kebangsaan Melayu itu berlangsung secara berterusan setelah negara mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan itu merupakan kejayaan politik dan pemerintahan negara, tetapi orang Melayu berusaha memperjuangkan kepentingan jati dirinya, iaitu bahasa dan budaya Melayu, dan Islam.
Apabila negara mencapai kemerdekaan, kerajaan merancang pembangunan yang dapat membawa keseimbangan berbagai kaum di negara ini. Menyedari bahawa orang Melayu di kampung-kampung jauh ketinggalan berbanding dengan bandar, maka rancangan pembangunan tani atau luar bandar dilaksanakan secara besar-besaran. Berbagai kemudahan asas disediakan di kampung-kampung, di samping kerajaan berusaha membantu meningkatkan kedudukan ekonomi kaum tani. Usaha yang dilakukan itu sangat penting bagi menimbulkan kesejahteraan dan keharmonian sosial.
Orang Melayu terus memperjuangkan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan budaya Melayu sebagai lambang atau simbol jati diri negara. Untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini tidak mudah untuk dilaksanakan. Tentangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja datang dari orang bukan Melayu. Malahan golongan elit Melayu juga kurang yakin dengan kemampuan bahasa Melayu. Dengan desakan golongan nasionalis dan perkembangan parti politik Melayu maka bahasa Melayu diterima oleh kerajaan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara bagi menggantikan bahasa Inggeris. Bagi mengisinya, bahasa Melayu digunakan secara rasmi dalam urusan pentadbiran kerajaan. Kemudian bahasa Melayu juga digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan sehingga ke sekolah menengah. Seterusnya, bahasa Melayu sejak tahun 1970 mulai berkembang sebagai bahasa ilmu di institusi-institusi pengajian tinggi. Usaha membina istilah dan menterjemahkan buku ke dalam bahasa Melayu dilakukan dengan gigih. Bahasa Melayu telah membuktikan kemampuan sebagai bahasa rasmi, dan bahasa ilmu.
Walaupun bahasa Melayu telah berkembang pesat dan mampu mencapai kedudukan sosio-ekonomi yang baik, tetapi bahasa Inggeris masih memainkan peranan sebagai bahasa internasional dan seterusnya bahasa global. Orang Melayu kini memasuki era global. Gelombang globalisasi mempengaruhi segala aspek kehidupan orang Melayu. Perkembangan ekonomi negara terpaksa bersaing di peringkat global dan keadaan ini sudah pasti memerlukan penggunaan bahasa Inggeris.
Peluang-peluang pekerjaan yang menggunakan bahasa Melayu semata-mata semakin kecil. Persaingan di peringkat yang lebih luas sentiasa menekankan kepentingan kepada bahasa Inggeris. Sedangkan pelajar-pelajar Melayu didapati semakin lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris. Oleh itu peluang-peluang ekonomi, misalnya untuk memasuki pekerjaan yang lebih mencabar didapati semakin berkurang bagi pelajar-pelajar Melayu. Permasalahan sosio-ekonomi dalam perkembangan proses globalisasi itu membawa permasalahan kepada orang Melayu. Dalam keadaan seperti ini bahasa Melayu berhadapan dengan cabaran baru. Orang Melayu berusaha mempertahankan jati dirinya, tetapi di samping itu mereka juga ingin menghadapi cabaran, iaitu turut mengalami perubahan sebagaimana orang lain juga.
Budaya Kebangsaan dan Permasalahan
Hasrat orang Melayu ingin membina budaya kebangsaan tercapai selepas 13 Mei 1969. Kerajaan menerima cadangan menubuhkan budaya kebangsaan sebagaimana keputusan Kongres Budaya Kebangsaan yang diadakan pada tahun 1970. Kementerian yang berkaitan ditubuhkan yang bertujuan untuk membina budaya kebangsaan. Budaya kebangsaan itu dianggap sangat penting dalam usaha melahirkan perpaduan berbagai kaum di negara ini. Pembinaan budaya kebangsaan ini dapat dianggap sebagai satu lagi kejayaan orang Melayu membina jati diri sebagai lambang kebangsaan. Prinsip penting dalam pembinaan budaya kebangsaan itu kepada orang Melayu ialah budaya kebangsaan adalah berasaskan kepada budaya penduduk asal negara ini dan berteraskan kepada Islam. Prinsip budaya kebangsaan telah banyak menimbulkan kontraversi, terutama di kalangan orang bukan Melayu. Sedangkan terdapat satu lagi prinsip yang membolehkan unsur-unsur budaya lain, yang bukan Melayu diterima apabila orang ramai menerimanya sebagai rasmi dari masa ke masa.
Pembinaan budaya kebangsaan ini adalah lebih rumit berbanding dengan bahasa kebangsaan. Berbagai aspek budaya itu patut diberikan perhatian, misalnya aspek budaya material dan bukan material. Ruang untuk mencakupi sangat luas. Tetapi terpulang kepada penerimaan anggota-anggota masyarakat. Namun aspek seperti nilai dan world-view, dan kesenian amat perlu diberikan perhatian. Pembinaan budaya kebangsaan mengambil kira kepentingan perpaduan/integrasi antara kaum.
Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan telah berusaha untuk menggalakkan perkembangan budaya kebangsaan, terutama dalam bidang kesenian, baik dalam seni persembahan mahupun seni tampak. Tetapi setelah sekian lama diusahakan, kesannya didapati perkembangan seni Melayu tidak menggalakkan. Berbagai masalah dihadapi, tetapi perkara pokoknya minat yang diberikan oleh orang ramai sangat lemah. Golongan muda yang tidak banyak didedahkan kepada berbagai hasil seni Melayu tradisional bukan sahaja mereka tidak berminat, malahan mereka tidak banyak mengenali hasil-hasil seni Melayu tradisional. Mereka didedahkan dengan perkembangan budaya popular dan ini mempengaruhi pemikiran mereka. Seni Melayu tradisional itu selalu dianggap kurang mutu dan ketinggalan zaman. Budaya popular berkembang luas sehingga ke kawasan kampung-kampung di pendalaman. Berbagai kegiatan seni tradisi yang dahulunya berpusat di kampung-kampung kini tidak lagi mampu untuk bersaing dengan perkembangan budaya popular. Mereka yang pernah terlibat dalam kegiatan seni dahulu kini telah meningkat tua dan sebahagian daripada mereka telah meninggal dunia. Orang-orang muda tidak ramai yang berminat untuk meneruskan kegiatan itu. Keadaan itu dapat dikaitkan dengan masalah tidak didapati dorongan yang boleh menggalakkan perkembangan. Misalnya, kegiatan seni tradisional itu didapati tidak memberikan pulangan ekonomi yang memuaskan.
Dalam bidang seni persembahan didapati banyak hasilan seni tradisi itu semakin dipinggirkan atau tidak mendapat perhatian. Hasil seni persembahan tradisi di kawasan-kawasan pendalaman kini didapati kian pupus. Generasi muda yang berminat untuk menyambungkan tradisi itu didapati amat berkurang. Malahan nilai-nilai sosial terhadap seni persembahan tradisi itu didapati semakin kurang diberikan perhatian. Selain itu, dengan pesatnya proses islamisasi, orang melihat seni persembahan tradisi yang berkaitan dengan ritual adalah tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam. Namun, kebanyakan seni persembahan tradisi yang merupakan ritual, seperti main puteri dan main dewa tidak lagi didapati hari ini. Sebahagian daripada seni persembahan tradisional itu merupakan ritual yang mempunyai tujuan atau kepentingan tertentu bagi menjaga keselamatan. Kini dengan pesatnya perkembangan teknologi dan ilmu pengetahuan moden menyebabkan kegiatan atau amalan tradisi itu tidak lagi diteruskan. Dengan itu unsur-unsur seperti itu tidak dapat berfungsi sebagaimana dahulu lagi.
Dalam bidang seni tampak tradisional, seperti anyaman, tekstil, pertukangan dan sebagainya masih mempunyai tempat dalam kehidupan moden kini. Kegiatan itu masih diteruskan dan permintaan ramai masih dapat dipertahankan. Malahan dengan menyedari perlunya mengenali lambang-lambang kebangsaan, orang ramai masih memberikan nilai tinggi terhadap hasilan seni tampak itu. Kerajaan melalui badan-badan tertentu, seperti Perbadanan Kraftangan Malaysia memainkan peranan dalam mendorongkan perkembangan kegiatan seni tampak tradisi itu. Penghasilan seni itu cuba dipertahankan keasliannya bagi melambangkan jatidiri Melayu. Walaupun didapati sebahagian daripada hasil seni tampak tradisi itu telah hilang fungsi kini, tetapi fungsi baru misalnya alat perhiasan tetap dipertahankan. Dengan cara itu keaslian seni tampak tradisi itu dapat dihayati bersama oleh generasi akan datang.
Orang Melayu yang juga kaya dengan berbagai jenis mainan tradisi, kini dengan pendedahan kepada berbagai jenis mainan moden maka mainan tradisi itu semakin diketepikan. Orang muda tidak berminat untuk terlibat dengan mainan tradisi. Segala jenis mainan tradisi akan tinggal kenangan yang tidak dapat berfungsi dalam perkembangan budaya moden kini. Malahan, berbagai jenis mainan moden itu dianggap bertaraf dunia, dan orang Melayu juga patut mengambil bahagian, terutama untuk turut bersaing dalam pertandingan yang diadakan di peringkat dunia.
Masyarakat Melayu turut mengambil bahagian dalam pembangunan dan kemodenan, tetapi mereka juga menyedari tentang pentingnya dalam mempertahan warisan tradisi dalam usaha mengekalkan jatidiri Melayu itu. Dan orang Melayu mahukan jati diri Melayu diterima sebagai jatidiri kebangsaan. Tradisi budaya Melayu merupakan asas atau teras kepada budaya kebangsaan. Walau bagaimanapun orang Melayu juga menyedari untuk mempertahankan tradisi itu bukanlah perkara yang mudah, memandangkan negara amat pesat membangun dan melalui perubahan.
Islam dalam Pembinaan Budaya Kebangsaan Islam yang telah bertapak di alam Melayu sejak abad ke 13 telah berkembang pesat dan menjadi teras kepada budaya Melayu. Apabila masyarakat Melayu berhadapan dengan pesatnya pengaruh budaya barat, maka orang Melayu juga sangat terpengaruh dengan gelombang kemodenan dan kemajuan barat itu. Segala yang datang dari barat dianggap maju dan moden sehingga perlakuan yang bercanggah dengan kehendak-kehendak Islam dapat diterima oleh sesetengah orang Melayu yang amat peka kepada kemajuan barat itu. Semasa gelombang kemodenan dan kemajuan barat itu kuat bertapak di bandar-bandar di negara ini kedudukan Islam di bandar-bandar itu juga turut tergugat. Walau bagaimanapun apabila Islam didapati semakin kukuh di bandar-bandar, maka peranan Islam sebagai teras kepada budaya Melayu terus memainkan peranan penting. Orang Melayu merujuk kepada Islam apabila mereka mempertahankan kekuatan jati dirinya itu.
Kekuatan Islam di bandar-bandar besar di negara ini semakin ketara apabila didapati semakin ramai orang Melayu berpindah ke bandar-bandar , khususnya bermula pada tahun-tahun 70an apabila DEB dilaksanakan. Sebelum itu pusat kekuatan Islam ialah di luar bandar. Apabila orang Melayu dari kampung semakin ramai berpindah ke bandar, maka mereka itu membawa bersama Islam dan terus memperkukuhkan di bandar. Bandar kini memainkan peranan penting sebagai pusat kemajuan dan pembangunan Islam. Tradisi itu telah dibina sejak kerajaan-kerajaan Melayu Islam dahulu lagi. Tetapi apabila kerajaan kolonial membangunkan bandar-bandar moden, maka itu tidak banyak melibatkan orang Melayu, dan itulah sebab Islam berpusat di kawasan luar bandar.
Kemodenan dan kemajuan yang dibina oleh pemerintahan kolonial berasaskan ideologi kemodenan dan kemajuan barat sebagaimana yang telah dipupuk selama ini berlangsung secara berterusan. Dalam konteks yang sama, kini konsep globalisasi digunakan bagi menerangkan pesatnya penyebaran segala jenis barangan dan maklumat secara global. Sedangkan dalam konsep yang sama peranan barat berterusan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi global. Malaysia juga tidak ketinggalan mengalami suasana dan keadaan yang sama. Pendedahan orang Melayu kepada perkembangan budaya global atau barat itu semakin meluas. Dengan pembangunan teknologi moden kini, orang Melayu terpaksa mengalami proses globalisasi itu dengan cara-caranya tersendiri. Dalam keadaan ini tekanan dari budaya masyarakat maju, khususnya barat terus mempengaruhi pemikiran dan world-view orang Melayu. Perkembangan seperti ini terdapat kesan yang mendalam dan meluas kepada kedudukan budaya Melayu. Nilai-nilai yang disalurkan melalui media massa global misalnya, didapati tidak lagi selaras dengan nilai-nilai Melayu tradisi. Sedangkan orang muda mudah dipengaruhi nilai-nilai moden itu.
Kerajaan sentiasa mengambil berat dalam mengawal dan memantau perkembangan dan penawaran bahan-bahan budaya kepada ramai. Ini bertujuan untuk menjaga kepentingan orang ramai, terutama tentang moral atau akhlak, agar tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan budaya tempatan, selain kepentingan politik dan kesetabilan sosial. Tetapi kini dengan kemudahan teknologi moden penyebaran bahan-bahan budaya yang dibawa dari barat tidak dapat dikawal seperti dahulu lagi. Perkembagan ini boleh membawa kesan-kesan kurang baik, terutama dalam usaha memupuk nilai-nilai sosial yang bersesuaian dengan budaya Melayu dan nilai-nilai Islam. Pengawalan bahan-bahan budaya itu tidak dapat dilakukan dengan berkesan lagi. Perubahan yang berlaku itu perlu disesuaikan dengan kepentingan dan keperluan tempatan. Oleh itu proses sosial yang membina dan memperkukuhkan jiwa Melayu itu perlu dilakukan dengan lebih berkesan. Dengan kekuatan ketahanan diri orang Melayu dapat menghadapi cabaran proses globalisasi itu. Kita tidak lagi mudah untuk mengelakkan diri daripada berhadapan dengan realiti globalisasi itu.
Kepesatan proses globalisasi itu sepintas lalu boleh membawa kesan buruk kepada budaya Melayu. Dijangkakan orang Melayu akan mudah terpengaruh dengan kemajuan dan kemodenan yang dibawa dari barat. Mereka mungkin akan kurang terikat kepada budaya tradisi, tetapi mengenepikan segala warisan.Tetapi jika diteliti kembali proses globalisasi itu seperti juga dengan gelombang pengaruh budaya kolonial dahulu. Apabila pengaruh asing itu didapati ketara dan boleh menggugat kedudukan jatidiri, maka itu akan menimbulkan kesedaran untuk memperkukuhkan kedudukan budaya sendiri yang merupakan simbol jati diri. Orang Melayu akan kembali kepada teras budayanya, iaitu Islam, dan inilah yang dapat mempertahankan budaya Melayu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...