Below is an interesting article by S. M Zakir which i'd like to share with all of you out there. Happy reading!!
ARKIB : 10/10/2010
Sindrom pasca peradaban
Manusia dalan kategori ini menurut Bennabi, tidak lagi tahu untuk mencapai tujuan hidup mereka dengan tidak tahu titik mereka bermula dan tidak tahu titik mereka harus berakhir. Mereka menjadi 'titik yang tergantung' dalam perkembangan sejarah dan peradaban. Malek Bennabi memberikan alegori manusia mediocre ini ibarat 'penggembala tanpa ternakan dan petani tanpa tanah serta bajak'. Manusia mediocre ini adalah manusia yang tercampak keluar daripada dimensi aktif peradaban atau disebut Bennabi sebagai al rajul al kharij min al hadara.Malik Bennabi menyatakan masyarakat pasca peradaban yang terperangkap oleh sindrom pertengahan ini seperti air yang keluar dari tangki atau kolah yang tidak berguna lagi setelah membasuh kotoran. Ia tidak boleh masuk kembali ke dalam tangki, sepertimana manusia yang telah tercampak keluar tadi (al rajul al kharij min al hadara) tidak boleh lagi masuk ke dalam peradaban lantaran telah lumpuh pemikiran mereka. Maka mereka hanya mampu menjadi pengekor kepada sejarah dan bukan pencetus kepada sejarah.
Sebenarnya Malik Bennabi merujuk keadaan ini kepada masyarakat Islam yang runtuh dan lemah setelah jatuhnya umat Islam ke bawah penjajahan Barat. Beliau mengkaji sejarah kejatuhan umat Islam dan melihat titik kejatuhan itu bermula apabila umat Islam yang hidup dalam kegemilangan perlahan-lahan mula lumpuh pemikiran dan kerohanian mereka oleh kerana terperangkap dalam sindrom pertengahan itu. Seterusnya mewujudkan umat Islam sebagai masyarakat mediocre, yakni hilang daya intelektual, moral, jatidiri yang menjadi penyangga tamadun Islam.
Banyak sebab yang mengakibatkan merebaknya sindrom pertengahan ini. Bahkan ia muncul dalam konteks dan milieu masing-masing. Sindrom pertengahan yang merebak di Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu juga mempunyai sebab dan akibat daripada konteks ekonomi, politik dan sosial yang berlangsung dari dekad ke dekad.
Namun sindrom pertengahan yang merebak dalam dunia sastera yang akhirnya melahirkan sastera mediocre adalah akibat daripada kegagalan ahli-ahli sastera mengembangkan sastera serius yang mengangkat pemikiran-pemikiran baru. Sepertimana yang disebut tentang kompromi terhadap citarasa pembaca, sifat populis, dan sentimen nostalgik telah menjadikan sastera Melayu semakin kecil dan lembik. Keberanian memberontak, melanggar konvensi dan meneroka pemikiran baru yang kompleks sering berbentur dengan elemen-elemen yang membentuk jiwa mediocre tadi.
Ketaksuban
Ia akhirnya mendorong ke arah penulisan sastera ringan, popular ataupun sastera yang terperangkap dalam ketaksuban diri. Adalah keterlaluan untuk merendahkan penulisan sastera ringan dan popular atau nostalgik dan sebagainya itu. Namun membiarkan sastera Melayu reput dalam rumah kayu yang usang adalah suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku.
Dalam mencari titik kekuatan sastera melalui pelbagai strategi termasuk berkompromi dalam bentuk-bentuk ringan dan popular, ahli-ahli sastera tidak seharusnya mengecilkan ruang kepada kehadiran sastera serius yang mengangkat pemikiran atau tema yang kompleks. Begitu juga dalam mencari jatidiri sastera melalui kecintaan terhadap alam tradisi tidak seharusnya menjadikan nostalgia dari era lepas sebagai titik kepada penilaian mutu sastera.
Ini adalah kerana sikap yang berlebih-lebihan terhadap dua perkara ini hanya akan melahirkan sastera mediocre yang tidak memberikan ruang kepada perkembangan pemikiran serta bentuk yang baru dan kompleks dalam dunia sastera. Pemikiran yang kompleks sepertimana kata Malik Bennabi adalah permulaan kepada metodologi dan pemikiran saintifik yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun. Sebaliknya sindrom pertengahan yang mengalah kepada tuntutan mediocre hanya akan membentuk peradaban kebendaan yang kosong (thingness civilization) atau disebut Malik Bennabi sebagai hadara shayiyya.
Pembangunan prasarana intelektual melalui penulisan sastera yang serius, kompleks dan mengangkat pemikiran masa hadapan perlu menjadi keutamaan ahli-ahli sastera yang bijaksana pada masakini, sekaligus mengurangkan dominasi sastera mediocre yang semakin membarah dalam dunia sastera mutakhir.