Search This Blog

Monday, 19 September 2011

Sensitiviti Agama Jamin Perpaduan Rakyat

Sumber:
2011/09/16 Berita Harian

PERPADUAN adalah faktor paling penting dalam proses pembinaan negara. Dalam kita memperingati 48 tahun pembentukan Malaysia pada 16 September serta Hari Kemerdekaan Ke-54, amat wajar kita memberi tumpuan terhadap pengukuhan perpaduan.

Dalam kita menyambut Hari Malaysia, marilah kita berusaha mengukuhkan lagi hubungan di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia menurut semangat 1 Malaysia.
Secara kebetulan, Hari Malaysia sepatutnya diisytiharkan sebagai Hari Perpaduan dan sepatutnya dikenali sebagai Hari Malaysia Hari Perpaduan bagi mencerminkan aspirasi rakyat untuk mencapai sebuah negara yang bersatu padu.
Tarikh 16 September 1963 ialah hari penggabungan Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan Malaya untuk membentuk Malaysia. Perayaan Hari Malaysia mempertingkatkan kepentingan integrasi wilayah dan etnik serta perpaduan negara.

Sambutan Hari Malaysia sepatutnya menyuntik semangat patriotik bagi memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Perpaduan adalah jalinan ikatan yang perlu wujud dalam jati diri rakyat. Ia adalah asas jalinan perhubungan, keluarga, masyarakat dan sebuah negara.

Sambutan Hari Malaysia seharusnya menjadi pemangkin perpaduan dan menggalakkan masyarakat berbilang kaum bersatu bagi mencorak kejayaan negara.
Sabah dan Sarawak ialah contoh jelas perpaduan antara kaum di mana rakyat dari pelbagai kaum mampu hidup bersama dalam semangat 1Malaysia.

Saya sentiasa percaya menjadi rakyat Malaysia tidak merugikan sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban. Rakyat seharusnya mula menerima antara satu sama lain sebagai tanpa mengira kaum dan agama serta berbangga memperkenalkan diri mereka sebagai bangsa Malaysia.

Walaupun hubungan antara kaum memuaskan secara umumnya, kita tidak seharusnya mengambil mudah hubungan antara kaum dan keharmonian beragama.

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum mesti peka dengan keperluan mewujudkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Mereka haruslah berwaspada mengenai sensitiviti agama dan budaya demi mengekalkan keharmonian antara kaum.

Proses memperkukuhkan perpaduan ialah satu usaha berterusan dan apa dikecapi setakat ini mestilah dikekalkan dan diperkukuhkan.

Perpaduan ialah anugerah tidak ternilai dan simbol kemanusiaan sejagat. Ia adalah asas perhubungan, kekeluargaan, masyarakat dan bangsa. Ia juga adalah ikatan erat dalam jati diri rakyat Malaysia.

Perpaduan seharusnya bermula daripada pemikiran, emosi dan kelakuan seorang individu dan ia akan di terjemahkan melalui layanan dan khidmat diberikannya kepada orang lain.

Kebanyakan orang mengambil mudah soal perpaduan. Ini adalah pembangunan tidak sihat untuk sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia. Usaha berterusan harus digalas oleh seluruh rakyat demi mengekalkan dan memperkukuhkan perpaduan.

Marilah kita seluruh rakyat membina perpaduan nasional. Kita harus bercakap dengan satu suara yang mewakili suara setiap kaum di Malaysia. Kita semua menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara. Marilah kita bersatu memperkenalkan keamanan budaya, harmoni dan perpaduan.

Rukun Negara adalah panduan ke arah pembangunan bangsa dan mestilah dihormati semua. Ia adalah perkongsian visi untuk perpaduan nasional. Prinsipnya mesti sentiasa didokong dan diamalkan sebagai panduan untuk mengekalkan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita kecapi sehingga kini.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...