Search This Blog

Sunday, 8 January 2012

Berbeza?

Assalamualaikum.
Salam sejahtera buat semua. Moga anda sekalian berbahagia di hari yang indah permai ini.

a : Cuaca nampak elok dan cantik hari ini.
b: Ya. Cantik sekali. Lebih elok daripada semalam. 
a: Dah tentu. 

Anda biasa dengar ayat-ayat di atas?

Kebiasaannya ayat-ayat di atas digunakan untuk memulakan perbualan (samada dengan kawan, rakan setugas mahupun orang yang tidak dikenali). Subjek cuaca acapkali digunakan sebagai bahan 'ice breaking'. Pernahkan anda terfikir mengapa cuaca menjadi salah satu subjek yang digemari untuk dijadikan ice breaking? Apa kelebihan cuaca dan apa kesan cuaca kepada manusia?


Masih teringat lagi tiga tahun lepas, saya pernah menulis bahawa sebagai manusia normal seringkali perasaan kita, tindak tanduk ( termasuk emosi, fizikal, intellectual) kita dipengaruhi oleh banyak faktor terutama faktor cuaca. Apabila berbincang tentang cuaca ini memang sangat subjektif dan menarik dan sudah pasti kesan cuaca terhadap seseorang individu itu berbeza-beza. Samada kesan itu positif atau negatif, ia bergantung kepada bagaimana seseorang individu itu menghadapi dan melayari hari-harinya.

Apa yang menarik yang ingin saya kongsikan di sini ialah pengalaman personal saya mengenai perubahan emosi diri dan kaitannya dengan cuaca.

Tidak berapa lama dahulu saya tinggal di negara yang mempunyai empat musim. Cuaca dan masa berubah mengikut musim. Pada waktu musim panas, waktu siang akan lebih panjang dan malam pula adalah lebih pendek. Cuaca dan suhu pula akan sedikit lebih terang dan panas daripada hari-hari yang lain. Pada musim sejuk pula waktu siang menjadi singkat. Malam di rasakan lebih panjang dan waktu juga berubah menjadi lewat satu jam daripada waktu biasa. Aktiviti pula menjadi terbatas akibat perubahan musim ini. Kebanyakan orag pula akan lebih banyak menghabiskan waktu di rumah berbanding di luar rumah. Seiring dengan perubahan ini, emosi dan spiritual kita sebagai penghuni dunia juga turut berubah. Sebagai contoh, pernah satu ketika dahulu saya acapkali menulis bahawa emosi dan kesihatan saya sering terganggu akibat perubahan cuaca ini. Sewaktu musim panas, saya akan lebih bersemangat dan ceria berbanding di musim sejuk. Cuaca yang 'gloomy' juga menyebabkan emosi saya menjadi 'gloomy', sedih, murung dna sebagainya. Seringkali juga keinginan atau 'mood' boleh bertukar dalam sekelip mata. Tambahan pula, pada musim sejuk, tubuh badan menjadi sangat 'fragile' kerana mudah diserang dengan pelbagai penyakit musim sejuk seperti demam, selsema, alergi dan sebagainya. Apa yang ketara ialah perasaan MALAS dan MURUNG. Walaupun, pendiang dinyalakan tetapi saya masih bergelut dengan dua jenis 'penyakit' ini. Dengan pakaian yang berlapis-lapis di tambah pula dengan 'heater' saya masih ingin duduk di dalam zon selesa iaitu membungkus diri di dalam 'duvet' (selimut tebal). Ditambah pula, suasana diluar yang sungguh sejuk dan 'gloomy'. Perasaan cepat marah, murung, letih, bosan, sedih memang sukar dielakkan. Ada sahaja benda yang tidak kena dan ada sahaja benda yang boleh menjadi titik mula pertengkaran. Apa yang dilakukan semuanya jadi tidak menentu. Konsentrasi berubah. Adalah agak sukar untuk menumpukan sepenuh masa kepada sesuatu kerja. Disebabkan cuaca yang sejuk, bilik air menjadi salah satu tempat yang dikunjungi setiap setengah jam. Mungkin bagi sesetengah orang ini cuma alasan remeh tetapi bagi saya pengaruh cuaca amat kuat hingga ia mempengaruhi setiap perbuatan dan emosi saya. Mungkin ada sesiapa yang di luar sana boleh membuktikan pendapat ini melalui kajian.

Walau bagaimanapun, sejak berpindah ke negara yang beriklim Khatulistiwa, saya dapat merasakan banyak perubahan yang ketara. Pertama sekali ialah pergerakan masa. Di negara beriklim Khatulistiwa ini, masa dirasakan sedikit lama, agak panjang tetapi tetap. Secara peribadi, saya dapat merasakan bahawa masa bergerak sedikit lambat berbanding di negara beriklim sejuk. Walau bagaimanapun, di negara ini saya tidak perlu berpuasa selama 19-20 jam semasa di bulan Ramadhan. Waktu tidur menjadi lebih stabil dan tetap. Masa dapat dibahagi dengan baik untuk menyelesaikan aktiviti-aktiviti seharian. Kestabilan masa ini sangat membantu dalam membina dan menstabilkan 'body clock' kerana perubahan pergerakan masa  (daylight saving) tidak diguna pakai di negara ini. Kedua, dengan cuaca yang cerah dan panas, badan akan mula berpeluh dan seseorang itu akan seronok melakukan aktiviti-aktiviti fizikal. Kesannya, hormon endorfin akan dikeluarkan dan menyebabkan seseorang itu lebih ceria, aktif dan yang lebih penting sihat. Aapabila sistem perkumuhan bergerak aktif, kesihatan akan menjadi lebih baik, badan menjadi lebih segar dan apabila kita berpeluh secara automatik kulit juga akan mengeluarkan minyak yang membantu melembab kulit. Oleh yang demikian, masalah kulit kering dan berkedut dapat dikurangkan. Gaya hidup juga menjadi lebih aktif di negara ini. Aktiviti -aktiviti riadah dan sukan seperti berjogging, berenang, bermain bola, berolah raga dan sebagainya menjadi lebih rancak dan seronok. Banyak aktiviti-aktiviti yang terkawal akibat cuaca kini dapat saya nikmati dengan seronok di sini. Ketiga, satu perkara yang sangat penting ialah perubahan emosi yang sangat ketara. Di sini saya menjadi individu, ibu dan pekerja yang lebih stabil secara emosi, ceria dan gembira. Perasaan seperti murung dan sedih dapat dielakkan dan masa yang terluang dapat dipenuhi dengan pelbagai aktiviti riadah dan kekeluargaan dna yang paling penting, di sini saya dikelilingi oleh suami, anak-anak, ibubapa, adik beradik dan sanak saudara. Inilah yang paling bermakna buat diri saya. sesungguhnya segala apa pun kemewahan didunia tidak akan bermakna tanpa keluarga disisi. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama-sama kami. Amin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...