Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2011/04/19
Sistem pendidikan, sikap pelajar tentukan hala tuju bidang terbabit KERAP kali ilmu kesusasteraan dirujuk sebagai bidang yang tiada nilai ekonomi. Tanggapan itu seakan-akan sudah disemai sejak di bangku sekolah lagi. Apatah lagi dengan sistem pendidikan di Malaysia yang berorientasikan peperiksaan, apa juga subjek tanpa nilai ekonomi kerap kali diketepikan.
Justeru, bukan sedikit pelajar yang belajar sastera dengan bersandarkan kepada buku soalan ramalan peperiksaan atau buku sinopsis tanpa peruntukan masa untuk membaca dan mengkaji teks asal, apalagi jika kedudukannya hanya sebagai bahan sampingan dalam Komponan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Bahasa dan Pendidikan Sastera, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr Chew Fong Peng, mengakui kebanyakan pelajar hari ini berasa tertekan bukan saja untuk mempelajari subjek sastera, tetapi semua subjek kerana sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan membunuh minat membaca kelompok terbabit.
“Ini isu besar dan kita tidak boleh meletak kesalahan pada guru dan pentadbir saja. Dalam kajian saya, ada sekolah rendah yang terpilih untuk diperkenalkan subjek sastera, tetapi tidak termasuk dalam subjek peperiksaan hanya untuk penghayatan. Bagaimanapun bila kita pergi ke sekolah berkenaan untuk buat kajian, kita dapati cikgu tak ajar dengan alasan ia tidak masuk periksa,” katanya pada Seminar Sastera Pelbagai Kaum di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), baru-baru ini.
Realiti negara yang mempamerkan subjek sastera tiada nilai ekonomi menyebabkan ramai pelajar tidak mahu mempelajarinya dan keadaan itu merugikan generasi muda Malaysia kerana melalui sastera, pelajar akan lebih mengenal dan memahami budaya masyarakat lain.
“Realiti kita hari ini, kita duduk satu negara, tetapi kita tidak kenal rakan senegara kita. Kita tidak tahu budaya dan adat resam mereka. Hanya melalui karya sastera kita akan faham budaya dan pemikiran bangsa lain, sekali gus memupuk perpaduan.
“Menyemai minat dalam kesusasteraan itu penting, memupuk tabiat membaca juga penting kerana dari situ pelajar akan terdorong untuk membaca teks sastera sepenuhnya, bukan hanya memilih untuk membaca sinopsis teks semata-mata untuk lulus peperiksaan,” tegasnya.
Keadaan yang berlaku sekarang sangat kontras dengan perincian Wawasan 2020 yang dibentangkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggariskan Malaysia tidak wajar menjadi negara yang maju dari segi ekonominya saja, tetapi politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan keseluruhannya.
Pensyarah Fakulti Penulisan ASWARA, Susilawati Kamaruzamman pula melihat sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan bukan saja membunuh minat membaca, tetapi menyebabkan generasi muda gagal mendapat peluang membesar sebagai manusia lebih kritis dalam pemikiran.
“Keindahan dan aspek positif subjek sastera itu tidak dinikmati generasi muda apabila mereka belajar hanya untuk lulus periksa dan guru pun mengajar dengan matlamat serupa. Lalu, pelajar baca sinopsis bukan teks sastera. Sistem pendidikan kita sememangnya berorientasikan peperiksaan. Pelajar tidak boleh disalahkan. Sistem begini mendorong pelajar suka meramal soalan untuk subjek apa pun,” tegasnya.
Susilawati yakin bahawa untuk memahami dan meminati sastera, seseorang itu memerlukan kekuatan jiwa, asas jati diri teguh, selain bangsa yang bermaruah dan bertamadun saja tahu meletakkan sastera mereka pada tahap terbaik dalam apa keadaan sekalipun.
Beliau mengingatkan peserta seminar bahawa pada zaman penjajahan, bangsa asing sebelum menakluk Tanah Melayu mengambil masa untuk mengkaji bahasa, sastera dan budaya penduduk pribumi sebelum memulakan ekspedisi kerana pada teks sasteralah letaknya pemikiran bangsa.
“Di barat, dunia sastera lebih besar dan penjualan novel disokong kuat oleh industri perfileman. Novel Harry Potter karya JK Rowling misalnya, jualan novelnya melonjak apabila difilemkan sehingga membolehkan penulisnya mencapai status jutawan,” ujarnya.
Namun di Malaysia, sastera bukan saja tidak diminati, tetapi turut tidak difahami dan contoh terbaik ketidakfahaman masyarakat apabila sastera yang punya lesen puitika, akhirnya kalah di tangan orang politik apabila ia dipolitikkan secara semberono.
Sebenarnya, kesedaran dan kefahaman orang Malaysia pada sastera bermula sudah lama dan kebenaran ini dapat dilihat apabila penulis Sejarah Melayu, Tun Sri Lanang, menyatakan dengan tegas secara langsung tentang faedah yang akan didapati dengan membaca teks sastera;
“Hamba dengar hikayat ada hikayat Melayu di-bawa oleh orang
Dari Goa; barang kita perbaiki kira-nya dengan isti’adat-nya,
Kemudian daripada kita, dan boleh di-ingatkan-nya oleh
Segala mereka itu, shahadan ada-lah beroleh fae’dah
Ia daripada-nya.”
(Sejarah Melayu, 1948:2)
Bagaimanapun, sekarang ini kefahaman dan kesedaran itu perlahan-lahan seakan-akan layu dan hampir mati. Seperti kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Budaya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ketika merasmikan seminar berkenaan, bahasa yang hilang ekonominya akan perlahan-lahan lenyap dari muka bumi. Bahasa yang lenyap akan melenyapkan juga aspek sastera dan budayanya. Lalu, adakah bangsa penutur bahasa itu akan kekal lagi di situ?
No comments:
Post a Comment