Cuba renung kembali masa zaman kita kanak-kanak dulu dan cuba bertanya kepada diri kita -
Apa buku yang kita baca?
Apa buku yang kita suka?
Jenis buku apa yang selalu kita baca/beli/diberi/dihadiahkan?
Buku tempatan atau luar negara/ terjemahan?
Siapakah watak yang menjadi idola kita?
dan cuba bandingkan dengan
buku apa yang kanak-kanak/remaja baca sekarang ini?
buku apa yang kita belikan/hadiahkan kepada anak-anak, saudara mara dan rakan taulan
kita?
Buku apa yang menjadi kegemaran kanak-kanak/remaja sekarang? genre?
Buku apakah yang menjadi kegeramaran - tempatan atau luar negara/terjemahan?
Watak apakah yang menjadi idola kanak-kanak/remaja zaman ini?
Jawaban kepada persoalan-persoalan di atas akan memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang sastera kanak-kanak dan perbezaan dan evolusi dalam pembacaan. Adakah sastera kanak-kanak Malaysia telah berubah mengikut peredaran masa dan adakah sastera kanak-kanak telah maju berbanding dahulu?
Dari kacamata peribadi, berbanding dengan sastera kanak-kanak di Barat, sastera kanak-kanak Malaysia masih perlu diperkembangkan dan dipelbagaikan untuk tatapan dan bacaan kanak-kanak Malaysia. Ini kerana buku-buku kanak-kanak adalah terhad di pasaran. Variasi juga adalah terhad. Jika di lihat di pasaran, kebanyakan novel remaja yang laris hanyalah bersifat kisah-kisah cinta. Tidak dinafikan kisah cinta memang menarik dan menyentuh hati tetapi masih ada aspek lain yang boleh dijadikan cerita yang indah dan menarik. Mungkin kerana kurangnya penulis-penulis yang kreatif, illustrator yang hebat dan pasaran yang terhad menjadikan sastera kanak-kanak Malaysia kurang maju berbanding dengan negara barat. Ada juga yang beranggapan bahawa sastera kanak-kanak adalah sesuatu yang remeh dan mudah serta tidak perlu diberi perhatian yang sewajarnya seperti bidang-bidang lain yang lebih penting. Sikap inilah yang menjadikan bidang ini semakin terpinggir. Perlu ditekankan bahawa sastera kanak-kanak adalah sangat penting kerana ia merupakan satu titik permulaan dalam membina masyrakat dan bangsa. Apa yang disajikan kepada kanak-kanak kita akan secara tidak langsung mendorong dan membantu membentuk minda, sikap dan perlakuan generasi muda. Seperti jugak filem, watak-watak yang dipaparkan di dalam buku kanak-kanak sudah pasti akan menjadi ikutan dan idola. Kanak-kanak perlu diberikan ruang, pilihan dan variasi dalam pembacaan untuk membolehkan mereka membangunkan minda serta critical thinking.
Fenomena Harry Potter dan kegilaan kanak-kanak terhadap buku ini, sehingga sanggup berhabis ratusan ringgit dan beratur panjang untuk mendapatkan senaskah buku, sudah cukup untuk memberikan gambaran bahawa kanak-kanak Malaysia memerlukan suatu pembacaan yang boleh menarik minat mereka. Fenomena ini boleh dijadikan contoh dan sumber inspirasi untuk penulis-penulis tempatan untuk menulis secara kreatif dalam menarik minat kanak-kanak. Mungkin kita boleh bertanya pada diri sendiri,
mengapa buku ini popular bukan sahaja di negara barat malah seluruh dunia?
mengapa buku ini telah dapat diterjemahkan ke 64 jenis bahasa?
apakah yang membuatkan buku ini begitu popular dan diminati?
apa yang membuatkan buku ini begitu istimewa?
Rowling tidak terkenal sebelum ini tetapi mengapa dengan terhasilnya Harry Potter and the Philosopher's Stone, namanya melonjak naik? Adakah penulis Malaysia mampu mencapai tahap ini? Walau bagaimanapun, tahniah diucapkan kerana terdapat juga usaha dan inisiatif untuk membangunkan sastera kanak-kanak seperti Majlis Buku Kanak-Kanak Malaysia (MBBY), PTS One (yang mengalakkan penerbitan buku kanak-kanak) dan beberapa agensi lain. Tetapi perjalanan ini masih jauh. Kita memerlukan lebih banyak lagi penulis dan penerbit. Kanak-kanak Malaysia memerlukan lebih banyak buku. Citarasa kanak-kanak semakin hari semakin meningkat. Mungkin perlu untuk kita renung sejenak: perlukah dan selesakah kita hanya dengan berada di satu tahap? adakah kita hanya perlu bergantung kepada negara barat untuk mengeluarkan bahan bacaan untuk anak-anak kita? atau adakah kita mampu mengeluarkan bahan bacaan yang lebih baik serta sesuai dengan nilai dan tatacara budaya masyarakat kita? Fikir-fikirkan....
No comments:
Post a Comment