Epik Keris Pekaka dan Nagasari
"Arakian, adapun Buyut dengan rendah diri luhur santun membawa intusi lama bersarang untuk diungkap bicara kepada cicit hamba; kepada Penggawa yang enam itu - beringat. Penggawa yang lima - getar tangannya mencacat rancangan. Penggawa yang empat, ingat fikirnya jauh melangkah cita-cita wangsa. Setelah berabad ceritera rahsia ini duduk menggumpal dalam benak hamba," Buyut berhenti bersuara. Sebelum memandang cicit-cicit dan menyambung, "Cicit, dengar ini baik-baik. Ini Epik Keris Pekaka dan Nagasari."1
Membenamkan lok sembilan melewati sampir, yang tinggal hanya seluruh resa dakar bersama pengiring dan pengikutnya. Pandangan mata Paduka Raja tertancap di atas dasar sebelum menyelinap jauh ke dalam tasik. Tangan kanannya menggenggam hulu Keris Pekaka. Hulu berukir kepala burung pekaka. Paruh yang tajam. Mata yang bersinar merah berani. Selayaknya digunakan seorang Paduka Raja. Air tasik yang sekejap terbelah berkocak kembali perlahan-lahan reda. Teratai ke pinggir beralun. Bibir tasik penuh dengan daun-daun kuning-kering berombak.
"Apakah ia cuma fatamorgana?" Paduka Raja menguji pengikutnya. Sama ada Paduka Raja sengaja atau tidak mahu menyingkap kisah lama, semuanya sudah berlalu. Seorang hulubalang menghampiri sisi kanan Paduka Raja. Diikuti beberapa orang lagi.
"Begitu pantas masa berlalu. Lima puluh tiga jarak usia Desa kita. Ia menjadi seolah-olah sebuah figura yang tidak terjangka?" Suara Paduka Raja sekelumit resah.
"Benar, ia sudah terbiasa. Masa seperti cahaya." Sambut jawab seorang hulubalang yang setia. Sambil memegang tombak, empat hulubalang membentuk seakan separuh bulatan. Di tengah-tengahnya Paduka Raja. Masing-masing merenung-berfikir menghadap ke arah tasik. Sinar matari petang mendakap awan senja. Kirmizi menjadi dewangga terindah selimut Desa. Teja lambang syurga panorama tasik yang sempurna.
"Naga-naga di dalam tasik ini barangkali lupa magis Keris Pekaka. Tidakkah kita pernah berjanji dengan mereka?" Tegas Paduka Raja, mengulangi. Kata-katanya umum ditujukan kepada hulubalang dan pengikutnya. Kedua-dua tangan kanan dan kirinya diletakkan ke belakang. Menunggu jawapan. Sesekali menjengah ke arah pengiring dan marhaen yang ada. Beberapa orang jelata mula hampir mendekati perkumpulan Paduka Raja.
"Mengapa ketika itu berjanji dengan naga?" Celah seorang hulubalang berbaju coklat pudar dengan panah sayap pikam tergantung di bahu. Hulubalang yang masih muda itu belum mengerti apa-apa. Dia tidak tahu galur ceritera waktu itu. Dia belum dilahirkan. Sewaktu anak naga dalam peliharaan orang Desa; diutus-kirim pedagang dari benua luar. Anak naga diletakkan berhampiran tasik, lama-kelamaan menjadikan tasik di dalam Desa itu sebagai habitatnya. Saban ketika, anak naga diberi makanan oleh penduduk Desa dan Paduka Raja.
"Mereka sebenarnya lupa kepada jasa. Jasa-jasa magis." Sedikit keras Paduka Raja mengingatkan. Kata-kata Paduka Raja umum diluahkan - sama ada kepada jelata atau naga?
"Tapi, orang-orang Desa tidak percaya. Mereka sudah tidak percaya kepada wujud naga apatah lagi magis." Seorang lagi hulubalang pemegang tombak meluahkan resa. Dia hulubalang yang paling muda daripada hulubalang yang lain. Penduduk Desa tidak merasakan apa-apa aura daripada Keris Pekaka. "Hal ini bahaya. Mereka hanya percaya kepada fitnah? Atau khabar angin, Paduka Raja. Mohon maaf Paduka Raja, hamba juga agak sukar membaca urna yang diertikan."
"Mereka lengkara percaya jika Cahaya Purnama diletakkan di mata Keris Pekaka akan menerbitkan aura yang lebih luar biasa hebatnya. Mereka terlalu sukar percaya." Walhal Keris Pekaka yang telah selama ini menjaga ketenteraman dan memangkin kebahagiaan wangsa di Desa. Mereka jauh alpa jasa-jasa dan setia-siaga yang sedia ada. Mereka tidak pernah langsung terfikir apakah naga tidak akan berontak jika sudah sebesar tasik. Paduka Raja mengumpul sebab dan helah. Nafas bumi berselang-seli saling bersilang puput berhembus. Debur-debur tenang tasik kelihatan seakan menutup gelora yang mula membesar-runsing.
"Dahulu naga jarang muncul. Hanya berdiam, sekarang sebaliknya. Paduka Raja tentu maklum." Seorang pengiring datang dari belakang, mencelah di tengah-tengah hulubalang.
"Mungkin! Lihat, sebab fitnahlah kita berpecah. Ada pula yang berhijrah."
"Tetapi Paduka Raja, magis jua buatkan kita leka. Bukan sebaliknya. Kita tampaknya semakin selesa. Senang-lenang." Seakan mengulangi. Hulubalang dengan belati di genggam kanan bersuara. Tetapi begitulah. Segerombol penghuni Desa sudah berpecah kepada beberapa kampung kecil. Ada sebahagiannya yang lebih selesa mengambil keputusan ke Desa lain. Membangunkan Desa sendiri.
"Mereka sebenarnya bimbang," Hulubalang gempal bersuara. "Paduka Raja tidak sepatutnya memberi naga-naga ini makanan; sejak dahulu lagi. Kelak, mereka manja. Jinak hanya pada nama. Api dalamnya sedia membakar kita. Seperti sekarang." Keras hulubalang berpakaian kelabu muda bersuara dalam lingkungan santun dan garis hormat kepada yang bergelar ketua. Paduka Raja sedikit tersentak. Setiap kata-kata hulubalang, pengiring, jelata, marhaen dan pengikutnya di dengar dengan teliti dan penuh hemah berhati-hati.
"Paduka Raja, naga juga boleh berubah menjadi manusia." Seorang marhaen berkerut kening. Mata mengalih tumpuan. Di hadapan terbentang selembah tasik tenang, jauh di dalam dasar menyembunyi rahsia bimbang.
Terdapat lebih tujuh spesies naga di dalam tasik. Jika dirungkai daripada pesanan orang tua, antara naga yang menjadi sebutan dan ingatan; naga balun - naga yang tinggal di gunung-ganang namun kini berada dalam tasik yang membunuh mangsa dengan ekornya; naga berapi - naga yang menyemburkan api; naga bura mempunyai selaksa bisa; naga hari - penunggu mata angin; naga jadi-jadian iaitu orang yang menjelma menjadi naga; dan naga umban iaitu naga besar yang mendiami laut. Khabar cerita orang tua, naga-naga itu kini berkumpul di tasik itu.
"Itu hanya mitos!" Paduka Raja seakan menafikan. Kadangkala Paduka Raja sendiri keliru berbaur celaru. Letak duduk Keris Pekaka di pinggangnya disempurnakan. "Cuba bertanya kepada marhaen berusia itu, minta pandangannya." Seorang marhaen bertongkat menghampiri Paduka Raja setelah dipanggil hulubalang.
"Ini benar, Paduka Raja. Jika tidak jua menjadi manusia. Naga akan menjadikan kita mangsa - jika tidak kita bersatu. Bersiap-siagalah kita." Suara marhaen bertongkat menekankan perkataan 'bersatu' berulangkali.
"Kita tidak boleh bergantung harap kepada Keris Pekaka, Paduka Raja. Keris pekaka lama sudah dibimbangi tumpul berkarat." Marhaen yang berusia menambah, menggeleng resah. Tongkat di tangan dikukuhkan genggamannya.
Termengah-mengah dua orang kanak-kanak tiba-tiba terjungul di depan Paduka Raja. Busananya bertanah. Barangkali seusia bermain di lecak. "Naga itu memakai kain yang panjang di lehernya, yang mengerlip-kerdip coraknya persis kain sari, Paduka Raja."
"Mengapa mahu berjenaka, wahai kanak-kanak? Dalam bicara berat ini."
"Ini benar, Paduka Raja. Hamba tidak berjenaka. Hamba pernah nampak sendiri bersama teman kecil hamba ini. Hamba tahu akibat menyampai berita bohong." Kanak-kanak memohon izin untuk berundur, lalu pergi meninggalkan perkumpulan dan perbincangan Paduka Raja. Meninggalkan persoalan dan tanda tanya di ruang durja Paduka Raja dan pengiringnya.
"Tetapi bukankah kita telah jauh dari marabahaya. Dari musibah dan bencana. Dari kemalangan dan celaka."
"Paduka Raja, air dari tasik boleh melimpah. Inikan pula marhaen berbilang dalam Desa. Naga itu tidak mustahil akan bangun dari diamnya."
"Kita hapuskan garisan. Semuanya sama. Kita, marhaen, naga - semua sama." Tegas Paduka Raja seraya mengundurkan sedikit langkahnya. Berpusing dan terus menuju ke kaki tangga, meninggalkan jeti sepenuhnya. Dalam sesetengah keputusan, tindakan Paduka Raja kadangkala lebih merunsingkan marhaen. Usul Paduka Raja tidak selari dengan hasrat dan cita-cita jelata. Paduka Raja seringnya lupa, dia diberi gelar Paduka Raja hanya kerana dia ketua yang memutus keputusan di Desa.
"Tidak, Paduka Raja. Inikan pula manusia dan naga mahu disamakan?" Sentak spontan seorang jelata yang mencelah. Jelata yang berjambang menyampaikan hasrat. Dalam fikirannya, mengapa Paduka Raja tidak semena-mena bersuara tentang 'samarata'? Sebelum menyambung patah-patah kata, "Marhaen kita pun tidak berani belayar dengan sampan atau jong yang ada untuk ke seberang, membina menara."
"Bimbang, dibaham naga. Khuatir dipukul ekor naga. Lengkara kita dapat bersaing dengan naga-naga itu. Kita perlukan garis sempadan itu. Masih," tambah seorang lagi Jelata menyampaikan maksud yang menjadi tembok sangkak lutsinar.
"Sebelum mereka menjelma menjadi manusia, Paduka Raja hidupkanlah kembali - asap dan limaukan - Keris Pekaka. Jika boleh, dapatkan Cahaya Purnama bulan mulia." Marhaen bertongkat yang berusia berbicara melewati gerbang bimbang. Tampaknya, kening yang putih lambang pengalaman luas dan jauh. Pemikirannya barangkali penyelesaian.
"Bagaimana pandangan hulubalang? Tentu dia mempunyai pengalaman."
"Kita dan mereka memang ada garisannya. Jika Paduka Raja tetap mahu melepasi sempadan itu, hamba bimbang Desa kita hanya tinggal nama." Daun-daun pohon kekabu sebesar tiga muka orang dewasa lambat-lambat jatuh dari pohon yang besar seperti gergasi itu.
Sewaktu suasana perbincangan antara Paduka Raja, hulubalang dan pengikut tidak mencapai kata putus untuk berkerjasama, bersatu atau menggunakan kelebihan magis yang dikatakan ada, teratai yang menghiasi permukaan tasik bergerak perlahan-lahan. Rumpai dan pokok-pokok air tawar yang tinggi bergerak meliuk ke kanan dan ke kiri dengan kuatnya. Buih-buih besar dan kecil dari dasar tasik tiba-tiba muncul seakan-akan dari dalam air yang sedang menggelegak. Seakan-akan di dasar tasik ada api yang mendidihkan.
"Paduka Raja, lihat. Naga menampakkan sedikit kepala dan lehernya."
"Ekornya di sana. Besar!" Rasa kagum atau apakah yang dilaungkan hulubalang. Ada hulubalang yang gembira kerana dapat melihat secara langsung naga yang timbul keluar itu. Ada juga pengiring dan pengikut yang bimbang resah dengan keadaan yang berlaku. Marhaen dan jelata mula berlari menyelamatkan diri bersama seberkas khuatir.
"Ya, di sana."
"Asap?"
"Asap!"
"Paduka Raja, api! Api!! Api!!!"
"Rumah perlindungan kita, mara-mara! Lari-lari!" jerit hulubalang. Kucar-kacir merentap Desa berhampiran tasik. "Lari!!...lari!!!"
Membakar sekeliling rumah tumpangan tradisional yang sedang dibina di sekeliling tasik itu. Saling membisik dan pantas berlari, "Tampaknya naga tidak menjadi manusia sudah mula membakar!"
"Kita tidak bersatu Paduka Raja. Ada yang sudah lari. Ada yang menggunakan senjata sendiri - pisau, gunting, parang. Bagaimana mahu berlawan?"
"Paduka Raja, Keris Pekaka? Gunakan Keris Pekaka Paduka Raja." Kata-kata hanya tinggal retorik yang menerpa.
"Di mana Keris Pekaka?"
"Bukankah Keris Pekaka sudah dihantar ke Rumah Pameran setelah mendapat mandat suara tiga puluh satu."
"Bukankah baik, jika magis Cahaya Purnama itu diletakkan bersama di hulu Keris Pekaka. Terlambat..." Bisik seorang tua, tertunduk. Lemah.
"Hulubalang, benar! Benar!"
"Paduka Raja?"
"Naga itu melilitkan kain yang panjang di lehernya…"
2
"Setelah bancuhan tepung beras diletakkan di dalam daun pisang. Ratakan dengan sederhana. Letakkan sebiji pisang di tengah, sebelum tutup dengan tepung beras itu semula. Lipat dengan kemas daun pisang," Buyut merungkai rahsia cipta kuih kegemarannya setiap kali Ramadan menjelma. "Masukkan ke dalam periuk kukus."
"Seperti tasik yang menggelegak, nagasari enak sedia dimasak dan dimakan." Sambut cicit seakan-akan membayangkan rasa lembut dan manis nagasari.
"Nanti hantar ke rumah jiran sebelah. Selamat berbuka," ujar Buyut kepada saya - menyumbingkan senyum bimbang.
No comments:
Post a Comment