ARKIB : 21/07/2010 Utusan Malaysia
Sayembara: Sains, sastera seiring
|
|
KUALA LUMPUR 20 Julai – Dalam usaha melahirkan modal insan lebih kreatif dan berorientasi pemikiran sains dan teknologi, Kumpulan Utusan buat julung kalinya menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tujuan utama sayembara ini diadakan bagi meningkat dan menggalakkan pemikiran saintifik, daya cipta, kreativiti di kalangan rakyat Malaysia sebagai asas untuk membangunkan tamadun 50 tahun akan datang.
“Genre cereka sains dan teknologi boleh dikatakan masih muda di negara ini. Oleh itu, penganjuran sayembara ini sedikit sebanyak dapat memupuk pengembangan genre ini secara sihat dan terancang.
“Sayembara ini juga bakal mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri kerana berjaya menggabungkan dua bidang ilmu yang biasanya terpisah jauh,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Fiksyen Sains Dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, sayembara seumpama ini telah membuktikan yang bidang sains dan teknologi dan bidang sastera adalah seiring dalam membina tamadun manusia di masa hadapan sekiranya ia disatukan.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa UTM, Profesor Tajuddin Linggam; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak serta Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Dalam pada itu, Mohamed Hashim berkata, Kumpulan Utusan amat berbangga kerana berpeluang bekerjasama dengan sebuah institusi akademik yang berprestij dan unggul seperti UTM.
“Sayembara ini juga membuka satu lagi lembaran baru dalam arena kesusasteraan tanah air bagi menggalakkan daya pemikiran intelek dan dinamik di kalangan penulis terutama generasi muda untuk menghasilkan karya yang lebih kreatif tanpa mengenepikan nilai sastera dan budaya tempatan,” katanya.
Sayembara tersebut menyaksikan Amer Hmzah L. Kadir dinobatkan sebagai pemenang pertama menerusi karya Kala Yuda yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM15,000, trofi dan watikah.
Tempat kedua dimenangi oleh Nurul Izwazi Mohd. Nor menerusi novel Kronikel Bumi yang membolehkannya memperoleh wang tunai RM7,500, trofi dan watikah.
Novel Tawanan Komander Caucasus pula memberi tuah kepada Ruzaini Yahya yang diumumkan sebagai pemenang ketiga dan menerima wang tunai RM5,000, trofi serta watikah.
Sementara itu, Amer Hmzah ketika ditemui berkata, beliau telah menghantar dua karya untuk sayembara tersebut dan berasa sangat gembira kerana menjadi penerima pertama anugerah ulung tersebut.
“Saya pernah menang Anugerah Sastera Utusan pada 2005 tetapi kali ini amat mencabar bagi saya kerana saya tiada asas dalam bidang sains dan teknologi. Bagaimanapun saya berjaya juga menyiapkan novel ini dalam masa enam bulan,’’ katanya.
Kumpulan Utusan melalui anak syarikatnya, Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd. bertanggungjawab dalam sesi pemilihan pemenang, penjurian karya, mengendalikan bengkel-bengkel sastera serta menerbitkan buku-buku pemenang sayembara ini.
No comments:
Post a Comment