Mengapa sastera semakin disisihkan?
TERLALU banyak persoalan dan kesan yang terbit daripada pertanyaan di atas, disabitkan dengan sistem pendidikan di negara ini; perkembangan ilmu pengetahuan; peminggiran sastera di sebalik pemerkasaan bidang sains dan teknologi; perkembangan industri buku; pemartabatan pengarang dan sasterawan; kepentingan harta intelek yang tidak menjamin kehidupan sasterawan; Hari Seniman, dan akhir sekali sikap kita dalam pembinaan tamadun negara bangsa Malaysia yang diselaputi pelbagai gejala yang penuh paradoks.Semua persoalan ini berada pada pertanyaan yang dijadikan tajuk wacana ini. Sesungguhnya, kita sedang dikepung oleh ironi dalam pelbagai dimensi!
Ada orang yakin sangat dengan pepatah Melayu, 'melentur buluh biarlah semasa rebung'. Ini mungkin sebuah mitos belaka. Tetapi hal itu juga berkaitan dengan faktor psikologi. Ertinya ada kebenaran jika ditelusuri dengan sebaik-baik mungkin, kesan pada jangka panjang pertumbuhan biologi seseorang insan, sejak dia didedahkan dengan sesuatu perkara atau disuburi oleh persekitaran yang dialaminya sehinggalah dia dewasa, dan dapat berfikir sendiri.
Secara lebih praktis, kita tentu sahaja dapat menerima pemahaman 'melentur' itu sebenarnya adalah salah satu proses pendidikan secara alami. Kalau dia tidak diasuh dengan betul, ada kemungkinan besar nanti, dia tidak boleh menjadi manusia yang sempurna - hilang sifat-sifat manusiawinya.
Nah, kalau begitu, bermakna kerja-kerja mengasuh, mendidik dan membesarkan manusia itu seharusnya dianggap satu tanggungjawab penting. Kalau dalam Islam, mendidik adalah satu fardu kifayah, justeru Islam tentu saja tidak mahu umatnya menjadi bahlul.
Ertinya dalam Islam, Tuhan menghendaki hamba-Nya terdiri daripada orang yang soleh, orang yang berakal dan berilmu untuk berada di sisi-Nya.
Jika demikian, mudahlah kita mengambil iktibar, bahawa sekiranya kita mahu maju dan menjadi umat yang berkembang ilmu pengetahuan, akal budi dan agamanya, tentulah seseorang itu harus dididik dan diasuh sejak masa kecilnya lagi. Tidak mungkin dia terus menjadi baik apabila besar, tanpa melalui proses sosial atau proses pembentukan akhlaknya terlebih dahulu.
Bertolak daripada proses pendidikan itu, bagaimana caranya dapat kita 'melentur rebung' itu agar bidang dan ilmu sastera tidak bersifat marginal, tetapi menepati sasaran dan pembentukan akhlak warganegara yang cemerlang dan berhemah tinggi.
Marginalisasi pelajaran sastera sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, dan tinggi di negara ini, tidak harus dibiarkan tanpa kesudahan, kerana manfaat sastera itu banyak dan menguntungkan banyak pihak.
Malaysia sudah mempunyai beberapa buah sekolah seni, tetapi pendidikan sastera terus diabaikan. Di sekolah menengah, Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) diperkenalkan 10 tahun lalu, tetapi sayangnya dunia sastera yang diajar itu (isitilah lain 'menempel') dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Ini sudah tentu tidak menepati aspirasi pendidikan ilmu sastera itu sendiri. Paling ironi, di IPTA, di mana subjek sastera semakin disisihkan, baik pelajar mahupun oleh penguasa universiti yang sudah diselaputi virus kemaruk ketaksuban pada sains dan matematik, serta kebesaran pada bahasa Inggeris.
Sebelum ini, ada naib canselor yang mengarahkan kuliah bagi semua kursus (kecuali bahasa Melayu dan sastera Melayu) diajar dalam bahasa Inggeris? Fenomena songsang yang berlaku pada penguasa di menara gading itu juga harus dicantas dan digantikan dengan tokoh pendidik dan intelektual Melayu yang bervisi jauh, supaya mereka tidak terus rabun budaya dan bahasanya sendiri!
Kita tidak mahu tokoh yang menerajui bahtera bangsa itu terdiri daripada orang yang buta dan tuli budaya, bahasa dan bangsanya.
Ini adalah antara cabaran dan tentangan kepada Menteri Pelajaran dan Menteri Pengajian Tinggi. Janganlah ada orang yang akan mendidik rakyat negara ini daripada kalangan insan yang umpama 'kacang lupakan kulit' - mereka yang telah hilang teras nasionalisme dan patriotisme apabila amat ghairah hendak melakukan sesuatu yang baharu, tetapi sanggup menggadai maruah bahasa dan bangsanya.
Kerana proses pendidikan ini memakan masa panjang, dan membawa kesan yang berkekalan dalam diri manusia (rakyat) sepanjang hayat. Dengan ini apakah para penguasa dan mereka yang diamanahkan itu berasa tenang dan sentiasa berada di zon selesa walaupun memasuki pintu mahkamah di akhirat kelak?
Penulis ialah ahli Pena iaitu kerabat Gapena.
No comments:
Post a Comment