Search This Blog

Monday, 2 August 2010

Semarak seni dan sastera

ARKIB : 18/07/2010

Semarak seni dan sastera


PENARI-PENARI Istana Budaya memberikan persembahan menarik semasa majlis penyampaian hadiah HSKU 2009


Sastera terus dinikmati dan dihayati. Walaupun penghayatan belum berada pada takah yang selayaknya, tetapi sastera terus mempunyai khalayak dan penggiat-penggiatnya. Kekerdilan sastera kalau dibandingkan dengan bidang-bidang lain yang lebih gemerlapan tidak harus melemahkan usaha untuk meningkatmajukan sastera.
Minggu Sastera Utusan adalah salah satu usaha meletakkan sastera pada galur yang selayaknya bagi masyarakat yang menuju negara maju. Wawasan 2020 perlu dibuktikan bahawa ia tidak sama sekali meninggalkan sastera sebagai wahana pembina insan untuk mengisi modenisasi itu.
Negara maju dengan teknologi seperti Jepun tidak pernah meninggalkan kesusasteraan jauh di belakang, malah berjalan beriringan antara keperluan robotik dan kemanusiaan. Ini satu contoh yang baik untuk menafikan prejudis bahawa sastera memundurkan dan tidak boleh "membina jentera" dan ia mesti ditolak sama sekali.
Ini kerana jentera moden dan prasarana kehidupan terkini memerlukan manusia yang ada "manusia" di dalamnya. Teknologi dan modenisasi hanya boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang mempunyai jiwa. Robot terbukti tidak boleh mengisi kekosongan jiwa manusia.
Program pertama Minggu Sastera Utusan ialah penyampaian hadiah HSKU 2009 di Istana Budaya 9 Julai lalu. Minggu Sastera Utusan mendapat sokongan ExxonMobil sebagai penaja utama, Istana Budaya penaja lokasi dan Astro sebagai rakan penyiar. Penaja lain ialah Finas untuk Malam Puisi Utusan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk Seminar Pemikiran Pak Sako.
Ini merupakan kali kedua HSKU diadakan di luar hotel ternama dan memilih Istana Budaya yang sesuai dengan hasrat untuk memasyarakatkan sastera. Program yang dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob turut disertai oleh khalayak dan peminat sastera yang memenuhi Panggung Sari Istana Budaya.
Ini merupakan tahun ke 25 HSKU dan sejak lama dulu program ini menjadi ikutan khalayak sastera dan berada dalam kalendar sastera negara ini. HSKU menjadi indikator minat masyarakat terhadap karya sastera, sekurang-kurangnya kepada khalayak yang menjadi pelanggan penerbitan bawah Kumpulan Utusan.
Suatu yang menarik HSKU 2009 ini diadakan serentak dengan pementasan teater muzikal Uda dan Dara karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang. Program HSKU diadakan sehari sebelum pementasan Uda dan Dara, bukan secara kebetulan tetapi dirancang kerana naskhah teater muzikal itu juga sebuah karya sastera dan Usman Awang seorang sasterawan.
Sebagai penghormatan kepada Usman Awang, acara penyampaian hadiah HSKU 2009 memetik dua fragmen dari muzikal itu sebagai pembukaan dan penutup majlis. Penerbit Uda dan Dara, Haslina Usman memberikan kerjasama yang sangat baik dan membenarkan pelakon-pelakonnya terlibat dalam acara HSKU. Teater muzikal itu dipentaskan hingga 20 Julai ini di Panggung Sari Istana Budaya.
Malam itu juga diserikan dengan deklamasi puisi oleh penyair Shukri Abdullah. Penyair popular kalangan peminat puisi ini mendeklamasikan puisi karya Usman Awang berjudul Pak Utih yang ditulis tahun 1956.
Sementara itu pada Khamis lalu, satu lagi program dalam Minggu Sastera Utusan iaitu Seminar Pemikiran Pak Sako diadakan di Dewan Kuliah DBP. Program ini dianjurkan dengan kerjasama DBP dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Ahli panel terdiri daripada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah dan tokoh akademik yang pernah membuat tesis tentang Pak Sako, Datuk Dr. Latiff Bakar. Moderator ialah Dr. Hashim Ismail.
Seminar ini bertujuan menyingkap ketokohan seorang nasionalis Melayu yang terlibat dalam kesusasteraan dan kewartawanan semasa era sebelum merdeka. Pak Sako yang juga seorang aktivis politik sejak sebelum merdeka muncul sebagai pejuang kemerdekaan menerusi penulisan.
Malam tadi berlangsung Malam Puisi Utusan di Laman Beringin Istana Budaya. Sambutan yang menggalakkan daripada khalayak sastera untuk menyaksikan penyair-penyair terkenal seperti A. Samad Said, Marsli N.O, Shukri Abdullah, Rajeswari Seetha Raman, Harlem Yeo, penyanyi lagu rakyat Roslan Madun dan penyanyi Sohaimi Mior Hassan.
Sementara itu Pameran Hadiah Sastera kini sedang berlangsung di Perpustakaan Negara hingga 31 Ogos depan. Peminat sastera boleh menyusuri sejarah HSKU 25 tahun lalu menerusi gambar pemenang, panel hakim dan tetamu kenamaan yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Pada Ogos ini akan berlangsung pula wacana sastera yang dikenali sebagai Utusan Sukma di beberapa buah sekolah di Negeri Sembilan. Sambutan yang menggalakkan apabila pertama kali dianjurkan tahun lalu menyakinkan khalayak remaja meminati karya-karya sastera.
Utusan Sukma dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...