Search This Blog

Friday 23 September 2011

Kebudayaan Melayu dan Islam: Analisis terhadap cabaran semasa

Oleh DR. RAHIMIN AFFANDI ABDUL RAHIM
Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya




Secara kasarnya, tulisan ini seboleh-bolehnya tidak akan menggunakan pendekatan nostalgia di dalam memperincikan sumbangan Islam di dalam kebudayaan Melayu. Sebaliknya, yang lebih penting lagi ialah kupasan akan lebih dijuruskan kepada elemen cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kebudayaan Melayu-Islam dalam berhadapan dengan isu pemodenan dan globalisasi. Sedapat mungkin kita patut mempelajari sirah perjuangan ulama Melayu silam di dalam menangani isu pemodenan, dan pada masa yang sama masih secara teguh berpegang kepada ajaran Islam yang sejati.
Teori naik dan jatuhnya tamadun dan survival kebudayaan Melayu-Islam
Dalam membincangkan tentang survival kebudayaan Melayu-Islam, ada baiknya kita mempergunakan beberapa teori besar yang diperkenalkan oleh Ibn Khaldun. Antaranya:
1.      Teori yang menegaskan masyarakat sebagai suatu organismyang bersifat hidup, mempunyai potensi untuk berubah dan berkembang maju seandainya perancangan pembangunan yang rapi an tersusun dapat dilakukan.
2.       Teori tentang jatuh dan bangunnya sesuatu tamadun manusia, dilihat dari segi usai sesuatu tamadun dan faktor-faktor yang menyumbang kearah kecemerlangan dan kemunduran sesuatu tamadun.
3.      Teori tentang proses pembangunan sesuatu tamadun bergantung kepada nisbah perpaduan sejati di dalam masyarakat berasaskan kepada gabungan antara semangat Asabiyyah dan agama. Kelangsungan hidup sesuatu masyarakat bergantung sepenuhnya  kepada  nisbah kewujudan kesepaduan tugas dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh setiap anggota masyarakat merangkumi:
i.        Anggota keluarga asas.
ii.       Barisan Kepimpinan politik.
iii.     Peniaga.
iv.    Para seniman.
v.      Tokoh ulama.
vi.    Tokoh pendidikan, dan
vii.   Golongan muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan sesuatu masyarakat.(1)
4.      Kepentingan ilmu sejarah untuk umat manusia, yang merangkumi manfaat dan disiplin yang harus dijaga oleh seseorang ahli sejarah.
5.      Kepentingan diwujudkan kaedah penyelidikan sosiologi, demi membantu sarjana Islam menajamkan daya artikulasi mereka terhadap permasalahan ummah Islam.
Jika dilakukan analisis induktif terhadap semua teori Ibn Khaldun ini beserta dengan sejarah kebudayaan Melayu di Alam Melayu, kita akan bersetuju bahawa survival masyarakat Melayu bergantung sepenuhnya kepada empat asas yang utama, iaitu:
1. Ajaran Islam – yang menjadi asas jati diri dan kebanggaan manusia Melayu.
2. Tanah -  kawasan geografi khusus yang menempatkan masyarakat Melayu. Identiti, jati diri dan rasa kebanggaan sesuatu manusia itu bergantung sepenuhnya kepada nisbah negara yang dimilikinya. Manusia sebagai makhluk sosial sentiasa ingin dikaitkan dengan sesuatu komuniti ataupun negara yang bakal menjadi kebanggaannya apabila berinteraksi dengan bangsa lain. Sesuatu negara itu hanya boleh wujud seandainya memiliki daerah geografi tertentu, rakyat dan sistem pemerintahan yang stabil. Pemeliharaan ketiga-tiga elemen ini perlu dilakukan secara berterusan bagi mengelakkan ia musnah seperti yang dialami oleh penduduk Yahudi, Palestin, dan Afghanistan pada masa sekarang. Setiap bangsa yang terpaksa merempat di negeri orang tanpa tanah air sendiri akan merasakan identiti dan jati diri mereka terhina.
3. Kekuasaan politik – kuasa kerajaan yang bakal menjalankan dasar jangka pendek dan panjang (seumpama DEB)(2) demi kepentingan  bangsa dan kebudayaan  Melayu.
4. Institusi beraja Melayu – sebagai penaung kepada kedaulatan dan ketuanan masyarakat Melayu.
Tanpa keempat-empat asas ini, masyarakat dan kebudayaan Melayu akan menjadi lemah dan bakal menerima nasib yang buruk seperti yang dialami oleh masyarakat Islam Palestin,(3) Kurdis dan masyarakat minoriti Islam di negara Barat. Dalam perkembangan semasa keutuhan institusi beraja Melayu kelihatannya telah mula dipertikaikan,(4) memandang ia sering dianggap sebagai asset masyarakat Melayu yang dipergunakan untuk kepentingan material sesetengah golongan tertentu semata, dan bukannya untuk keseluruhan masyarakat Melayu.(5)




Islam Dalam kebudayaan Melayu
Beberapa faktor dan mekanisme utama dapat dikesan menyebabkan Islam berjaya menyerap masuk ke dalam kebudayaan masyarakat Melayu. Antaranya ialah:
Pertama, pendekatan Islam yang bersifat mesra kebudayaan manusia yang berbeza. Islam dalam banyak penegasan oleh al-Quran mengakui keabsahan sesuatu tamadun dan kebudayaan masyarakat dengan sikap yang selektif. Islam pada prinsipmnya tidak membawa ideologi ras dan etnik seperti agama Yahudi yang menganggap mereka sebagai bangsa pilihan Tuhan.(6) Sebaliknya Islam adalah untuk manusia seluruhnya tanpa menghadkan keanggotaannya kepada bangsa Arab semata-mata.(7) Bersesuaian dengan sifat yang mengakui variasi ras dan budaya sebagai tanda kekuasaan dan kreativiti Allah,(8) antara lainnya Islam mengakui kehebatan dan sumbangan tamadun bukan Arab ke atas kehidupan manusia sejagat. Tanpa mengira bangsa dan tempat, sesuatu tamadun itu harus diterima secara positif dan selektif dengan memanfaatkan apa-apa yang baik dengan tapisan yang teliti agar ia bersesuaian dengan prinsip-prinsip Tauhid.(9) Kedatangan Islam dilihat sebagai tidak menghapuskan banyak bentuk budaya Arab tempatan, tetapi telah menerima dan mengekalkan banyak budaya mubah ini ataupun ia melahirkan (sintesis) budaya baru(10) hasil penerapan rapi dengan nilai-nilai Islam.(11)
Setiap selektif yang disertakan dengan tapisan yang rapi adalah punca utama yang menjadikan masyarakat yang menerima Islam telah dikesan mempunyai pencapaian keilmuan dan tamadun yang cukup tinggi. Pencapaian yang cemerlang ini juga dapat dikesan dalam masyarakat Melayu yang ditegaskan sebagai “within the space of decades, the Arabs had outgrown the phase of tribal parochialism to become the uncontested masters of an empire and the heralds of an open and expanding world community. This examples  was not confined only to the history of the Arabs, for it was repeated in the case of Berbers, Turks, Mongols, Persian, Indian, Malays and the kingdom in West and East Afrika.”(12)
Kedua, pendekatan metode dakwah yang canggih, yang dijalankan oleh mubaligh yang awal. Mengikut penegasan al-Quran, sesuatu metode dakwah yang berkesan perlu dijalankan secara berperancangan yang rapi.(13) Berasaskan semangat ini, kita dapat melihat bagaimana program dakwah di Alam Melayu dijalankan secara berperingkat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan dominasi adat Melayu pra-Islam dan feudalism Melayu. Dalam konteks Alam Melayu, beberapa contoh dakwah yang menggunakan pendekatan ini boleh didapati, pertamanya mubaligh awal telah mengkaji struktur masyarakat Melayu yang berasaskan sistem beraja feudalisme dengan kedudukan raja yang amat ditaati oleh rakyat.(14)
Ini menyebabkan mereka bertindak secara beransur-ansur mendekati golongan raja dan menerapkan sistem beraja Alam Melayu dengan nilai-nilai Islam.(15) Walaupun struktur lama masih lagi dikekalkan tetapi ia telah diterap dengan nilai-nilai Islam. Kalau dulunya sistem beraja Melayu bersumberkan konsep Devaraja warisan Hindu-Buddha,(16) tetapi kini ia telah diabsahkan dengan prinsip raja sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.(17) Tindakan yang mengakui keabsahan sistem beraja ini yang disokong oleh hubungan yang agak baik dengan raja-raja ini mempergiatkan lagi perkembangan Islam di Alam Melayu.(18)
Contoh kedua boleh dilihat pada sikap mubaligh awal yang mengakui kepentingan budaya tempatan sebagai wadah dakwah. Sarjana Islam digalakkan mempelajari dan meneliti secara terperinci tentang dinamisme sesuatu kebudayaan yang merupakan cara hidup, way of life sesuatu masyarakat.(19) Pengetahuan yang mendalam dalam soal ini amat penting demi untuk menjadikannya sebagai sasaran utama yang bakal menjayakan usaha dakwah.(20) Dalam konteks Tanah Melayu, pengetahuan yang mendalam terhadap objek dakwah ini telah menyebabkan mubaligh awal ini mampu menghapuskan budaya buruk masyarakat Melayu secara beransur-ansur,(21) khususnya dengan bantuan institusi pendidikan Islam. Hal ini boleh dilihat daripada fakta tentang bagaimana budaya Melayu yang berasaskan sistem feudal(22) dan dominasi adat pra-Islam yang secara kuat dipegang oleh masyarakat Melayu pada zaman awal kedatangan Islam kemudiannya semakin terhakis dengan kesedaran Islam yang terhasil daripada meluasnya proses penyebaran dan pengajian agama di kalangan masyarakat Melayu.(23)
Ketiga, faktor keindahan ajaran Islam itu sendiri.  Bagi kebanyakan sarjana, faktor ini amat besar peranannya kerana  berjaya menarik minat orang Melayu untuk menerima dan menghayati ajaran Islam sepenuhnya. Mengikut pemahaman masyarakat Melayu, Islam mempunyai beberapa sifat yang khusus, antaranya:
1.      Ia bersifat Rabbani, berasal daripada Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Islam adalah anugerah Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui segenap keperluan hidup manusia kerana Ia yang mencipta  manusia dan sekalian alam. Secara khususnya,  Islam  adalah manual yang disediakan oleh Allah s.w.t bagi menangani produk yang bernama manusia.  Mengikut pandangan Islam, Allah s.w.t yang menciptakan alam dan sekalian makhluk tidak berhenti setakat itu sahaja, bahkan Allah s.w.t juga yang menjaga dan mendidik alam ini dengan menganugerahkan ajaran Islam.
2.       Ia bersesuaian antara fitrah (built in instinct) yang ada dalam diri setiap manusia dengan kandungan ajaran Islam itu sendiri.(24) Hal ini boleh dilihat dalam beberapa contoh, antaranya;
i.                    Demi untuk menjaga fitrah percaya kepada Tuhan – akidah Islam dibekalkan oleh Islam.
ii.                   Demi untuk menjaga fitrah seks – Islam membenarkan manusia berkahwin sesama mereka dan menolak kehidupan ala rahib.
iii.                 Demi menjaga fitrah mengekalkan hidup – Islam mensyariatkan persoalan hukum hakam yang terangkum di dalam sistem muamalah Islam.
iv.                Demi menjaga fitrah memiliki harta kekayaan – Islam membenarkan pemilikan harta dengan syarat tidak melalaikan kewajipan menunaikan zakat dan sedekah.
v.                  Demi menjaga fitrah cintakan kesenian – Islam membenarkan semua elemen kesenian yang tidak melampau.
vi.                Demi menjaga fitrah cintakan perpaduan dan bangsa sendiri – Islam membenarkan semangat nasionalisme yang terpuji.
3.      Islam bersifat syumul (lengkap). Berbanding dengan agama-agama lain yang membahaskan skop perbahasan agama kepada soal hubungan antara tuhan dengan makhluk, ajaran Islam dalam ruang lingkupnya amat lengkap kerana mengajarkan kepada manusia kaedah untuk menjalin tiga bentuk hubungan di dalam kehidupan sebagaimana berikut:
a.       Hubungan makhluk dengan Penciptanya (aspek ibadat) – yang memberikan motivasi, kepuasan dan ketenangan keimanan bagi setiap manusia dalam menghadapi pancaroba kehidupan.
b.      Hubungan sesama makhluk (aspek muamalah) – yang mewujudkan keharmonian hidup sesama manusia.
c.      Hubungan antara makhluk dengan alam sekitar – yang mengajar manusia menjaga keharmonian dan keseimbangan ekologi alam sekitar yang menjadi tempat kediaman umat manusia.
4.      Islam bersifat wasatiyah (seimbang) dalam segenap konsep asasnya dan dilanjutkan pula kepada dimensi penghayatan dan perlaksanaannya. Hal ini boleh dilihat daripada aspek keanjalan dan sifat flexibility (marunah) yang terkandung di dalam Islam, dengan merujuk kepada elemen yang bersifat kekal (ibadat) dan boleh berubah mengikut keperluan zaman (muamalah). Jelasnya, faktor keindahan inilah yang menyebabkan ramai golongan terpelajar yang tertarik dan memeluk Islam. Ini ditegaskan oleh Karen Amstrong dan Osman Bakar yang mengatakan perkembangan Islam adalah paling pesat dan diterima ramai oleh penduduk dunia dewasa ini berbanding dengan agama lain.
Di samping faktor keindahan ajaran Islam itu sendiri, proses penerimaan Islam di kalangan masyarakat Melayu turut dijana oleh sifat kebaikan yang memang dimiliki oleh masyarakat Melayu. Berbanding dengan sejarah perkembangan Islam di Timur Tengah, Eropah, Afrika dan India misalnya yang menyaksikan proses perkembangan Islam melalui pertumpahan darah, realiti yang tidak terjadi di Alam Melayu. Hal ini adalah kerana sifat positif masyarakat Melayu itu sendiri sebagai manusia;
1. Manusia yang mempercayai kewujudan dan bergantung kepada kuasa tuhan yang menguasai sepenuhnya kehidupan manusia di alam nyata dan alam ghaib.(25)
2.      Manusia yang mesra alam dan mementingkan prinsip penjagaan keseimbangan alam semesta. Mereka amat menghormati dan melayani semua makhluk yang wujud di alam semesta ini dengan cara yang baik.(26) Pendekatan mesra alam(27) ini merujuk kepada paradigma yang mempercayai alam sebagai sumber ilmu,(28) rezeki dan pedoman untuk menjalani kehidupan bermasyarakat.
3.      Manusia yang mementingkan elemen kesederhanaan di dalam proses berfikir.(29)
4.      Manusia yang mementingkan penjagaan kerukunan hidup bermasyarakat dan menentang keras sebarang elemen yang bersifat individualisme.(30) Ia juga dapat dirujuk sebagai manusia yang memiliki semangat yang mementingkan kerukunan hidup bermasyarakat (egalitarian) yang cukup tinggi.(31) Pendekatan ini bukan sahaja terhad kepada anggota masyarakat Melayu semata-mata, bahkan juga kepada masyarakat asing.(32)
5.      Manusia yang memiliki dan mementingkan elemen keindahan dan nilai estetika yang tinggi.(33)
6. Manusia yang kuat berpegang kepada falsafah yang mementingkan pertimbangan agama dan nilai (perennial and ultimate perspective),berbanding dengan masyarakat Barat yang lebih mementingkan kebendaan dan individualisme mengatasi persoalan agama.(34)
7.      Manusia yang ditakdirkan mendiami kawasan iklim sederhana yang kemudiannya telah melahirkan manusia yang berjiwa lembut, berbanding penduduk kawasan iklim yang panas seperti Timur Tengah.(35) Hal ini terbukti apabila Islam secara mudah diterima oleh manusia Alam Melayu tanpa menumpahkan darah seperti yang berlaku di Timur Tengah, Afrika dan Eropah.(36)
8. Mengamalkan sikap terbuka, belajar dan selektif dengan pengaruh budaya dan agama asing.(37)
9.      Memiliki semangat dan ciri-ciri budaya ilmu yang tinggi; terbukti dengan tingginya sifat ingin tahu sehingga melahirkan ilmu Asbab(Teori tentang kelahiran sesuatu perkara),(38) menghormati golongan ilmuan yang berpengalaman (seperti bomoh kerana memiliki kemahiran berinteraksi dengan makhluk halus) dan sifat yang menganggap semua ilmu bukan milik peribadi tetapi lebih menjadi milik masyarakat.(39)
Secara ringkasnya, di sini dapat dikemukakan beberapa contoh sumbangan Islam di dalam masyarakat Melayu. Antaranya ialah pemupukan budaya ilmu dalam masyarakat Melayu. Dalam konteks masyarakat Melayu, sejak awal lagi kefahaman tentang kepentingan ilmu telah disedari dan dijadikan amalan dalam kehidupan bermasyarakat. Fenomena ini dapat dilihat dari penerapan pendekatan dakwah yang diusahakan oleh mubaligh awal yang mengutamakan penggunaan medium komunikasi yang khusus.(40)Penekanan tentang peri pentingnya alat komunikasi terbaik untuk tujuan penyebaran nilai-nilai Islam seperti ditekankan di dalam Surah Ali-Imran: 64 telah difahami oleh kebanyakan mubaligh Islam yang kemudiannya menghasilkan pelbagai medium dakwah khusus ini, antaranya melalui medium tulisan, khutbah, dan sebagainya. Kesemua medium ini dirangka khusus dengan mengambil kira persekitaran tempatan dan sasaran dakwah yang hendak disampaikan.
Yang jelasnya, dalam konteks Alam Melayu, pemahaman ini telah melahirkan beberapa natijahnya:
1.      Penciptaan tulisan Jawi dalam dunia intelektual Alam Melayu. Merujuk kepada asal usul penciptaan dan penggunaan tulisan Jawi dalam masyarakat Melayu, sekali lagi kita terpaksa berterima kasih kepada sumbangan ulama Melayu Islam awal yang telah mengasaskan dan memperkayakan bahasa Melayu(41) dalam bentuk tulisan Jawi, yang dijadikan sebagai alat untuk memperkembangkan keilmuan Islam.(42) Fenomena yang mengambilkira elemen tempatan dalam bentuk memilih bahasa tempatan sebagai medium untuk penyebaran ilmu agama telah dilakukan oleh sarjana Islam di kebanyakan dunia Islam, seperti penciptaan tulisan Urdu di India dan tulisan Parsi di Iran berteraskan dari segi bentuknya kepada bahasa Arab dengan sedikit sebanyak pengubahsuaian.(43)
2.      Pemberian nafas baru Islam terhadap bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi ini telah melangkaui tujuan asal penciptaannya iaitu sebagai alat penyebaran Islam, yang turut diiktiraf sebagai bahasa komunikasi (lingua franca) terpenting untuk rantau Alam Melayu.(44) Dengan pengiktirafan antabangsa ini, kemudiannya sedikit sebanyak proses pematangan bahasa Melayu dan tulisn Jawi telah dilakukan oleh ulama Melayu silam dengan mengemukakan bahan-bahan asas dari warisan Islam Timur Tengah(45) yang ditokok tambah dengan nilai-nilai tempatan Alam Melayu yang melahirkan beberapa genre intelektual Melayu seperti cerita-cerita cereka Melayu(46) dan kitab perubatan tradisi Melayu.(47)
Kemudiannya, dalam kerangka perpaduan ummah, karya-karya Melayu-Islam menggunakan tulisan Jawi telah dikembangkan dan disebarkan di banyak tempat dalam dunia Islam seperti di Mekah, Bombay, Istanbul dan Kaherah.(48) Ini menunjukkan bagaimana apabila diterima sebagai salah satu dari rangkaian ummah Islam sedunia, hasil karya intelektual Islam umat Melayu (kitab Jawi) telah turut diterima secara meluas dan diakui mutu akademiknya dibeberapa pusat keilmuan Islam dunia.(49)
Kedua, penekanan kepada usaha penerapan budaya ilmu ke dalam masyarakat Melayu sebagai matlamat tertinggi kehidupan manusia. Dalam sejarah Alam Melayu, kita boleh mengesan dengan jelas penerapan budaya ilmu ini yang diusahakan oleh mubaligh awal di dalam usaha mereka untuk mengukuhkan budaya Melayu–Islam yang diterapkan melalui institusi pendidikan Islam. Yang jelasnya, di dalam usaha mubaligh awal untuk menyebar dan menghadapi masyarakat yang masih baru menerima Islam,(50) mereka telah memikirkan cara yang terbaik dengan pemupukan budaya ilmu di dalam masyarakat. Usaha ini telah dilakukan dengan beberapa cara seperti mengasaskan  ilmu-ilmu agama di dalam serangkaian institusi yang cukup berkesan seperti pengajian di istana, masjid, surau dan pondok.(51) Pengajian ini bersifat terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan bukan terhad kepada golongan atasan semata-mata.(52) Pendek kata apa-apa yang dikenali pada masa sekarang dengan pendemokrasian pendidikan telah pun diamalkan pada masa ini.(53)
Dalam konteks yang lebih khusus lagi , pengamalan budaya ilmu  ini yang diasaskan oleh mubaligh yang awal dan kemudiannya diteruskan pula oleh sarjana tempatan Alam Melayu boleh dilihat dalam institusi pengajian pondok. Sistem pengajian pondok yang boleh dikatakan sebagai cukup advance untuk zaman dan keadaan masyarakat tradisi dengan merujuk khus kepada usaha poembudayaan ilmu. Dewasa ini kedapatan beberapa orang sarjana yang mengkritik dan bersikap sinikal terhadap sistem pengajian pondok yang dikatakan out of datedan tidak mampu berhadapan dengan pemodenan.(54) Pendapat ini walaupun boleh dikatakan sebagai separuh betul, tetapi ia dibuat dalam bentuk yang tidak memenuhi adab ikhtilaf di dalam Islam. Ini kerana, system pengajian pondok telah difikir dan dirangka dengan teliti oleh ulama silam untuk era zamannya, dan ternyata ia berjaya berfungsi seperti yang diharapkan. Oleh sebab itu, tindakan mengkritik secara sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira faktor masa ini adalah amat salah.(55)
Dalam konteks penerapan budaya ilmu, keistimewaan yang dimiliki oleh sistem pondok ini adalah:
1.      Sistem pengajian yang dibuat secara swasta tanpa kongkongan dan kekangan polisi dari pihak pemerintah.(56) Keadaan ini menyebabkan seseorang ulama itu dapat bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.(57) Lebih tepat lagi, ulama pondok dalam era tradisi telah bertindak selaku agen perubahan dan intelektual ummah yang bersikap sensitif  dan proaktif dengan isu semasa yang timbul di dalam masyarakat.(58)
i.                    Sistem pengajian yang berorientasikan perkaitan antara teori dan praktikal, yang menekankan pemupukan budaya ilmu bagi memembentuk  seseorang pelajar;
ii. Bertindak mengikut perkiraan ilmunya, menyebarkannya ke dalam masyarakat dan berfungsi sebagai pemimpin masyarakat.(59)
iii. Menjadikan matlamat pencarian ilmu bukan untuk tujuan kebendaan (makan gaji) tetapi untuk mencapai keredaan Allah s.w.t dan nikmat pengetahuan.(60)
iv.                Menjadi pelajar sebagai seorang yang mampu berdikari tanpa bergantung kepada orang lain. Untuk tujuan ini, mereka akan dibekalkan dengan segala bentuk keilmuan Islam dan kemahiran hidup yang amat diperlukan.(61)
v. Menekankan persoalan akhlak dan disiplin Islam melebihi segala-galanya.(62)

2.   Sistem pengajian yang bersifat terbuka yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengikutinya tanpa mengira latarbelakang keturunan dan faktor umur.(63) Apa-apa yang boleh dibanggakan melalui sistem ini secara tidak langsung ia telah pun mengamalkan konsep pendemokrasian pendidikan berasaskan penekanan kepada kepentingan ilmu dalam kehidupan seseorang Islam, ilmu adalah milik bersama dan setiap individu berhak diberi peluang untuk mendapatkan ilmu.(64)

3.      Sistem pendidikan ini berteraskan kepada tiga matlamat utama, iaitu:
a.      Proses mmemperkembangkan potensi kognisi dan intelektual umat Melayu dengan pengenalan world view Islam dengan bantuan daripada ilmu-ilmu asas dan sampingan.(65)
b. Proses mewariskan kecemerlangan tamadun Islam pada zaman awal yang terhasil daripada pengamalan budaya ilmu. Proses ini antara lainnya telah menimbulkan semangat perpaduan(internationalism) di kalangan umat Melayu bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka Tauhid dan ukhuwwah,bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah Alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi.(66)

4.      Proses menyediakan umat Melayu yang mampu berinteraksi dengan masyarakat dan persekitaran tempatan menggunakan keilmuan Islam. Kejayaan proses ini terbukti apabila institusi pendidikan di Alam Melayu telah melahirkan beberapoa orang tokoh ulamak yang cukup berwibawa dan bertaraf dunia. Merujuk kepada pembinaan masyarakat Melayu yang bertamadun, memang diakui bahawa sebelum kedatangan Islam, ciri budaya ilmu ini telah pun kedapatan di dalam kehidupan orang Melayu.(67) Kedatangan Islam telah mempercepatkan lagi proses ini yang secara dinamiknya telah membawa perkembangan intelektualisme berasaskan rasionalisme Tauhid menggantikan kepercayaan berbentuk mitos yang diamalkan sebelumnya secara meluas di kalangan masyarakat Melayu.(68)
Ketiga, penggunaan wahyu sebagai asas kepada pembinaan world view(69) (pandangan alam semesta) Melayu.(70) Impak daripada pemahaman masyarakat Melayu terhadap konsep keilmuan Islam telah secara langsung menghasilkan pembentukan world view Melayu yang bercirikan ajaran Islam. Hasil penulisan oleh Prof Hashim Musa terhadap tipologi sejarah tamadun Alam Melayu, mendapati pembinaan tamadun Melayu telah diasaskan dengan enam pandanganworld view nyang bersumberkan wahyu Allah s.w.t. Keenam pandangan ini menjadi pegangan utama masyarakat Melayu yang terdiri antara lainnya:(71)
1. Alam ini adalah hasil ciptaan dan tadbir Allah s.w.t yang mencakupi alam primordial (arwah), alam dunia dan alam akhirat. Alam akhirat adalah destinasi dan natijah muktamad kehidupan di alam dunia. Kejayaan hakiki di alam akhirat adalah memasuki syurga dan kejayaan di alam dunia adalah ketaatan kepada Allah s.w.t.
2.  Islam adalah panduan dari Allah s.w.t sebagai al-Din yang mengandungi segala peraturan bagi segala gelagat hidup di dunia untuk individu dan masyarakat demi kejayaan hakiki mereka.
3. Keyakinan kepada pembalasan yang baik bagi amalan yang baik dan sebaliknya pembalasan yang buruk untuk amalan yang buruk.
4.  Wawasan, misi, objektif, niat, strategi dan operasi segala bidang kerja hendaklah salih, benar dan mematuhi segala aspek hukum Islam tanpa kompromi, manipulasi dan tolak ansur.
5.  Nilai tertinggi dikaitkan dengan segala perkara yang membantu pembentukan insan yang beriman, beramal salih dan berakhlak mulia yang manfaatnya dapat dinikmati sama oleh orang lain.
6.  Kehidupan pertengahan dan seimbang antara jasmani, akali dan rohani berasaskan kepada ilmu pengetahuan dalam bentuk fardu Ain dan fardu Kifayah.

Nota Hujung:
(1) Maklumat lanjut boleh didapati dalam Saleh Faghizadeh (2004)Sosiologi Sosiologi, Mohd Fauzi Yaacob (terj.), Kuala Lumpur: ITNMB, hlm. 15-118
(2) Abdul Rahman Aziz (2000), Pekerjaan Dalam Kehidupan Manusia,Petaling Jaya, hllm. 94-101
(3) Zainal Kling, “Keranamu Malaysia: Negara itu adalah akar umbi Kehidupan Dan Esensi Kewujudan Manusia” Dalam Perpaduan, Bil. 3, 1999/2000, hlm. 4-11
(4) Ahmad Fauzi Mohd Basri (1996) Nilai Orang Melayu, Sintok: Sekolah Pembangunan Sosial, UUM
(5) Jamaie Hamil (2004) UMNO Dalam Politik dan Perniagaan Melayu, Bangi:Penerbit UKM, hlm. 126-131.
(6) Ghazali Darusalam (1998) Dakwah Islam dan Ideologi Barat, Kuala Lumpur, hlm. 30-39.
(7) Al-Quran 49:13
(8) Al-Quran 25:2;36:36,44:38-39; 50:38; 2:29 dan 28:80
(9) S. Waqar Ahmad Husaini (1980) Islamic Environmental System Engineering, London, hlm. 4-5.
(10) Dalam soal ini Mona M. Abul Fadl menyatakan: Historically the Islamic paradigm of knowledge has proven congenial to the different modes of knowing the legacy of the Birunis, Ibn Haythams, Al-Ghazali, Ibn Rushd, Razi is a monumental to the capacity to intergrate and accommodate the diverse modes or traditions within what is more of a synthetic rather than a syncretist whole. Lihat Mona M. Abul Fadl (1995)Toward Global Cultural Renewal: Modernity and the Episteme of Transcendence, Herndon, hlm. 13-14.
(11) S. Waqar Ahmad Husaini (1980), op.cit. hlm. 30-31
(12) Mona M,Abul Fadl (1995), op.cit. hlm. 8-9.
(13) Al-Quran 16:125 dan 3:104.
(14) Mohammad Redzuan Othman (1994), The Middle Eastern Influence on the Development of Religious and Political Thought in Malay Society, 1880-1940. Tesis PhD untuk University of Edinburgh, hlm. 248-49.
(15) Moshe Yegar (1979) Islam and Islamic Institutions in British Malaya,Jerusalem, hlm. 6.
(16) Paul Wheatley (1961) The Goden Chersonese, Singapore, hlm. 88-90.
(17) Mohd Nor Ngah (1983) Kitab Jawi: Islamic Thought of the Malay Muslim Scholars, Singapore, hlm. 41-42.
(18) R.O. Winstedt (1961), The Malays: A Cultural History, Singapore, hlm. 37ad
(19) Abd. Jalil Borhan (1996) “Sumbangan Ulama Dalam Perkembangan Islam di Alam Melayu”, dlm Jurnal Syariah, V.4 Bil. 2 hlm. 278-280.
(20) Lihat sebagai contohnya Ab. Aziz Mohd Zin (1995) “Minhaj Dakwah Masa Kini: Satu Pengenalan”, dlm Jurnal Usuluddin, Bil. 3, hlm. 81-98.
(21)   Abd Halim El-Muhammady, Abdul Halim El-Muhammady (1992) “Tasawwur Islam”, dlm. Dinamika Dakwah: Satu Perspektif Dari Zaman Awal Islam Hingga Kini, Kuala Lumpur, hlm.174-181.
(22) Maklumat lanjut tentang ciri-ciri keburukan Sistem Feudal Melayu boleh didapati dalam Yab Beng Liang  (1989), “Stratifikasi Sosial dan Masyarakat Melayu”, dlm Masyarakat Melayu: Struktur, Organisasi dan Manifestasi, Kuala Lumpur, hlm. 78-79.
(23) Rahimin Affandi Abd. Rahim (2000) “Fiqh Malaysia: Suatu Tinjauan Sejarah” dlm. Fiqh Malaysia Ke Arah Pembinaan Fiqh Tempatan Yang Terkini, Sungai Buloh, hlm. 22-25
(24) S.M. Naquib Al-Attas (1969) Preliminary Statement on A General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago, Kuala Lumpur, hlm. 4-7.
(25) Haron Daud (2002), “Pemikiran Melayu Tentang Alam dan Hakikat Diri” dlm. Syed Muhammad Dawilaha Al-Edrus (ed) Pemikiran Melayu Tentang Alam dan Hakikat Diri: Kumpulan Kertas Kerja Kolokium Bahasa dan Pemikiran Melayu/Indonesia 11, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 113-138.
(26) Zainal Kling (2000), “Manusia Melayu, Alam dan Tamadunnya” dlm Abdul Latiff Abu Bakar (ed), Globalisme dan Patriotisme Dalam Sastera Melayu: Kumpulan Kertas kerja Hari Sastera 1995, Kuala Lumpur: DBP, hlm. 294-304.
(27) Maklumat lanjut tentang bentuk dan implikasi kehidupan ala alami yang diamalkan oleh masyarakat di sebelah timur berbanding dengan masyarakat Barat (non-alami) boleh dilihat dalam Mujiyono Abdillah (2001) Agama Ramah Lingkungan: Perspektif al-Quran, Jakarta :  Paramadina, hlm. 147-152.
(28) Kupasan yang menarik dalam soal ini didapati dalam Hassan Ahmad (2003) Metafora Melayu: Bagaimana Pemikir Melayu Mencipta Makna dan Membentuk Epistemologinya, Sungai Ramal Dalam: Akademi Kajian Ketamadunan, hlm. 32-42.
(29)   Abdul Halim Othman dan Md. Shuaib Che Din (1993) “Sifat Kesederhanaan”, dlm Psikologi Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 102-109.
(30) Norazit Selat (1994), “Nilai Kerja Dalam Masyarakat Melayu” dlmBudi Kencana: Kumpulan Makalah Memperingati Persaraan Prof. Tan Sri Ismail Hussein, Kuala Lumpur: APMUM, hlm. 133-141.
(31) Wan Abdul Halim Othman (1993) “Hubungan Kekeluargaan Dalam Masyarakat Melayu” dlm. Psikologi Melayu, Kuala Lumpur: DBP, hlm.61-101.
(32) Idris Zakaria (2003), “Islam dan Amalan Toleransi di Nusantara, dlm Zulkiple Abd Ghani (ed) Jaringan Dakwah Malaysia Indonesia, Bangi: Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, UKM, hlm. 150-165.
(33) Muhammad Haji Salleh (1999) Menyeberang Sejarah: Kumpulan Esei Pilihan, Kuala Lumpur:DBP, hlm.165-189.
(34) Abdul Rahman Abdulalh (2001), Falsafah dan Kaedah Pemikirtan, Kuala Lumpur: Utusan Publication, hlm.134-140.
(35) Ibn Khaldun (T.T) Muqadimmah Al-‘Allamah Ibn Khaldun, Dar Al-Fikr, hlm.82-95.
(36) Lihat Rahimin Affandi Abdul Rahium (2003) “Analisis Sejarah Dakwah dan Jalinan Intelektual Rantau Malaysia-Indonesia”, dlm. Zulkiple Abd. Ghani (ed), Jaringan Dakwah Malaysia-Indonesia, Terbitan Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM, dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Bangi, hlm. 47-74.
(37) Abdul Rahman Abdullah (1999), Pemikiran Umat Islam di Nusantara, Kuala Lumpur: DBP, hlm. 54-56.
(38)   Ibid, hlm. 12-15.
(39) Muhammad Haji Salleh (1991), Yang Empunya Cerita, The Mind of the Malay Author, Kuala Lumpur: DBP, hlm.18-22.
(40) Al-Quran 49:6:3:104 dan 16:125.
(41) Maklumat lanjut boleh didapati dalam Amran Kasimin (1987),Perbendaharaan Kata Arab Dalam Bahasa Melayu, Bangi: Penerbit UKM.
(42) Omar Awang (1981) ,“The Major Arabic Sources Which Determined the Structure of Islamic Thought in The Malay Archipelago Before The Nineteenth Century AD In the Field of Law, Theology and Sufism”, dlmIslamika, V.1, hlm. 80-85.
(43) Omar Awang (1980) “ The Trengganu Inscriptiion as the Earliest Known Evidence of the Finalisation of the Jawi alphabet”, dlm.Federation Museums Journal, v.25, hlm.55.
(44) Mohammed Redzuan Othman (1994), op.cit., hlm. 53-55.
(45) Hashim Musa (1994), “Sejarah Awal Tulisan Jawi”, dlm. Alam Melayu, V.2. hlm. 7-13.
(46) Siti Hawa Haji Salleh (1987), “Kesusasteraan Hikayat Sebagai Satu Genre: Suatu Perbincangan berdasarkan Hikayat Isma Yatim,” dlm.  Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kuala Lumpur: DBP. hlm.282.
(47) Hashim Awang AR (1988), “Perlakuan Pemakanan Dalam Rangka Teori Perubatan Masyarakat dan Budaya Melayu” dlm. Fenomena, Siri Penerbitran Jabatan Pengajian Melayu, Kuala lUmpur .Bil,6 hlm. 30-38.
(48) Mohammed Redzuan Othman (1994) , op.cit. hlm. 57.
(49) Md Sidin Ishak (2000), The Malays in The Middle East, Kuala Lumpur: Penerbit UKM, hlm. 26-34.
(50) S.M. Naquib al-Attas (1969) op.cit. hlm. 20-30.
(51) Che Omar Awang (1996), The Methodology of Teaching in Islam: With Special Referemce to the Traditional Educational Method in Malaysia, tesis Ph.D untuk University of Edinburgh. hlm. 196-109.
(52) Wan Mohd Nor Wan Daud (1997), Penjelasan Budaya Ilmu, Kuala Lumpur:DBP, hlm.108-109.
(53) Che Omar Awang (1996), op.cit. hlm.191-194.
(54) Lihat sebagai contohnya Kaum Muda yang menempelak dan menghina lulusan pondok sebagai lebai pondok yang terlalu mengharapkan pemberian sedekah daripada orang ramai. Lihat Rahimin Affandi Abd. Rahim (1995),”Budaya Taqlid di Dalam Masyarakat Melayu: Suatu Tinjauan Ringkas”, dlm Jurnal Syariah, V. 3 bil. 1. Hlm. 30-31.
(55) Shafie Abu Bakar (1994), “ Keilmuan Islam dan Tradisi Pemngajian Pondok”, dlm. Budi Kencana, Kuala Lumpur: DBP, hlm. 93-94
(56) Abdul Rashid Ahmad (1966) Kedudukan Pondok dalam Masyarakat di Kelantan, tesis BA untuk Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, hlm. 23-24.
(57) Pendekatan menjadikan sistem pengajian Islam sebagai sebuah institusi bebas (swasta) telah pun diamalkan oleh ulama salah Islam, Lihat Rahimin Affandi Abd. Rahim (1994), ”Hubungan Antara Ulama dan Pemerintah di Dalam Sejarah Tamadun Umat Islam” dlm. Jurnal Pengajian Melayu, v.4.
(58) Dewasa ini terdapat trend yang mengatakan ulama adalah lambang status tokoh agama yang jumud, anti pemodenan dan bersikap backward looking. Manakala intelektual yang diwakili oleh golongan yang berpendidikan yang bukan agama telah dinisbahkan dengan segala bentuk kebaikan. Hal ini telah diulas dengan baik oleh Syukri Ahmad (2000), “Aplikasi Konsep Ulama dan Intelektual: Suatu Penilaian Kritis”, dlm. Jurnal Usuluddin,Bil. 11, hlm. 19-28.
(59) Shafie Abu Bakar (1994),op.cit. hlm. 101-103
(60)   Ibid.
(61)   Ibid.
(62) Abdullah Ishak (1995),  Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur:DBP hlm. 202-204.
(63) Robert L. Winzeler (1975), “Traditional Islamic School in Kelantan” dlm. JMBRAS, 48:1, hlm. 92-99.
(64) Rahimin Affandi Abd. Rahim, “Kebudayaan Melayu dan Islam” hlm. 17-18.
(65) Wan Mohd Nor Wan Daud (1997), op.cit. hlm. 105.
(66) W.F. Wertheim (1959), Indonesian Society in Transition, The Hague, hlm. 196.
(67) Untuk melihat contoh-contoh budaya ilmu pra Islam, ini lihat Muhammad Haji Salleh (1999) The Mind of the Malay Author, Kuala Lumpur, hlm. 10-15.
(68) S.M.Naquib al-Attas (1969) op.cit. hlm. 4-7.
(69) Maklumat lanjut tentang pandangan alam semesta Islam yang terkandung dalam al-Quran boleh didapati dlm. Abdul Halim El-Muhammady (1992) Tasawwur Islam” dlm. Dinamika Dakwah: Satu Pewrspektif Dari Zaman Awal Islam Hingga Kini, Kuala Lumpur, hlm.1-14.
(70) Maklumat lanjut tentang pandangan alam semesta yang difahami oleh masyarakat Melayu boleh didapati dlm. Abdul Rahman Abdullah (1999), Falsafah Alam Semesta di Nusantara, Kuala Lumpur.
(71) Hashim Musa (2001) Merekonstruksi Tamadun Melayu Islam: Ke Arah Pembinaan Sebuah Tamadun Dunia Alaf Baru, Kuala Lumpur: APMUM, hlm. 48-49.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...