Search This Blog

Friday 23 September 2011

SEJAUH MANAKAH PENGARUH ISLAM DALAM UNDANG-UNDANG MELAYU LAMA


source: 

http://zanas.wordpress.com/pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysia-yang-berdaulat/sejauh-manakah-pengaruh-islam-dalam-undang-undang-melayu-lama/





1.1 Pendahuluan
Merujuk kepada konteks soalan ini, sejauh manakah pengaruh Islam dalam undang-undang Melayu lama kita akan merujuk kepada beberapa undang-undang Melayu lama di beberapa negeri antaranya ialah Melaka, Kedah, Pahang, Terengganu dan Acheh yang menerima pengaruh Islam dalam sistem perundangan mereka. Undang-undang atau sistem perundangan adalah suatu cara (means) untuk menyelesaikan berbagai-bagai bentuk konflik dan kekecohan dalam masyarakat (antara sesama individu, dalam kalangan sesama kelompok atau antara individu dan kelompok dengan sistem keadilan yang telah ditentukan oleh masyarakat tersebut). Manakala bagi ahli sejarah-sosiologi pula, undang-undang sering dilihat sebagai satu daripada hakikat (fenomena) masyarakat. Undang-undang merupakan sebahagian daripada keseluruhan sistem masyarakat yang bergerak, mengawal tindak tanduk manusia yang sering membentuk unsur-unsur dinamik selaras dengan dinamiknya kebudayaan dalam masyarakat tadi. Undang-undang tersebut mempunyai sejarah permulaanya, kemudian ia berkembang sesuai dengan perkembangan dan perubahan masyarakatnya. Kemudian undang-undang itu diwarisi dari semasa ke semasa dan zaman ke zaman untuk melindungi masyarakat, negeri dan menjaga keamanan.

1.2 Pemerintahan dan Pentadbiran
Bermulanya pengaruh Islam dalam undang-undang Melayu lama ialah daripada institusi pemerintahan beraja yang memang terdapat di Asia Tenggara. Sebelum ini di Asia Tenggara institusi pemerintahan dan pentadbiran serta perihal undang-undang adalah berlandaskan peraturan daripada prinsip dan budaya Hindu. Dengan kedatangan Islam beberapa pengubahsuaian telah dilakukan pada sistem ini. Pengubahsuaian yang besar ialah sistem pemerintahan berasaskan Islam secara tidak langsung turut mengubahkan sistem undang-undang berlandaskan hukum Islam. Institusi kesultanan telah diperkenalkan dan ini diwarisi daripada amalan pemerintah kerajaan Abbasiyah di Baghdad dan kerajaan Turki Uthmaniyah.
Sistem pentadbiran Islam ini meletakkan sultan sebagai ketua negara. Mufti dilantik sebagai penasihat sultan dalam hal ehwal agama Islam dan pentadbiran negara. Selain mufti, wujud pegawai dan petugas seperti kadi, khatib, bilal, pemungut zakat, penyelia baitulmal, dan penjaga harta wakaf. Penggunaan gelaran sultan telah mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Islam dan undang-undang Islam di Alam Melayu dan menjamin kewibawaan raja. Penyelarasan gelaran ini meletakkan mereka setaraf dengan pemerintahan kerajaan Islam lain di seluruh dunia dan memupuk semangat persaudaraan di kalangan umat Islam.
Dalam Hukum Kanun Melaka, raja-raja Melaka yang lain diberi gelaranKhalifatul Mukminin yang bererti pemimpin orang mukmin. Perkataan Khalifatul Mukmin juga tercatat pada mata wang syiling dalam kerajaan Melayu Melaka, Johor, Pahang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Selain itu, gelaran Zillulah fil’ Alam yang bermaksud bayangan Allah di dalam alam ini juga digunakan oleh raja-raja Melaka.
Islam dijadikan agama rasmi oleh kerajaan Islam di Asia Tenggara, seperti kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Acheh dan kerajaan Brunei. Dalam sesebuah kerajaan Islam, sultan merupakan khalifah Allah atau wakil Allah di bumi dan mereka haruslah menunaikan amanah yang dikurniakan oleh Allah, iaitu memerintah dengan adil. Beberapa orang sultan yang alim berpegang teguh kepada ajaran Islam seperti Sultan Malik al-Zahir dari Samudera-Pasai, Sultan Ali Mughayat Syah, dan Sultan Iskandar Thani dari Acheh. Sultan-sultan ini telah menerapkan unsur-unsur Islam dalam pemerintahan mereka bagi menggantikan sistem pemerintahan beraja Hindu yang berasaskan konsep dewa-raja.
Bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negeri, pemimpin kerajaan Islam Asia Tenggara telah memperkenalkan undang-undang syariah.[1] Walaupun undang-undang ini tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana masih terikat dengan undang-undang adat, namun, beberapa perubahan dapat dilihat. Misalnya, dalam mengendalikan kes jenayah seperti kecurian dan pembunuhan, urusan pernikahan, perniagaan, serta pembahagian harta pusaka. Kerajaan Melayu Melaka, misalnya, mempunyai undang-undang awam dan jenayahnya sendiri berdasarkan undang-undang syariah dan undang-undang adat. Undang-undang syariah ini termaktub dalam Hukum Kanun Melaka yang digubal oleh Sultan Alaudin Riayat Syah, undang-undang Islam ini dipraktikkan dengan tegas di Melaka. Di Acheh, terdapat kanun yang mempunyai ciri-ciri sebuah perlembagaan Islam yang dikenali sebagai Kanun Mahkota Alam.[2] Selain itu, kedudukan wanita pada zaman pemerintahan Sultanah Safiatudin telah diangkat martabatnya sejajar dengan ajaran Islam. Misalnya, seramai 22 orang wanita menganggotai Majlis Rakyat Acheh yang mempunyai 73 orang ahli. Selain itu, sembilan orang wanita menjadi ahli jawatankuasa kerja Mahkamah Rakyat dan terdapat undang-undang yang melindungi hak wanita sebagai anak, isteri, dan ibu tunggal.

1.3 Pengaruh Islam dalam Perundangan di Melaka, Kedah, Pahang, Terengganu dan Acheh.
Sebelum kedatangan Islam orang Melayu berpegang pada perundangan yang dibentuk dalam tradisi Hindu-Buddha yang disesuaikan dengan adat resam tempatan. Aspek perundangan dalam tradisi Hindu berpegang pada Hukum Kanun Manu yang secara jelas membezakan jenis hukuman berdasarkan kelas seseorang itu. Kedatangan Islam telah mengubah keadaan ini. Hukum-hukum Islam mula dijadikan asas undang-undang yang dikuatkuasakan. Seorang sarjana tempatan, iaitu Profesor Ahmad Ibrahim, pernah mengatakan bahawa di negeri-negeri Melayu sebelum wujud pengaruh kerajaan British, undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang Islam dan adat Melayu. Kehadiran Islam telah memperkembangkan undang-undang bertulis seperti yang dipaparkan melalui Undang-Undang Laut Melaka, Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Pahang,[3] Undang-Undang Kedah,[4] Undang-Undang Perak,[5] Undang-Undang Johor.[6] Kesemua kitab perundangan ini menjadi pencorak kepada perjalanan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Hukum Kanun Melaka, misalnya, menjelaskan tanggungjawab raja dan pembesar, pantang larang di kalangan anggota masyarakat, hukuman terhadap kesalahan jenayah, undang-undang keluarga, permasalahan ibadah, serta jenis-jenis hukuman terhadap kesalahan tertentu. Oleh sebab kerajaan-kerajaan Melayu juga sangat aktif terbabit dalam aktiviti maritim dan perdagangan, maka, terdapat peraturan khas tentang hal berkaitan seperti yang dipaparkan dalam Undang-Undang Laut Melaka dan Undang-Undang Pelabuhan di negeri Kedah. Malahan kesan daripada kekuatan agama Islam itu sendiri dapat dipaparkan melalui fasal-fasal yang terdapat dalam undang-undang tersebut. Undang-Undang Laut Melaka, misalnya, menerangkan bahawa seseorang nakhoda (kapten) dalam sesebuah kapal diertikan sebagai imam dan anak buah kapal sebagai makmum. Undang-undang bertulis ini menjadikan perjalanan masyarakat menjadi tersusun kerana segala perlakuan, tanggungjawab, serta hukuman tentang kesalahan yang dilakukan telah ditentukan. Meskipun demikian, secara praktisnya, undang-undang ini mengecualikan diri raja atau sultan daripada sebarang tindakan. Hal ini melambangkan kedudukan raja atau sultan sebagai kuasa tertinggi dalam kerajaan.

1.3.1. Melaka
Undang-undang bertulis merupakan peraturan atau hukum dalam sesebuah masyarakat seperti Hukum Kanun Melaka,[7] Undang-Undang Laut Melaka, dan sebagainya. Ajaran Islam diserapkan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran Melaka. Walaupun tidak mengikut 100% undang-undang Islam tetapi terdapat pengaruh Islam di dalamnya. Hukum Kanun Melaka hanya 40.95% hukum Islam manakala Undang-undang Laut Melaka hanya satu dari 25 fasal mengikut hukum Islam sebenar. Undang-undang Melaka ini berasaskan 2 peraturan iaitu peraturan adat dan peraturan agama. Peraturan adat berlandaskan Adat Temenggung manakala agama berlandaskan mazhab Syafie.
Undang-undang yang terdapat di Melaka seperti Hukum Kanun Melaka dikenali juga dengan Undang-undang Darat Melaka atau Risalah Hukum Kanun. Hukum Kanun Melaka ini mempunyai 44 fasal dan berkuatkuasa di seluruh Melaka serta kawasan takluk jajahannya. Antara kandungannya yang terpenting ialah merangkumi tanggungjawab raja dan pembesar, pantang larang di kalangan anggota masyarakat, perlaksanaan hukuman kesalahan jenayah dan awam, undang-undang keluarga, permasalahan ibadat dan muamalat serta hukum perhumaan. Undang-undang Islam yang terdapat di dalamnya secara jelas ialah undang-undang keluarga. Dalam hal ini terdapat pencampuran antara hukum adat dan hukum syara’. Contohnya, kesalahan jenayah membunuh sering ada pilihan antara hukum adat dengan hukum syara’. Dalam fasal 14.2 sesiapa yang bersabit dengan pembunuhan, hakim mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada hukum adat atau syara’ yang harus digunakan ke atas pesalah. Dalam hukum kanun Melaka ini juga terdapat perbezaan antara kelas bangsawan (raja), orang merdeka dan hamba ini bertentangan dengan hukum Islam. Walaupun terdapat kepincangan, terdapat juga perundangan yang mengikut hukum syara’ antaranya ialah perwalian seseorang perempuan (Fasal 25.1), syarat sah ijab kabul dalam perkahwinan (Fasal 25.2), hukum dan syarat saksi dalam pernikahan (Fasal 26), hukum-hukum tentang penceraian dan perpisahan antara suami dan isteri (Fasal 27-28), hukum riba (Fasal 30) dan hukum jual beli (Fasal 31.1 – 31.3). Selain itu, terdapat juga beberapa fasal yang lain yang jelas menampakkan hukum syariah di dalamnya.
Manakala bagi Undang-undang Laut Melaka, hanya 1 fasal sahaja yang mengandungi hukum syara’ iaitu tentang zina dan yang lain adalah hukum adat. Walaupun hukuman kesalahan zina dalam Undang-undang Laut Melaka lebih kurang sama dengan Hukum Kanun Melaka tetapi ia tiada alternatif dengan hukuman adat. Di samping itu, hukuman sebatnya juga berbeza. Dalam Hukum Kanun Melaka hukuman sebatnya ialah 80 kali manakala Undang-undang Laut Melaka ialah 100 kali. Walaupun hukum Islam sepenuhnya tidak dijalankan di Melaka tetapi hukum tersebut memang disedari oleh rakyat Melaka ketika itu. Para kadi dan undang-undang Islam telah memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri Melaka.

1.3.2 Kedah
Seterusnya, Undang-undang Kedah terdiri daripada beberapa bahagian. Bahagian pertama memperkatakan tentang undang-undang pelabuhan yang berkaitan dengan perdagangan sama ada dalam atau luar negeri. Bahagian kedua dikenali sebagai Tembera Dato’ Seri Paduka Tuan atau Undang-undang Seri Paduka Tuan. Ia mengandungi 16 fasal yang menumpukan perhatian kepada hukum-hukum bagi kesalahan mencuri, berjudi, berlaga ayam, menghisap candu, minum arak dan lain-lain. Bahagian ketiga pula menerangkan tentang undang-undang dan peraturan dalam istana termasuk adat-istiadat, larangan-larangan yang mesti dipatuhi oleh rakyat, hak-hak istimewa golongan raja serta bidang kuasa seseorang pegawai yang dilantik. Bahagian keempat agak bercampur-aduk kerana berbagai-bagai perkara dimasukkan ke dalam bahagian ini. Ia termasuklah tentang bunga mas, alat kebesaran masa pertabalan, adat meminang diraja, perihal tugas dan tanggungjawab pembesar negeri dan lain-lain.
Bahagian yang lain terdiri dari satu perenggan undang-undang yang diberi nama Undang-undang 1199 Hijrah. Sebenarnya, undang-undang ini berkaitan dengan harta benda. Terdapat peruntukan-peruntukan berkaitan hamba sahaya, orang merdeheka, tanah bendang, tanah kampung, tanah dusun, gajah dan kerbau. Undang-undang ini hanya dilaksanakan setelah 30 tahun diperkenalkan. Secara keseluruhannya wujud persamaan antara Undang-undang Kedah ini dengan Hukum Kanun Melaka iaitu pengaruh Islam dalam Undang-undang Kedah. Antaranya ialah penentuan tarikh, undang-undang yang disuruh buat oleh raja adalah untuk negeri Islam, terdapat peruntukan memberi kuasa kepada syahbandar dan mata-mata menangkap pesalah dan dihukum dengan takzir raja, orang yang makan di khalayak pada bulan puasa ditangkap dan diberi makan rumput di hadapan balai atau dipukul atas kadarnya, hukum berkaitan jual beli, timbang-menimbang dan sukat-menyukat hendaklah sama berdasarkan nas “aufu mikyala wal mizana”, menjelaskan peranan masjid, segala hukum bersesuaian dengan Islam dan diberitahu kepada rakyat setahun sekali, sebutan tentang “tanah mati” yang menjadi hal Allah taala dan seterusnya menjadi hak raja, disebut empat syarat raja-raja iaitu; manis mukanya sentiasa bertitah pada segala hamba yang di bawahnya, titah tiada boleh berubah-ubah, kerja kebajikan disuruh segera kerjakan tiadalah kejahatan, kerja kejahatan disuruh beri jadikan kebajikan. Selain itu, terdapat juga hukum-hukum bagi kesalahan membunuh, qazaf, mencuri, pinjam-meminjam matrimoni, khiar, talak, berniaga yang haram, ikrar, murtad, syarat menjadi saksi dan hukum bersumpah yang selaras dengan hukum Islam.

1.3.3. Pahang, Terengganu dan Acheh
Undang-undang Pahang pula merupakan perlembagaan negeri itu sejak tahun 1592, Pahang diisytiharkan sebagai Dar al-Islam dengan Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah (1592-1614) sebagai Khalifah. Undang-undang Pahang menggunakan hampir sepenuhnya peraturan berdasarkan hukum Islam. Daripada 68 fasal semuanya, 42 fasal merupakan terjemahan daripada undang-undang fiqh mazhab Shafi‛e. Menurur pendapat W.Linehan, selepas tahun 1450-an Masihi, agama Islam dijadikan agama rasmi di negeri itu. Berpandukan kepada fakta sejarah bahawa penerimaan agama Islam di Pahang, dikatakan berlaku abad ke-15 Masihi atau lebih tepat selepas negeri itu ditakluki oleh Melaka.

Islam juga memainkan peranan yang besar dalam sistem pemerintahan Melayu di Terengganu. Dari beberapa fakta sejarah yang ditemui, dapatlah ditegaskan bahawa Terengganu juga merupakan antara negeri-negeri di Tanah Melayu yang telah pun menerima Islam selewat-lewatnya pada abad ke-13 Masihi. Di atas Batu Bersurat Terengganu, terdapat bukti bahawa hukum Islam mengenai kesalahan berzina dilaksanakan di negeri itu sejak tahun 1303 Masihi lagi. Oleh itu, ternyatalah bahawa undang-undang Islam telah terlaksana di negeri tersebut, malah terbukti betapa pentingnya peranan Terengganu sebagai kawasan pengaruh Islam ketika itu. Hal tersebut dapat dibuktikan melalui catatan Batu Bersurat mengenai hukum jenayah dan mu‛amalah Islam, seperti menerangkan kesalahan orang-orang yang mencuri, berzina dan perkara-perkara yang berhubung dengan hutang piutang.

Dalam sistem pemerintahan Acheh pula, terdapat keterangan mengenai kedudukan Islam dalam pentadbiran negeri itu. Snouck Hurgrounge dalam tulisannya The Achinese mendakwa bahawa undang-undang Islam amat kuat dilaksanakan di Acheh berbanding dengan negeri-negeri lain di Alam Melayu. Jawatan pentadbir undang-undang tertinggi di bawah Kesultanan Acheh ialah Qadhi Malik al-‛Adil, manakala di setiap kampung terdapat ketuanya sendiri yang merupakan pemimpin masyarakatnya, sekaligus merupakan seorang imam yang bertanggungjawab bagi pentadbiran dalam urusan-urusan agama.

1.4 Kesimpulan
Kesimpulan dari paparan di atas, jelaslah bahawa kedatangan Islam ke Alam Melayu telah memberi kesan yang besar dan meluas dalam kehidupan masyarakatnya. Sehingga dengan itu telah berjaya merealisasikan ajaran dan tuntutan Islam di kalangan mereka secara berkesan, sekali gus dapat mengangkat martabat mereka ke tahap yang lebih baik dan bermaruah. Keadaan tersebut berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan mereka baik di kalangan individu,
keluarga, masyarakat atau negara. Kedatangan Islam telah membawa perubahan menyeluruh
kepada sistem kehidupan masyarakat Alam Melayu seperti akidah atau agama, sosial, politik, pemikiran, perundangan, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Melihat keadaan ini, maka, sangatlah bertepatan ungkapan yang telah diperkatakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Beliau mengatakan bahawa kedatangan Islam ke rantau Alam Melayu ini haruslah ditanggapi sebagai zaman baru dalam pensenjarahan rantau ini. Namun, masih terdapat sebahagian bentuk budaya atau adat dari pengaruh Hindu sebelumnya diamalkan seperti adat bersanding dalam majlis perkahwinan dan lain-lain.

RUJUKAN
i) Buku
Liaw Yock Fang, Hassan Ahmad, 2003. Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut, Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan.
Noresah Baharom, Rusli Abdul Ghani. 1996. Kamus Dewan, Edisi Ketiga. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Tanpa Pengarang. 2007. Pelan Integriti Nasional. Institut Integriti Malaysia: Persiaran Duta.
T anpa Pengarang. 2008. Malaysia Kita. International Law Book Services: Petaling Jaya.
Tun Seri Lanang, Muhammad Haji Salleh(Pengkaji), 1997. Sulalat al-Salatin Ya’ni Perteturun Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

ii) Internet
“Bincangkan Pengaruh Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu Tradisional” dlm.

“Pengaruh Nilai Budaya Zaman Kesultanan Melayu Melaka Terhadap Perkembangan Politik Kontemporari”dlm.
http://lensahati.wordpress.com/2008/11/16/pengaruh-nilai-budaya-zaman-kesultanan-melayu-melaka-terhadap-perkembangan-politik-kontemporari/

[1] Undang-undang syariah ialah Undang-undang berdasarkan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad s.a.w.
[2] Kanun Mahkota Melaka merupakan keterangan tentang tanggungjawab raja sebagai pemerintah. Selain itu, turut mencatatkan adat istiadat dan peraturan tradisi Acheh, misalnya, Balairung Seri dipimpin oleh Sultan manakala Balai Majlis Mahkamah Rakyat diketuai oleh Kadi malik al-Adi.
[3] Undang-undang Pahang telah digubal sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Muhyuddin yang memerintah antara tahun 1592-1614.
[4] Undang-undang Kedah pula mempunyai empat bahagian, iaitu undang-undang pelabuhan, undang-undang tentera yang bertarikh 1667, Hukum Kanun Dato’Star, dan Undang-undang 1784.
[5] Undang-undang Perak turut dikenali sebagai Undang-undang 99 yang dibawa oleh seorang Arab bernama Sayyid Hussain al-Furadz pada abad ke-17.
[6] Undang_undang Johor bertarikh 1789 dan didasarkan pada Undang-undang Laut dan Hukum Kanun Melaka.
[7] Terdapat 44 fasal dalam Hukum Kanun Melaka dan hukum ini mempunyai 46 naskah salinan yang disebut dengan pelabagai nama. Undang-undang Laut pula mengandungi 24 fasal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...