Search This Blog

Tuesday 4 October 2011

Minda Pengarang: Pupuk nilai murni berterusan mampu atasi kesan filem hantu

2011/10/03 Berita Harian

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin menegur kecenderungan industri perfileman masa kini yang gemar menyajikan cerita hantu. Bagi Dr Mahathir lambakan filem sedemikian tidak membantu dalam membina masyarakat progresif yang menyelesaikan sebarang masalah dengan pendekatan saintifik. Malah, beliau berkata filem hantu berkenaan banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

Pandangan Dr Mahathir ini lebih menjurus kepada nasihat daripada seorang negarawan yang mahu melihat negara ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat yang dialami dunia sekarang. Beliau jelas tidak mahu rakyat negara ini kembali berfikiran mundur, tidak mengerti untuk mencari sebab musabab berlaku sesuatu perkara. Sebaliknya, suka bergantung kepada kepercayaan karut yang tidak mungkin boleh menyelesaikan sebarang masalah. Apa yang menarik mengenai kenyataan Dr Mahathir ini yang dibuatnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu ialah beliau tidak pula mendesak filem sedemikian dikawal atau diharamkan.
Pendekatan berbeza diambil oleh dua tokoh lain yang memberi ulasan mengenai isu sama. Ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Maamor Osman, masing-masing dalam komen disiarkan akhbar ini kelmarin, mendesak kawalan atau tapisan lebih ketat dikenakan terhadap filem atau drama hantu ini. Seperti Dr Mahathir, kedua-duanya juga mengambil berat terhadap kesan negatif filem seumpama itu kepada masyarakat. Namun, kita berpendapat kaedah penguatkuasaan yang dicadangkan oleh Shukri dan Dr Maamor tidaklah sesuai lagi untuk zaman keterbukaan sekarang.
Walaupun diharamkan atau disunting sekalipun, seseorang yang mahu menonton filem berkenaan mudah melakukannya dengan melayari internet.

Bukan saja cerita hantu, filem lucah pun bebas ditonton tanpa sebarang kawalan, mahupun tapisan. Pendekatan penguatkuasaan ini, sebenarnya tidak boleh diguna pakai lagi bagi menyekat penularan filem, gambar atau bahan bacaan, lebih-lebih lagi negara sudah memberi komitmen bahawa tidak akan melakukan tapisan terhadap kandungan internet. Memang benar sesebuah filem, mahupun genre hantu boleh memberi impak besar kepada masyarakat. Namun, segala-galanya bergantung kepada masyarakat itu sendiri. Jika anggota masyarakat itu dipupuk dengan ilmu dan nilai yang murni sudah tentu mereka boleh menilai kebaikan dan keburukan filem hantu itu. Apabila kerap dikukuhkan dengan pandangan tokoh agama mengenai keburukan filem hantu ini, lambat laun masyarakat akan menolaknya dan tidak lagi ramai yang akan menonton filem sedemikian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...