( Ku coretkan khas buat En. Aznan Mohamad:
Selamat ulang tahun kelahiran wahai suamiku yang tercinta. Moga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan moga di dalam lindunganNya selalu. Salam sayang dari suri hidupmu.)
WHISPERS OF LOVE
(Bait-Bait Cinta Buat Suami)
Wahai suamiku,
Di saat aku buka mata,
Hanya hadirmu yang ku rasa,
Ku tatap indahnya dunia,
Dengan penuh getar cinta,
Aduhai suamiku,
Isterimu tidak sehebat Saidina Khadijah mahupun Saidina Aisyah,
Adakala isterimu tertewas di medan jiwa,
Tanpa keluh dan resah
Kau hadapi dengan tenang dan tabah,
Disulami cinta dan doa,
Aduhai cinta,
Ingin kau tahu bahawa
Surimu ini adalah pelengkap rusuk kirimu,
Dijadikan daripada tulang yang paling bengkok,
Jika ingin kau luruskan, ku pohon berhati-hatilah,
Jika ingin kau bertegas namun janganlah engkau berkeras,
Jika ingin kau berlembut, janganlah sehingga kau reput,
Wahai pemilik hatiku,
Kata-kata ku ini mungkin hambar,
Tidak memikat atau mempersona,
Dilembar maya ku goreskan bait-bait cinta yang lahir dari jiwa,
Ikhlas bertakhtakan kasih dan rindu,
Daripada seorang isteri yang ingin menjadi bidadari syurgamu,
Aduhai pemberi semangatku,
Ku pohon kesabaran darimu,
Agar dapat aku berteduh di bawah payungmu,
Agar aku tenang di bawah sinarmu,
Agar aku mekar di dalam dakapan cinta sucimu,
Wahai pembimbingku,
Jalan hidup kita tidak semudah yang di sangka,
Adakala kita jatuh tersungkur namun kita tidak rapuh,
Kita bangkit semula demi cinta,
Aku terpaku dengan tulus hatimu,
Aku hargai kejujuranmu,
Aku sanjungi kesetiaan dan pengorbananmu,
Sesungguhnya dirimu adalah nikmat Allah yang terbaik buatku,
Ya Allah,
Sesungguhnya Kau ciptakan cinta ini,
Cinta yang membara di hati kami,
Lantas rindu kami pun bermula,
Kau satukan jiwa kami,
Sehingga tiba waktunya,
Ya Illahi,
Kau jadikan dia imamku,
Kau jadikan dia tunjang hidupku,
Kau jadikan dia penyelamatku,
Kau jadikan dia pendampingku,
Dia yang mampu menyejukkan tatkala aku kepanasan,
Dia yang sanggup menghangatkan di kala aku di sapa kedinginan,
Dia yang menenangkan dikala aku keresahan,
Ya Rabbi,
Aku bersyukur di atas anugerahmu,
Kau peliharalah dan lindungilah hati-hati kami,
Jauhi kami daripada dosa dan bahaya,
Biar aku tak dapat menakluki dunia,
Cukup adanya suamiku dan puteri-puteriku di sisi,
Bahagia yang ku rasa
Moga berkekalan hingga ke syurga,
Suamiku yang tersayang,
Ketahuilah cintaku padamu
Adalah kerana utuhnya kasihmu pada Yang Maha Esa,
Akan ku jaga cinta dan rindu ini segenap rasaku,
Akan ku bingkai kasih ini di dalam relung hati,
Semoga Allah meredhai segalanya buat kita,
Suamiku yang dikasihi,
Di ulang tahun kelahiranmu
Tenanglah dirimu di dalam doaku
Tenanglah diriku dalam cintamu
(Noor, 2011)
No comments:
Post a Comment