Search This Blog

Wednesday 23 June 2010

Did I Marry the Right Person?

Dear friends and readers,

'Did I marry the right person?'

Satu persoalan yang  menarik bukan? Ini kerana kita sering bertanya kepada diri kita 'apakah betul keputusan yang kita buat?', 'apakah benar aku mencintai dia?', 'apakah aku sememangnya untuknya?', 'apakah aku bisa membahagiakan dia?' dan persoalan yang paling penting 'apakah dia mr. atau mrs. right?'. Persoalan yang amat sukar dijawab. Kadang-kadang keputusan sama ada untuk berkahwin atau tidak boleh menimbukan satu dilemma dalam diri. Bagi sesetengah pasangan, mereka berkahwin atas dasar cinta. Manakala bagi pasangan yang lain, jodoh mereka ditentukan keluarga (masih wujud walau di dalam zaman moden ini). Bagi aku, sama ada perkahwinan itu dijalankan di atas dasar cinta atau sebaliknya, ia merupakan satu perubahan di dalam hidup. Satu keputusan yang besar yang datang dengan tangunggjawab yang bakal dipikul samaada sebagai seorang suami atau pun seorang isteri.

Jatuh Cinta... indah bukan? Kita berada di awang-awangan pabila kita jatuh cinta. Jatuh cinta itu bukan paksaan. Ia terjadi dengan sendiri. Ia mewakili satu perasaan yang indah di antara dua insan bercinta. Hanya yang melaluinya dapat merasakan betapa indahnya cinta. Dunia ini seolah-olah kita yang punya. Dunia yang wujud antara kau dan aku. Sememangnya, jatuh cinta itu amat mudah. Malah kadang-kadang kita terbuai oleh perasaan. Hanyut dalam gelora jiwa dan tuntutan rasa. Siang dirasakan terlalu lama dan malam dirasakan terlalu singkat. Tidur pula dibuai mimpi-mimpi indah. Bak kata pepatah 'makan tak kenyang, mandi tak basah dan tidur tak lena'. semuanya indah belaka. Timbullah satu perasaan bahawa 'kau milikku' dan 'aku milik kamu' serta 'kita berdua buat selamanya'. Walau bagaimanapun, untuk mengekal perasaan cinta itu adalah amat sukar.

Tapi, hakikatnya dunia percintaan adalah sama sekali berbeza dengan dunia perkahwinan. Jatuh cinta sememangnya mudah. Tapi untuk melayari bahtera perkahwinan, ia memerlukan lebih daripada sekadar cinta. Perkahwinan menuntut pengorbanan, kesediaan, kerjasama, persefahaman, tanggungjawab dan berbagai lagi. Bukan sekadar ucapan 'I love you' atau 'aku cinta kamu'. Tidak dinafikan  cinta itu perlu wujud atau perlu hadir untuk menyemarakkan rumah tangga. Walaupun perkahwinan itu ditentukan, cinta boleh dipupuk, boleh disemai dan dibaja menjadi mekar selepas berkahwin sekiranya kedua-dua pasangan mengizinkan diri mereka untuk mencintai dan dicintai. Malah, seharusnya setelah mendirikan rumahtangga, kita harus belajar menerima segala kekurangan dan kelebihan pasangan kita. Belajar mengasihi, menyintai dan mempercayai pasangan yang akan menjadi teman hidup buat selamanya. Maka persoalan, 'did I marry the right person' tidak lagi akan timbul. Tetapi usaha untuk merapatkan diri bersama pasangan yang telah dinikahi, belajar memahami dan belajar untuk bertolak ansur

Walau bagaimanpun, dunia selepas berkahwin itu adalah lagi penting dan harus mendapat keutamaan. Walaupun, kadang-kadang setelah beberapa lama mendirikan rumahtangga, rasa kasih dan sayang itu menjadi sedikit pudar dan sedikit tercalar akibat daripada rasa bosan, masalah rumahtangga, makan hati, cemburu dengan sikap pasangan masing-masing atau apa-apa saja. Malah, pasangan mula menyoal 'adakah aku masih mencintainya?' dan 'adakah dia masih orang yang sama yang pernah aku cintai dulu?'. Oleh itu, boleh dijadikan alasan untuk pasangan mula mencari 'ketenangan' dan 'kedamaian' di luar lingkungan rumahtangga. Salah dan silap pasangan mula terserlah. Pertengkaran dan pergaduhan mula menguasai.  Kebaikan yang selama ini ditabur mula menjadi pudar and menghilang. Masing-masing mula menuding jari menyalahkan pasangan masing-masing di atas segala kedukaan dan kepincangan rumahtangga. Wanita sering dipandang serong. Seringkali juga, wanita, isteri dan ibu menjadi mangsa tuduhan si suami yang mahu menutup kelemahan diri dan kegagalan diri dalam menjalankan tugas dan tanggungawab sebagai seorang suami dan ketua keluarga. Tapi mengapa perempuan sering disalahkan apabila timbulnya masalah dalam rumahtangga. Kenapa masyarakat tidak memandang bahawa kedua-duanya lelaki mahupun perempuan bertanggungjawab dalam masalah tersebut. Adakah sifat patriachal masyarakat kita yang menyebabkan perkara ini terjadi?

Persoalan kini adalah di mana silapnya kita sehingga tercetusnya masalah rumahtangga? Apakah yang harus dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian atau memperbaiki perhubungan? Penceraian semakin berleluasa dewasa ini. Senario ibu tunggal dan bapa tunggal semakin meluas. Namun, kesan kepincangan rumahtangga ini akan lebih meninggalkan kesan yang mendalam buat anak-anak. Ini kerana mereka tersepit diantara dua - ibu dan ayah. Juga, bak kata pepatah 'diluah mati emak dan ditelan mati bapa'. Anak-anak tidak bisa menentukan masa depan mereka apabila situasi ini terjadi. Mereka menjadi rebutan antara suami dan isteri.

Apapun alasannya, mungkin harus kita renung-renungkan kembali apa yang telah dilalui bersama-sama sepanjang perkahwinan dan cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat kedua-dua pihak dan yang paling utama, tidak akan menjejaskan hidup dan masa depan anak-anak yang menjadi saksi dan hasil cinta atau perkahwinan. Alangkah sayangnya, bahtera yang telah sekian lama dibina tiba-tiba musnah dalam sekelip mata. Alangkah sedihnya, jika rumah yang dibina sekian lama tiba-tiba roboh tiang serinya. Alangkah sukarnya apabila semua kasih dan sayang yang disemai, dipupuk dan dibaja tiba-tiba hilang begitu sahaja. Mungkin juga harapan yang diletakkan begitu tingga sehingga pasangan menjadi takut kerana tidak mampu memenuhi harapan tersebut.

Penceraian bukan jalan yang terbaik dalam menyelesaikan segala masalah rumahtangga. Malah, Rasulullah pernah bersabda bahawa 'perkara yang paling tidak disukai oleh Allah ialah talak'.Mungkin, setiap pasangan harus lebih bersifat terbuka, harus lebih memahami, harus sedia mendengar, harus sedia berbincang dan harus berusaha untuk memperbaiki bahtera rumahtangga. Anggaplah kelemahan pasangan masing-masing sebagai pelengkap hidup dan kelemahan itu bisa di atasi jika kedua-duanya mahu menerima dan berusaha memperbaikinya. Mungkin harus setiap pasangan harus mendalami dan mengkaji semula apa sebenarnya masalah yang timbul hingga mencetuskan perasaan tidak puas hati. Mungkin juga, dengan bantuan orang tua yang lebih arif dan juga pakar dapat membantu kita menyelamatkan rumahtangga daripada terus bergoyang. Mungkin apabila kita kembali merenung apa yang dituntut oleh agama dapat membantu setiap pasangan menyelesaikan masalah dalaman mereka. Oleh yang demikian, persoalan 'did I marry the right person?' seharusnya bertukar kepada 'apakah yang harus aku lakukan untuk menyemarakkan hubungan di dalam rumahtangga agar kekal selama-lamya?'.

Wallahualam.


Yours truly,
Noor

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...