Search This Blog

Thursday, 26 August 2010

Kota Buku Kuala Lumpur?

Interesting article....


ARKIB : 15/08/2010

Kota Buku Kuala Lumpur?

Ada pelbagai persoalan-persoalan yang disingkapkan dalam Majlis Diskusi Kota Buku Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini. Antara persoalan yang dibangkitkan ialah; penggeraknya, pengisiannya, pengkaryaannya, hala tujunya, masa depan buku, perbezaan kampung buku, kota buku bahkan bandar raya buku.
Di atas 'kertas',impian dan hasrat Kota Buku Kuala Lumpur(KBKL) adalah:

  • Sebagai pusat sehenti bagi semua penggiat buku, penulis, dan pembaca;

  • Menjadi pusat pameran dan jualan buku terbitan syarikat tempatan dan luar negara;

  • Pusat sehenti kepada pelbagai urusan jual beli buku dan bagi pelbagai urus niaga membabitkan industri buku;

  • Menyediakan kemudahan kepada pustakawan, pensyarah, penyelidik, pelajar dan semua pihak berkaitan untuk mendapatkan koleksi buku terkini dan terpakai terbitan dalam dan luar Negara;

  • Menyediakan kemudahan bagi melaksanakan aktiviti pengumpulan maklumat untuk apa juga perkara berkaitan industri buku Negara.

  • Dikhabarkan lokasi KBKL ialah di Sekolah Rendah Kebangsaan (L) Jalan Batu dan akan digerakkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Usaha murni MBKM dan ITNM dalam menggerakkan pembangunan KBKL akan menjadi satu titik permulaan dalam melakarkan sejarah penting dalam pembangunan budaya membaca dan perbukuan.
    Bagi pencinta buku pula, kehadiran KBKL merupakan berita yang cukup menggembirakan kerana mereka akan dapat melakukan aktiviti 'kegilaan' mereka iaitu 'memburu' buku terpakai, buku murah, buku nadir, buku terkini bagi melengkapkan koleksi perpustakaan peribadi mereka.
    Secara sejarahnya, KBKL ini serta kota-kota buku dan kampung-kampung buku dunia yang lain berakar kepada konsep kampung buku yang diasaskan oleh Richard Booth di Hay-On-Wye, Wales, UK pada bulan April,1977. Hay-On-Wye pada asalnya sebuah perkampungan lama yang ditinggalkan dan telah dihuni oleh Booth bersama keluarganya sejak 1903. Booth terfikir untuk membangunkan kampung beliau dan menjadikannya perhatian masyarakat dunia.
    Apa yang terlintas di benak beliau ialah mewujudkan sebuah kampung buku. Paling menarik selain daripada koleksi bukunya, 'Hay-On-Wye' juga akan menjadi tarikan kepada para pelancong. Booth begitu yakin kerana idea beliau tentang Hay-On-Wye amat unik dan boleh menjadi kawasan perniagaan yang kompetitif.

    Kesedaran
    Sehingga kini sudah terdapat 33 kampung buku dan kota buku yang tersenarai di International Organization of Book Town (IOB) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kewujudan kota buku. Selain itu, ia juga meningkatkan kualiti kota buku itu sendiri selain memperkuatkan ekonomi luar bandar. Keempat pula memperkuatkan perniagaan persendirian di kota buku dan yang terakhir ialah untuk mempromosikan warisan budaya ke mata dunia . Namun dari segi kota buku itu sendiri barangkali Paju Book City di Korea Selatan merupakan kota buku yang paling gah di mata dunia.
    Paju Book City adalah kompleks industri memaparkan budaya nasional yang dibina seluas 1600 hektar, di daerah berdekatan Munbal-ri-secangkir Gyoha Paju-si Gyeomggi-do. Telah dibina selama 17 tahun dengan kerjasama seluruh penerbit bagi tujuan membina suatu budaya industri perbukuan.
    Namun persoalan yang lebih besar dalam penubuhan KBKL ialah bagaimana hendak menjadikan buku produk pembangunan budaya tinggi yang mendasari pembangunan negara berbudaya tinggi.
    Dari perspektif makronya, kota buku adalah kota budaya dan berkait rapat dengan buku sebagai produk budaya tinggi. yang akan melahirkan masyarakat berbudaya tinggi yang diwarnai pula oleh masyarakat yang mempunyai budaya membaca yang luar biasa. Ini tentunya tidak memadai dengan hanya membaca 8 hingga 12 buah buku setahun sebagai mana yang di laporkan dalam profil membaca rakyat malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
    Terangkum dalam masyarakat berbudaya tinggi adalah masyarakat yang halus akal budinya, sentuhan artistiknya dan rasa seni yang mendalam. Lebih dari itu akan terjelma rasa penghormatan yang tinggi terhadap sasterawan, pengarang, budayawan, ilmuwan, pemikir dan bukannya penghormatan keliru terhadap 'ikon palsu' dan 'selebriti ciptaan' yang akhirnya, menurut seorang pemikir Pitrim Sorokim, membentuk budaya hedonistik yang penuh kepalsuan.
    Buku sebagai citra dan produk budaya akhirnya mewarnai aspek kehidupan penghuni kotanya. Buku bukan hanya menjadi sebuah industri semata tetapi wahana pembudayaan manusia yang beradab. Pada hemat penulis, Kuala Lumpur sudah pun mempunyai prasarana budaya kota buku iaitu Perpustakaan Kuala Lumpur, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Istana Budaya, Balai Seni Lukis Negara, Arkib Negara, Muzium Negara. Apa yang diperlukan, bagaimana institusi budaya ini dapat dimanfaatkan secara bijaksana dengan 'bangunan' atau 'kompleks' kota buku yang ingin dibangunkan.
    KBKL yang bakal dibangunkan nanti harus mengelak dari terjebak dengan 'mainan politik' atau memenuhi kepentingan golongan-golongan tertentu.

    No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...