Sastera tempatan makin sempit
SEKITAR bulan Julai ini, aktiviti sastera agak menonjol. Kumpulan Utusan sibuk dengan Minggu Sastera. Kemuncaknya ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan Malam Puisi Utusan.
Syarikat-syarikat penerbitan lain pun ada juga menganjurkan aktiviti berkaitan sastera.
Aktiviti seperti ini mungkin tidak besar. Tetapi sekurang-kurangnya menyediakan sedikit ruang kepada penggiat sastera tempatan untuk berinteraksi dengan khalayak.
Acara seperti ini memberi ruang bukan sahaja untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat tetapi sekurang-kurangnya untuk memberitahu masyarakat akan kehadiran mereka dan kehadiran karya mereka.
Lagi pula dunia sastera tempatan kini makin sempit. Dahulu sastera cukup penting dalam masyarakat kita.
Melalui sastera disalurkan api perjuangan bangsa dalam menentang penjajah. Sastera menjadi medium penyebar semangat nasionalisme. Selepas merdeka karya sastera terus memperjuangkan masalah rakyat. Kemiskinan dan perbezaan jurang kehidupan diolah untuk membangkitkan kesedaran supaya sesuatu dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa.
Kini sukar untuk ditafsir sambutan masyarakat terhadap karya sastera tempatan.
Yang jelas ketika ini ruang untuk karya tempatan seolah-olah makin terbatas.
Ditambah pula dengan saingan daripada media elektronik dan Internet, maka semakin susah untuk melihat orang ramai duduk menelaah novel atau menghayati bait-bait puisi.
Jika dulu menjadi teman ketika masa senggang, kini ia diambilalih oleh komputer riba.
Masa yang terluang ketika duduk santai sambil minum di restoran diisi dengan melayari Internet.
Lokasi pelayaran mereka sudah tentulah laman web sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Kalau ada yang mencari artikel tentang sastera tempatan tentu terlalu kecil.
Adakah perkembangan ini boleh dianggap sebagai ancaman kepada kepupusan sastera tempatan?
Adakah trend di seluruh dunia sekarang ini menyaksikan elemen sastera semakin dipinggirkan? Atau ia hanya berlaku di Malaysia? Rasanya di negara jiran seperti Indonesia masyarakat sasteranya masih riuh rendah dengan pelbagai aktiviti. Malah karya-karya sastera mereka terus melambak di pasaran. Karya-karya penulis tersohor seperti Pramoedya Ananta Tour terus dicari dan dikaji.
Kemungkinan juga dunia sastera kita dilihat agak lembap kerana kurang sokongan komersial? Karya-karya serius dilihat tidak mempunyai nilai komersial dan tidak mempunyai tempat di rak-rak di kedai-kedai buku utama.
Bagi yang rajin menjelajah kedai-kedai buku yang besar-besar dan ternama di seluruh negara tentu perasan bahawa karya tempatan terutama dalam bahasa Melayu amat kurang.
Lebih mudah untuk mencari karya-karya penulis besar barat seperti William Shakespeare, Ernest Miller Hemingway, Albert Camus dan sebagainya di kedai-kedai buku di negara kita.
Tetapi di mana kita hendak cari buku Anak Mat Lela Gila karya Ishak Hj Mohamad atau Pak Sako? Bolehkan kita dapat buku Putera Gunung Tahan di kedai-kedai berjenama antarabangsa itu? Rasanya tidak.
Begitu juga dengan karya-karya besar daripada Datuk Usman Awang, Arena Wati, Datuk Shahnon Ahmad, Datuk A. Samad Said dan lain-lain sukar untuk diperolehi di kedai-kedai buku tersohor iru.
Malah ruang untuk buku berbahasa Melayu cukup kecil. Kalau dikatakan satu peratus daripada keseluruhan ruang lantai kedai-kedai buku terbabit dikira sudah cukup besar.
Malah ia dianggap sebagai pengorbanan yang cukup besar oleh mereka yang membantu industri sastera tempatan. Pada mereka, jika diambil kira tuntutan komersial buku-buku Melayu sebenarnya langsung tidak ada tempat dalam gedung-gedung terbabit. Pada mereka menjual dan mempamerkan buku-buku Melayu sekadar memenuhi tanggungjawab sosial.
Seorang rakan berkata, jika mahu mencari buku-buku lama karya sasterawan tersohor tempatan kenalah menyelusuri pustaka-pustaka kecil yang terletak di lorong-lorong belakang. Bukannya di kedai-kedai buku yang terdapat di pusat membeli belah terkemuka.
Adakah ini memberi gambaran bahawa karya penulis tersohor kita hanya mendapat layanan kelas dua? Adakah karya-karya mereka tidak layak diletak sebaris dengan penulis-penulis barat di kedai-kedai buku kita?
Prejudis dan layanan yang tidak sama rata ini tentunya akan menyempitkan lagi dunia sastera tempatan atau lebih khusus sastera Melayu.
Apa yang berlaku ini mesti ada puncanya. Mesti ada sesuatu yang tidak kena di mana hingga sastera Melayu terpinggir di bumi sendiri.
No comments:
Post a Comment