Search This Blog

Monday 2 August 2010

Semarak sayembara sains fiksyen

RKIB : 24/07/2010 Utusan Malaysia

Semarak sayembara sains fiksyen

DUNIA penulisan sastera tempatan pernah memiliki beberapa naskhah karya berbentuk sains fiksyen dan teknologi yang masih diperkatakan sehingga kini.
Antaranya, siri Seribral Hidrofarik karya Mohd. Ariffin Mohd. yang diterbitkan pada 1977 dan 1978. Karya itu boleh dikatakan naskhah fiksyen terawal sebelum lahirnya beberapa lagi judul dalam genre serupa, seperti Pulau Berukera dan Berukera Dari Planet Ulba karya Ismail Sarbini (1982) dan Siri Kapten Merak karya Mishar (1997).
Sejak itu juga, ramai penulis yang cuba menerbitkan karya-karya berbentuk sains fiksyen dan teknologi yang banyak bergerak dalam dunia imaginasi yang kebiasaannya di luar kehidupan realiti. Namun begitu, penerbitannya masih agak terhad dan tidaklah begitu mesra pasaran dan pembaca. Perlu diakui bahawa usaha untuk menyatukan sastera dan sains fiksyen serta teknologi bukanlah sesuatu yang mudah.
Kita mungkin mempunyai ramai sasterawan atau penulis yang bijak menyusun kata. Kita juga mungkin mempunyai ramai saintis yang pakar dalam pelbagai bidang sains dan teknologi yang canggih. Tetapi kita kekurangan mereka yang mempunyai kedua-dua kebolehan sebagai penulis dan dalam masa yang sama, sebagai seorang saintis.
Mungkin bagi sesetengah individu, karya genre sains fiksyen tidak semestinya dihasilkan oleh saintis. Dengan sedikit kajian dan pencarian maklumat mengenai sains serta teknologi di Internet, seseorang boleh mengolah dunia sains fiksyen ke dalam dunia sastera. Tetapi berapa ramai sebenarnya penulis yang mampu bertahan untuk berkarya dengan hanya berpandukan maklumat yang diperoleh daripada bahan-bahan rujukan.
Bukan tidak ada penulis yang cuba membuat kelainan dengan terjun ke dalam penulisan genre ini. Tetapi kebanyakan mereka akan berakhir dengan putus asa kerana pengalaman dan pengetahuan yang tidak begitu mendalam dalam bidang fiksyen serta sains dan teknologi. Semangat itu pula semakin pudar kerana tiadanya galakan dari industri sendiri serta pasaran terhadap sastera bertemakan sains fiksyen dan teknologi, terutamanya karya berbahasa Melayu yang tidak begitu meriah.
Ini kerana dalam dunia penulisan dan penerbitan tanah air, banyak penulis selesa melontarkan idea yang lebih bersifat realiti dan bukannya fantasi. Kerana itu, Sayembara Sains Fiksyen dan Teknologi yang dianjurkan oleh Kumpulan Utusan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), boleh disifatkan sebagai salah satu usaha menongkah arus dalam dunia penulisan dan kesusasteraan tanah air.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...