2010/08/20 BERITA HARIAN
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program pembelajaran sepanjang hayat akan dijadikan sebagai agenda untuk meningkatkan keupayaan modal insan negara.Beliau berkata, program yang dijadikan sebagai tiang ketiga selepas pendidikan asas dan pendidikan tertiari dianggap penting untuk meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 28 peratus pada masa ini kepada 33 peratus menjelang 2015.
"Kita bersetuju ini aspek yang penting dalam kertas yang dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Pelan Induk Pembangunan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2010-2020," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, hari ini.
Katanya, antara institusi yang dijangka terbabit dalam menawarkan peluang pembelajaran sepanjang hayat termasuklah kolej komuniti, politeknik, institusi pengajian tinggi awam, agensi kerajaan dan institusi pendidikan jarak jauh.
Beliau berkata, dalam usaha membudayakan program pembelajaran sepanjang hayat, insentif dan ganjaran perlu diambilkira bagi memotivasikan pekerja tidak terlatih menjadi tenaga mahir.
"Terdapat inisiatif yang diambil oleh pihak industri, institusi latihan, jika mereka mahu pekerja mereka maju lagi dari segi kemahiran.
"Sepatutnya ada bentuk galakan diberikan selain pengiktirafan terhadap kelulusan yang dimiliki. Mungkin ganjaran dalam bentuk gaji, insentif yang sepatutnya boleh diambilkira," katanya.
Muhyiddin berkata, mesyuarat hari ini turut memutuskan dalam memastikan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) mencapai hasil yang diperlukan, koordinasi di antara agensi dan kementerian yang terlibat dalam pembangunan modal insan akan diperkukuhkan yang diterajui oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Katanya, pihak swasta juga akan dilibatkan secara aktif dan bersetuju dengan latihan semula dan ulangan berikutan kira-kira 80 peratus tenaga kerja di dalam sektor ekonomi negara tidak terlatih.
Beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan penubuhan Lembaga Teknologi Malaysia selaras dengan usaha untuk mentransformasi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
Katanya, langkah itu sebagai mengiktiraf usaha untuk melahirkan tenaga kerja terlatih dalam meningkatkan pengeluaran graduan teknikal.
Muhyiddin berkata, mesyuarat turut menerima Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Industri Kreatif Negara, industri yang mempunyai potensi besar tetapi sumbangannya kepada ekonomi negara pada masa ini masih kecil.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah diminta untuk meneruskan kajian yang terperinci bagi mempertingkat dan membangunkan industri itu.
Katanya, antara lain pelan tindakan itu akan memperkasa institusi pendidikan melalui pemantapan kepakaran tenaga pengajar, memantapkan kurikulum latihan, meningkatkan keupayaan penggiat seni dan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D). - Bernama
No comments:
Post a Comment