Search This Blog

Monday, 16 August 2010

WS Rendra wira manusia 'kecil'

Dear Readers,

I found this article on WS Rendra which I would like to share with you. WS Rendra is a famous laureate in Indonesia. C'mon let's read.


WS Rendra wira manusia 'kecil'
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/08/16
ANTARA mereka yang menyertai Seminar WS Rendra: Mengenang Rendra dalam Hubungan Budaya Antara Malaysia dan Indonesia di USM, baru-baru ini.
ANTARA mereka yang menyertai Seminar WS Rendra: Mengenang Rendra dalam Hubungan Budaya Antara Malaysia dan Indonesia di USM, baru-baru ini.
Permasalahan mereka yang dibangkitkan dalam karya tarik khalayak

KETOKOHAN Allahyarham WS Rendra sebagai penyair yang membela nasib manusia ‘kecil’ dan serentak itu berlaku kritis terhadap dasar pemerintah Indonesia dibongkar pada Seminar WS Rendra: Mengenang Rendra dalam Hubungan Budaya Antara Malaysia dan Indonesia.
Click Here
Turut dibongkar, kelantangan WS Rendra dalam memperjuangkan nasib golongan terpinggir sehingga memberi kesan besar terhadap dunia politik Indonesia, sekali gus membuktikan lidah kepengarangan lebih tajam daripada mata pedang.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata, puisi Nyanyian Angsa dan Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta berjaya memperlihatkan perjuangan Rendra untuk kelompok terbabit.

“Dalam puisi Nyanyian Angsa, Rendra memperjuangkan nasib pelacur yang diusir, Maria Zaitun kerana mengidap sifilis, bukan saja gagal mendapatkan rawatan sempurna di klinik, tetapi turut dinasihati paderi di gereja yang menyuruh Maria berjumpa dengan pakar sakit jiwa,” katanya ketika melapah Rendra di Tengah-Tengah Manusia Kecil, Lantang Menyuarakan Penentangan.

Seminar anjuran Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara itu berlangsung di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang baru-baru ini.

WS Rendra turut sinis terhadap kepemimpinan Indonesia dalam Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta yang sinis melalui watak Sarinah dan Dasima, pelacur yang sering didampingi pemimpin, penguasa dan pemerintah yang gemar melontarkan janji manis terhadap masyarakat bawahan.
Selain menonjolkan kerosakan moral sesetengah pembesar dan mendedahkan segala kepincangan yang berlaku terhadap masyarakat bawahan, WS Rendra turut dilihat mengambil posisi membela manusia kecil dengan menenangkan mereka melalui unsur nasihat yang diselitkan dalam puisi itu.

“Karya WS Rendra tidak sekadar indah, malahan menggerakkan kesedaran masyarakat dengan rentetan transformasi perjuangan. Ketajaman mata penanya menyebabkan beliau pernah ditahan, dipenjarakan dan kadang kala penonton bangkit merusuh selepas mendengar deklamasinya.

“Inilah buktinya bahawa karya sastera pernah memberi impak yang besar kepada negara dan masyarakat. Berbeza dengan kebanyakan karya penyair pada hari ini yang kurang menunjukkan taringnya, walhal sastera sudah terbukti sebagai alat penyampaian yang berkesan,” jelasnya.

Sasterawan Indonesia, Putu Wijaya, pula menjelaskan WS Rendra yang mendapat jolokan Burung Merak itu sudah menjadi fenomena dan inspirasi penggiat seni di Indonesia kerana kebijaksanaannya melontarkan kritikan sosial yang mewakili suara rakyat.

“WS Rendra menyebabkan penonton berasa diwakili pada zaman yang penuh dengan tekanan itu, meskipun kritikannya tidak baru dan sekadar mengulangi paparan dalam akhbar. Bagaimanapun, apa yang diucapkan adalah sesuatu yang ingin didengari, lalu karyanya mendapat perhatian.

“Beliau tidak sekadar bijak menghasilkan puisi, bahkan menjadi inspirasi bagi penggiat seni teater Indonesia. Selepas kembali dari Amerika pada 1967, langkah teaternya memimpin kebangkitan teater moden di Indonesia yang sebelumnya kurang popular di kalangan mahasiswa,” katanya.

Putu Wijaya melihat kebangkitan teater yang dipelopori WS Rendra ialah tidak membiarkan teater sebagai alat hiburan, tetapi alat menyalurkan inspirasi yang lebih agresif, vokal dan mencerminkan suara hati masyarakat mengenai isu kemanusiaan, politik dan budaya.

“Ketika WS Rendra mementaskan Macbeth dengan memakai gaya ketoprak, kebudayaan Jawa mulai dibaca dari sisi berbeza. Dalam mengusung kearifan teknik adegan ketoprak, WS Rendra seperti mengajak masyarakat menyingkap sisi baru dalam budaya Jawa,” jelasnya.

Penerima Anugerah Penulisan Sea Write 1989 , Dr Siti Zainon Ismail pula menyifatkan karya awal tokoh itu yang dihasilkan pada 1950-an, begitu rapat sekali dengan alam berlatar dan nilai sosiobudaya Jawa kerana beliau dibesarkan dalam persekitaran masyarakat Jawa.

“Kehidupan penyair ini bertolak daripada pegangan awalnya sebagai orang Jawa yang berpegang kepada Kristian, sebelum memilih Islam selepas mengkajinya. Latar budaya dan semangat jiwa lewat kebesaran alam semesta menjadi landasan asas penyair ini menggerakkan batin mahupun mindanya.

“Keprihatinan WS Rendra terhadap unsur alam dapat dilihat dalam Kumpulan Sajak-Sajak Sepatu dan Empat Kumpulan Sajak 1961. Nada awal puisinya akrab dengan unsur alam, kemudian menyatu dengan peristiwa diskriminasi terhadap pelacur sehingga terhasil Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta,” katanya ketika merincikan Semangat Alam, Kasih Ibunda dan Kemanusiaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...