Search This Blog

Monday, 2 August 2010

Penulis muda menyerlah

ARKIB : 11/07/2010

Penulis muda menyerlah

SEJARAH membuktikan sastera merupakan satu bidang yang sering mendapat perhatian pengkaji untuk mengukur peradaban dan ketamadunan sesebuah nusa mahupun sesuatu bangsa. Ketinggian budi dan budaya suatu bangsa, selain kerana pegangan terhadap agama, juga banyak bergantung kepada apresiasi yang mendalam terhadap sastera yang menjadi pemangkin kelestarian dan kejayaan sesebuah negara. Peranan penting sastera melayakkan ia diiktiraf sebagai salah satu bidang bagi menerima Anugerah Nobel, selain empat bidang yang lain.
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang menjadi bukti kepada pengiktirafan bidang sastera di persada nusa menunjukkan masih terdapat usaha murni pihak swasta dan korporat yang menyedari peri pentingnya sastera dalam mendidik masyarakat. Rantaian apresiasi selama 25 tahun tanpa putus ini bertujuan mengenal pasti bakat dan karya yang seharusnya dimartabatkan serta meneruskan hayat kesusasteraan tanah air. Melalui hadiah yang dianugerahkan, pihak penganjur dan penaja dapat menonjolkan karyawan yang seharusnya diiktiraf oleh masyarakat dan negara melalui senarai yang telah dibariskan oleh juri.
Melalui senarai pemenang HSKU 2009, dapat dinilai bahawa negara masih mempunyai ramai bakat yang layak menjadi pelapis karyawan mapan. Hakikat ini haruslah disokong dengan lebih banyak usaha pemantapan oleh pihak bertanggungjawab agar mutu karya mereka lebih baik dan meningkat berbanding generasi terdahulu. Ini kerana yang baru itu seharusnya lebih baik daripada yang sedia ada.
Senarai penerima hadiah sempena suku abad ini membuktikan dalam pelbagai bidang apa jua sekalipun, belia adalah harapan negara. Sekaligus barisan ini menandakan bahawa tanah air masih mempunyai ramai intan permata yang seharusnya digali dan terus dicanai, dalam keadaan negara yang menghadapi fenomena keruntuhan moral belia akibat serangan anai-anai hiburan dan digugat virus hedonisme.
Belia yang tersenarai dalam HSKU 2009 seperti Sri Rahayu Mohd Yusop, Md. Nizar Parman, Norziati Mohd Rosman melalui kategori novel remaja adalah bukti bahawa negara tidak ketandusan belia bermutu, sebaliknya mereka ini kurang diberi peluang dan ruang. Jika dalam anugerah sayembara lain mereka ini terpaksa "ikut barisan" dan umur berkarya untuk merangkul hadiah, dalam HSKU mereka dipilih tanpa prioriti umur. Yang diukur adalah mutu karya, bukannya umur pengkarya atau usia pengkaryaan seseorang.
kategori
Kebangkitan mereka setelah diberi peluang ini juga dapat disaksikan dalam senarai penerima hadiah bagi kategori cerpen remaja. Hafizah Iszahanid dan Nadia Khan menguasai senarai utama kategori ini, manakala Ummu Hani Abu Hassan, Wan Marzuki Wan Ramli dan Siti Hajar Mohd Zaki tambah meyakinkan bahawa golongan belia hanya menunggu ruang yang dibuka untuk menjengah dan bertamu ke dalam rumah sastera, seterusnya meneruskan usaha memartabatkan dunia sastera dengan karya bermutu hasil garapan mereka yang rata-ratanya berpendidikan tinggi.
Penulis muda seperti Nadia Khan yang terpilih menerima hadiah utama melalui karya sulungnya Puaka Pak Jaha di Mingguan Malaysia sedari awal karyanya disiarkan sudah dapat ditebak pemilihannya kerana mutu karya yang matang berbanding usia kepengarangannya. Beliau juga sewajarnya menjadi ikon yang boleh mencelikluaskan mata dan membuka minda sesetengah pihak yang mementingkan usia pengkarya setiap kali membuat penilaian untuk sesuatu hadiah agar berfikiran terbuka dan berfikir di luar kotak setiap kali membuat penilaian.
Peranan belia sebagai pelonjak martabat sastera nusa mutakhir ini juga tidak dapat dinafikan lagi jika disemak senarai penerima hadiah kategori cerpen (dewasa). Mohd Nazmi Yaakub, Serunai Faqir dan Mawar Shafei menunjukkan bahawa belia bukan hanya layak menulis seputar perihal dirinya, malah lebih daripada itu mengupas pelbagai isu sosial dan falsafah yang jarang disentuh oleh penulis lain yang sebanding usia atau melebihi mereka.
Pandangan ini disokong oleh salah seorang pemenang, Mohd Nazmi Yaakub yang berpendapat bahawa generasi muda lebih sensitif dengan perubahan dan semangat zamannya, tidak terlalu terikat dengan retorik nostalgia. Kerana itu akhbar dan majalah sebagai wakil kepada semangat sesuatu zaman sudah tentu menyiarkan karya yang bersesuaian dengan zamannya. Dengan itu, beliau yakin karya yang dipilih juri HSKU adalah berdasarkan faktor mutu dan semangat yang ada pada karya, bukannya kerana terikat dengan status penulis.
Kehadiran Salman Sulaiman, Arif Mohamad dan Fahd Razy dalam senarai penerima hadiah kategori puisi memberi nilai tambah kepada mutu belia dalam bidang sastera. Begitu juga S. M. Zakir, Mohamad Saleeh Rahamad dan Zaen Kasturi yang baharu sahaja melangkaui batas usia belia. Mereka sedari usia belianya menjadikan mutu karya mereka sebagai tagan dalam HSKU dan telah banyak kali merangkul hadiah melalui pengiktirafan oleh HSKU yang lalu.
Namun untuk tahun mendatang kita mengharapkan agar lebih ramai belia menulis rencana sastera, seterusnya layak diiktiraf untuk disenaraikan sebagai penerima hadiah kategori ini. Kebolehan dan bakat seseorang penulis itu tidak hanya diukur dalam bidang kreatif sahaja, sebaliknya penulis haruslah kreatif dalam mengisi ruang yang boleh menonjolkan diri dan mencipta peluang untuk menaikkan nama mereka.
kemelut
Dalam kemelut negara dengan pelbagai isu sosial yang dicetuskan oleh golongan remaja dan belia sebaya mereka, golongan penulis ini tampil dengan pelbagai ulasan, cadangan, rawatan dan gagasan untuk merawat penyakit masyarakat melalui pemikiran dan didikan mereka yang disampaikan lewat karya. Sama ada ia diiktiraf atau sebaliknya, barisan belia yang terpelajar dan terdidik ini sentiasa tahu tugas mereka untuk negara dan terus istiqamah menulis tanpa menghiraukan penerimaan rakan sebidang dan kata-kata sinis oleh mereka yang memilih bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan.
Dunia kesusasteraan kita amatlah kaya, sebenarnya. Kita memiliki himpunan karya dan saf karyawan yang tidak kurang panjangnya. Sebelum barisan ini terputus oleh ketidakcaknaan kepada kewujudan dan kebajikan mereka, suatu usaha sinergi oleh pelbagai pihak haruslah sentiasa difikirkan demi pelestarian sebuah peradaban.
Justeru itu, HSKU diharapkan menjadi cermin kepada pihak-pihak lain untuk menilai usaha mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial. Diharap pengiktirafan berterusan seperti ini oleh pihak Kumpulan Utusan dan Exxonmobil berjaya memantapkan karya yang ada dan memartabatkan karya yang luar biasa, seterusnya mengharumkan nusa di peta dunia.

2 comments:

  1. Tahniah pada penulis-penulis yg menang. Nak menulis jugak ah..hehhe. Salleh Rahamad tu lecturer aku dulu. Ada beberapa kali jugak aku hadir bengkel penulisan ngan Salman Sulaiman, SM zakir, Mawar Shafie..Faizal Tehrani. Yang selalu dok cantact lagi cuma Shamsiah Mohd Noor (penulis selimut malam) and Aminah Mokhtar(penulis drama radio no 1 persiaran 3. Depa ni banyak buat duit woo...

    ReplyDelete
  2. nape takleh nak post comment ni???

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...