Search This Blog

Thursday, 26 August 2010

Menilai kembali HSPM

Interesting article to be shared with all my readers....



ARKIB : 22/08/2010

Menilai kembali HSPM

HADIAH Sastera Perdana Malaysia (HSPM) diwujudkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka adalah pengiktirafan dwitahunan ke atas karya sastera Melayu pelbagai genre yang memperlihatkan mutu penciptaan yang tinggi. Antara matlamat hadiah ini adalah untuk menggalakkan penciptaan dan penerbitan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu, dan mengiktiraf karya yang telah mencapai tahap mutu yang membanggakan. Ringkasnya, HSPM memilih karya yang benar-benar layak setanding dengan hadiah paling berprestij dalam bidang sastera tanah air.
Namun dalam program Dialog Orang Muda (DOM) Ke-3 di Rumah Pena baru-baru ini, status “perdana” HSPM dipersoalkan. Melalui tajuk “Hadiah Sastera Perdana: Perdana @ Tidak?" ketiga-tiga panel iaitu Rahimidin Zahari, Salman Sulaiman dan Siti Raihani Mohd Saaid melalui hujah masing-masing secara tidak langsung mewakili suara hati sebilangan besar sasterawan yang mempertikaikan keunggulan HSPM.
Melalui tafsiran pragmatik terhadap ulasan ketiga-tiga panel, ternyata HSPM bermasalah dan dianggap tidak perdana lagi bagi mewakili anugerah tertinggi dan berprestij kerana ada keraguan pada kerangka penilaiannya.
Hal ini termasuklah keraguan sama ada penilaian itu dibuat berdasarkan teks atau ketokohan seseorang penulis, atau lebih tepatnya karya atau pengkarya itu sendiri? Sekiranya karya itu yang menjadi nilaian kelayakan, masih banyak ketidakpuasan hati kalangan sasterawan terhadap neraca timbangan yang tidak bertepatan dengan nilai layak yang sepatutnya diletakkan oleh penilai-penilai.
Sebaliknya pula jika ketokohan pengkarya itu yang menjadi ukur nilai pemilihannya, masih boleh dipersoalkan kredibiliti penerima hadiah tersebut. Ini kerana jika diteliti sejarah hadiah ini, masih ramai sasterawan yang berkualiti tidak terpilih. Jadi pertanyaan yang timbul seputar pemilihan teks atau ketokohan ini berbalik kepada sentimen peribadi panel penilai HSPM itu sendiri. Ramai yang meragui dan menganggap ada panel “memilih bulu” dalam pemilihan sehingga mengorbankan nilai prestij hadiah ini.
Rungutan
Melalui DOM, beberapa perkara utama dibangkitkan iaitu kredibiliti pemilihan dan urusan teknikal berkaitan pengumpulan karya yang ingin dinilai. Sering menjadi rungutan ekoran ketidakpuasan terhadap panel yang sesetengahnya rela meminggirkan karya yang baik dan memilih karya daripada penulis berbeza lantaran terdapatnya penulis yang sama sudah memenangi beberapa kategori.
Menurut Siti Raihani, terbukti wujud kes panel memilih penulis berbanding nilai karya. Malah ada kalanya panel menolak karya sesetengah penulis kerana sentimen peribadi walaupun karyanya sangat baik, sebaliknya memilih karya penulis lain yang tidak mencapai tahap.
Dalam hal ini, katanya, sikap panel yang berdolak-dalik dalam kriteria pemilihan hadiah menjadi rungutan yang tidak berkesudahan. Ini kerana tiada penegasan dalam kriteria yang sepatutnya tidak menjadi korban sentimen panel dan organisasi penganjur.
Salman pula menyimpulkan HSPM sebagai kurang perdana kerana pengkarya dikehendaki menghantar karya mereka sendiri kepada urusetia penilai. Kelemahan dalam aspek teknikal ini membuktikan pihak penganjur gagal dalam meletakkan hadiah ini ke tahap dan peringkat yang sewajarnya, setaraf dengan gelaran “perdana“nya yang diamanahkan itu. Sejak kewujudan hadiah ini, pengkarya diminta menghantar karya mereka dalam bentuk salinan kepada pihak penganjur untuk dinilai, tidak kira penulis itu terkenal atau penulis muda yang baru mengenal dunia sastera nusa.
Syarat ini seolah-olah meletakkan hadiah berprestij ini menyamai sesebuah peraduan kerana sesebuah peraduan ini berdasarkan penyertaan mereka yang “beradu”, bukannya dipilih dan “dinilai”. Hal ini terbukti dalam syarat dan peraturan keenam yang ditetapkan oleh urusetia HSPM yang berbunyi “Setiap judul karya, sama ada buku atau eceran, hendaklah dihantar dalam empat naskhah karya asli atau salinan fotokopi yang jelas dan dijilid kemas.”
Justeru itu DOM berharap agar HSPM terus dikembalikan peranannya sebagai pengiktiraf perdana mutu karya sastera negara sebelum masyarakat hilang keyakinan terhadap kegahannya suatu ketika dahulu. Aspek mutu haruslah dikirapakai sebagai kayu ukur penilaian di mana hanya karya dalam media sastera perdana sahaja dipilih, bukannya menilai keseluruhan karya siaran “majalah kaki lima”. Sebagai contoh, HSPM bolehlah mengenalpasti majalah-majalah yang mempunyai 60 peratus tulisan dan karya serius dan meminggirkan majalah yang memuatkan 90 peratus hiburan dalam senarai sumber penilaiannya.
Konsisten
Turut disarankan agar HSPM konsisten dalam penganjurannya, telus dalam penilaian tanpa mengira faktor umur dan pengkaryaan, dan mengirapakai aspek mutu sebagai kayu ukur penilaian. Dalam hal ini, ketiga-tiga panel merujuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) sebagai contoh. Maka, untuk melaksanakan tanggungjawab besar ini, seharusnya satu sekretariat diwujudkan bagi menyelaras kerja-kerja penilaian supaya prestasi penganjurannya terus unggul.
HSPM boleh menjadi prasarana intelektual dunia sastera jika pihak penganjur benar-benar faham matlamat hadiah yang membawa erti yang sangat besar itu. Maka sayugialah bicara seputar penambahbaikan hadiah ini dipedulikan dan dipandang positif agar ia dapat memikul amanah sebagai anugerah berprestij negara dalam erti kata membawa aspirasi kesusasteraan negara, di mana karya dan pengkarya yang terpilih akan menjadi rujukan sasterawan serta pengkaji sastera tempatan dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...