KEMARAHAN meluap-luap. Nada suaranya tidak lagi menggambarkan dia seorang tua yang harus dihormati. Apa lagi menjadikan kata-katanya itu daya rangsangan positif. Walau dahi berkeringat dan matanya pejam celik, namun belum cukup menyedarkan betapa panas matahari ini mengharuskannya bersabar. Sewajarnya dia perlu meneguk air bukan melancarkan hamburan maki hamun bagi mengurangkan asakan amarah.
Dia orang tua yang sentiasa menghuru-harakan suasana saat-saat akhir musim menuai. Kulitnya yang hitam legam itu menjadi petanda kepayahan dan kesungguhannya selama ini. Usianya 70 tahun dan susuk tubuhnya kecil, tetapi tidak ada siapa pun yang menafikan kekuatannya. Dia pantang dicabar. Dia masih juga terbongkok-bongkok meneruskan pekerjaan tradisi ini. Menggagahkan diri mengharungi lumpur dari satu musim ke musim lain membanting tulang empat kerat.
“Orang tua itu sudah gila. Sebelum magavau dia sudah mabuk. Berkelakuan seolah dialah raja. Dialah yang berjasa.” Ketua Kampung hanya mengangguk. Bukan menyokong anak buah atau orang tua itu. Tidak jua dia menolak kebenaran orang tua itu atau kesahihan hujah anak buahnya. Ada tusukan halus yang menjalar dalam sanubari. Terlalu dalam sehingga dia harus berhati-hati bertutur kata, apa lagi memberi jawapan yang akan di sambut dengan gelak ketawa. Dia perlu juga berdiam diri barang satu saat untuk berfikir.
Hamburan kata Lacius sudah kedengaran sepuluh tahun lalu. Semakin lama kebenaran semakin jelas. Gemalai tarian tidak sepadan kepayahan yang tercurah ke bumi. Segalanya sudah berubah. Matlamat dan prinsip juga jauh terpesong. Demikian juga musim yang bercelaru menghambat keinginan. Mematikan langkah kaki dan hanya kerana kesedaran hidup harus diteruskan maka tanah sawah ini masih terus di usahakan.
Dan akhirnya hanya kelihatan ‘orang-orang sawah’ yang longlai di tengah sawah padi.
Itulah gelaran kepada Lacius. Orang tua yang masih juga menggagahkan diri mengusahakan sawah padi.
Ketua Kampung pun tidak terkata jika Lacius berhujah. Dia sudah lama tidak menginjak kaki ke tanah sawah apa lagi mengangkat cangkul atau sengaja mahu terpalit lumpur. Gaji bulanan selaku ketua kampung sudah cukup menyara hidup tuanya. Dia hanya perlu prihatin dan peka akan laku anak buahnya. Sekali-sekala dia hanya perlu berdiri di tepi jalan raya memerhatikan jentera membajak tanah sawah dan jika berkesempatan bertanya jumlah hasil yang berjaya dikeluarkan musim ini. Jika hasil kurang dari musim sebelumnya, pasti ada yang tidak sempurna. Mungkin soalan itu diajukan pada alam atau bambazon.
Tidak ada siapa yang tahu kegusaran menghambat-hambat dalam jiwanya setiap kali lori mengangkut semua hasil padi beredar. Siapa mungkin akan mengerti makna magavau jika keringat tidak mengalir di tengah-tengah panas mentari. Siapa mungkin akan merasa kenikmatan apabila burung pipit tidak sudi hinggap di rumpun padi dan meninggalkan padi yang tunduk berisi.
Hanya orang tua sepertinya yang faham atau ibu tua yang masih bergantung harap pada rezeki si padi.
Itulah yang menjadikan Lacius ‘mabuk’ sebelum waktunya. Bernostalgia saban musim.
Tahun ini seperti juga tahun sebelumnya semakin mencabar buat Lacius dan orang-orang sepertinya. Musim sudah berubah. Tengkujuh menjadi kemarau. Kemarau menjadi ribut. Banjir tidak juga membunuh anak padi kerana empangan pun hampir kering. Dia tidak marah pada alam kerana alam jua yang menyuburkan segala yang hidup di muka bumi ini. Marahnya hanya pada manusia. Manusia yang lupa berbudi pada tanah.
Sepanjang hayatnya dia mempercayai semangat bambazon. Apabila berakhir musim padi, magavau diraikan tanda kesyukuran dan berterima kasih penghasilan padi pada musim itu. Terlalu besar harapan di pikul agar hasil dituai berlipat-ganda pada musim seterusnya. Mendiang Orang Kaya-kaya (OKK) Sodomon, Ketua Anak Negeri Keningau yang mengusulkan idea sambutan ini dan 1960 diluluskan sebagai cuti umum. Tahun demi tahun satu Malaysia juga sedar akan pesta ini.
Namun semakin lama dia pula semakin cuak. Saban waktu kegembiraan terbit kerana cuti umum bukan semangat menjalar dari pesta ini.
“Jika sawah padi ini tidak lagi membuahkan hasil tetapi hanya lalang dan tidak ada seorang pun manusia berdiri di tengah sawah ini, apa maknanya magavau itu?” Dia tahu anak-anak muda menyamakan dirinya seperti orang-orang sawah.
Mereka berseloroh bahawa burung pipit pun tidak akan takut malahan terbang mengejek. Ikan sepat, koruk dan jalak pun sengaja mengapungkan diri merasai kebosanan kerana tidak ada lagi suara anak-anak kecil yang nakal berlari-lari di sawah padi. Sang kerbau juga semakin menjauh.
Tanah sawah ini amat sepi pembayang penghujung hayat seorang tua. Padi-padi ini hanya membesar bersama alam, bunyi angin atau burung pipit atau ditemani bunyi jentera. Jentera membajak. Jentera menanam padi dan penghujung musim, jentera menuai padi. Hinggalah bunyi lori yang hanya perlu menunggu di tepi sawah mengangkut hasil padi itu untuk di bawa pulang ke kilang.
Dan Lacius akan mendapat bayaran setiap karung yang diniagakan. Atau menunggu sebulan dua setelah padi itu menjadi beras. Dia sengaja membawa pulang satu atau dua karung padi buat pelepas rindu. Jumlah itu tidak cukup memenuhkan ketawai dan sebelum musim bermula simpanan padinya sudah habis. Sekoyong-koyongnya dia perlu ke pasar raya membeli beras.
“Kita sudah hilang penghormatan terhadap semangat padi. Kita terus juga berpesta dengan harapan rezeki akan datang lebih baik dan banyak. Tetapi lihat saja, siapa yang tinggal untuk mewarisi pekerjaan ini? Pesta apa yang kita teruskan?“
“Sudahlah! Jangan diturut marah. Seorang bayi pun akan menjadi orang tua seperti kita. Ideanya juga meluap-luap mencanai perubahan demi perubahan. Kita harus akur.” Ketua Kampung memujuk Lacius.
“Tetapi apa maknanya magavau jika satu hari nanti sawah padi semakin sukar ditemui? Apa yang harus dipuja Bobolian? Pasti bambazon akan hilang dan hidup kita semakin susah. Apa nasib kita jika segenggam beras sama harganya dengan minyak?” Orang kampung mengata dia sudah nyanyuk dan hanya menunggu waktu pergi. Lacius tidak peduli. Dia tahu anak-anak muda semakin bacul mengeluarkan idea untuk kebaikan bersama. Biarkan saja dia yang bersuara siapa tahu akan ada juga yang mahu berfikir walau berpura-pura tidak mendengar.
“Selagi beras menjadi makanan rugi, sawah padi ini harus terus mengeluarkan hasil. Siapa tahu sepuluh tahun lagi kita akan mampu menduga kitaran alam. Kita akan dapat menghasilkan padi yang bermutu tinggi.“ Pujuk Ketua Kampung. Dia juga malu pada diri kerana hanya perlu menunggu wang sewaan tanah sawah.
“Aku sudah bosan meraikan magavau sebegini. Kita sudah hilang semangat Kinoingan dan Huminodun. Mana Suminundu yang melahirkan anak-anak bersemangat tunduk do tadau?” Lacius mula menari Sumazau seperti laku burung layang-layang atau bambarayon. Tubuh kerasnya masih bersisa gemalai namun gerak tarinya melambangkan kekecewaan. Dia menjerit. Menendang tiang rumah.
“Jangan begitu, kerana adanya magavau inilah, sawah padi ini masih juga mengeluarkan hasil.“
“Mungkin sekali lagi kita akan kebuluran? Adakah kita berharap Kinoingan akan mengorbankan anaknya sekali lagi?” Ketua Kampung semakin sukar mencela. Lacius sudah mabuk. Mabuk bersama keberangan. Matanya merah dan mula berkaca.
“Siapa tahu Kinoingan akan mengorbankan anaknya sekali lagi bukan?“Ketua Kampung bertutur lembut. Lacius mengangkat muka. Sebak. Dadanya turun naik. Kesihatannya semakin merudum. Orang kampung juga menahan diri bertekak dengannya.
Biarlah dia semakin marah sehari sebelum magavau.
“Aku bukan Kinoingan.”
“Aku tahu tapi semangat Kinoingan itu ada pada setiap ibu bapa. Selagi hidup, kita tidak akan berhenti berlari. Setiap saat kita inginkan kebaikan tetapi tidak semua kita peroleh walau pada saat akhir hidup.” Ketua Kampung mengintai botol-botol tuak yang masih berada dalam beg plastik. Demikian juga Lacius. Beg plastik itu benar-benar mengganggu ketenangan mereka. Ketua Kampung mengurut dada. Lacius tersedu. Sempat meneguk air kosong di depannya.
“Aku kehilangan Huminodun yang tidak mahu berkorban diri untuk aku orang tuanya. Dia sudah lupa. Aku tidak mampu memberinya jambangan bunga atas kejayaan yang dicapainya.” Air matanya mengalir. Sedu tangisan seorang tua yang kehilangan amat menyayat hati.
“Mungkin sudah menjadi resam Huminodun akan korbankan dirinya untuk kebaikan semua orang bukan setakat orang tuanya. Siapa tahu satu hari nanti dia akan kembali dengan ilmu, menjadi pemimpin bermoral. Huminodun tidak perlukan jambangan bunga yang akan layu dan tidak mengenyangkan. Cukup sekadar tangkai padi.” Pujuk Ketua Kampung.
“Lihat aku tinggal sendirian di rumah ini. Sawah padi ini menjadi teman yang mengingatkan aku pada anak-anak. Mengisi waktu yang bagaikan terlalu panjang. Setiap kali magavau, rumah ini tidak pernah sunyi, tetapi sudah bertahun hanya aku menjadi penunggu di sini. Huminodunku sudah lama pergi. Aku berharap dia akan kembali.” Lacius tidak dapat berselindung lagi. Sekian lama dia menyembunyikan kerinduan itu di tanah sawah ini. Dia bukan bimbang siapa akan mewarisi semua ini tetapi resah bersendirian tanpa teman. Lacius mengalihkan pandangan dari beg plastik itu. Dia menarik nafas panjang. Tersenyum sayu mengekori bambarayon yang terbang pulang.
*Menurut cerita lisan suku kaum Dusun, Kinoingan (Dewa) dan isterinya Suminundu mengorbankan anak gadisnya Huminodun untuk menyelamatkan suku kaum Dusun dari kebuluran. Kononnya sebahagian mayat Huminodun mengeluarkan benih padi maka wujudlah kepercayaan bahawa padi mempunyai semangat yang di beri nama sebagai bambazon.
Glosari
Magavau: Pesta Kaamatan
Koruk: Ikan puyu
Jalak: Ikan haruan
Ketawai: Tempat menyimpan padi. Tunduk do tadau Sifat lemah-lembut tetapi berani/tegas
Bobolian: Pemuja semangat padi
Bambazon: Semangat padi
Tuak: Arak buatan tempatan.
No comments:
Post a Comment