Search This Blog

Sunday, 5 September 2010

Sanggar Kreatif: Khalifah Kerajaan Busut Oleh Hana Arissa

2010/06/06

DERETAN semut merah yang sedang asyik bekerja diperhatikan oleh semut muda. Semut muda yang mempunyai pemikiran futuristik berbeza dengan semut-semut yang lain. Akibat pemikirannya itu menyebabkan dia digelar pembangkang dalam koloninya. Dia bukan memandang kosong kepada deretan semut-semut yang sedang bekerja. Dia memandang dengan wawasan. Pelbagai persoalan berpusing-pusing di dalam kepalanya. Persoalan-persoalan tersebut kemudiannya bertukar menjadi ketidakpuasan dan seterusnya melampiaskan pandangan peribadinya. Oleh kerana pandangan itulah maka dia disifatkan sebagai Hang Jebat. Legenda manusia yang hebat tentang pendurhakaan seorang rakyat. Namun bagi semut muda Hang Jebatlah manusia yang wajar dijadikan contoh dalam mengubah sejarah ketaatan yang membabi buta.

Semut muda memandang ke bilik-bilik yang terdapat di dalam koloni itu. Setiap bilik mempunyai fungsinya. Begitu juga dengan setiap rakyat dalam kerajaan tersebut. Yang pasti dalam kerajaan ini ada pemimpinnya. Pemimpin yang menyebabkan semut muda bertelagah dengan perasaannya antara kesetiaan, kewajipan dan pembaharuan. Setiap bilik tersebut bersambung dengan jalan yang menjadi laluan deretan semut merah itu tadi. Laluan kehidupan, laluan bagi meneruskan kemandirian, laluan bagi menunaikan tanggungjawab. Di sini dalam kerajaan busut inilah juga dia dilahirkan. Mata semut muda masih lingas memandang koloninya. Atas, bawah, kiri, kanan dan setiap inci koloni itu tidak dilepaskan pandangan. Mungkin mencari-cari sesuatu yang bisa membangkitkan persoalan dan pandangan baru.


Semut muda menoleh. Rupa-rupanya sahabatnya Semut 1 menyapa. Semut muda tersenyum hambar atas sikap pesimistik sahabatnya itu. Setiap hari itulah yang kedengaran, suara-suara yang memperlekehkan perjuangannya. Semut muda membuang jauh pandangannya ke arah deretan semut-semut yang sedang bekerja. Masing-masing membawa pelbagai benda yang berguna kepada pemimpin koloninya. Taat mereka, taat yang membabi buta sama seperti Hang Tuah legenda manusia. Berbakti kepada pemimpin yang sudah terang-terangan mempunyai kepentingan peribadi.
“Pemimpin yang menurut emosi, pemimpin yang wajar diketepi.” Bentak hati semut muda. Perasaan yang pada awalnya sedikit bergelora mula melahirkan ombak-ombak ketidakpuasan yang semakin hebat. Ombak-ombak ketidakpuasan itu akhirnya mencetuskan luahan lisan semut muda.

“Cuba kau lihat kerajaan anai-anai. Mereka kaum yang berwawasan. Mereka telah menerima pembaharuan. Pembaharuan yang dibawa oleh mereka yang seperti aku. Mereka berfikiran terbuka tidak seperti kaum kita. Kau tengok pada deretan sahabat-sahabat kita yang sedang bekerja. Mereka membanting tulang, memerah keringat, menyusur bahaya untuk siapa? Berbaloikah jika mereka menemui ajal dalam perjalanan mereka hanya untuk memenuhi kepentingan yang bukan berpihak kepada mereka? Kepentingan yang bersifat peribadi. Bukankah itu maknanya mementingkan diri sendiri? Jika itu berlaku apa yang mereka dapat? Yang kaya akan tetap terus kaya, tetapi nasib keluarga mereka yang mati tidak ada pembelaan. Salahkah aku memperjuang demokrasi agar suara rakyat didengari.” Marah benar nada suara semut muda. Semut muda bernafas lega apabila ledakan ketidakpuasannya dapat dihamburkan. Akhirnya ombak-ombak ketidakpuasan yang hampir sahaja menggila tadi beransur tenang.

Sahabatnya Semut 1 hanya membisu mendengar lolongan semut muda. Bukan dia tidak mengerti tapi dia lebih suka memilih jalan yang telah sedia ada. Baginya reformasi memberikan banyak masalah dan masalah itu akan ditanggung oleh rakyat. Dia tidak bersedia untuk mengambil risiko. Biar dia dikatakan pesimis atau ortodoks. Atas alasan itulah dia tidak bersetuju dengan pandangan semut muda yang bercita-cita besar. Matlamat yang besar sudah pasti risikonya juga besar.
Semut muda sedar bahawa bukan mudah untuk mempengaruhi Semut 1 dan rakyat yang lain. Perjuangannya dipandang sepi oleh semua pihak sama seperti perjuangan Hang Jebat. Hang Jebat berjuang bersendirian. Pada masa itu dia digelar pengkhianat, tetapi kini dunia sudah mengakui kehebatan Hang Jebat dan mempersoalkan ketaatan Hang Tuah. Pada alaf ini, di kerajaan busut ini dialah Hang Jebat. Dia pasti suatu hari nanti kerajaan busut dan koloni-koloni semut yang lain pasti bersatu pendapat dengannya walaupun pada masa itu dia sudah menjadi humus di mana-mana tanah ciptaan Allah ini. Semut 1 sudah jauh meninggalkan dirinya masuk mencelah ke dalam deretan semut-semut yang lain. Semut muda hanya memandang ke arah Semut 1 yang telah pun menghilangkan diri. Mungkin sahabatnya itu sudah muak dan mual mendengar kisah perjuangannya. Prasangka terhadap sahabatnya mulai menyelinap masuk ke hatinya yang paling dalam. Dia masih membatu di situ sedangkan laluan deretan semut sebentar tadi mulai kosong. Tiba-tiba semut muda teringatkan perbualannya dengan Semut 2 dari Koloni Timur.

“Semut muda, aku juga berpendapat sepertimu. Aku tidak tega melihat saudara-saudaraku diperbudak-budakkan. Biar apa yang diberi kepada mereka setimpal dengan bakti yang telah ditaburkan. Kau tahu semut muda, ada slogan mengatakan ‘jangan ditanya apa yang negara telah sumbangkan kepada kita, tapi bertanyalah tentang apa yang telah kita sumbangkan kepada negara’. Aku tidak bersetuju dengan pepatah manusia itu. Bagiku, kita sebagai rakyat perlu bertanya tentang kedua-duanya sekali apa yang diberi oleh negara kepada kita dan apa yang kita beri kepada negara. Barulah keseimbangan itu wujud. Kita sebagai rakyat sudah pasti mahukan keadilan. Jika apa yang kita sumbangkan mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat itu sendiri, masih perlukah kita berdiam diri dan menafikan hak kita?” Semut 2 berhujah dengan penuh semangat. Hujahnya ternyata membungakan rasa bangga di dalam hati semut muda. Dia pasti masih ada ramai lagi di koloni-koloni lain mempunyai rasa juang yang tinggi yang mahukan pembaharuan di setiap koloni mereka.

Dari jauh kelihatan semut tua datang mendekati semut muda. Kehadiran semut tua itu memesongkan ingatannya terhadap perbualan antaranya dengan sahabatnya Semut 2. Lama-kelamaan jasad yang mula membongkok tiga itu semakin jelas berada di hadapan matanya. Semut tua menyapa semut muda dengan penuh ramah. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah semut muda. Kebisuan menyelubungi mereka berdua. Kebisuan itu akhirnya ternoktah apabila semut tua bersuara memulakan bicara.

“Kau tahu cu, pentadbiran koloni ini tidak pernah berubah. Mungkin dari zaman sebelum Nabi Sulaiman. Jika ada yang berubah pun hanyalah pemimpin dan rakyat koloni ini. Yang hidup menggantikan yang mati, yang ada menggantikan yang tiada, tetapi corak permainannya masih sama. Tuk percaya begitu juga halnya di koloni-koloni yang lain.” Semut tua memandang tepat ke mata semut muda.

Semut muda masih tidak bersuara. Dia masih cuba menyelesaikan teka-teki yang sedang berlegar dalam ruang mindanya tentang kedatangan semut tua dan maksud kata-katanya sebentar tadi. Melihat kebisuan semut muda, semut tua berkata lagi.
“Cu, perubahan itu tidak salah malah diperlukan jika kita ingin mengubah nasib kita. Allah juga berfirman bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu jika mereka tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka. Cuma apa yang sukar jika sesuatu kaum itu sudah berasa selesa dengan apa yang mereka ada. Ada juga yang takut mengambil risiko sama ada dihukum, dibuang negeri, dibunuh mahupun difitnah” Semut tua berharap semut muda faham tentang apa yang dikatakannya.
“Tuk, saya bukan ingin menjadi wira dalam koloni ini. Saya cuma tidak betah melihat keringat saudara-saudara kita diperah untuk kepentingan orang lain. Sistem pemerintahan ini tidak adil tuk,” perlahan suara itu keluar dari kerongkong semut muda. Dia sebak untuk meneruskan kata-katanya.

“Cu, bukan seorang wira yang dapat mengubah dunia, kerana kehandalan dan ketangkasan wira hanya penyumbang kepada sesuatu perubahan, tetapi seorang khalifah itulah sebenarnya dapat menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu koloni. Khalifah yang hebat sudah pasti memimpin dengan berhemah. Memandang dengan wawasan. Melihat segenap aspek yang perlu diperbetulkan. Jadikan Nabi Sulaiman sebagai panduan, kisah yang selalu diceritakan oleh nenek moyang kita tentang hebatnya kepimpinan Nabi Sulaiman.” Semut tua tersenyum, kata-katanya yang penuh makna membuatkan semut muda bernafas dengan lega.

Semut tua meminta diri dan membiarkan semut muda bersendirian untuk kesekian kalinya. Biarlah dia terus memandang ke hadapan demi sebuah koloni yang dicintainya. Semangat juang semut muda amat dikagumi oleh semut tua. Pada masa yang sama semut muda berura-ura untuk berjumpa dengan semut 2 sahabatnya di Koloni Timur pada keesokan harinya. Dia ingin mengubah sejarah. Jika dia perlu berhijrah, dia akan berhijrah ke koloni itu untuk mengumpul kekuatan seperti mana Nabi Muhammad telah berhijrah apabila dakwahnya ditolak di negeri baginda sendiri.

Cuaca di luar koloni amat panas. Busut yang tinggi yang menjadi tempat tinggal mereka dituruni oleh semut muda. Perjalanannya menentang arus dengan semut-semut yang lain. Mereka baru pulang dengan membawa pelbagai hasil. Bukan semut muda tidak mengagumi kerajinan mereka, tetapi yang menimbulkan marah semut muda apabila hasil-hasil itu terpaksa diserahkan kepada pemimpin busut. Dalam pada itu dia melihat terdapat semut-semut yang diusung pulang kerana sama ada patah kaki mereka, putus badannya mahupun menemui ajal. Salah satu daripada mereka adalah semut tua. Dia terpana seketika. Terngiang-ngiang kata semangat semut tua kepadanya petang kelmarin. Kemarahan semut muda semakin meluap-luap. Ingin sahaja dia mengulangi sejarah Si Jebat namun dia sedar, dia perlu bertindak dengan lebih bijaksana. Semut muda mematikan hasratnya untuk bertemu dengan sahabatnya Semut 2. Dia mahu melihat lakonan seterusnya pemimpin busut apabila melihat musibah yang berulang terjadi lagi kepada rakyat yang berkhidmat untuknya. Semut muda berpaling membuntuti deretan semut-semut itu tadi.

“Kali ini aku akan bersuara dengan lebih lantang. Keadilan perlu aku tegakkan demi rakyat koloni ini dan demi generasi akan datang”. Benak semut muda mula berbicara.

“Hei, sahabat nampaknya perjuanganmu sudah tamat. Apa yang menyebabkan kau berubah fikiran sehingga kau bersama-sama kami dalam deretan ini? “ Tiba-tiba satu suara menegur dari arah belakangnya. Semut muda menoleh ke belakang. Sahabatnya Semut 3 hanya tersenyum sinis.

Semut muda membalas senyuman sinis itu.

“Aku sesungguhnya tidak sesekali menghentikan perjuanganku. Perjuanganku sebenarnya baru bermula wahai sahabatku”. Setelah semut muda berkata-kata, dia meneruskan perjalanannya. Kali ini di berjalan dengan penuh azam dan tekad yang tinggi.

Biodata

HANA Arissa, nama pena bagi Norhazlina Abdullah yang dilahirkan pada 8 Disember 1974. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan ( Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Diploma Pendidikan dari Maktab Perguruan Perlis. Kini sedang menyambung pelajaran dalam Sarjana Psikologi Pendidikan di USM.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...