Search This Blog

Wednesday 1 September 2010

Kelainan karya Sri Rahayu

ARKIB : 29/08/2010

Kelainan karya Sri Rahayu

Karyanya Warisnya Kalbu diangkat sebagai novel remaja terbaik pada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2007, mengungguli hadiah wang tunai RM7,000, prestasi yang amat menceriakan sesudah Odisi Tanah Kencana setakat bertakhta pada kedudukan kedua (tidak ada hadiah utama) untuk anugerah serupa tahun sebelumnya.
Sri Rahaya turut mengungguli kategori novel remaja bagi HSKU melalui judul-judul Bukan Legasi Lalang (2001), Kasih Nan Agung (2008) dan Impuls Roh (2009). Pada kesempatan ini, saya ingin memperlihatkan kelainan yang mendasari keistimewaan dua novel awal, sebagai pembuka bicara analisis penyingkapan kelainan yang lain lagi bagi dua karya terkemudian.
Begitulah istimewanya HSKU sejak suku abad lampau telah mengetengahkan banyak penulis muda berbakat besar terutamanya Sri Rahayu. Pada aspek lain, seperti terbukti pada karya dinilai untuk tahun 2009, telah meminggirkan sasterawan veteran seorang demi seorang, demi kejerihan berkarya sejak puluhan tahunnya. Ertinya penulis veteran kian kurang dan bakal terus tumpul minat untuk berkarya.
Gaynor Corkerylah yang dapat menyentuhi bakat kreativiti yang terpendam hadir dalam diri Sri Rahayu ketika berguru dengannya, persis kecelekan hati dan akal budi M. Balfas mengetengahkan benih kepuisian A. Latiff Mohidin sekitar awal enam puluhan lalu menyiarkan sajak pertamanya dalam Dewan Masyarakat.
Tetapi alur laluan Sri Rahayu tidak begitu. Jerih usaha tanpa jemu-jemu yang melakar kejayaan demi kejayaan tersaring daripada kata perangsang Corkery tercengkam mengakari sanubari bahawa "A writer has to pay her dues". Pensyarah inilah yang mula-mula mengirimkan karya pertamanya dalam genre cerpen kepada penerbitan Penguins di New Zealand.
Beliau mengusahakannya berkali-kali hendak mengetengahkan karya ini kepada khalayak tetapi gagal. Karya bertajuk Death of A Superhero itu langsung abadi damai dalam simpanan. Tetapi benih yang tertugal serta tempias kata perangsang itu mengocak dan menodak gegendang sanubari lalu teranyam cantik di kelir komputer sebelum tertatap ke ratina khalayak.
Persis kata Sri Rahayu, "Saya rasa bersemangat kerana ada orang yang begitu yakin dan percaya akan mutu karya saya". Semangat inilah yang dipamerkan pada awam-gemawan ketika dalam pesawat penerbangan pulang ke tanah air bersama dengan segulung ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL dengan kepujian. Beliau kini pendidik berpotensi.
Kepelbagaian
Dalam keadaan yang ada, Odisi Tanah Kencana dan Warisnya Kalbu dengan kepelbagaian keistimewaannya dapat dikategorikan sebagai novel remaja yang berat, sarat dengan permasalahan yang berbelit, ide bernas yang amat sukar hendak terungkai, pemikiran agak payah hendak terjentik, penstrukturan yang berbelit, dan kebahasaan yang amat cantik, indah, lagi molek.
Judul Odisi Tanah Kencana terangkat daripada 'Odyssey', karya hikayat karangan Homer, seorang penulis bangsa Yunani yang memerihalkan segala peristiwa dilalui sepanjang perjalanan Odysseus, seorang pahlawan Yunani, iaitu Raja dari Ithaca, sesudah meninggalkan Troy.
Odisi Tanah Kencana mengungkapkan pengembaraan jauh lagi lama penuh makna watak-wataknya persis pengacuan skema pola plot Cerita-cerita Panji terkenal di Tanah Jawa.
Raden Inu Kartapati meninggalkan segala kebesaran di istana kerajaan Kuripan kerana hendak mengembara jauh kerana 'mahu menjalani ujian sebagai manusia biasa'. Dalam usaha mencari 'tunang' daripada kerajaan Daha, dan masing-masing hidup dalam penyamaran, terjerat dengan peperangan ngeri penuh kehandalan dan kesaktian, teranjau oleh ujian demi ujian, hingga terlerai dengan happy ending.
Sebagai Si Capik dalam pengembaraan merentasi rimba belantara, dan menapaki gurun pasir tandus berpasir tajam-tajam menikam pandangan, dia berusaha menjejaki tunangnya, Raden Galuh Cendera Kirana seakan-akan sudah bertemu tetapi terpisah kembali dalam perjalanan rohani jauh lagi mendalam. Teman pengiringannya ialah Jerude, Punta, Kertala, dan Persanta.
Kembara dalam Odisi Tanah Kencana lebih berupa perjalanan rohani dalam pencarian kebenaran tauhid. Dalam pencarian jauh tetapi penuh makna ini, Raden Inu mempertaruh nyawa. Akhirnya cahaya kebenaran dapat menyuluh sanubari kekalutan dan keracauan sebaik berlabuh di Tanah Kencana, terbunuhnya mantera pujaan lalu menggantikannya dengan puji-pujian pada Yang Maha Esa.
Sama halnya dengan Warisnya Kalbu, Sri Rahaya dengan berpremis sejarah negeri Pahang secara sinis mempersenda kekuatan penjajah Inggeris sebagai turut mengagumi warisan pantun Melayu. Dua budaya dipertembungkan dengan pemercikan keunggulan budaya dan warisan Melayu dan penenggelaman dan penyahan budaya Barat daripada persada paksi kuasa.
Generasi muda Katherine, anak saudara Gabenor Cavenagh, mempelajari seni pantun daripada Tun Hassan Perwira abang Tun Cempaka, seorang cendekiawan Melayu yang celik budaya dan sejarah bangsanya di Pahang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...