Search This Blog

Wednesday, 1 September 2010

Periaku untuk ibu pertiwi

ARKIB : 29/08/2010


SELEPAS solat Jumaat, tika jarum panjang menunjuk angka 3, Wan Abu dan Ba'e bertandang mengejut ke rumahnya serta diturut kemudian oleh kunjungan Awang dan Mohamad Yusof dengan membawa hajat besar, datang laksana rombongan meminang yang sudah diatur waktunya. Hasrat berat itu masih terngiang-ngiang di telinga.
"Kau bunuh saja gabenor, usah fikir lama, kau tak akan dihukum. Akan aku sokong kes kau nanti." Awang Rambli yang duduk di sebelahnya bercakap perlahan sambil memegang tangan dan menentang matanya. Dia melihat surat khabar di tangan Ba'e bertarikh 2 Disember 1949.
Kedatangan berhajat berat itu diingat semula oleh dia tatkala berbasikal bersama Aziz di Kampung Masjid selepas solat asar. Tiba-tiba dia dikejutkan oleh namanya di panggil dari rumah Ekni Taib. Bujang Suntong melambai ke arahnya. Aziz ikut memberhenti basikal di tepi jalan lalu naik ke rumah. Di situ dia berjumpa lagi dengan Awang dan hasrat jam tiga petang tadi diulang. Aziz mendengar hajat berat itu. Aziz pucat muka mendengar kesanggupan dia.
Pulang dari rumah Ekni, Aziz mengekorinya berbasikal ke kebun kawan rapatnya Morshidi. Dalam perjalanan dia diuji oleh pelbagai pertanyaan Aziz. Dia senyum sahaja tanpa berkata kerana sudah tekad niatnya tanpa berganjak.
"Kau benar-benar mahu lakukan itu? Kita masih muda, tidakkah itu kerja orang dewasa seperti abang Awang yang hampir 40 tahun? Bagaimana dengan impian kau? Bagaimana dengan keluarga kau?" Aziz terus mengayuh basikal kemudian turut bisu, serik bertanya tanpa berjawab.
Dia sampai ke kebun Morshidi untuk menyampaikan pesan Awang agar hadir mesyuarat malam nanti. Aziz tidak hampir dan membiarkan sahaja dua pejuang itu berunding. Dia curi-curi dengar akan butir bicara mereka.
"Kalau aku mati tak mengapa, tapi bangsa kita amat perlukan kau hidup. Murid-murid yang kau ajar perlukan kau. Buah hati yang kau sayang amat perlukan kau. Ibu-bapa lebih perlukan kau seorang anak lelaki harapan. Kehilangan kau amat pahit dirasa oleh setiap mereka kelak. Biarlah aku saja yang lakukan. " Morshidi tak tahu kenapa mulutnya celupar berkata. Hendak ditarik tidak akan dapat, sudah terlajak tutur.
"Cukup! Kita sama-sama muda. Usah mati untuk esok kita rebut. Kalau nak berjuang biarlah bersama dan jangan perlekehkan mudaku. Jangan kau fikir aku lebih mementingkan mudaku daripada bangsaku hingga takut mati." Suara dia cukup keras dan tegas walaupun nada rendah demi satu rahsia. Morshidi faham lantas diam setelah menghulur salam maaf lalu menukar bicara kepada gerak agenda malam nanti.
Dia amat teruja untuk hadir mesyuarat pada malam nanti. Jika tiada orang seperti mereka dalam Gabungan Pemuda Melayu (GPM) maka tiada siapa ambil peduli tentang kemasukan Orang Putih untuk meneruskan penjajahan. Tiada siapa ambil peduli akan penipuan Charles Vyner Brooke telah memesong janji untuk mengembalikan Sarawak kepada orang Sarawak. Sebab itu dalam hatinya berkobar-kobar hendak hadir mesyuarat penting malam nanti. Agar orang tahu kegemparan hasil buah bincang dan pakat beberapa orang pejuang untuk menghalau British.
Pada malam itu dia hadir bersama 90 orang di kelab termasuk Morshidi. 90 orang ini sangat membanggakan kerana ramai yang mahu ambil tahu tentang negerinya. Ramai yang mahu sibuk tentang hidup masa depan bangsanya. Ramai yang tidak mahu bangsanya terus membatu dijajah oleh imperialis. Itu tanggapan dalam jemala dia tentang kehadiran 90 orang. Bual bicara semua mengarah kepada tindakan tegas terhadap British.
"Charles Vyner Brooke tidak patut menjual bumi kita dengan harga satu juta pound, tindakan ini satu penghinaan. Kita perlu bertindak. Biar kita tunjuk kemarahan kita akan penipuan ini walaupun dengan membunuh dan terbunuh. " Pemimpin GPM yang bersuara tegas berdiri dengan tangan buku bergenggam keras menjulang ke atas dan urat leher tegang membesar. Suaranya memberi semangat kepada ahli yang hadir dan membara semangat juang. Apa lagi dia, dia jadi semakin teruja untuk melaksana tugas dan sungguh teguh tekadnya sanggup mati demi ibu pertiwi esok.
Dia tahu Awang Rambli juga bergantung harap kepada Morshidi yang berusia awal 20-an walaupun dia sebagai harapan utama. Ketika balik dari kelab GPM malam itu bicara antara Awang Rambli dan Morshidi dicapai oleh telinganya.
"Bunuh sahaja gabenor itu jangan beri peluang dia ke mana-mana." Awang Rambli memegang bahu Morshidi dari belakang sambil berjalan selari langkah. Kata-kata itu menunjukkan Awang Rambli tidak mahu rancangan gagal dan mahu gabenor menjadi korban secepat yang boleh demi menghantar mesej agar imperialis nyah dari Sarawak.
Menentang
Rancangan sudah pasti berjaya jika sudah ada dua kesatuan hati yang bersungguh-sungguh mencapai maksud. Dia puas hati walaupun menentang hanya bertemankan Morshidi. Morshidi adalah rakan akrab dan orang yang paling dipercayainya. Inikan pula ramai ahli GPM dan wujud Rukun 13 mengukuhkan tenaga dan dukungan semangat.
"Harap kita akan berjaya esok, tidak kecundang. Yang penting kita berjaya. Jika nyawanya tidak melayang pun, biar kita jaya titiskan darahnya dengan tusukan mata badik. Kita orang muda boleh lakukan kerja penting ini." Morshidi menyatakan tekad dengan wajah penuh ikhlas ketika melangkah bersama balik dari mesyuarat selepas sudah lama jam dinding berbunyi 10 kali.
"Aku sudah tekad. Aku sanggup mati walaupun tanpa jaminan tidak akan dihukum bunuh kerana usia di bawah undang-undang. Jaminan itu bukan sebab aku mahu lakukan tugas ini. Aku mahu lakukan kerana aku memang mahu lakukan." Dia menzahir rasa penuh yakin dan hal janji bukan perhitungan. Dalam hatinya tulus niat sama ada dia dihukum mati atau tidak. Mereka berpisah di persimpangan jalan dengan salam penuh semangat juang dan yakin akan sama melaksanakan tugas pada pertemuan esok.
"Kau percayakah dengan pujukan Awang yang kau tidak dihukum kerana usia. Biar saja Awang yang bunuh gabenor itu. Kenapa dia suruh kau? Kenapa dia sendiri tidak lakukan? Kau masih muda, masih banyak kau perlu buat untuk diri dan keluarga." Dia terkejut. Tidak tahu pula dia, dari mana tiba-tiba muncul Sekitul dari arah belakangnya tadi. Kata-kata itu menyirap darah dan ingin menangan sahaja Sekitul. Biar Sekitul dulu mati sebelum matinya gabenor British. Tapi dia tahan dulu amarahnya.
"Kau jangan anggap aku masih muda tidak boleh lakukan kerja orang dewasa. Jangan kau anggap aku masih hingusan dan takut mati. Biar aku mati muda untuk negeri dan bangsaku daripada hidup lama tetapi tidak berbudi dan menjadi perosak kesatauan." Dia memberi amaran kepada Sekitul. Kulit mukanya tegang dan merah.
"Lebih baik orang dewasa yang cakap bersemangat itu melakukan kerja bahaya ini. Tidakkah kau hanya jadi alat bagi mereka yang pengecut?" Sekitul tidak faham amaran dia. Entah syaitan mana merasuknya seberani itu walaupun badannya kurus kering dan pendek. Satu penampar hinggap pada pipinya yang hanya bersalut sedikit isi dan kulit. Sekitul tergerak ke belakang menahan kesakitan seperti patah tulang pipi.
"Kau jangan banyak prasangka dengan pemimpin. Kau ini seperti pemecah kesatuan agar perjuangan ini lemah. Orang seperti kau ini perlu dibunuh sebelum kesatuan berpecah oleh fikiran kau. Aku tahu Awang Rambli jujur dan tulus hasratnya. Dia ada peranannya sendiri. Tindakan perlu strategi. Jika dia yang bunuh dengan senjata melangkah, orang kenal dia dan sudah tentu dia akan ditangkap sebelum melukai gabenor. Kenapa kau terlalu bodoh? Berhambus kau dari sini sebelum kau nahas." Sekitul terus berlari dan hilang dalam pekat malam.
Tidak pernah dia marah seperti itu. Tapi tuduhan Sekitul telah membarakan api perjuangan yang sedia menyala sejak perjumpaan tadi. Sekitul dilihat seperti sebahagian daripada musuh yang dibenci.
Pagi itu dia bangun awal. Amat payah dia lalui malam yang terasa amat lambat berlalu. Akhirnya pagi muncul juga, entah sudahkah dia lelap, menunaikan kemahuan malam agar manusia tidur? Dia tidak tahu bila dia lelap dan berapa lama? Dia cukup gelisah dan sukar untuk lena malam tadi. Banyak yang masuk dalam benak hingga terasa kepala berat dan menyukarkan kelopak matanya layu. Telinga juga enggan menutup pendengaran. Tidurnya terganggu kerana teruja untuk menyempurnakan tugas gempar.
Merampas
Malam tadi juga dia soal gagal bersarang dalam benaknya. Jika gagal, rakyat Sarawak akan kecewa lagi. Kecewa sudah beberapa kali menjamah hati anak-anak Sarawak. Dulu Datu Patinggi Ali sudah berjaya menghalau Pangeran Indera Mahkota tetapi akhirnya James Brooke merampas peluang duduk di tampuk. Perlembagaan Sarawak menjanjikan pemberian Sarawak kepada anak Sarawak tetapi tidak terlaksana oleh serangan Jepun. Ketika Jepun rebah dan berharap Sarawak merdeka, hati rakyat hancur apabila bumi ini dijual kepada British. Rencah Peristiwa kegagalan dan kekecewaan perjuangan sebelum ini telah menyesakkan kepalanya hingga sukar untuk kantuk menjemput dia beradu. Kepercayaan Awang Rambli kepadanya dirasakan sebagai amanah yang amat berat hingga menyekang kantuknya. Bukan berat hati dan kecut untuk dia lakukan malah dia amat teruja melunas hasrat itu tetapi bimbang akan gagal. Orang yang hendak dibunuh bukanlah orang biasa tetapi ketua penjajah di bumi Sarawak yang ramai polis akan mengawal.
Aku tidak mahu GPM kecewa dan rakyat Sarawak patah hati. Tidak dapat aku bayangkan ketika aku cuba membunuh, tanganku terketar-ketar lalu aku diketawakan ketua penjajah. Akhirnya aku ditangkap tanpa melukainya. Tapi yang luka hati rakyat Sarawak kerana kegagalanku. Aku tidak sanggup. Tidak! Aku tidak akan gagal. Akan aku lakukan hingga badik terbenam ke perutnya. Dia bertekad menyatukan hasrat dan semangat dalam dirinya.
Sejuk air terasa masuk menusuk ke tulang sum-sum ketika berwuduk pada pagi dingin itu. Dia rasa sejuk itu membangkit semula segarnya setelah menahan jaga sepanjang malam. Segar itu membawa dia khusyuk menyahut panggilan Tuhan. Subuh pagi itu cukup bermakna bagi dia untuk mengetuk pintu tuhan agar mendengar rintihan hati. Dia mahu perjuangannya diberkati dan dibantu oleh Yang Maha Berkuasa demi memikul tugas untuk melepaskan bangsa daripada belenggu penjajah. Dia berdoa panjang selepas solat Subuh. Selepas bersalam dengan kaum keluarga terutama ibu dan ayah tercinta dia membaca kitab suci. Kemudian berwirid sebentar dan menyambung kembali doanya. Dia merahsiakan pekerjaannya pada pagi itu. Namun terasa juga ibu dan ayah akan perubahan perilaku anaknya. Mereka tidak bertanya kerana tidak terkeluar kata dari halkum suara.
"Mana pergi Awang Rambli?" terkeluar pertanyaan hairan dari mulut dia ketika melihat rumah pejuang itu berkunci ketika sampai pada jam 6.00 pagi, 3 Disember 1949. Apakah aku terlewat dan pergerakan harus diatur lebih awal dari 6.00 pagi? Hebat pergerakan orang dewasa. Perbuatan ini perlu dicontoh, fikirnya. Ke mana Awang Rambli tidak terus dicari. Dia segera melangkah menuju ke rumah Morshidi untuk berbincang tentang strategi agar benar-benar kemas dan teratur.
Dia balik semula ke rumah selepas muktamad gerak langkah dengan Morshidi. Selepas segar tubuh oleh basahan mandi dia bersiap dengan badik dan kamera. Dia berpakaian selayak laku seorang jurugambar. Dia mengeluarkan badik dari sarung dan menjulang ke atas sambil bertekad dan berdoa agar dia berjaya membunuh gabenor British. Peristiwa semalam diimbau semula telah memanaskan darah pada pagi itu. Badik ditusuk kembali ke dalam sarung dengan kemas. Dia meletak badik di pinggang, diselit sesedap rasa agar tidak mengganggu gerak. Kamera dibawa sambil melangkah dengan ratusan tasbih, tahmid dan istighfar menuju ke medan juang.
Pada pukul 9 pagi, penduduk Sibu telah berkumpul menyambut kedatangan Gabenor Duncan Stewart dan rombongan pegawai British. Orang Sibu hendak melihat keramaian yang jarang ada seperti pagi ini. Jangan gabenor itu perasan, getus hati dia. Ketika itu dia dan Morshidi turut berada di Sekolah Methodist bersama-sama pelajar berarak hingga ke hadapan pejabat utama. Dia dan Morshidi tidak gentar. Matanya memerhati pergerakan gabenor dan rombongan melalui lubang fokus kameranya. Badik di pinggang bila-bila masa sahaja boleh dicabut. Akan aku bocorkan perut kau wahai si bedebah. Dia semakin hampir dengan gabenor dan wajah penjajah itu semakin besar dalam skrin kamera.
Tatkala jam di tangan menunjuk 9.30 pagi gabenor bergerak ke arahnya, kedudukan semakin dekat, dia bersedia dan memanggil Morshidi dengan isyarat. Kamera di tangan dilepas kepada Morshidi. Badik di pinggang bila-bila masa saja akan dicabut. Peluang sudah ada di depan mata tidak akan dilepas begitu sahaja. Kehadirannya belum mendatang syak kepada sesiapa. Dia mengeluarkan badik lalu meluru dan menikam perut Duncan Stewart. Dia melaungkan rasa benci kepada penjajah dengan kalimat; "Keluar dari Sarawak atau kau mati!" Tikaman pertama, sasaran kurang tepat. Suasana menjadi kelam kabut. Dia melihat polis datang cuba menangkap dan dia terus menikam perut gabenor itu sekali lagi. Dia berjaya menikam gabenor itu . Morshidi juga datang membantu dan menyerang Mr Dilks. Perut Gabenor Duncan Stewart bocor, keluar lelehan merah dan masuk bisa racun bersama tusukan badik.
Dia tersedar dari mengingat kenangan lalu. Dia membaca sekali lagi surat yang ditulis untuk ibu dan ayah ketika dalam jaring besi yang sepi itu. Ada sedih bergayut di hatinya. Air jernih keluar dari kelopak mata. Air mata itu bukan bermakna kesal. Sedih itu akibat dipicit oleh rindu dan sayang kepada keluarga yang akan ditinggalkan. Dia pasrah. Dia bersedia menghadapi hari esok, 2 Mac 1950. Hari kematiannya. Matinya seorang peria sebelum hilang mudanya untuk ibu pertiwi yang belum merdeka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...