Search This Blog

Sunday, 5 September 2010

Pedoman: Dua syarat Allah terima amalan

Hi everyone,

I found this interesting article which I would like to share with you. Happy reading!


Pedoman: Dua syarat Allah terima amalan


2010/09/05 (Mymetro)

HARI ini, genap 26 hari umat Islam seluruh dunia menyambut puasa dan dalam tempoh empat hari lagi akan menyusul pula kedatangan Syawal.


Dalam meneruskan Ramadan yang masih berbaki beberapa hari ini, hendaklah kita sama-sama sedar adakah kita sudah melakukan amalan terbaik, yakni ibadat ikhlas bagi mendapatkan keredaan Allah SWT dan bukan sekadar menggalas tuntutan, meniru atau menunjuk-nunjuk setiap perbuatan itu.

Diriwayatkan oleh ibnu Majah bahawasanya: “Betapa banyak orang yang berpuasa, tidaklah mendapat pahala kecuali sekadar rasa lapar serta dahaga, dan betapa banyak yang mengerjakan solat, namun tidaklah mereka mendapatkan pahala melainkan kekosongan saja tanpa ada rahmat daripada Allah SWT.”


Perlu diketahui bahawa Allah SWT tidak menerima amalan seseorang itu, tidak memberi pahala kepada perbuatan itu, melainkan apa yang diperoleh hanya kepayahan.

Ini kerana Allah SWT menetapkan, amalan hamba-Nya hanya diterima berdasarkan dua syarat iaitu ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredaan dari-Nya.

Manakala, syarat kedua pula adalah amalan itu bersesuaian dengan tuntutan atau ajaran Rasulullah SAW sebagaimana hadis riwayat Muslim yang menyebut: “Barang siapa mengerjakan satu amalan yang tidak ada tuntutan (ajaran) dari kami, amalan itu akan tertolak (di sisi Allah SWT).”

Sebagaimana kita sedari, Syawal yang bakal menyusul akan membawa pergi bersama-sama Ramadan daripada umat Islam, sekali gus membawa pergi segala macam rahmat yang dilimpahkan oleh-Nya kepada umat manusia.

Apabila tibanya Syawal, Allah SWT berfirman: “Wahai malaikat-Ku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan dan apabila mereka mendirikan sembahyang, maka ia adalah keredaan-Ku dan keampunan-Ku kepada mereka.”

Maka Allah meneruskan firmannya: “Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada-Ku, maka demi ketinggian-Ku dan kebesaran-Ku, tiada memohon kepada-Ku hari ini akan sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu.” (Al-Hadith)

Perlu diketahui bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat terdahulu iaitu bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah, segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.

“Diampunkan dosa mereka pada malam Lailatul Qadar, tiap amalan yang dilakukan pada Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda dan dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat kelak.” (Al-Hadith)

Justeru, dalam kita menuju penghujung Ramadan yang mulia ini, hendaklah kita nilai di mana tahap amalan yang dikerjakan dalam mencari keredaan dan mengejar rahmat Allah SWT, sama ada kita lakukannya dengan sia-sia atau menepati kehendak-Nya sesuai dengan nikmat yang diberikan-Nya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...