Di hari ketika hati sebening embun pagi, ku susunkan sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua jika ada tersalah tutur kata, tersilap bicara, terkasar bahasa, tersalah laku sehingga menyinggung perasaan di hati. Sesungguhnya, aku adalah insan biasa yang punya seribu kesilapan dan kekesalan. Ku mohon agar diampunkan segala dosa-dosaku pada kalian. Juga ku pohon agar dihalalkan segala makan dan minum serta segala pemberian ikhlas kalian.
Buat suami tercinta,
Ku pohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan dan keterlanjuran ku selama ini. Jika ada tingkah laku dan tutur bicara ku yang menyentuh hatimu sehingga kau terluka, ku mohon diampunkan dunia dan akhirat. Halalkan makan dan minumku dan segala kasih dan sayang yang kau curahkan kepadaku. Sesungguhnya aku bertuah kerana punya suami sepertimu. Moga Allah sentiasa melimpahkan rahmatnya buat kita dan zuriat kita.
Buat ayahbonda,
Anakanda menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf diatas segala salah silap anakanda. Terima kasih kerana membesarkan anakanda dengan penuh kasih dan sayang. Anakanda pohon agar dihalalkan segala yang dicurahkan. Doa dan restu ayahbonda sentiasa menemani anakanda dirantauan ini. Moga Allah sentiasa melindungi kalian dan moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ayahanda di sana.
Buat puteri-puteriku,
Ketahuilah bahawa bonda amat menyayangi kalian. Bonda mohon ampun dan maaf jika bonda terlalu berkeras semasa membesarkan kalian. Fahamilah bahawa bonda inginkan yang terbaik buat kalian dan bonda tidak sesekali mahu kalian terpesong dalam melalui cabaran hidup ini. Bonda ingin kalian menjadi manusia yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Jadilah anak-anak yang solehah. Sesungguhnya kalian adalah kebanggaan ayah dan bonda.
Buat adinda-adindaku,
kekanda memohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap kekanda selama ini. Kekanda pohon janganlah di simpan di dalam hati. Sesungguhnya kekanda amat menyayangi kalian dan sentiasa mahukan yang terbaik buat kalian. Kekanda doakan agar kalian berbahagia di lebaran ini bersama keluarga tersayang.
Ku doakan moga lebaran kali ini lebih bermakna untuk kita semua disamping keluarga yang tercinta.
Lebaran indah tanda keinsafan,
Aidifitri lebih bermakna dengan kemaafan
Marilah kita semua mendoakan
Agar Tuhan meredhai segala amalan dan keikhlasanSelamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin.
Salam tulus ikhlas,
Noor
No comments:
Post a Comment