Search This Blog

Sunday, 5 September 2010

Cerpen: Risalah Oleh Aidil Khalid

2010/08/08

FAKULTI yang pada selalu tenang-tenang sahaja itu, pagi ini serasa seolah-olah telah bertukar menjadi sebuah lokasi siasatan jenayah. Lima buah kereta polis memarkir di hadapan pejabat dekan dan sebuah van hitam pula menyusul kemudiannya. Dari perutnya keluar lima orang anggota yang lengkap berpakaian seragam, salah seorangnya dengan kamera tersangkut di leher. Seorang yang lain pula siap dengan fail dan pen untuk mencatat apa-apa sahaja penemuan. Yang lain-lain sekadar mengiringi dan setiap kali mereka melangkah segak, derap sepatunya berbunyi kuat, serta pistol yang disisip di pinggang pula bergoyangan mengikut rentaknya. Secara keseluruhan, paling tidak, seramai kira-kira 20 orang anggota polis kelihatan di perkarangan fakulti itu.

“Kami telah mendapat maklumat,” kata salah seorang daripada mereka kepada tuan dekan, “bahawa risalah-risalah yang boleh membahayakan keselamatan negara ada diedarkan di sekitar fakulti ini.”
Mendengar hal ini, tuan dekan segera bersuara: “Tuan ada waran?”

Anggota yang memegang fail dan pen segera menunduk mencatat tiga patah perkataan yang diucapkan oleh tuan dekan itu dengan sepenuh tekun seolah-olah apa yang dituturkan tersebut adalah wahyu dari langit yang amat berharga dan harus dirakam. Dahinya berkerut-kerut ketika menulis.

“Tidak,” jawab pegawai tersebut, “kami tidak ada waran.”
“Kalau begitu,” balas tuan dekan, “mohon maaf, saya tak boleh membenarkan tuan-tuan menggeledah atau mengganggu perjalanan pengajian. Kami di sini adalah sebuah institusi pendidikan, tempat berkumpulnya para ilmuwan bagi membincangkan perkara-perkara akademik. Institusi ini ada autonomi sendiri yang sepatutnya bebas daripada gangguan badan-badan luar, sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan.”

Pegawai tersebut memandang anggotanya yang sedang mencatat dengan tergopoh-gopoh setiap patah perkataan yang diungkapkan tuan dekan tersebut.
Kemudian pandangannya beralih pula kepada para anggota lain, seolah-olah meminta pandangan akan tindakan yang harus dilakukannya. Anggota yang menyangkutkan kamera di lehernya itu pula segera mengambil posisi bagi merakamkan gambar-gambar tuan dekan. Flash kamera bertubi-tubi memancar.

“Begini tuan dekan,” kata pegawai polis itu dengan nada suara yang merendah tetapi tegas, “kami cuma ingin menyiasat dan mencari orang yang bertanggung jawab. Jadi sekiranya tuan tidak bersalah, tidak ada sebab untuk tuan berasa takut.”

“Saya faham,” ujar tuan dekan kembali, “dan memang pun tidak ada apa-apa yang perlu saya takutkan. Tapi dari sudut undang-undang, tuan-tuan memang tidak ada kuasa untuk melakukan geledahan sekiranya tidak ada waran.”

Diam. Para pegawai polis semua membungkam. Yang kedengaran hanyalah tenyeh pen pada kertas yang sedang dicatat oleh salah seorang anggota tersebut dengan tergesa-gesa.

“Begini saja,” kata tuan dekan kemudiannya, “saya cadangkan tuan-tuan balik semula ke balai. Dan kemudian mohon waran geledah dari tuan majistret di mahkamah. Setelah itu barulah kembali semula ke sini dan saya akan dengan senang hati membenarkan tuan-tuan sekalian melakukan siasatan.”

Maka para pegawai dan anggota polis yang ramai itu pun tiada pilihan lain lagi. Mereka kembali ke dalam kereta masing-masing dan segera beredar keluar dari fakulti itu. Melihat gerombolan kereta beredar dalam satu barisan panjang, seperti melihat konvoi yang gah pula. Dan entah kerana merasa panas hati tidak dibenarkan menggeledah atau memang sekadar suka-suka, siren telah dibunyikan oleh keenam-enam kenderaan tersebut. Maka bergemalah ngongoian nyaring ke setiap ceruk fakulti.

Tuan dekan tidak duduk diam setelah itu. Melalui caranya yang tersendiri, dia telah menyoal siasat hal tersebut. Dia bertanya kepada para pensyarah, kalau-kalau mereka tahu apa-apa sahaja mengenai hal risalah yang disebutkan itu. Tetapi kebanyakan mereka hanya menggeleng-geleng kepala. Akhirnya, memandangkan tidak ada cara lain lagi untuk mengambil tahu, tuan dekan telah mengarahkan agar semua individu – dari sebesar-besar profesor ke sekecil-kecil mahasiswa tahun satu, dan termasuk juga para kerani pejabat, pustakawan, tukang sapu sampah, pokok pangkalnya semua sekali – untuk berhimpun di padang di belakang fakulti. Tuan dekan mengambil langkah ini kerana dia tahu bahawa pihak polis akan kembali semula ke fakulti ini dalam jangka waktu yang tidak lama.
Justeru hal ini bukanlah hal kecil. Ia hal besar, yang, seperti menurut pegawai polis itu, melibatkan keselamatan negara secara keseluruhan.

Risalah itu digambarkan sebagai mengandungi unsur-unsur hasutan, mempunyai kecenderungan mengajak kepada membenci kerajaan sedia ada, serta juga berkebarangkalian ada kaitan dengan rancangan keganasan. Begitulah yang dikatakan oleh pihak polis tadi.

Maka terdetiklah pula soalan-soalan merambang dalam hati tuan dekan setelah mendengar penerangan itu, antara lain, seperti: Perkara yang bagaimanakah yang boleh dikatakan sebagai membahayakan keselamatan negara itu; bagaimanakah pula sebaran-sebaran risalah boleh dikatakan menggugat dan kalau pun betul menggugat, siapakah yang tergugat itu; adakah risalah-risalah tersebut ada kait-maitnya dengan hal mutakhir ini yang sibuk diperkatakan dalam media-media, yakni antara fahaman wahabi dan pengganas itu? Kesemua soalan-soalan itu membuatkan tuan dekan mengeluh.

Duhai, fikirnya, kalaupun benarlah risalah itu ada kaitan dengan hal-hal tersebut, apakah sebuah fakulti yang menjadi pusat para ilmuwan berdebat dan berfalsafah tidak boleh diberi kebebasan untuk mengupas isu-isu ini biar betapa pun sensitif ia?

Tuan dekan tahu, hal ini sekiranya tidak diatasi segera, akan menjadi semakin sukar untuk dikawal. Para wartawan akan segera menghidu dan sekiranya hal itu berlaku, maka habislah nama fakulti ini, ia akan terpampang di dada-dada akhbar seluruh negara. Maka akan tersebarlah pula cerita tentang kononnya fakulti ini menjadi sarang pembiakan pengganas. Tuan dekan tidak mahu itu berlaku. Dia mesti menyekatnya.

Matahari terik mencacak tegak di atas kepala. Langit biru sebiru-birunya tanpa secalit awan. Mereka semua telah berkumpul di padang dengan penuh tanda tanya mendenyut-denyut di hati. Bahangnya semakin terasa. Tuan dekan dengan alat pembesar suara pun melangkah ke hadapan semua, lalu memulakan kata-katanya:
“Tuan-tuan yang dimuliakan sekalian,” suaranya dilantamkan sekuat yang boleh agar orang yang paling di belakang pun dapat mendengar, “berdirinya saya di sini adalah kerana fakulti kita telah mendapat musibah. Justeru menjadi tanggungjawab kita semua untuk bersatu padu mencari penyelesaian.” Urat leher tuan dekan kelihatan meregang ketika berucap. Dia meneruskan dengan memperihalkan hal pagi tadi, serta memperingatkan bahawa sekiranya hal ini tidak dapat diselesaikan sendiri oleh mereka, ia akan menjadi isu nasional.

“Justeru siapa-siapa sahaja yang tahu mengenai hal penyebaran risalah ini,” begitu lanjutnya lagi, “silalah tampil dan berikan maklumatnya kepada pihak fakulti. Kita akan sama-sama cuba selesaikan dengan cara yang paling baik – dan kalau perlu, akan berbincang sendiri dengan pihak polis.”

Entah memang nasib tuan dekan yang baik, atau entah memang pelajar tersebut seikhlas hati ingin mengaku, seorang anak muda lingkungan awal dua puluhan telah tampil ke hadapan dengan segera. Anak muda itu kelihatan, dari sudut pandang para khalayak yang berhimpun di tengah-tengah terik panas itu, sedang bercakap-cakap sesuatu kepada tuan dekan. Butirannya tidak didengar oleh mereka semua. Dan setelah kira-kira lima minit, tuan dekan akhirnya memberikan pengumuman berikut: bahawa semua orang bolehlah bersurai, halnya telah selesai, dalangnya telah ditemui.

Seperti yang dijangkakan, besoknya, awal-awal pagi lagi segerombolan kereta polis masuk ke fakulti itu. Kali ini jumlahnya lebih besar daripada semalam, barangkali kerana memikirkan bahawa mereka memerlukan anggota yang ramai untuk menggeledah seluruh fakulti yang besar itu.

“Kami telah pun mendapat perintah mahkamah yang membenarkan fakulti ini digeledah,” begitu kata tuan pegawai polis dengan penuh yakin sembari mengunjukkan sekeping kertas waran.

Tuan dekan mengangguk.

“Jadi kami hendak mulakan menggeledah sekarang.”

Tuan dekan mengangguk lagi.

“Semua anggota-anggota ini,” kata pegawai polis itu sambil menunjukkan pula ke arah sejumlah kira-kira 40 orang anggotanya yang lengkap berseragam, “akan cuba untuk mencari risalah yang dimaksudkan itu dan kami akan cuba juga menyiasat siapakah individu yang bertanggungjawab menulisnya, mencetaknya dan menyebarkannya. Ia mungkin memakan masa yang sedikit lama. Tapi kami harap, sepanjang siasatan ini berjalan, tiada sesiapa yang dibenarkan keluar daripada perkarangan fakulti ini.”

Tuan dekan mengangguk dan kemudian akhirnya bersuara membalas:

“Tuan-tuan semua boleh menggeledah sebebasnya kalau mahu,” begitu katanya,
“tapi kalau hanya itulah sahaja maklumat yang tuan-tuan ingin tahu dan siasat, maka saya sebenarnya telah pun sedia ada jawapannya.”

Pegawai polis itu mengangkat kening, membundarkan mata. “Jadi tuan boleh berikan maklumat itu kepada kami?” soalnya kepada tuan dekan.
“Boleh, tapi dengan satu syarat.”

Pegawai polis itu kelihatannya seperti tidak senang berdiri. Tetapi dia bersuara juga bertanya akan syaratnya.

“Syaratnya,” kata tuan dekan, “ialah agar individu tersebut tidak ditangkap.”
Pegawai polis itu menghela nafas kuat-kuat – lebih mendekati dengusan – seolah-olah menyampaikan isyarat bahawa syarat yang dikenakan itu tidak munasabah. Tangkap atau tidak, itu hak mereka untuk menentukan, bukan hak tuan dekan.

“Tuan tahu,” kata pegawai polis itu, “bahawa tuan diwajibkan menurut undang-undang untuk mendedahkan segala maklumat yang bersangkut-paut dengan sesuatu jenayah. Hal ini termaktub di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Dan keengganan untuk memberikan kerja sama adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan yang jika sabit boleh dihukum sampai enam bulan penjara.”

“Saya tahu,” jawab tuan dekan ringkas sebelum menyambung lagi, “tapi saya juga tahu bahawa risalah yang disebarkan itu sama sekali tidak membahayakan keselamatan negara. Justeru tak ada sebab mengapa dia harus ditangkap.”
Pegawai polis itu mengerutkan dahi.

“Tapi itu bukan hak tuan untuk menentukan,” sampuk salah seorang anggota yang lain pula, yang sedari tadi berdiam, “itu hak kami untuk menentukan, setelah meneliti dan menyiasatnya, sama ada ia boleh membahayakan keselamatan negara atau tidak.”

Maka sesalinan risalah itu pun ditunjukkan kepada pihak polis. Lama pegawai itu membacanya dengan kening yang hampir bertaut dan wajah yang penuh mengerekot, seperti sedang meneliti atau memerah otak berfikir tentang entah apa. Kemudian, setelah barangkali hampir tujuh minit berlalu, dia akhirnya bersuara:

“Ayat ini amat mencurigakan,” katanya sebelum membaca petikan daripada kertas yang dipegangnya itu kuat-kuat: “Keputusan kerajaan sebagaimana lazimnya adalah tidak adil kerana suatu keadilan yang sebenar hanya wujud dalam khalifah yang sahih, yakni khilafah syariyyah yang dapat bertahan dalam jangka waktu yang amat singkat.”

Pegawai polis itu mengangkat wajah, kemudian berkata, “Ada nada yang seolah-olah mengajak untuk membenci kerajaan sedia ada dalam ayat ini serta niat hendak menggulingkannya agar digantikan dengan khilafah syariyyah. Jadi kami perlu tahu siapakah yang bertanggung jawab. Kami perlu soal siasat dia.”

“Muhammad Al-Fatih,” jawab tuan dekan, “namanya Muhammad Al-Fateh, pelajar tahun dua fakulti ini, dialah yang bertanggungjawab mengarang apa-apa yang tertulis pada risalah tersebut. Tapi saya juga perlu beri tahu bahawa petikan yang tuan baca tadi bukanlah karangan pelajar tersebut, sebaliknya dia hanya memetik tulisan Ibnu Khaldun dari Mukaddimah. Adakah itu yang tuan-tuan hendak namakan sebagai ajakan membenci kerajaan sedia ada?”

Diam sejemang. Hanya kedengaran teguk liur pegawai polis itu – halkumnya turun naik. Gerahamnya digigit keras – dua-dua tulang rahangnya nyata menyembul.
“Tapi bahagian ini juga ada nada yang boleh mengancam keselamatan negara,” kata pegawai polis itu sebelum membaca pula bahagian lain dari risalah tersebut:

“Memperkatakan rasuah menerbitkan masalah, apakah kita dapat berbicara tentang ideologi rasuah secara terbuka, kerana biasanya ideologi mempertahankan kepentingan kelas pemerintah dan menjadi sarana untuk mempertahankan dominasinya ....”

“Tuan,” bacaannya segera dipotong oleh tuan dekan, “saya telah pun bertanya sendiri kepada pelajar tersebut. Petikan yang tuan baca itu adalah petikan dari tulisan Profesor Syed Hussein Al-Attas. Saya tak nampak mengapa ia boleh membahayakan keselamatan negara. Adakah salah bagi seorang mahasiswa untuk menulis dari apa-apa yang telah dikajinya?

“Risalah ini disebarkan oleh pelajar tersebut bukan atas niat menghasut, sebaliknya ia adalah sebagai satu cara mempromosikan program kami di sini, yakni program Sudut Pidato. Ia diadakan setiap hari Rabu petang dan para pemidatonya terdiri daripada kalangan mahasiswa sendiri, sebagai satu cara merancakkan perdebatan intelektual. Dan kebetulan pelajar bernama Muhammad Al-Fateh itu akan menyampaikan pidatonya pada hari Rabu ini, yakni besok, berkaitan tajuk Memerangi Rasuah.

Justeru adakah salah baginya untuk menyebarkan risalah mengajak khalayak hadir – dan dalam risalah itu pula dipetik ungkapan-ungkapan daripada para ilmuwan besar – adakah itu satu kesalahan? Dan adakah ini yang dikatakan membahayakan keselamatan negara? Memanglah saya setuju sepenuhnya bahawa rasuah itu boleh mengancam keselamatan negara, tetapi apakah memperkatakan tentang bahaya rasuah serta mengutuk pemerintah yang mengamalkan rasuah juga boleh mengancam keselamatan negara?”

Sekali lagi, seluruh ceruk fakulti itu dibingiti oleh ngongoian siren kereta polis yang berbaris-baris keluar fakulti itu – di dalamnya, tentu sekali, diisi oleh para pegawai polis yang sedang memikir-mikir, laporan apakah yang harus mereka tuliskan kepada bos-bos mereka nanti.

INFO

AIDIL KHALID yang menulis dalam genre cerpen, sajak dan novel adalah graduan undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM). Karyanya mendapat tempat dalam media cetak arus perdana selain turut menulis skrip drama radio untuk Klasik Nasional FM. Novel sulung pengarang yang kini bertugas di Tetuan Edlin Ghazaly & Associates ini diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing pada Julai 2008 dengan tajuk, Bila Nysrah Kata Tak Mahu. Novel keduanya pula, Dengan Tinta, disiarkan secara bersiri dalam akhbar Berita Minggu dari 6 September 2009 hingga 21 Februari 2010, sedang dalam proses penyusunan semula untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Pengarang boleh dihubungi di aidilkhalid@gmail.com atau layari http://aidilkhalid.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...