Search This Blog

Wednesday, 29 September 2010

Ilham Sang Pujangga

Article yang sangat menarik yang saya fikir perlu untuk dikongsi bersama semua... happy reading.


ARKIB : 26/09/2010 Utusan Malaysia

 

MAAF, saya bukan orang yang layak untuk itu. Saya sudah lama berhenti menjadi seorang penulis. Bahkan, sudah bertahun saya tidak menulis walau sebaris puisi pun. Bertahun ini, dunia saya adalah dunia akademik berkaitan psikologi. Kalau kamu mahu berdebat tentang Teori Kelaziman Abraham Maslow, kepercayaan purba Jean Paul Sarte atau sama-sama mencincang pegangan Vygotsky, ya saya boleh melebarkan jeda untuk itu. Tetapi tidak untuk ini.”
Bebola mata Dzulizah tampang ke ruang meja yang berselerak. Penat menaiki komuter dari Seremban ke Serdang masih belum hilang, peti kerongkongnya seperti mahu menggagau apabila hasratnya ditolak Profesor Aminuddin mentah-mentah. Namun, dia sedar usaha tanpa mengenal erti putus asa dan mengalah pasti merubah segala dan dengan itu dia memberanikan diri membuka bicara.
“Tuan, saya pinta jasa baik tuan untuk membantu saya. Kalau pun pertemuan yang diselimuti ketergesaan ini bukan hanya untuk memastikan saya lulus dalam tesis kerja kursus tahun akhir saya, setidak-tidaknya bukankah ia juga amal jariah berguna melalui perkongsian ilmu? Saya terpanggil untuk membuat kajian dan membahaskan beberapa pandangan tokoh akademik tentang sejarah Kesusasteraan Melayu Moden. Dan, saya yakin tuanlah orangnya kerana bidang pengajian tuan adalah berkaitan dengan perkembangan awal sastera moden negara. Malah, saya tahu, tuan merupakan seorang penulis yang hebat pada dekad 70-an.” Balas Dzulizah. Pandangan mata gadis kacukan Bajau-Banjar ini bagai berkecai jatuh ke lantai, reaksi spontan seorang insan yang menagih simpati.
“Apa yang kamu harapkan daripada saya? Saya bukanlah seorang penyair agung. Saya tidak fikir saya dapat membantu kamu menyiapkan tugasan kamu itu. Pergilah cari orang lain yang jauh lebih berkelayakan. Benar, memang saya pernah akrab dengan dunia penulisan puisi suatu waktu dahulu, tetapi tidak sekarang. Walaupun Ijazah Doktor Falsafah saya adalah dalam bidang ini, namun saat ini saya lebih selesa mendalami ilmu psikologi pendidikan. Sudah lama saya meninggalkan dunia sastera ini. Malah, sejak bertahun dahulu saya mula berpandangan pesimis terhadap dunia ini.”
“Pesimis? Maksud tuan? Tuan, kerja menulis bukanlah satu kerja yang hina. Berapa banyak keruntuhan peradaban dunia bermula daripada coretan setinta pemikiran dari panahan sebatang pena sasterawan? Sejarah telah membuktikan, betapa empayar Greek, Babylon, Turki Uthmaniyah, China, dan India, malahan Kesultanan Melayu Melaka sendiri mengalami keagungan dan keruntuhan hasil daripada tulisan-tulisan yang merupakan senjata penyebaran pemikiran dan falsafah.
Tulisan-tulisan itu nyata berkuasa untuk membina dan menumbangkan walau sebuah kerajaan terhebat di dunia sekali pun. Ya, jangan lupa juga deklarasi kemerdekaan kita yang digerakkan oleh penulis-penulis yang tegar menyebarkan pemikiran anti-penjajah dan komunis. Nama-nama seperti Usman Awang, Pak Sako, Asraf, Rahim Kajai dan A. Samad Ismail merupakan tokoh legenda dalam usaha ini. Mereka insan yang membakar semangat juang bangsa kita untuk menentang penjajah.”
II
“MENGAPA sukar sangat untuk Walid menerima abang, Idah?" bicara Aminuddin bersenandung melankolik. Irama pilu. Gelagat sepasang anak kecil berbangsa Iran yang berkelahi tidak sedikit pun mencuri pandang.
“Pada Walid, penulis itu golongan yang tidak punyai masa depan. Golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Alasan Walid, Walid tidak mahu Idah hidup susah. Walid tidak mahu Idah merempat sekiranya bersuamikan seorang penulis. Kata Walid, berapa sen sangatlah duit honorarium yang diperoleh seorang penulis. Tidak seberapa, dan kalau ada pun hanya cukup-cukup makan.” Kornea mata Faridah berkaca. Titis jernih seperti berebut-berebut mahu mengalir keluar, namun tersekat dek emosi yang masih bisa dikawal.
“Tapi, bagaimana dengan kita? Cinta kita? Abang tahu, sebagai seorang penulis abang tidak mempunyai pendapatan tetap. Apa lagi nak sara kehidupan kita. Wang hantaran pun entah dapat entah tidak abang sediakan. Tapi Idah cuba yakinkan Walid. Yakinkan dia, yang abang akan bekerja keras untuk kehidupan kita. Menjadi seorang penulis memang tidak dapat menjamin kekayaan material, tetapi abang puas apabila abang dapat memberi kekayaan pemikiran dan pandangan kepada orang lain. Lagi pula, untuk menjadi terkenal kita perlu gigih berusaha. Bermula dari bawah, dan berdikit-dikit mencipta nama. Bila sudah ada nama, barulah dipandang tinggi dan kepakaran kita diperlukan. Kemudian, bila kita pakar dalam sesuatu bidang, barulah ada pendapatan yang tetap. Bila duit..”
“Cukuplah abang. Idah dah puas mendengar angan-angan abang. Telinga Idah dah naik pekak mendengar segala cemuhan orang, terutama Walid dan Ummi. Mereka seperti tidak merestui cinta kita. Sindir mereka, " apa dikenang keramaian raja, andai pakaian compang di sini sana”.
Aminuddin tertunduk kaku. Betapa pilu hati terasa dek sindiran sedemikian rupa. Dia kini berbelah bahagi. Antara dua cinta di hati. Cinta kepada dunia yang miskin pulangan harta majazi, tetapi menjamin keberkatan hakiki atau cinta kepada srikandi yang bertakhta di hati, namun bergelora cabaran yang melintangi. Dia pasrah dan sungguh, apa sahaja keputusan Idah, dia akan menerima dengan hati yang terbuka.
“Jadi, Idah nak tamatkan semuanya di sini?" soal Aminuddin. Hatinya kini luruh dengan dedaunan pilu yang berguguran di perdu rasa. Dia melihat Idah menganggukkan kepala. Kelibat kanak-kanak Iran sudah lama tiada, dan membentangkan persekitaran sepi, sesepi perasaan di hatinya.
“Idah minta maaf abang. Barangkali takdir telah tertulis bahawa antara kita tidak ada jodoh yang tercipta. Apa pun, teruskanlah langkah perjuangan abang dalam bidang penulisan jika itulah iktiqad dan kepercayaan abang. Al-Khindi pernah berkata, " sesuatu pekerjaan itu, andai dilaksanakan dengan istiqamah, ia adalah sebaik-baik amal dan jariah”. Idah tak pernah menghalang, malah cukup menggalakkan dan gembira andai kejayaan itu milik abang. Maafkan Idah, abang. Idah terikat dengan fitrah cinta. Cinta kepada ibu bapa memaknai segala-galanya, dan yang paling perlu diutama.”
Laksana serpihan kaca yang jatuh berderai dan berkecai, begitulah hati Aminuddin yang dipenggal dek kekusutan kewarasan akal. Baginya, kenyataan Idah pada hari ini merupakan talian penamat kepada hubungan cinta mereka. Cinta yang penuh tanda tanya dan berepisodkan kepiluan hingga ke akhirnya.
III
“Tuan, tuan tak apa-apa?” Soalan Dzulizah menebarkan helaian kenangan silam yang tadinya berkeping-keping berterbangan di indera memorinya. Maha Suci Allah, betapa dia terlupa pada tetamu seorang ini yang sewajarnya dia layan dengan sebaik-baiknya.
“Ah, saya tak apa-apa. Maaf, saya berfikir tentang sesuatu. Arwah isteri saya juga pernah membuat penyelidikan tentang proses kemerdekaan negara. Em, baiklah, saya boleh membantu awak. Tapi saya harap awak dapat memanfaatkan hasil perbincangan kita nanti sebaik-baiknya. Em, apa tajuk penulisan tesis awak?" soalan Profesor Aminuddin membuka cermin perbincangan yang memantulkan harapan. Tanda yang menunjukkan saat yang baik untuk menjuruskan permulaan yang memberangsangkan.
Sejarah
“Kesusasteraan Melayu Moden: Perkembangan Sejarah, Transisi Pemikiran dan Budaya. Saya perlu meneliti beberapa perkembangan penting dalam sejarah Kesusasteraan Melayu Moden. Barangkali beberapa tokoh dunia penulisan di Malaysia pada dekad tersebut, karya-karya yang telah dihasilkan, atau apa sahaja yang berkaitan.” Lancar sahaja bicara gadis ini terlontar. Sangat jelas pada gagasan dan konsepnya.
“Sebelum saya menceritakan lebih lanjut, apa yang perlu awak tahu ialah sejarah Kesusasteraan Melayu Moden bermula pada abad ke-19 atau lebih tepatnya pada tahun 1837. Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau dikenali sebagai Abdullah Munsyi menjadi pelopor zaman ini. Beliau menumpahkan segala pengalaman beliau ketika belayar ke negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.” Tenang sahaja bicara awal Profesor Aminuddin membuka lembaran pengetahuan. Dzulizah mengangguk faham, sementara jemari runcingnya rancak menyalin setiap ujana kata yang dibutirkan.
“Em, mengapa kita boleh katakan bahawa Abdullah Munsyi merupakan pelopor awal zaman Kesusasteraan Melayu Moden, tuan?” jurai pertanyaan Dzulizah tergantung pada ranting persoalan.
“Soalan yang baik. Hal ini kerana karya yang dihasilkan oleh beliau telah menyimpang daripada trend karya pada zaman yang sebelumnya. Contohnya, karya beliau yang bertajuk Kisah Pelayaran Abdullah bebas daripada unsur-unsur cerita dongeng, khayal dan mitos purba. Karya ini adalah satu karya realiti dan berpijak di atas bumi yang nyata.”
IV
“RAJA Ali Haji sangat menyanjung tinggi institusi beraja dan istana. Kerana itu hasil tulisannya tidak begitu radikal seperti karya-karya Abdullah Munsyi. Lihatlah, hanya selepas 25 tahun barulah Abdullah Munsyi mempunyai pengikut dalam alirannya.” Suara lantang Faridah mengundang perhatian beberapa kelompok mahasiswa di meja kafeteria kolej tanpa dipinta.
“Benar. Namun selepas 25 tahun, bukankah penulisannya telah membawa dimensi baru ke arah kemajuan sastera Melayu pada zaman moden? Ya, dan kerana itu Abdullah dikenali sebagai Bapa Sastera Melayu Moden. Deretan karyanya seperti Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Abdullah, Dawa‘il Kulub, Syair Kampung Gelam Terbakar cepat menempatkan beliau sebagai Bapa Sastera Melayu Moden” kali ini suara Aminuddin separuh berbisik. Barangkali segan lantaran kian banyak mata dan telinga yang mencuri dengar.
Faridah tersenyum pahit. Selalunya memang begitu. Setiap kali mereka berdebat tentang dunia sastera, dia selalunya tewas. Malah, dia akur bahawa Aminuddin mempunyai bakat bukan hanya merumus sejarah dan teori-teori berkaitan dengan dunia sastera, malah sangat tekal dan ampuh menulis. Tidak seperti dirinya yang hanya meminati, namun barangkali tidak cukup berbakat dan kurang usaha dan dorongan untuk mendalami dunia sastera yang satu ini.
“Abang, Ummi maklumkan kepada Idah semalam, Ishak mahu datang merisik minggu hadapan. Dan Walid setuju.” Deraian air mata jatuh seiring dengan bicara sebak Faridah yang ditahan-tahan. Aminuddin mengetap bibir. Apa lagi dayanya kini?
V
“Jadi, transisi pemikiran dan budaya dapat dilihat jika kita membuat perbandingan antara karya zaman moden dengan karya pada zaman yang terdahulu. Begitu tuan? Perbezaan ini mencakupi latar masyarakat, isu pokok dan pengaruh penjajahan yang membawa satu anjakan dalam perkembangan Kesusasteraan Melayu Moden, bukan?"
Profesor Aminuddin tersenyum. Jauh di sudut hatinya, dia berbangga dengan gadis yang satu ini. Baru kini dia sedar bahawa anak muda di hadapannya ini seakan-akan jelmaan Faridah Hanum Ahmad Boestaman-seorang gadis yang pernah hadir sebagai sumber ilham dalam dunia kepujanggannya. Ah, meski dia cuba menepis tanggapan dan terkaan bahawa gadis di hadapannya ini adalah jelmaan Faridah, namun jauh di sudut hatinya dengan jujur dia terpaksa mengakuinya. Tunak dan alis mata, susuk badan, apatah lagi kepetahan menyusun bertih bicara berfalsafah. Semuanya, malah gaya gadis ini mengenakan tudung di kepala juga sama seperti mana Faridah mengenakan tudung. Oh Tuhan, mengapakah Kau pertemukan gadis ini denganku? Mengapa?"
" Terima kasih, tuan. Saya sangat menghargainya. Bantuan dan jasa baik tuan akan saya kenang sepanjang masa. Oh ya, penyelia saya berkirim salam kepada tuan. Em, sebelum saya meminta diri, saya harap tuan tidak keberatan untuk menurunkan tandatangan tuan di slip pengesahan ini. Slip ini perlu saya serahkan kepada penyelia saya sebagai bukti kehadiran saya di sini atas tujuan penyelidikan.” Balas Dzulizah sambil mengajukan sehelai kertas berwarna kuning.
Profesor Aminuddin tersenyum sebelum mencapai kertas kuning itu. Namun, riaknya berubah sebaik sahaja melihat sepotong nama di ruangan bawah kertas kuning tersebut.
" Profesor Faridah Hanum Ahmad Boestaman. Dialah penyelia, ibu, merangkap bapa kepada saya setelah bapa saya, Ishak Baharuddin meninggal dunia sepuluh tahun yang lalu.” Balas Dzulizah yang serta merta menghulurkan sekeping kad nama dan disusuli dengan ulas senyuman manis yang berseri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...