ARKIB : 22/08/2010
BUKIT kering jingga itu yang semalamnya kontang, kini sudah padat. Melimpah hingga memadatinya. Berjuta-juta hitungannya. Hanya kepala nampak berceratukan. Semuanya melolong-lolong kesukaan, hingga meleleh-leleh liur jatuh ke tanah kering yang merah jingga.
“Semua sudah ada di sini?" Datuk Paduka Seri Dog Setiusaha menjerit dari atas rostrum di puncak bukit. Luas dahinya, bulat matanya, juga teguh badannya. Tapi mukanya sinis, petanda banyak akal pusingnya.
“Sudaaaaahhhhh!!!" jawab kepala-kepala berceratukan yang memenuhi segenap inci bukit dan padang kering itu, dengan suara yang menggempita bumi. Suara itu bergaungan, menyebabkan debu-debu kering bergumulan terbang ke angkasa yang kering jingga juga warna rayanya.
“Bagus! Bagus! Sejak seminggu lalu kami para menteri sekalian kaum Bayanj ini telah bermesyuarat panjang. Dari terbit ubun-ubun fajar, sampai terbenam di kaki mega. Dari terbenam di kaki mega, hingga terbit semula ubun-ubun fajar.
“Kita sudah mengira populasi kaum Bayanj di negara Malayous ini. Kita gunakan mesin kira berteknologi supernano dan radar di langit sana, maka kini kita sudah tahu angka rasminya. Kemudian, kami para pemimpin kaum Bayanj sudah mesyuaratkan panjang lebar sepanjang seminggu lalu tentang apa yang bakal kita laksanakan nanti. Mesyuarat yang sangat hebat, dan sangat menakjubkan.
“Jadi, hari ini kami pemimpin-pemimpin tertinggi kaum Bayanj akan mengumumkan berita-berita maha penting untuk kamu sekalian. Kamu semua mesti ada di sini sebab masing-masing kamu mempunyai tugas untuk dilaksanakan. Tugas yang wajib, yang akan memastikan bumi Malayous ini menjadi milik kita. Faham?" soal Dog Setiausaha yang bermuka sinis itu dengan suara bergemuruh, sambil tangannya didepakan ke sana ke mari. Suaranya yang bagaikan petir itu menggoncang akal sekalian jutaan kaum Bayanj yang melauti bukit merah jingga.
“Hari ini adalah hari gembira untuk kita. Selaku pemimpin yang ditugaskan untuk menghitung populasi, saya umumkan di sini bahawa jumlah kita sekarang ialah 12.75 juta, iaitu hanya kurang 3.3 peratus saja dari keseluruhan penduduk negara Malayous ini.
Hak asasi
“Apakah maknanya ini? Maknanya, kita perlu cepat memulakan langkah pertama, iaitu menggerakkan hak-hak kita sebagai kaum yang dijamin hak asasinya dalam perlembagaan negara ini! Sebab, hanya dalam sedikit masa saja, kita bukan minoriti lagi. Malah kita akan jadi majoriti. Kita lebih ramai daripada mereka. Maka, kita akan tuntut hak kita. Dan… kita sudah pun merangkanyaaaa!!!!!!" laung Dog Setiausaha.
“Maka, mulai esok, kita akan menghantar utusan berjumpa dengan Presiden negara Malayous ini supaya kita diberi hak untuk berpersatuan, bersosial dan berhubungan seksual sesuka kita.
“Ingat, dahulu makhluk lesbian, homoseks dan gay dikeji dan dinista. Tetapi mereka begitu berani, tidak patah semangat. Makhluk lesbian, homoseks dan gay ini terus lancar meneruskan hubungan mereka walaupun dikeji. Lihat sekarang, akhirnya, mereka mendapat hak mereka.
“Lihatlah, mereka sudah ada persatuan. Mereka sudah ada taman-taman untuk berjumpa dan bersenggama. Sudah begitu ramai makhluk lesbian dan gay ini menjadi orang terkenal. Mereka tidak lagi dihina, malah mereka disanjung-sanjung. Mereka dipuja-puja. Mereka jadi idola.
“Akhirnya mereka mendapat hak mereka. Mereka sudah diterima di seluruh planet biru ini. Jadi, kita kaum Bayanj pun mesti berjuang mendapatkan hak kita. Hak untuk hidup bebas seperti lesbian, homoseks dan gay, hippies dan gipsi, bersenggama sesuaka kita, sebab kita sudah hampir menjadi majoriti.”
“Dengan adanya status sebagai kaum majoriti, maka kita akan berkuasa menentukan arus politik, pegangan ekonomi dan perkembangan serta perubahan sosial. Manusia yang menghuni gunung hijau itu akan jadi minoriti pula dan mereka mesti tunduk kepada kitaaaaaa!!!!" laung Dog Bendahari, mengakhiri ucapannya sebagai mukadimah perhimpunan kaum Bayanj pada hari Ahad yang gemilang itu.
Sekali lagi suara lolongan bergema menerbangkan debu berpusaran ke langit jingga. Setelah itu, muncul pula Datuk Paduka Utama Dog Rehab di atas rostrum. Dog Rehab ini rona mukanya kepalang ganas. Matanya halus tajam, terpancar licik dan cerdik. Bijak pula mengatur strategi.
Laung Dog Rehab, “Sekarang, saya akan umumkan resolusi kedua mesyuarat perdana kami. Resolusi itu ialah, kita akan runtuhkan rumah-rumah perlindungan untuk gadis-gadis terlanjur yang sekian lama menghalang perkembangan populasi kita.
“Rumah-rumah ini mesti dibakar. Ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, mak cik-mak cik yang mengusahakan rumah perlindungan itu mesti kita buru dan gigit badannya. Mereka ini adalah musuh kita. Sebab, apabila mereka menyediakan tempat untuk gadis-gadis manusia melahirkan bayi haram mereka, maka akan berkuranglah perkembangan kaum kita. Betul atau tidaaakkk!!" dia memancing perhatian.
“Betullll!" jutaan kepala berceratukan itu menyahut.
“Nah, kalau betul, apa tunggu lagi? Rumah Perkis, Kuwaja, Sukina, Annuum dan banyak lagi itu mesti dimusnahkan. Penjaganya mesti digigit badannya sampai mati berkecai. Sebarkan penyakit kepada mereka. Kepung rumah mereka, kencing dinding rumah mereka, berak di sekeliling kediaman mereka dan kita melolong-lolong di sekeliling rumah mereka 24 jam sehari sampai mereka ketakutan.
Loya tekak
“Apabila mereka ketakutan, mereka loya tekak dan muntah lewah, mereka tidak dapat tidur malam, mereka hidup dalam gelumang najis dan mereka menangis-nangis sepanjang masa, mereka akan tinggalkan rumah perlindungan itu.
“Maka, rumah perlindungan itu akan terbiar dan gadis-gadis itu akan membuang bayi mereka. Dari situ, akan berkembanglah generasi kita, betul tak?!!!"
“Betullll!!! Bijakkkk!!!" jutaan kepala berceratukan itu serentak meololong kesukaan. Kini mereka sudah nampak jalannya untuk mengembangkan populasi kaum Bayanj. Sudah jelas. Jelas bagai malar jernihnya embun.
Selepas Dog Rehab berucap sampai menyirat-nyirat urat merah di sekeliling matanya, muncul pula pemimpin ketiga, Datuk Seri Buana Dog Sperma.
“Dua resolusi yang mudah dan bijak. Sekarang resolusi ketiga mesyuarat perdana. Dengar betul-betul sebab ia ada kaitan dengan perubatan dan biologi. Untuk pengetahuan kamu semua, kita dalam peringkat akhir menghasilkan ubat kesuburan. Ubat ini akan diberi kepada semua betina-betina bunting di kalangan kita yang apabila mereka memakannya, mereka akan menjadi supersubur.
“Seekor betina yang bunting akan melahirkan 44 ekor bayi Bayanj. Setiap ekor bayi Bayanj yang betina pula akan mempunyai 44 tetek supaya teteknya itu akan dapat digunakan oleh 44 jantan dan 44 bayi Bayanj. Dengan cara itu, populasi kita akan bertambah dengan berlipat kali ganda.
“Dengan itu, dalam waktu yang singkat saja, populasi kaum Bayanj akan mengatasi manusia majoriti itu dan kita akan menguasai negara Malayous ini. Bumi Malayous ini akan penuh dengan kaum Bayanj.
“Bila ini berlaku, kaum Bayanj tidak akan dihina dan dikeji lagi. Kita akan diterima sebagai kaum yang normal, seperti kaum lesbian, gay dan homoseks. Malah kita akan disanjung. Ibu bapa kita juga akan dipuja. Kita semua akan diberi tempat dan kita akan bercakap atas dasar hak asasi!!!!!"
“Betullll!!! Betullll!" jutaan kepala yang berceratukan itu melolong-lolong lagi. Debu kian banyak mengabusi bukit dan padang yang kering jingga. Kelihatannya jutaan kepala berceratukan itu sudah tidak sabar lagi menanti hari esok, tambahan pula apabila melihat seorang lagi cendekiawan mereka kini muncul di rostrum.
Ya, itulah jantan paling bijak, paling licik, paling banyak menghasilkan bayi-bayi Bayanj. Ya… wajahnya tampan dan manis. Senyumannya lembut. Rona mukanya bersih seperti ulama kaum manusia di Gunung Hijau. Tutur katanya sangat sopan, ayatnya tersusun rapi, penuh puji-pujian, penuh kasih sayang, mulus, kudus, suci bersih dan bening.
Tetapi… hahahaha… inilah muka jantan paling bijak memperdaya dan membuntingkan ribuan betina, termasuk yang bergelar bini. Jantan ini ialah Tuan Sri Dog Juan, si pakar perkembangan populasi. Sejak puluhan tahun lalu, Dog Juanlah yang membuat perancangan demi perancangan untuk mengembangkan kaum Bayanj. Tapi Dog Juan ini pakar dalam bidang yang ada tali dan jaring kaitan dengan senggama saja. Bidang lain, Dog Juan tidak arif sangat.
Asalnya Dog Juan ini namanya DogGoda, tetapi disebabkan kelicikannya memperdaya dan membuntingi Bayanj-bayanj betina, berlakon dengan wayang muka baik dan ayat-ayat cintanya, maka dia digelari Dog Juan, sempena nama seorang lelaki penggoda dalam kalangan rakyat manusia di Gunung Hijau.
Dog Juan memerhati segenap ruang bukit kering jingga. Setelah semuanya mengunci bibir, Dog Juan pun mengumumkan resolusi keempat mesyuarat perdana itu.
“Tadi kita sudah dengar tiga resolusi. Satu tentang hak. Kedua tentang serangan hendap. Ketiga tentang perubatan. Dan sekarang yang terakhir, dari saya, Dog Juan. Resolusi keempat ini sangat mudah. Kamu semua semua pasti suka untuk melakukannya.”
“Apa dia, juaaannnn!!!" tanya jutaan kaum Bayanj di kaki bukit dan padang kering jingga, tidak menyempat-nyempat lagi.
melaporkan
“Begini, kalau kita baca akhbar mereka baru-baru ini, ada menyebut sejak tahun 2000 sampai tahun 2009, telah lahir lebih 257,000 bayi manusia luar nikah. Akhbar mereka juga melaporkan, dalam masa 17 minit 17 saat, lahir seorang bayi manusia luar nikah di Gunung Hijau sana.
“Kebanyakannya pula, kata akhbar mereka, adalah dari kalangan kaum Melayu. Ini bererti, pekung sudah terbuka. Budaya kita sudah mereka terima, tetapi mereka lakukannya senyap-senyap.
“Ingat ya, dulu mereka keji hina kaum gay dan lesbian, sekarang mereka sudah terima. Sudah ada berpuluh-puluh ribu gay dan lesbian di kalangan mereka. Malah sudah ramai gay dan lesbian ini jadi manusia terkenal, disanjung dan diidolakan.
“Jadi, kita kena buat serangan secara besar-besaran dan kita perkenalkan budaya kita secara terus terang!"
“Budaya apa, juuaaannnn???" terdengar seorang daripada kaum Bayanj itu bertanya, tidak menyempat-nyempat juga.
“Budaya mengawan! Hahaha!! Mulai hari ini, kita kena masuk ke setiap inci kawasan kaum manusia itu, kemudian kita mengawanlah di mana-mana saja yang kita suka. Paling penting, kita mengawan di depan anak-anak muda mereka. Pergi ke tempat menunggu bas. Kalau nampak ada anak muda mereka, tidak kira berseorangan atau berdua-duaan, terus kita mengawan.
“Pergi ke pagar sekolah mereka. Mengawan di situ, biar semua pelajar di sekolah itu ghairah melihat kita mengawan. Pergi ke taman-taman bunga, mengawan di tempat yang paling ramai orang. Di tepi-tepi jalan pun kamu mesti mengawan supaya perbuatan kita itu dapat melibur hati mereka, terutamanya anak-anak muda mereka.
“Pendek kata, kita mengawan sepanjang masa, di hadapan mereka. Strategi ini sangat mudah sebab ia dapat merangsang syahwat anak-anak muda kaum manusia itu. Jangan takut, sekarang pun anak-anak muda itu sudah pandai mengawan di bawah pokok, di atas motosikal, atas tangga, di dalam sekolah, di tepi surau, di tepi masjid, di dalam bas dan di dalam LRT. Mereka takkan marah, malah mereka suka kalau dapat tengok kita mengawan, sebab mereka memang suka budaya kita.
“Sekarang pun mereka sudah pandai mengawan beramai-ramai serentak. Sekarang pun anak-anak muda kaum manusia itu sudah pandai tukar-tukar pasangan, tunjuk-tunjuk anu pada jantan, senggama dengan adik dan kakak, rakamkan pula dengan video, masuk telefon, masuk komputer, bukankah itu semua asalnya budaya datuk nenek kita, kaum haiwan? Ertinya, memang mereka sudah terima budaya kaum kita, cuma kita yang tidak sedar!
“Nanti kami akan berikan ubat pengasih dari kayu cenuai dan balabaq, yang apabila kita semua memakannya, akan timbull rasa kasih pada orang yang melihatnya. Kemudian, apabila kita mengawan, anak-anak muda kaum manusia itu juga akan ikut sama mengawan macam kita. Mereka akan mengawan bawah pokok tanpa segan silu atau sembunyi-sembunyi lagi. Nanti anak-anak muda ini akan jadikan pula aktiviti mengawan di tempat terbuka sebagai budaya baru kaum manusia. Mereka akan jadikan itu hak asasi mereka. Dengan itu, akan bertambahlah bayi di kalangan mereka, dan kebanyakan bayi ini akan mereka buang sebab sudah tidak ada lagi rumah perlindungan.
“Bayi-bayi yang mereka buang itulah yang akan kita makan, lahap dan telan lumat-lumat. DNA mereka akan menyerap dalam diri kita dan apabila kita mengawan, maka akan lahirlah 44 bayi baru kaum Bayanj. Lagi banyak mereka buang bayi mereka, lagi banyak yang akan kita makan, dengan itu akan lagi bertambah banyaklah lahir kaum Bayanj. Bagaimana, setujuuuuuuu???"
“Setujuuuuu!!!!" jutaan kepala berceratukan itu menyahut dengan melolong-lolong begitu galak sekali. Bijak, Dog Juan ini memang bijak!
Selesai si Dog Juan berucap, Datuk Perdana Agung Dog Perdana Menteri pula muncul di atas rostrum di puncak bukit kering jingga itu, langsung disambut dengan lolongan paling menggempita.
“Hahaha…" Datuk Paduka Agung Perdana Menteri ketawa besar. “Kita kena mulakan usaha kita secepat mungkin. Kita kena pastikan negara Malayous ini dipenuhi dengan kaum Bayanj.
“Kita mesti jajah bumi Malayous ini! Kita sudah hampir melangkau angka majoriti, maka kita mesti serang mereka! Serang! Serangggg!! Seraaanngggg!!" laung Dog Perdana Menteri. Suaranya paling mengocak bukit kering jingga. Seluruh bukit itu bergegar. Bergegar dengan taufan semangat juga api syahwat haiwaniah.
Lalu, pada hari itu, selepas menutup perhimpunan tersebut dengan lolongan umpama guruh, jutaan kaum Bayanj itu pun berjalan dengan empat kaki mereka, dengan wajah serupa manusia, melolong-lolong, menggonggong-gonggong, mengencing-ngencing sambil mengangkat satu kaki dan mengawan-ngawan di bawah pokok. Mereka terus melangkah tanpa henti kerana perjalanan ke kawasan manusia di Gunung Hijau memakan masa sehari.
Maka juga, bermula esok akan bersemaraklah budaya baru dalam kalangan kaum manusia di bumi Malayous, secara rasmi, iaitu budaya anak-anak muda mengawan secara terbuka, dan kemudian membuang bayi-bayi mereka untuk dimakan oleh...!!! Dan esok juga bakal menjadi titik mula bumi Malayous itu dipenuhi dengan kaum Bayanj.
Ya, esok. Esok. Lihatlah apa yang akan berlaku esok...
No comments:
Post a Comment