Search This Blog

Wednesday, 29 September 2010

Sindrom mediocrity dalam sastera

Dear all,

An article worth sharing. i find there are truths in his arguments. I like his arguments and perhaps this article suggests that malaysians have to do something about this matter. let's ponder over this issue together....



ARKIB : 26/09/2010 Utusan Malaysia

 



SINDROM mediocrity atau sindrom pertengahan yang menyelimuti masyarakat dan seterusnya melahirkan masyarakat mediocre turut merebak dalam dunia sastera pada hari ini. Masyarakat mediocre adalah masyarakat yang hidup dalam tanggapan yang palsu dengan meletakkan tujuan hidup mereka semata-mata untuk menjalani rutin, berfikir secara mudah atau simplistik, menurut, menerima tanpa soal, dan mengakhiri hidup dengan seadanya.
Paling penting bagi mereka ialah mengelakkan kompleksiti dan menjalani rutin tanpa soal. Masyarakat mediocre ialah masyarakat mempunyai upaya yang sangat minimum untuk mencipta perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Selebihnya mereka menjadi masyarakat pengekor, penurut dan pembonceng kepada segala bentuk pemikiran serta perubahan yang dicipta atau dibawa oleh orang lain.
Secara umum masyarakat mediocre melahirkan manusia berjiwa kecil, lumpuh pemikiran, tiada keberanian meneroka dan tiada keyakinan jatidiri. Mereka gemar mengambil jalan tengah iaitu jalan mudah kepada setiap perkara dan tidak mahu lagi menggunakan daya fikir yang serius.
Sindrom pertengahan dilihat mula merebak dan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Kegemaran yang luar biasa terhadap hiburan kosong yang semata-mata memenuhi keriaan hati tanpa mempunyai motif kesedaran telah hampir melumpuhkan budaya tinggi yang wujud dalam masyarakat. Bermula dengan nyanyian dan muzik yang mencipta dunia hiburan kosong, ia merebak kepada filem, teater, budaya seperti dalam tarian, dan akhirnya dunia sastera.
Filem Melayu hari ini telah memperlihatkan bagaimana sindrom pertengahan ini merosakkan mutu, nilai serta pemikiran yang sepatutnya wujud sebagai inti jatidiri bangsa. Sebaliknya filem-filem Melayu dipenuhi sampah sarap bahan-bahan picisan, simplistik, dan murahan. Tidak ada satu pun pemikiran besar yang dapat dikutip daripada filem-filem Melayu yang termasuk dalam senarai kategori kutipan pecah panggung (box office) sejak hampir dua dekad terakhir ini.
Ini memberikan indeks tentang rendahnya pemikiran khalayak penonton filem Melayu begitu juga pembikin filemnya, sekaligus memperlihat betapa kroniknya sindrom pertengahan yang sedang melahirkan manusia mediocre tersebut. Hal yang sama berlaku dalam seni persembahan yang lain seperti teater, muzik dan sebagainya. Tentu ada pengecualian terhadap hasil-hasil yang benar-benar bermutu tetapi ia sangat kecil dan tidak mempengaruhi pergerakan citarasa masyarakat mediocre ini.
Indeks terhadap tahap pemikiran masyarakat Melayu dapat dinilai secara umum daripada kegemaran (kegilaan) luar biasa terhadap hiburan kosong seperti rancangan realiti hiburan di kaca televisyen, karnival hiburan, isu sensasi picisan, dan bahan hiburan bercetak mahupun elektronik. Sementara revolusi teknologi maklumat yang mewujudkan laman sosial, simulacrum dunia maya, dan capaian maklumat tanpa sempadan memperlihatkan indeks tahap pemikiran remaja-
remaja Melayu yang rendah.
Nilai
Semua ini menjelaskan betapa kritikalnya kelumpuhan nilai serta pemikiran dalam konteks masyarakat mediocre hari ini. Lebih malang sindrom pertengahan ini juga telah merebak dalam dunia sastera dekad mutakhir ini. Bermula dengan merebaknya novel-novel cinta popular yang ditulis untuk memenuhi citarasa perasaan dan khayalan palsu, ia kemudian merebak ke dalam penulisan sastera seperti cerpen, puisi dan novel sastera serius. Bahkan turut terkais dalam penulisan rencana, kajian serta kritikan sastera yang menyalin dan menerima pakai secara mudah pemikiran lain, khususnya keilmuan Barat.
Sebahagian sarjana sastera dan sasterawan mencari jalan tengah untuk berkompromi dengan bahan-
bahan sastera ringan seperti novel-
novel popular, dengan menerimanya sebagai hasil sastera. Ia tentunya tidak salah apatah lagi di atas alasan menarik dan meluaskan khalayak pembaca. Ia juga menjadi strategi yang baik untuk menarik masyarakat penggila hiburan kepada buku dan bahan bacaan. Sekurang-kurangnya dapat mendidik perasaan mereka kepada karya penulisan.
Tetapi malangnya kompromi ini berjalan sehala dengan desakan untuk melahirkan karya-karya bersifat popular, ringan, dan klise menenggelami upaya untuk melahirkan karya sastera serius. Sastera akhirnya ditekan untuk menjadi bahan penulisan yang main-main demi menghiburkan pembaca mediocre, dan bukan lagi penulisan serius yang melahirkan pemikiran besar.
Maka ahli-ahli sastera (sarjana sastera mahupun sasterawan) yang turut terperangkap dalam sindrom pertengahan kehilangan upaya untuk menggerakkan perubahan dan pembaharuan. Bagi mengatasi ketidakupayaan mereka ini, ahli-ahli sastera mula bergerak ke belakang mencari kegemilangan lama dan akhirnya bertapak mundur mencari alam nostalgia Melayu daripada cerita sawah bendang, desa permai, konflik tradisi-moden, sengketa tanah pusaka dan segala bentuk nostalgia dari zaman abad ke-20 dahulu.
Sekali lagi mencari alam nostalgia ini tidak salah, tetapi kesan akhirnya yang menutup dorongan untuk mencipta karya garda depan (avant garde) bagi meroboh konvensi dan status quo telah dibunuh secara klasik. Apabila karya sastera diarah untuk tinggal menetap terkurung dalam status quo sebegini, maka pemikiran-pemikiran baru tidak akan lahir. Lebih malang lagi secara perlahan-lahan ia melahirkan dunia sastera yang klise, berjiwa kecil, nostalgik, dan terasing daripada masyarakat. Peranan sastera sebagai pemangkin nilai dan pencerna pemikiran masyarakat pupus. Sastera akhirnya wujud sama ada sebagai hiburan kosong ataupun arkaik klasik di muzium.
Sindrom pertengahan ini mempunyai kesejajaran dengan apa yang disebut oleh Malek Bennabi terhadap sifat masyarakat pasca-peradaban (post-civilized society) atau mujtama’ ba ‘da al-hadarat. Beliau menyatakan tentang keadaan masyarakat yang cenderung untuk hidup dalam ‘kekosongan’ (no thingness), mengekor dan lumpuh pemikiran. Hidup di dalam ‘kekosongan’ (atau tidak punya apa-apa) ini bagi beliau adalah akibat daripada keadaan masyarakat yang diserang oleh sindrom pertengahan, diikat oleh kegemaran berhibur dan tidak lagi mahu berfikir.
Pada peringkat ini Bennabi menyetujui apa yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun bahawa semakin besar (takdis) ikatan kebendaan dan pengejaran kepuasan untuk memenuhi kemewahan hidup membawa kepada kemerosotan rohani dan intelektual. Pada peringkat ini manusia berada dalam keadaan untuk hidup mengambil jalan mudah, fikiran ringan, dan rutin tanpa soal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...