Search This Blog

Sunday, 19 June 2011

AKU MELAYU

Sanggar Kreatif: Aku Melayu
Oleh Shafiq Mazlan

2011/06/19

“AH, jelik rasanya ingin ku teruskan pembacaan ini!” bentak Zazuan. Dua orang rakan setianya sekadar tersenyum. Mereka bagaikan amat biasa dengan kondisi ini. Antologi Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan 5 bermauduk ‘Dirgahayu Bahasaku’ yang dibacanya sebentar tadi, diketepikan. Raut wajahnya tidak menampakkan sedikit pun minat untuk mendalami teks KOMSAS tersebut. Koyakkan saja, bisik nafsu amarah bissuknya. Namun dia masih waras memikirkan bahawa antologi itu hak milik sekolahnya. 

“Perlukah puisi picisan sebegitu ditelaah? Prosa kuno mengarut sebegitu hanya memenatkan minda saja. Lebih molek aku santap karya JK Rowling berbanding mengenal hikayat mengarut. Lebih molek aku jamah karya penulisan Stephen Covey daripada menatap puisi yang membingungkan. Aku tidak mengerti mengapa bangsa Melayu ini terlalu obses kepada sesuatu yang kompleks,” luah Zazuan panjang lebar.
Rakan-rakannya sekadar membisu. Mereka sudah terlalu memahami mentaliti Zazuan yang menolak fahaman bangsa sendiri dan lebih cenderung merafak budaya bangsa Barat. Bagi Zazuan, cukuplah dia sebagai seorang Islam. Apa perlunya Melayu dalam kehidupan?
“Aku tidak nampak di mana kepentingan adat. Puisi pula bagiku hanyalah sekadar himpunan kata-kata karut yang memeningkan. Lantas, apa yang mereka agungkan sangat dengan budaya Melayu ini?” Zazuan meneruskan bebelannya. 

“Zazuan, sepuluh tahun di negeri orang bukan alasan munasabah untuk kau mempersoalkan apa itu Melayu dan mencela budayanya. Entah apa doktrin yang dipasak dalam mindamu hingga kau lupa daratan sebegini kritikal. Memalukan!” Tegas satu suara dari satu arah, lantang. 

Zazuan tersentak. Dia mencari-cari sang pemilik suara lantang itu. Panas hatinya apabila tikaman tajam sindiran itu menerjah gegendang telinganya. Matanya tertangkap sesusuk tubuh bersandar tenang di tepi jendela kelas 5 Cita. Dia melirik tajam, menyampaikan amaran barangkali. 

“Meskipun kau terdidik di benua yang lain, merah darahmu masih darah Melayu, bukan? Rasanya ibu bapamu Melayu tulen dan pada kad pengenalanmu sendiri tertinta kemas aksara M, E, L, A, Y dan U. Aku fikir jiwamu masih terpasung berhala hedonisme yang menjadi asbab primer kebencianmu pada Melayu, bangsa asalmu,” Shahrul menambah kata. 
Laksana kerang busuk, Zazuan hanya mampu tersengih. Bola matanya menzahirkan satu pandangan sinis seakan-akan mengejek. Tanpa sepatah pun kata, dia melangkah meninggalkan rakan-rakannya bersama Shahrul, terpinga-pinga. 

* * * 

USAI Isyak, Shahrul menyiapkan diri untuk turun ke gelanggang silat di hadapan rumahnya. Rutin bagi Shahrul pada setiap malam Selasa dan Jumaat untuk berlatih ilmu persilatan bersama ayahnya dan beberapa orang anak murid ayahnya. Kadang-kadang dia turut membantu ayahnya melatih anak-anak murid ayahnya. 

Malam itu, dia berseorangan membuka gelanggang lebih awal berbanding malam-malam sebelumnya. Usai berdoa memohon daripada Tuhan agar sesi latihannya selamat daripada gangguan, dia memulakan aktiviti regangan. Selepas itu, Shahrul mengulang kaji buah pukulan dan tangkisan yang telah dipelajarinya. 

Zazuan yang kebetulannya baru saja pulang dari rumah seorang rakannya ternampak Shahrul sedang bersilat ketika melalui perkarangan rumah Shahrul. Dia mencari tempat untuk berlindung dari dilihat oleh Shahrul. Dari bawah rimbun pohon rambutan, dia melihat segala pergerakan dan tari Shahrul. Terkadang dia ketawa terkekeh-kekeh. Melucukan, fikirnya. 

Shahrul yang menyedari dirinya diperhatikan menghentikan latihan seketika. Zazuan memunculkan dirinya dari sebalik pohon rambutan apabila melihat Shahrul bagaikan sudah menangkap kehadirannya. 

“Aneh benar perbuatanmu. Inikah silat yang diagungkan sebagai salah satu adat Melayu yang bernilai? Kudengar silat kini semakin mendapat perhatian sarwajagat. Tampaknya hanyalah gerak tari yang melucukan,” ejek Zazuan, disertai tawa yang panjang. 

Shahrul menulikan telinga. 

“Ayuh, persembahkan apa yang kau mampu lakukan,” cabar Zazuan sambil menghampiri Shahrul. 

“Rasakan ini!” Zazuan melepaskan satu tumbukan padu ke ulu hati Shahrul. Tangan kiri Shahrul pantas menangkis serangan Zazuan. Deras kaki kanan Shahrul menerjah pelipat lutut kanan Zazuan, menyebabkan Zazuan tersungkur. Tangan kanan Shahrul tergenggam kemas. Namun belum sempat dia membenamkan penumbuknya itu, kedengaran satu suara menempik. 

“Shah, hentikan!” 



Sesusuk tubuh berkain pelikat tanpa memakai baju tegak bercekak pinggang di pintu rumah Shahrul. Shahrul melonggarkan pijakannya. Dia segera mendatangi ayahnya yang sedari tadi menanti di hadapan pintu rumahnya itu. 

Zazuan bingkas bangun. Melihat carik pada seluarnya menimbulkan rasa sesal mencabar Shahrul. Dia malu. Kesesalan mengiringi langkah pulang ke rumahnya. 

* * * 

“MELAYU telah diakui oleh dunia sebagai bangsa yang hebat, sama ada cerita mengenai budaya dan adat mahupun sejarahnya. Sejarah mencatatkan bahawa bangsa Melayu dikenali Nusantara sebagai ‘perakam alam’.” 

Seisi kelas terdiam mendengar pembentangan kajian Shahrul tentang Melayu. Semua pelajar bagaikan terpukau dengan isi yang dikemukakan Shahrul. Cikgu Izatul Hanim sekadar tersenyum. 

“Apa yang dimaksudkan dengan ‘perakam alam’?” Seorang pelajar mencelah pembentangan Shahrul, ingin tahu. 

“Bangsa Melayu adalah bangsa yang menerapkan segala unsur mayapada ini ke dalam budayanya. Sebagai contoh, baju Melayu jenis cekak musang normalnya mempunyai lima butang sebagai simbolik kepada lima rukun Islam dan baju Melayu jenis teluk belanga hanya mempunyai satu butang yang melambangkan bahawa Allah Maha Esa. 

Bilangan anak tangga rumah tradisional kebiasaannya ganjil supaya kaki kanan dulu yang akan melangkah masuk ke dalam rumah,” terang Shahrul. 

“Adakah hantu dalam kepercayaan orang Melayu juga dipengaruhi oleh konsep ‘perakam alam’ ini?” Sampuk seorang pelajar, acuh tidak acuh. 

“Ya. Faktor geografi mewakili salah satu faktor wujudnya kepercayaan pontianak, langsuir dan hantu alam Melayu yang lain. Bangsa Melayu telah menyedari kondisi iklim kawasan khatulistiwa dan berhutan ini lebih sesuai dipadan dengan kepercayaan hantu terbang. Hal ini berbeza dengan masyarakat Arab Badwi yang tinggal di padang pasir. Mereka lebih cenderung mempercayai kewujudan gangguan jin, nasib malang dan sial lantaran iklim gurun yang tandus dan kosong. 

Bayangkan pontianak muncul di kawasan gurun. Aneh bukan? Jika ini berlaku, maka tidak akan terlahirlah sekalian ahli kaji bintang yang majoritinya adalah produk masyarakat Arab Badwi,” jawab Shahrul, jelas dan teratur. 

Zazuan hanya membisu di tempat duduknya. Sedikit demi sedikit rasa takjubnya pada warisan Melayu bercambah di ruang hatinya. 

* * * 



“BERNAS sungguh bicaramu. Input kajianmu tidak ubah seperti tesis mahasiswa. Dari manakah kau peroleh maklumat sebegitu?” soal seorang sahabat. 

Kelas Sejarah baru saja tamat. Hampir seisi kelas menyerbu ruang duduk Shahrul. 
Mereka ingin mendengar lebih banyak cerita daripada Shahrul. Persoalan demi persoalan daripada para teman mengasak pemikiran Shahrul. Dia menyambut segala soal dengan tenang dan cuba untuk menjawab semua persoalan agar tiada yang berkecil hati. 

“Memandangkan kau sendiri adalah seorang pesilat, bolehkah kauceritakan sedikit perihal ilmu persilatan?” Tanya salah seorang daripada pelajar 5 Cita. 

“Budaya Melayu turut dipengaruhi dengan kemasukan unsur Islam apabila kalangan pedagang Arab yang beragama Islam mula bermukim di Tanah Melayu. Beberapa riwayat mencatatkan silat diajar oleh pedagang Arab dan mula berkembang di Tanah Melayu sejak zaman Parameswara lagi. Kebiasaannya pakaian silat berwarna hitam sebagai simbolik kepada bayang-bayang. Huraiannya, walaupun darjat, pangkat atau kedudukan mahupun fizikal berbeza, bayang yang sentiasa hitam menzahirkan persamaan sesama pesilat. Selain itu, warna tersebut sebagai langkah berjaga-jaga untuk tujuan penyamaran apabila gelanggang didatangi penjajah dulu kalanya. Pesilat akan memadamkan jamung dan menyembunyikan diri di sebalik kegelapan. Setiap buah pukulan dan tangkisan, seni dan bunga pergerakan mempunyai peranan masing-masing yang hanya difahami oleh pengamal ilmu persilatan saja,” cerita Shahrul. 

“Ah, apa perlunya silat …” celah Zazuan dari belakang Shahrul. 

“Silat membentuk disiplin dan mengajar .…” 

“Jika ditembak pistol, pasti mati menyapa jua. Jadi tiada gunanya mempelajari ilmu yang sia-sia ini.” 

Sepi menyelubungi atmosfera kelas 5 Cita seketika. Pelajar yang lain mula bercakap sesama sendiri, memperkatakan hujah Zazuan. Zazuan tersenyum puas, yakin Shahrul kehabisan madah. Aku menang, bisik hati kecilnya penuh bangga. 





“Itulah pemikiran dungu namanya,” bidas Shahrul, tajam. 

Zazuan terkejut. Penumbuknya dikepal kemas. Jika diturutkan kata hatinya, mahu saja dia membenamkan penumbuknya itu ke muka Shahrul. Namun bila dikenang 
kembali cerita lama, dia tidak berani. 

“Bukan semua orang boleh mempunyai pistol. Tambahan lagi, jika kau ditumbuk sekarang, mampukah kaumenembak sang empunya penumbuk itu?” Shahrul menambah. 

“Tapi, apa perlunya bangsa sedangkan yang terpenting itu ialah agama,” asak Zazuan, tidak berpuas hati. 

“Bersyukurlah kamu dilahirkan sebagai seorang yang berbangsa Melayu. Kamu yakinkah jika kamu dilahirkan oleh ibu bapa daripada bangsa yang lain, kamu mampu mengenal Islam ketika ini? Apabila kamu dilahirkan sebagai seorang Melayu, terang lagi bersuluh agama yang bakal menjadi pegangan ialah Islam. Sedangkan Rasulullah SAW pun meletakkan orang yang mengutuk masyarakat Arab ibarat mengutuk Rasulullah sendiri, meskipun bangsa Arab Quraisy ini masih lagi degil dalam menerima kebenaran. Masih menganggap Melayu itu sesuatu yang menyusahkan?” 
Zazuan terdiam. 

* * * 

ZAZUAN mematikan derap langkahnya apabila matanya terpandang beberapa orang samseng terkenal di kampungnya menanti di laluan tanah merah, susur keluar ke simpang masuk kawasan rumahnya. Dia berkira-kira untuk menggunakan jalan lain untuk pulang ke rumahnya. Belum sempat dia berpaling, kedengaran keras satu bertempik. 

“Hoi, kamu yang berpakaian sekolah itu! Mari ke sini sebentar.” 

Pucat wajah Zazuan menzahirkan rasa cuaknya. Dia melangkah berat mendekati samseng-samseng itu. 

“Ya, boleh saya bantu?” Terketar-ketar Zazuan menyatakan soalannya. 

“Belikan aku rokok,” sahut ketua samseng, kasar. Bengis wajah ketua samseng menambahkan lagi rasa takut Zazuan pada mereka. 

Belum sempat dia menjawab, telinganya menangkap satu jeritan dari hujung laluan. 
“Jangan ganggu budak itu!” 

Shahrul yang masih berpakaian sekolah tampak sedang berdiri di hujung jalan. 
Baru pulang dari sekolah barangkali, getus hati kecil Zazuan. Shahrul melangkah mendekati mereka. Selamba wajahnya meningkatkan lagi pawaka kemarahan samseng itu. 

Shahrul mematikan langkahnya; lebih kurang semeter daripada kumpulan samseng berkenaan. Dia merendahkan kekudanya, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tanpa sebarang isyarat, beberapa orang samseng mula bertindak menyerang Shahrul. Shahrul masih lagi dalam keadaan bertenang, menanti. Seketika dia mula mengubah pola sikapnya. Serangan demi serangan berjaya dimatikan, pantas tak terlihat dek ketua samseng dan Zazuan. 

Pisau dari raga motosikal dicapai oleh ketua samseng itu. Zazuan ditolak ke tepi. Melihat anak buahnya sudah tidak berdaya, dia memulakan serangan. 
Terburu-buru dia merodok tajam pisau di genggaman tangan kanannya itu ke perut Shahrul. Shahrul bingkas mengelak ke tepi. Nah! Satu tendangan mampir di bawah ketiak kanannya. Serangan ketua samseng itu terhenti. Genggamannya mula longgar, memudahkan Shahrul merampas pisau di tangannya. Kini, senjata makan tuan. Shahrul mengacukan mata pisau pada leher ketua samseng. 

"Ampunkan aku ...," rayu ketua samseng itu. 

Shahrul membuang pisau ke tepi. Terkocoh-kocoh ketua samseng dan anak-anak buahnya membuka langkah pergi dari situ. Pandangan Shahrul beralih kepada Zazuan. zazuan yang diam sedari tadi, cuba untuk bangun. Masih terdiam. 
Tergesa-gesa dia juga melangkah pulang ke rumahnya, pantas. Menyesal barangkali, monolog Shahrul. 

* * * 

PINGGAN kosong yang sebentar tadi berisi nasi goreng itu diketepikan. Gelas berisi air anggur kordial itu dicapainya cermat. Seteguk demi seteguk dia menelan hingga hampir kosong gelas itu. Kejadian hari sebelumnya cuba dia luputkan dari kotak memorinya. Waktu rehat di sekolah dimanfaatkan sebaiknya. 
Matanya tertangkap sesusuk tubuh yang amat dikenalinya menghampiri meja makan tempat dia menjamu selera. 

“Aku tertarik untuk menuntut ilmu persilatan,” luah Zazuan. 

Hampir tersedak Shahrul mendengar pengakuan Zazuan. Drastik sungguh perubahan dirinya. Apakah katalisnya? 

“Aku mohon untuk berguru dengan ayahmu. Aku juga rela bergurukanmu asalkan aku diberi peluang mengenal kembali budaya bangsaku,” Zazuan menyatakan pengharapannya. 

“Benarkah kau ingin belajar?” soal Shahrul, menduga. 

Zazuan diam. Wajahnya jelas menampakkan bahawa dia sedang berfikir. Barangkali dia masih kabur dengan pendiriannya, getus hati kecil Shahrul. 

“Benar, aku ingin belajar,” putus Zazuan, yakin. 

“Asbab?” 

“Kerana aku anak Melayu dan budaya Melayu itulah budayaku.” 



SOURCE:


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SanggarKreatif_AkuMelayu/Article



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...